01 October 2015

Dr. Khairuddin, bantuan persekolahan SAR di P.Pinang diberikan bukan atas sentimen politik kepartian

1 Oktober 2015 | George Town 

Kalau Sekolah Rendah Islam Al-Ansar (SRIA) dan Sekolah Rendah Islam Bahrul Ulum (SRIBU) tidak pernah memohon peruntukan Bantuan SAR daripada Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang bagi tahun ini, bagaimana kedua-dua sekolah yang ditadbir urus oleh pemimpin PAS Pulau Pinang itu dipertimbang untuk mendapatkan sumbangan berwajib?

Dato' Dr. Mohd. Khairuddin bin Aman Razali at-Takiri perlu tahu bahawa agihan peruntukan bantuan pendidikan ke sekolah-sekolah di negeri ini berdasarkan keperluan dan keutamaan, sebagaimana dimohon sekolah-sekolah Islam yang lain.

Barangkali Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat berkenaan ini menganggap bantuan pendidikan yang disalurkan kepada dua sekolah swasta terbabit sejak beberapa tahun lalu atas dasar sentimen politik kepartian.

Kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang sebenarnya banyak berbeza dengan tadbir urus parti, jika mahu dinisbahkan kepada PAS atau Kerajaan Negeri Kelantan.

Di Pulau Pinang, Exco Hal Ehwal Agama Islam Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Dato' Mohd. Salleh Man (Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) yang menguruskan hal ehwal berkaitan Islam dan umat Islam, dan bukan parti politik.

Berkaitan Hal Ehwal Islam atau hal ehwal fatwa (isu larang azan kononnya) bukannya diuruskan oleh Lim Guan Eng, dan bidang kuasa Ketua Menteri itu antaranya menjaga hal ehwal bukan Islam sahaja.

SAR dilayan 'dingin' oleh Kerajaan Pulau Pinang era Umno Barisan Nasional dulu.

Tetapi, peruntukan tahunan bantuan Sekolah Agama Rakyat (SAR) di bawah Kerajaan Negeri hari ini sejak tahun 2008 hingga 2009 berjumlah RM1.5 juta, dan dinaikkan kepada RM1.7 juta tiap-tiap tahun sejak 2010 hingga 2015.

Gambarannya, tidak berkurang pun peruntukan Bantuan Pendidikan SAR, walaupun DAP dan PAS saling berbeza pendapat dalam dunia politik kepartian masing-masing di negeri ini.

Di Pulau Pinang, peruntukan Bantuan Sekolah SAR berjumlah RM1.7 juta bagi tahun ini telahpun diagihkan oleh Bahagian Pendidikan JAIPP kepada 177 sekolah agama, berdasarkan keutamaan dan keperluan yang dimohon oleh pihak berkenaan.

Direkodkan, 104 Sekolah Agama Rakyat (KAFA Integrasi) menerima bantuan SAR bagi tahun 2015 yang berjumlah RM388,800, diikuti 27 Maahad Tahfiz (RM178,200), 14 Tadika Islam (RM26,900), 11 Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (RM249,500), tujuh Sekolah Agama Rakyat (RM435,500), Sekolah Rendah Agama Rakyat (RM381,100) dan tujuh sekolah pondok (RM90,000).

Gambarannya, bukan Pesuruhjaya PAS Negeri Ustaz Fauzi Yusof dan dan Ustaz Yusni Mat Piah (Ketua Penerangan PAS Negeri) sahaja yang membuka sekolah Islam secara swasta di negeri ini.

Abdul Malik pada sidang media tengah hari tadi antara lain mengesahkan kedua-dua sekolah berkenaan langsung tidak membuat permohonan, lagipun ada sekolah-sekolah lain khususnya tujuh sekolah pondok lebih memerlukan bantuan berwajib daripada Kerajaan Negeri.

Selain itu, katanya, ada permohonan tidak diluluskan kerana satu-satu sekolah itu atau mudirnya dinilai mempunyai kemampuan daripada segi kewangan.

Tambah beliau, ada permohonan lain diutamakan kelulusan bagi tahun ini kerana dinilai ada keperluan mendesak oleh Bahagian Pendidikan JAIPP sendiri.

Pokok pangkalnya, kena memohon sumbangan jika mahu diproses permohonan, bukan menanti peruntukan bantuan SAR tanpa membuat permohonan.

Nilai sendiri kenyataan Dr. Khairuddin yang menyebut, “tindakan ini memberi mesej bahawa DAP dan PKR yang sebelumnya menjadi pembangkang apabila berkuasa juga menjadi zalim dan tidak memberikan keadilan dan hak terhadap mereka yang tidak sehaluan politik dengan mereka.”

Jangan ada kebencian. Marilah mengamalkan politik rahmatan lil 'alamin.

“...jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada takwa...”

[Surah Al-Maidah: 8]

Bagi AMANAH, tadbir urus kewangan Kerajaan Negeri berdasarkan keperluan dan keutamaan sebenar rakyat adalah lebih mendekati maksud “keadilan” yang dituntut dalam Islam.

Justeru, AMANAH merakamkan ucapan terima kasih kepada Datuk Abdul Malik Abul Kassim kerana secara terbuka memberi penjelasan berhubung isu berbangkit ini.

Wallahu 'alam.


ZAINULFAQAR YAACOB
Pengarah Komunikasi
AMANAH Pulau Pinang


+60194241583
zainulfaqary@gmail.com 
faqar.blogspot.com


Isu pembesar suara 'Nasihat Hukum', bukan fatwa, respons Mufti P.Pinang

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN - Kebenaran menggunakan pembesar suara masjid dan surau untuk tujuan azan dan iqamah sahaja yang disyorkan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang bukanlah mengikut telunjuk mana-mana pihak, seperti digambarkan oleh pembangkang Pulau Pinang.

Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor berkata, syor itu masih bersifat Isyhad Hukm atau Nasihat Hukum untuk mencegah penyalahgunaan pembesar suara kononnya atas nama Islam sampai mengganggu ketenteraman masyarakat sekeliling.

"Isu ini merupakan nasihat hukum atau Isyhad Hukm sahaja...kita belum sampai ke tahap itu (pelaksanaan keputusan fatwa yang diwartakan).

"Sejak tahun 2012 lagi, kita (Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri Pulau Pinang) telah membuat keputusan melarang penggunaan pembesar suara sebelum waktu Subuh sahaja, keputusan itupun adalah Nasihat Hukum sahaja.

"(Isyhad Hukm) kali ini pun belum sampai ke tahap itu (pelaksanaan keputusan fatwa yang diwartakan), cuma penambah baikkan dan cadangan sahaja yang dibuat oleh Jawatankuasa Fatwa supaya keputusan sebelum ini lebih 'kuat', dihormati dan diwartakan nanti.

"Setakat ini, kita bersedia untuk menilai semula, kalau kita meniliti ia tidak perlu diwartakan, maka kita akan kekalkan ia sebagai Isyhad Hukm sahaja, jika perlu akan diwartakan nanti," respons Wan Salim kepada wartawan di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, Jabatan Agama Islam Pulau Pinang (JAIPP) masih menerima lebih 10 aduan daripada umat Islam dan komuniti bukan Islam selepas Isyhad Hukum berwajib diputuskan pada tahun 2012.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim turut menjelaskan mengenai status surat pekeliling kepada JAIP, yang membenarkan pembesar suara masjid dan surau untuk tujuan azan dan iqamah sahaja.

"Apabila Jabatan Agama Islam menerima surat daripada Jabatan Mufti itu, di antara pendekatan Jabatan Agama Islam adalah meneliti isu ini dan mengadakan cadangan-cadangan. 

"Di antara cadangannya adalah Bahagian (Pengurusan) Masjid dan Surau telah datang berbincang dengan saya untuk mengadakan muzakarah, berbincang bukan berhubung larangan ini, tetapi, berbincang berhubung dengan isu ini," respons Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Justeru, katanya, Nasihat Hukum yang diputuskan oleh Jawatankuasa Majlis Fatwa Negeri itu sebenarnya bersifat bebas dan bukanlah mengikut telunjuk Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, seperti didakwa oleh pihak pembangkang Pulau Pinang.

Dalam perkembangan berasingan, Guan Eng memberitahu bahawa mustahil beliau sebagai seorang bukan Islam boleh mencampuri urusan fatwa berkaitan umat Islam di negeri ini, yang jelas di bawah DYMM Yang Di-Pertua Agong.

Tambah Guan Eng, beliau tidak menolak kemungkinan akan digambarkan sebagai individu yang mengeluarkan fatwa melarang azan di negeri ini.

“Semalam saya dituduh makan daging anjing, mungkin hari ini saya dituduh mengeluarkan 'fatwa'.

“Saya seorang bukan Islam, bagaimana saya boleh mengeluarkan 'fatwa' (larangan azan menggunakan pembesar suara)...ini pembohonan,” respons Guan Eng pada sidang media berasingan.

Kenyataan itu merujuk pada beberapa akhbar harian berbahasa Cina yang melaporkan Guan Eng memakan daging anjing, susulan ketegasan Kerajaan Negeri mewartakan suatu perintah menghapuskan anjing-anjing liar, demi mencegah penyakit Rabies ke atas manusia baru-baru ini. 

Tegas Guan Eng, beliau sendiri langsung tidak mengetahui mengenai notis 'fatwa' berwajib daripada Wan Salim yang bertarikh 1 September lalu, sehinggalah isu tersebut disebarkan secara meluas oleh pihak tertentu menerusi media baru 2.0 seperti Facebook dan Whatsapp

Guan Eng bimbang difitnah keluar 'fatwa', selepas dituduh makan daging anjing

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Selepas dituduh memakan daging anjing, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng pagi ini berkata, beliau tidak menolak kemungkinan akan digambarkan sebagai individu yang mengeluarkan fatwa melarang azan di negeri ini.

“Semalam saya dituduh makan daging anjing, mungkin hari ini saya dituduh mengeluarkan 'fatwa'.

“Saya seorang bukan Islam, bagaimana saya boleh mengeluarkan 'fatwa' (larangan azan menggunakan pembesar suara)...ini pembohonan,” respons Guan Eng kepada wartawan, di sini.

Beliau berkata demikian semasa ditanya mengenai notis fatwa bertarikh 1 September lalu daripada Mufti Pulau Pinang, Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor mengenai kebenaran menggunakan pembesar suara masjid dan surau untuk azan dan iqamah sahaja.

Tegas Guan Eng lagi, Kerajaan Negeri akan mengambil tindakan kepada mana-mana media yang yang memainkan fitnah sehingga menimbulkan ketegangan kaum, agama serta huru-hara di negeri ini.

Semalam, beberapa akhbar harian melaporkan Guan Eng memakan daging anjing, gara-gara ketegasan Kerajaan Negeri mewartakan suatu perintah menghapuskan anjing-anjing liar, demi mencegah gigitan anjing gila ke atas manusia.

Guan Eng memberitahu, Kerajaan Negeri turut berusaha mendapatkan sejumlah vaksin anti-Rabies baru dalam masa terdekat, demi memastikan habitat anjing bertuan bebas daripada pengakit berbahaya hatta mampu membunuh manusia tersebut.

Di Pulau Pinang, tiga kes Rabies disahkan positif sehingga kini.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus