30 September 2015

Kuatkan pembesar suara selain tujuan azan mungkin kerana malas dakwah

KUATKAN PEMBESAR SUARA SELAIN TUJUAN AZAN MUNGKIN KERANA MALAS BERDAKWAH

30 SEPTEMBER 2015 | BATU KAWAN

Fatwa Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dr. Wan Salim Wan Mohd Noor membenarkan pembesar suara masjid dan surau untuk tujuan azan dan iqamah di negeri ini sekali lagi menggamit sensitiviti umat Islam dan non-Muslim.

Saya teringat kontroversi kritikan azan yang didakwa terlalu kuat hingga mengganggu privasi seorang non-Muslim di Tanjong Tokong, pada bulan April lalu.

Saya pernah bertanya kepada seorang ahli qariah sebuah masjid dekat Seberang Jaya kerana pembesar suara di kawasan masjid berkenaan turut dikuatkan pada sesi kuliah Maghrib dan Subuh.

Katanya, "supaya nampak syiar Islam...boleh beri kesedaran kepada umat Islam untuk mengimarahkan masjid dan kejut orang Islam bangun Subuh."

Saya bertanya, "apa perasaan umat Islam jika kuil Hindu atau opera Cina pun membuka pembesar suara hingga membingitkan telinga semua orang tidak kira Muslim ataupun orang bukan Islam."

Ahli qariah berkenaan tetap berkata "ini syiar Islam yang mesti dipertahankan."

Saya senyum. Selalu sangat kita terbiasa dengan amalan Melayu seperti ini, sampai kita menganggap amalan seumpama ini sebagai syiar Islam.

Tinggal lagi saya tak sebut, barangkali umat Melayu malas berdakwah dari satu pintu ke satu pintu lain semacam yang dilakukan Rasulullah S.A.W, maka, dikuatkan bacaan al-Quran pada pembesar suara.

Di negeri ini, Persatuan IKUT Mewakili 10,000 Suara Revert Pulau Pinang (MyIKUT) pernah mempersoal hal ini.

Ruang kebebasan di negeri ini memholehkan beberapa NGO dakwah melakukan 'dakwah street' dari pintu ke pintu, dan rekod MyIKUT menunjukkan sebanyak 289 orang memeluk Islam pada tahun 2014.

SYIAR AZAN

 أَخْبَرَنِي نَافِعٌ أَنَّ ابْنَ عُمَرَ كَانَ يَقُولُ كَانَ الْمُسْلِمُونَ حِينَ قَدِمُوا الْمَدِينَةَ يَجْتَمِعُونَ فَيَتَحَيَّنُونَ الصَّلَاةَ لَيْسَ يُنَادَى لَهَا فَتَكَلَّمُوا يَوْمًا فِي ذَلِكَ فَقَالَ بَعْضُهُمْ اتَّخِذُوا نَاقُوسًا مِثْلَ نَاقُوسِ النَّصَارَى وَقَالَ بَعْضُهُمْ بَلْ بُوقًا مِثْلَ قَرْنِ الْيَهُودِ فَقَالَ عُمَرُ أَوَلَا تَبْعَثُونَ رَجُلًا يُنَادِي بِالصَّلَاةِ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَا بِلَالُ قُمْ فَنَادِ بِالصَّلَاةِ 

Maksud:
Telah mengabarkan kepadaku Nafi' bahwa Ibnu 'Umar berkata, "Ketika Kaum Muslimin tiba di Madinah, mereka berkumpul untuk solat dengan cara memperkirakan waktunya, dan tidak ada panggilan untuk pelaksanaan solat. Suatu hari mereka memperbincangkan masalah tersebut, di antara mereka ada yang mengusulkan lonceng seperi loncengnya Kaum Nashrani dan sebahagian lain mengusulkan untuk meniup terompet sebagaimana Kaum Yahudi. Maka 'Umar pun berkata, "Mengapa tidak kalian suruh seseorang untuk mengumandangkan panggilan solat?" Rasulullah shallallahu 'alaihi wasallam kemudian bersabda: "Wahai Bilal, bangkit dan serukanlah panggilan solat." [Sahih Bukhari,  no. hadith: 569]

Rujuk riwayat lain,  Muslim (no. hadith: 568), Abu Daud (no .hadith: 4334), Tirmidzi, (no. hadith: 175), An-Nasa'I,  no. hadith: 622.


Umumnya, ulamak berselisih pendapat mengenai status hukum azan.

1. Iman Nawawi: azan dan iqamah untuk solat fardhu lima waktu adalah berdasarkan syariat dan ijmak yang tiada berselisih pendapat.

2. Albani: wajib, salah jika menganggapnya sekadar sunnah.

3. Ibnu Taimiyyah: fardhu kifayah

GUNA SPEAKER MASJID TERLALU KUAT
Baik orang Islam atau non-muslim umumnya tak pertikai syiar azan, sama ada di Malaysia mahupun di Pulau Pinang. 

Tetapi, persoal kegunaan pembesar suara secara terlalu kuat sampai mengganggu privasi masing-masing yang dipertikai.

Teringat kita pada sensitiviti Rasulullah S.A.W sendiri suatu ketika dulu.

: "اعتكف رسول الله صلى الله عليه وسلم في المسجد، فسمعهم يجهرون بالقراءة وهو في قبة له، فكشف الستر، وقال : ألا كلكم مناج ربه، فلا يؤذين بعضكم بعضاً، ولا يرفعن بعضكم على بعض في القراءة، أوقال في الصلاة".

“Ketika Nabi s.a.w beriktikaf (beribadah dalam masjid), baginda mendengar mereka mengangkat suara bacaan (al-Quran) sedangkan ketika itu Nabi s.a.w berada di tempat ibadah baginda. Lalu baginda mengangkat langsir dan bersabda: Ketahui setiap kamu bermunajat kepada Tuhannya, jangan sebahagian kamu menyakiti sebahagian yang lain. Jangan kamu angkat suara bacaan melebihi yang lain dalam solat.” 

[Hadith riwayat Abu Daud]

Istidlal: Jika membaca Al-Quran dalam solatpun dilarang mengganggu orang lain, menggunakan pembesar suara secara terlalu kuat walaupun untuk azan sampai mengganggu privasi orang lain takkan dibolehkan secara syarak pula?

PASANG ALUNAN AL-QURAN MELALUI PEMBESAR SUARA SECARA KUAT-KUAT
Jika mengganggu privasi orang lain, maka larangannya sama seperti Rasulullah SAW larang baca Al-Quran dalam solat sampai mengganggu orang lain.

Lagipun, memasang Al-Quran secara kuat-kuat sebelum azan bukanlah sunnah yang dituntut, tetapi lebih pada amalan kebudayaan Melayu.

Maka, boleh ditinggalkan amalan Melayu itu atas sebab mengganggu privasi masyarakat, termasuk non-Muslim.

Sejauh itu, syariat yang betul adalah membaca Al-Quran sendiri, atau diam bagi pendengarnya, berdasarkan firman Allah S.W.T. yang bermaksud:

وَإِذَا قُرِئَ الْقُرْآنُ فَاسْتَمِعُوا لَهُ وَأَنْصِتُوا لَعَلَّكُمْ تُرْحَمُونَ
Maksud:
"Dan apabila Al-Quran itu dibacakan, maka dengarlah akan dia serta diamlah (dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya), supaya kamu beroleh rahmat.”

[Surah al-A’raf: 204]

Kalau budaya memasang pembesar suara secara terlalu kuat untuk alunan Al-Quran sebelum azan telah lama dilakukan oleh generasi terdahulu yang menguruskan masjid sekalipun, amalan itu bukanlah sumber hukum syarak untuk dipertahankan sebagai hujah, jika nyata sampai mengganggu privasi masyarakat, termasuk non-Muslim.

Marilah ambil pengajaran daripada ayat Al-Quran di bawah ini, kerana kaedah usul tafsir pun menyebut al-'ibrah bi umumi al-lafzi la khususan bi sababihi.

وَإِذَا قِيلَ لَهُمُ اتَّبِعُوا مَا أَنْزَلَ اللَّهُ قَالُوا بَلْ نَتَّبِعُ مَا أَلْفَيْنَا عَلَيْهِ آبَاءَنَا ۗ أَوَلَوْ كَانَ آبَاؤُهُمْ لَا يَعْقِلُونَ شَيْئًا وَلَا يَهْتَدُونَ

“Dan apabila dikatakan kepada mereka Turutlah akan apa yang telah diturunkan oleh Allah mereka menjawab: (Tidak), bahkan kami (hanya) menurut apa yang kami dapati datuk nenek kami melakukannya. Patutkah (mereka menurutnya) sekalipun datuk neneknya itu tidak faham sesuatu (apa pun tentang perkara-perkara agama), dan tidak pula mendapat petunjuk hidayat (dari Allah”

[Surahal-Baqarah : 170]

KESIMPULAN
Sesungguhnya lebih hikmah jawatankuasa masjid membuat kenduri untuk mengajak umat Islam mengimarahkan majlis, serta dialog antara agama untuk dakwah kepada non-Muslim, berbanding buka pembesar suara kuat-kuat sampai menyakiti perasaan komuniti sekeliling.

Berbalik pada fatwa terbaru Mufti Pulau Pinang, jangan kerana kita malas berdakwah, maka dipasang bacaan Al-Quran secara kuat-kuat menggunakan pembesar suara sampai mengganggu privasi orang lain.

Wallahu 'alam.


ZAINULFAQAR YAACOB
Ketua Komunikasi
Parti Amanah Negara (AMANAH) P.Pinang 


+60194241583
faqar.blogspot.com


___________
Di bawah gambar surat berwajib yang dikesan tersebar luas menerusi whatsapp sejak lewat petang tadi, diperbaiki demi mewujudkan kebencian awam kepada Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang.



Selepas Jerman, Guan Eng hasrat bawa sistem sekolah vokasional Australia pula ke P.Pinang




Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN - Hubungan diplomatik yang erat antara Pulau Pinang dan Australia sejak tahun 1980-an lagi diharap membuka peluang untuk negara tersebut memindahkan ilmu serta pengalaman dalam sistem pendidikan  vokasional mereka ke negeri ini.

Menurut Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, Kerajaan Negeri melalui Pusat Kemahiran dan Pembangunan Pulau Pinang (PSDC) sebelum ini telahpun berjaya memeterai satu perjanjian untuk membawa masuk Sistem Pendidikan Vokasional Jerman ke negeri ini.

"Dengan kumpulan pertama yang terdiri oleh 22 pelajar telah memulakan kursus mereka selama 40 bulan, menandakan buat pertama kali program latihan vokasional Jerman dilancarkan di negara ini.

"Sesungguhhya kedua-dua pihak, Australia dan Pulau Pinang secara bersama boleh berkembang bukan sahaja dalam pelancongan, malah, juga dalam bidang elektronik dan latihan vokasional di peringkat pengurusan (kelas) menengah.

"Maka, saya berharap Datuk Dr. Lim Huat Bee, iaitu seorang doktor kulit yang bukan sahaja berjaya di Pulau Pinang, malah, mempunyai hubungan yang kukuh dengan Australia dapat membantu Kerajaan Negeri mengkaji aspek program latihan vokasional secara bersama juga antara Pulau Pinang dan Australia," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan di sini baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam berkenaan berucap sedemikian pada keraian Majlis Ulang Tahun Ke-60 Hubungan Diplomatik Australia Ke Malaysia.

Difahamkan, Australia menjalinkan hubungan diplomatik dengan Malaysia sejak tahun 1955 lagi, iaitu semasa Persekutuan Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan  pada tanggal 31 Ogos 1957. 

Pada majlis keraian bersejarah ini, kira-kira 200 tetamu dijemput oleh Suruhanjaya Tinggi Australia Ke Malaysia pada majlis yang dilangsungkan di tengah-tengah Bandaraya George Town.

Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Malaysia, Rod Smith berkata, pihaknya berharap hubungan erat yang terjalin di antara kedua-dua negara lebih lima dekad ini dapat saling diperkukuhkan.

"Saya amat gembira untuk memperingati ulang tahun istimewa ini dengan rakan-rakan kita di Pulau Pinang.

"Ia adalah satu peluang yang baik untuk merenung sejarah bersama-sama kami dan meraikan hubungan dua hala yang kukuh.

Hari ini, rakyat Pulau Pinang dan Australia berkongsi banyak kesinambungan dinamik dalam perniagaan, seni, pendidikan dan pelancongan.

"Acara ini juga merupakan peluang bagi kita untuk mengukuhkan hubungan yang erat di antara Australia dan Pulau Pinang," jelas Rod Smith.

Pada majlis sama, Rod Smith turut memperkenalkan Konsulat Tertinggi Australia ke Pulau Pinang yang baru, Dato' Dr. Lim Huat Bee.

Walaupun dikenali sebagai doktor kulit yang berjaya di negeri ini, katanya, Dr. Lim mempunyai hubungan yang kukuh dengan Australia.

Difahamkan, Dr. Lim mempunyai dua orang anak yang bekerja dan tinggal di Australia.

Dr. Lim dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada pihak Australia atas pelantikan itu dan berharap dapat memainkan peranan mengukuhkan hubungan diplomatik dengan Kerajaan Pulau Pinang.

Jagdeep gesa Pusat salur lebih banyak dana kebajikan ke P.Pinang


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PULAU TIKUS - Pameran makanan amal Pertubuhan Haemodialisis Fo Yi untuk membina sebuah pusat kesihatan yang menelan belanja RM6.5 juta baru-baru ini turut menerima sumbangan RM10,000 daripada Kerajaan Negeri dan RM10,000 daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat, Jagdeep Singh Deo.

Jagdeep yang juga Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan berkata, program-program amal seumpama ini sepatutnya mendapat dana kebajikan yang lebih banyak daripada Kerajaan Pusat.

"Sepatutnya Kerajaan Pusat menyalurkan lebih dana kebajikan untuk aktiviti seumpama ini, tetapi nampaknya langsung tiada sokongan secara langsung daripada mereka.

"Berbeza dengan Kerajaan Pulau Pinang yang menyalurkan begitu banyak dana kebajikan tiap-tiap tahun sejak 2008, seperti sumbangan emas kepada warga emas,  ibu tunggal, isteri (berusia di bawah 60 tahun yang menjadi suri rumah sepenuh masa), murid (Tahun 1 & 4 serta Tingkatan 1 & 4), bantuan pendidikan untuk daftar masuk Universiti (Awam) dan banyak lagi.

"Kita (Kerajaan Negeri) sedar kerja-kerja amal yang sedang dijalankan untuk masyarakat, terutamanya usaha-usaha merawat pesakit homeodialisis ini, serta bersedia menyokong perjuangan ini melalui cara-cara apa sekalipun yang kita boleh lakukan," jelas Jagdeep semasa merasmikan majlis itu di bangunan Persatuan Buddha Malaysia dekat Jalan Burmah  di sini baru-baru ini.

Difahamkan, pameran makanan  amal itu dianjurkan secara bersama-sama Persatuan Buddha Bekas Pelajar Penang Free School, untuk membina sebuah bangunan lima tingkat pusat kesihatan dan rawatan homeodialisis, yang dijangka siap sepenuhnya pada bulan September tahun depan.

Maka, Jagdeep turut berjanji untuk menyumbang sebuah mesin dialisis yang berharga RM45 000 pada pusat rawatan homeodialisis, yang kini sedang dimajukan di Jalan Permatang Damar Laut.

Sebelum itu, Pengerusi Persatuan Fo Yi, Ooi Tiong Lam berkata, pihaknya masih memerlukan RM1.5  juta lagi untuk kerja-kerja pemajuan bangunan pusat rawatan homeodialisis tersebut, serta mengharapkan dapat mengutip RM100,000 melalui pameran makanan amal ini.

"Kita berasa sangat gembira dengan sokongan orang ramai apabila melihat orang-orang kenamaan pun turut membanjiri pameran makanan amal ini sejak pagi tadi, dan kira berharap sasaran kutipan sumbangan dapat dicapai pada hari ini," katanya sambil merakamkan ucapan terima kasih kepada Jagdeep kerana merasmikan majlis tersebut.

Lebih 5,000 pengunjung menyertai majlis amal tersebut, dengan menikmati pelbagai jualan makanan daripada kira-kira 100 gerai penjaja di sini.


Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus