05 October 2015

Jagdeep gesa PM perjelas status permohonan 118 TP1M sebelum bentang Bajet 2016

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kanan) ketika mengadakan lawatan di Wisma Taman Saibe baru-baru ini.

AIR ITAM - Datuk Seri Najib Tun Razak perlu menjelaskan status 118 lagi permohonan Tabung Penyelenggaraan 1Malaysia (TP1M), sebelum Perdana Menteri itu membentangkan Bajet 2016 yang dijadualkan pada 23 Oktober ini di Dewan Rakyat.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan Jagdeep Singh Deo berkata, Najib langsung tidak mengumumkan TP1M semasa membentangkan Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) pada 21 Mei lepas, dan sehingga kini masih menjadi tanda tanya sama ada program itu diteruskan atau sebaliknya.

Akibatnya, menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri sendiri tidak boleh mengeluarkan peruntukan berwajib melalui Program Bantuan Perumahan Rakyat Pulau Pinang (HAPPY!).

“Kerajaan Negeri melalui MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) dan MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai) turut menghantar surat peringatan mengenai isu ini kepada Pejabatan Perdana Menteri, tetapi sehingga kini tiada penjelasan.

“Kalau Kerajaan Pusat tidak meluluskan permohonan TP1M, Kerajaan Negeri pun tidak boleh mengeluarkan peruntukan (HAPPY!) untuk membiayai 10 hingga 30 peratus daripada kos penyelenggaraan projek yang sepatutnya ditanggung oleh persatuan penduduk.

“Kita (Kerajaan Negeri) tidak boleh tunggu Pusat, maka, kita perlu melakukan projek-projek penarafan ini sendiri berdasarkan komitmen kewangan yang Kerajaan Negeri ada,” tegas Jagdeep semasa melawat Wisma Taman Saibe siap dinaiktarafkan di sini baru-baru ini.

Jagdeep memberitahu, sejumlah RM38,920 dibelanjakan untuk kerja-kerja penggantian lima tangki air berkapasiti 600 liter serta menukar paip-paip karat.

“Bagi kerja-kerja pengantian tangki air ini, 80 peratus kos penyelenggaraan dibiayai oleh Kerajaan Negeri iaitu melibatkan kos RM31,136, manakala, baki 20 peratus lagi atau RM7,784 ditanggung oleh saya selaku ADUN bagi kawasan dan penduduk

“Saya berharap bukan sahaja bekalan air yang lebih bersih boleh dinikmati, tetapi, tiada lagi masalah air bertekanan rendah dihadapi oleh penduduk,” jelas Jagdeep lagi.

Bajet 2015 Kerajaan Negeri memperuntukan sebanyak RM15.11 juta untuk tujuan membaik pulih perumahan Kerajaan di negeri ini, berbanding RM11.3 juta yang diumumkan dalam belanjawan tahun sebelumnya.

MPSP lancar kempen tangani salah guna parkir OKU

SALAH sebuah kereta yang dikenakan tindakan balut dan ditampal pelekat simbol OKU di Seberang Jaya baru-baru ini.

SEBERANG JAYA – Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) melancarkan kempen Park With Heart demi meningkatkan kesedaran awam terhadap penyalahgunaan parkir khas golongan Orang Kurang Upaya (OKU) di ketiga-tiga daerah di negeri ini.

“Tujuan utama kempen ini adalah untuk mengalakkan orang ramai meletak kereta dengan perasaan bertimbang rasa, tanpa menidakkan hak golongan OKU.

“Setiap orang hendaklah memainkan peranan penting dalam memastikan tiada penyalahgunaan tempat letak kereta OKU,” jelas Maimunah pada satu sidang media selepas mempengerusikan Majlis Mesyuarat Penuh Bilangan ke Sembilan Tahun 2015 baru-baru ini.

Bercakap pada sidang media sama, Ahli Majlis bagi MPSP, Prof. Madya Dr. Tiun Ling Ta berkata, kompaun wajar digandakan semaksima RM300 berbanding RM50 sekarang demi mendidik orang awam.

“Berkuatkuasa hari ini, kereta pesalahlaku akan dibalut serta diletakkan pelekat menandakan parkir tersebut hanya untuk OKU sahaja. 

“Saya juga ingin memohon kepada pemilik-pemilik premis di pusat beli belah supaya dapat meningkatkan penguatkuasaan bagi menangani kes-kes salah guna parkir OKU seperti ini,” tegas beliau lagi.

Ling Ta memaklumkan, sebanyak 49 petak parkir OKU disediakan di Seberang Perai, sedangkan 53,000 individu telahpun berdaftar sebagai OKU pelbagai aspek.

Katanya lagi, kempen Memarkir Dengan Bertimbang Rasa atau Park With Heart diharap mendapat partisipasi awam di negeri ini.

Jerebu: Steven Sim gesa Pusat manfaatkan Asean Economy Community

STEVEN Sim (dua dari kiri) memakaikan penutup muka kepada orang awam di Pasar Awam Kampung Baru di sini, baru-baru ini.

BUKIT MERTAJAM – Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong menggesa Kerajaan Malaysia memanfaatkan hubungan erat dengan Asean Economy Community (AEC) untuk membantu Indonesia menangani aktiviti pembakaran hutan secara besar-besaran yang dikenalpasti saban tahun.

Katanya, platform antarabangsa yang ditubuhkan untuk mengembangkan integrasi ekonomi membabitkan negara-negara anggota ASEAN dimanfaatkan sebaik mungkin memandangan krisis jerebut sekarang ini untuk meninggalkan kesan berantai pada sosioekomoni di rantau ini.

"Saya menggesa kerajaan menggunakan peluang hubungan lebih erat Asean Economic Community yang bermula tahun 2015 ini dengan mendesak Indonesia menyelesaikan masalah ini agar tidak berlarutan pada setiap tahun.

"Kerajaan Singapura telahpun mengeluarkan kenyataan untuk membantu Indonesia menyelesaikan masalah ini, dan saya berharap Kerajaan Malaysia juga memberi gesakan lebih kuat," katanya pada Majlis Pengedaran Topeng Muka di Pasar Besar Bukit Mertajam di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Komuniti merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang, Chong Eng, Pemangku Pengarah Kejuruteraan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Rosnani Mahmud serta dua Ahli Majlis MPSP, Siti Nur Shazreen Mohd. Jilani dan Micheal Tan Cheong Heng.

Tambah Steven, pendapat penduduk khususnya peniaga turut terjejas disebabkan oleh krisis jerebu ini.

"Ramai orang yang tidak mahu keluar rumah pada musim jerebu ini, jadi ia memberi kesan ekonomi kepada para-para peniaga kecil seperti di pasar awam dan ini adalah perkara yang berat," katanya.

Sementara itu, Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) dalam reaksi terbaru menegaskan bahawa pemerintah negara itu memerlukan tiga tahun lagi untuk menangani masalah pembakaran hutan secara terbuka, hingga mengakibatkan krisis jerebu melanda rantau ini, seperti sekarang.

RM2 juta untuk Program Latihan Berkembar Vokasional Jerman

LIM GUan Eng (lima dari kanan) ditemani Mohd. Rashid Hasnon (enam dari kanan) mengambil kesempatan beramah-mesra dengan sebahagian pelajar yang mengikuti program GDVTP di PSDC baru-baru ini. | Foto: Buletin Mutiara

PANTAI JEREJAK – Kerajaan Negeri memperuntukan RM2 juta untuk menjayakan Program Latihan Berkembar Vokasional Jerman (GDVTP) yang akan dilaksanakan di Pusat Kemahiran dan Pembangunan Pulau Pinang (PSDC).

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, seramai 22 pelajar terpilih akan mengikuti program pertama peringkat diploma lanjutan dalam tempoh 40 minggu.

“Para pelajar turut akan dibayar untuk belajar dengan elaun sebanyak RM900, ini sesuatu yang sukar untuk didapati kerana selalunya anda perlu bayar untuk menyambung pelajaran.

“Program ini adalah terbuka kepada semua syarikat-syarikat yang berpengkalan di Pulau Pinang dari Multinasional (MNC) hinggalah kepada Perindustrian Kecil Sederhana (SME) untuk menghantar pekerja mereka dalam menyambung pembelajaran melalui program kerjasama ini,” kata Guan Eng sebelum menyaksikan majlis menandatangan memorandum persefahaman (MOU) antara Kerajaan Negeri dan PSDC di bangunan PSDC dekat Kawasan Dewan Undagan Negeri (KADUN) Pantai Jerejak di sini baru-baru ini .

Pulau Pinang diwakili Pegawai Kewangan Negeri, Dato' Mokhtar Mohd. Jait, manakala, PSDC diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Muhamed Ali Hajah Mydin.

Timbalan Ketua Mentri I merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan), Zairil Khir Johari (Pengarah Eksekutif Penang Institute, PI) turut hadir pada majlis itu.

Menurut Guan Eng, langkah Kerajaan Negeri dalam meningkatkan kemahiran modal insan dalam bidang vokasional di negeri ini nampaknya turut menerima sambutan yang menggalakkan daripada gender wanita.

“Namun saya juga kagum dengan melihat penglibatan kaum wanita yang lebih separuh berbanding lelaki mengikuti program ini,” katanya, sambil menganggap kebolehupayaan wanita dalam bidang kemahiran di negeri ini adalah setara dengan kaum lelaki.

Justeru, beliau berharap anak tempatan dapat berlumba-lumba mengambil berpeluang belajar berkenaan teknologi Jerman melalui program GDVTP, yang sememangnya sudah terkenal di seluruh dunia, melalui pelbagai produk ternama.

Dalam perkembangan sama, Guan Eng baru-baru ini turut melahirkan hasrat untuk membawa sistem pendidikan vokasional dari Australia ke negeri ini, sempena majlis meraikan ulangtahun ke-60 hubungan diplomatik dengan negara tersebut di sini baru-baru ini.

Guan Eng semasa membentangkan Bajet Kerajaan Pulau Pinang 2015 pada 7 November tahun lalu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang ada menyatakan hasrat untuk membawa sistem pendidikan vokasional dari Jerman ke negeri ini.

Katanya, sistem pendidikan vokasional Jerman yang berkonsep sistem persekolahan didirikan dalam kilang demi melahirkan pelatih mahir daripada segi pengalaman, sekaligus menjadikan ia berbeza dengan sistem sekolah vokasional yang sedia ada di negara ini. 

Asics Penang Bridge International Marathon 2015 pada 22 Nov.

DANNY Law Heng Kiang (tengah) menerima serahan hadiah cabutan bertuah daripada dua wakil penaja Proton Holdings Berhad, berupa Proton Iriz dan Proton Saga Plus di sini baru-baru ini. | Foto: arkib Buletin Mutiara

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Sebuah Proton Iriz dan sebuah Proton Saga Plus buat julung-julung kalinya dijadikan hadiah cabutan bertuah bagi mereka menyertai larian maraton antarabangsa Asics Penang Bridge International Marathon 2015 yang dilangsungkan di Jambatan Pertama Pulau Pinang pada 22 November depan.

Pengerusi penyeleras larian, Danny Law Heng Kiang berkata, yuran pendaftaran selepas 1 September dinaikkan RM10 bagi semua ketegori, kecuali kategori 10 kilometer Junior dan 8 kilometer Larian Ria yang menyaksikan kenaikan yuran RM5 sahaja.

"Oleh itu, bayaran akan menjadi RM90 untuk (kategori) Maraton Penuh, RM80 untuk Separuh Maraton, RM70 untuk 10KM Terbuka, RM45 untuk 10KM Junior dan RM25 untuk Fun Run,” jelas Danny Law yang juga Exco Pembangunan Pelancongan di sini baru-baru ini.

Difahamkan, empat kategori dipertandingkan, iaitu Maraton Penuh 42 kilometer untuk Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita; Separuh Maraton 21 kilometer (Terbuka Lelaki, Terbuka Wanita, Veteran Lelaki dan Veteran Wanita); 10 kilometer Terbuka (Lelaki dan Wanita); dan 10 kilometer (Junior Lelaki dan Junior Wanita).

Tambah beliau, mereka yang menyertai larian ini berpeluang untuk memenangi hadiah cabutan bertuah berupa Proton Iriz dan Proton Saga Plus yang kedua-duanya berharga RM100,000 tajaan Proton Holdings Berhad.

Acara perlepasan peserta secara berperingkat mengikut kategori akan dilangsungkan bermula pukul 1 pagi hingga 7.45 pagi, hari tersebut.

Difahamkan, larian kali menerima penyertaan 24,00 peserta berdaftar, sungguhpun penganjur mensasarkan 40,000 penyertaan daripada seluruh negara dan antarabangsa.

Orang ramai yang mempunyai pertanyaan atau ingin membuat pendaftaran secara dalam talian boleh melayari www.penangmarathon.gov.my.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus