19 October 2015

Aktiviti mewarna terima 100,000 penyertaan dari seluruh negara, dengan Pulau Pinang tertinggi, rekod MBOR

ANTARA murid-murid pra sekolah dari Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) yang menyertai pertanding mewarna di Perpustakaan Awam Negeri Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - 100,000 penyertaan dalam aktiviti mewarna bertemakan “Terima Kasih Malaysia, Saya Sayang Malaysia” dari seluruh pelusuk negara pada 8 Oktober lalu direkod dalam Malaysia Book of Records (MBOR), dengan partisipasi teramai sebanyak 60,000 dari Pulau Pinang.

Demikian ucapan perasmian Pegawai Daerah Seberang Perai Tengah, Zulkifli Long, mewakili Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' Seri Farizan Darus di Perpuskakaan Awam Negeri di sini baru-baru ini.

“Generasi hari ini perlu terus menghargai anugerah keamanan yang berjaya dituntut oleh generasi terdahulu, sungguhpun ada perbezaan budaya, kaum dan ideologi di antara kita.

“Keamanan di dalam negara ini perlu dipertahankan dengan rasa kasih sayang terhadap negara, agar tanah air kita tidak bergolak seperti di beberapa negara di Timur Tengah sekarang,” jelas Zulkifli.

Pengarah Perpustakaan Awam Negeri, Sharimah Salleh sebelum itu turut memberi penjelasan mengenai latar belakang majlis keraian Hari Penghargaan Sedunia.

“Hari Penghargaan Dunia asalnya diraikan di Amerika Syarikat pada tahun 1965.

“Acara tahunan ini berfungsi sebagai peringatan kepada semua orang di dunia untuk menghargai apa yang mereka ada dalam kehidupan dan untuk mengasihi satu sama lain.

“"Bagi kita sebagi rakyat Malaysia, 'Terima Kasih Malaysia, I Love Malaysia' adalah program membawa mesej untuk semua masyarakat untuk mengingat serta saling mengasihi dan menghargai apa yang kita nikmati, "katanya.

Hadir sama, Pengasas Whyte House Education Group, Jerry Yeoh.

Aktiviti nasional itu turut mendapat sokongan agensi kerajaan serta pertubuhan korporat lain, amtaranya Perbadanan Perpuskakaan Awam Melaka, Hospital Pantai Air Keroh (Melaka), Persatuan Kebangsaan Penjagaan Awal Kanak-Kanak dan Pendidikan Malaysia (PERMATA Negara), Yayasan Kajian Barah Payudara, Persekutuan Persatuan Cina Malaysia dan Persatuan Interaksi Kebudayaan Malaysia.

Terdahulu, Jerry Yeoh dilaporkan memberitahu bahawa pihak penganjur “Terima Kasih Malaysia, Saya Sayang Malaysia” mensasarkan 70,000 penyertaan secara serentak di seluruh negara, untuk melayakkan aktiviti nasional itu direkodkan dalam MBOR.

Majlis Pengangkutan Pulau Pinang fokus aspek pelaksanaan 'pelan induk' sahaja, respons Kon Yeow

KETUA Menteri (depan, tiga dari kiri) merakamkan gambar dengan anggota PTC di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Pelantikan 21 anggota Majlis Pengangkutan Pulau Pinang (PTC) tanpa partisipasi rasmi daripada perunding pakar dan wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bagi tempoh dua tahun mulai 1 Oktober 2015 hingga 30 September 2017 dipersoal baru-baru ini.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata, PTC yang baru dilantik hanya berperanan melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (TMP), iaitu dokumen rasmi Kerajaan Negeri yang dihasilkan pada 23 Mac 2013 dengan membabitkan syor-syor daripada perunding pakar dan wakil NGO sendiri.

“Fokus (PTC) pada koordinasi pelaksanaan, maka, fokus lebih pada agensi kerajaan.

“Sebab itulah, keanggotaan majlis ini melibatkan (pihak) Kerajaan dan agensi-agensi Kerajaan sahaja,” jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di sini baru-baru ini.

Beliau menjawab soalan wartawan, selepas Majlis Pelantikan Ahli Majlis PTC yang disempurnakan oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Guan Eng dalam ucapannya berkata, tujuan penubuhan PTC pada tahun 2009 untuk menangani cabaran kesesakan trafik di negeri ini.

Transport Master Plan (TMP) yang bernilai RM27 billion yang merupakan projek infrastruktur kedua besar dalam sejarah Malaysia, akan mengubah wajah Pulau Pinang sebaik ia siap pada tahun 2030.

Dan, yang lebih penting ia (TMP) juga akan menjadi pemangkin ekonomi yang boleh menjaminkan masa depan dan pembangunan mapan Pulau Pinang sehingga tahun 2050,” ucap Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih.

Difahamkan, TMP merangkupi lima mood pengangkutan awam seperti bas, teksi, Transit Aliran Ringan (LRT), trem, kereta kabel, feri dan teksi air.

Ia (TMP) akan melibatkan pembinaan jalanraya, lebuhraya, terowong bawah dasar laut, landasan keretapi LRT, pengangkutan air dan kereta kabel yang merentasi udara daripada pulau ke Seberang Perai,” jelas Guan Eng lagi.

Pada pertengahan bulan Ogos lalu, Konsortium SRS dipilih menjadi Rakan Pelaksana Projek (PDP) bagi TMP bernilai RM27 bilion, mulai sekarang hingga tahun 2030.

Konsortium SRS terdiri oleh Gamuda Berhad serta dua syarikat dari Pulau Pinang, Loh Phoy Holdings Sdn. Bhd. dan Ideal Property Development Sdn. Bhd..

Konsortium SRS di bawah Dato' Lin Yun Ling (Pegawai Eksekutif Gamuda Berhad) perlu mendapatkan semua kelulusan berwajib daripada Kerajaan Pusat dalam tempoh enam bulan, atau menanggung segala kos pengurusan, jika gagal kelak.

Guan Eng berkata, pihaknya berharap PTC akan memainkan peranan yang penting dalam memastikan rancangan pembangunan big-bang tersebut oleh PDP mengikut landasan PTC.

Islam Rahmatan Lil 'Alamin tema Ma'al Hijrah 1437H, konvensyen 6-8 Nov.

TUN Abdul Rahman Abbas (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Tokoh Ma'al Hijrah 1437H Pulau Pinang kepada Ellias Zakaria (empat dari kiri) sambil disaksikan oleh Abdul Malik Abul Kassim (paling kiri), Mohd. Rashid Hasnon (tengah) dan Farizan Darus (paling kanan) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BERTAM - Konvensyen Islam Rahmatan Lil 'Alamain akan dianjurkan di peringkat negeri Pulau Pinang pada 6 hingga 8 November depan, selepas moto dakwah itu diangkat sebagai tema Sambutan Ma'al Hijrah 1437H/2015M Peringkat Negeri Pulau Pinang baru-baru ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim semasa membuat pengumuman itu memberitahu, pemilihan tema tersebut adalah diilhamkan sendiri oleh bekas Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada bulan Februari lalu.

“Usaha menyemarakkan maksud Islam Rahmatan Lil 'Alamin telahpun diilhamkan oleh mantan Ahli Parlimen Permatang Pauh, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk diangkatkan di peringkat negeri ini, (disusuli) dengan suatu 'Konvensyen Islam Rahmat Ke Seluruh Alam' diadakan di Kuala Lumpur pada awal (bulan) Februari lalu.

“Insya Allah, suatu konvensyen Islam Rahmatan Lil 'Alamin akan diadakan di Pulau Pinang pada 6, 7 dan 8 November ini, dengan ucaptama akan disampaikan oleh Mufti Besar Zimbabwe (Sheikh Ismail ibn Musa Menk),” jelas Abdul Malik pada Majlis Himpunan Ummah yang dilangsungkan di Dewan Millenium dekat Kepala Batas di sini.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dalam ucapannya pula mengingatkan umat Islam supaya memperkasakan gerakan dakwah dengan menonjolkan kesederhanaan serta perasaan saling kasih sayang sesama manusia, ke arah agenda memartabatkan Islam di negeri ini.

“Agenda memartabatkan Islam di Pulau Pinang adalah agenda Kerajaan Negeri, maka, gerakan dakwah dengan menitikberatkan aspek wasathiah (kesederhanaan) dan kasih sayang sesama manusia akan membantu penghayatan tiap-tiap umat Islam pada maksud Islam Rahmatan 'Lil 'Alamin,” jelas Mohd. Rashid pada Majlis Himpunan Ummah yang dihadiri lebih 500 hadirin.

Mohd. Rashid turut merakamkan penghargaan atas kehadiran Yang Dipertua Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas dengan diiringi isteri, Toh Puan Seri Hajah Majimor Shariff, menyampaikan ucapantama serta merasmikan majlis sambutan Ma'al Hijrah kali ini.

Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato' Mohd. Salleh Man, Dato' Seri Farizan Darus (Setiaushaa Kerajaan Negeri), Sohibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Pulau Pinang), Y.A. Dato' Abdul Walid Abu Hassan (Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang) Dato' Maktar Shapee (Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang) dan Dato' Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Agama Islam Pulau Pinang, JAIPP) turut pemimpin Kerajaan Negeri yang hadir pada majlis sambutan tersebut.

Sementara itu, Pengarah Pusat Transformasi Insan, Profesor Madya Dato’ Al-Ustaz Haji Ellias bin Haji Zakaria telah dianugerahkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Negeri Pulau Pinang pada tahun ini.

Ellias, 59, menerima sehelai jubah berwarna keemasan, medal, trofi, sijil penghargaan serta wang berjumlah RM8,000.00.

“Anugerah ini saya anggap untuk membentuk perubahan dalam menyumbang bakti dalam melaksanakan tugas-tugas dan menyampaikan dakwah atas prinsip melakukan kerja secara ikhlas kerana Allah S.W.T.

“Saya fikir ini adalah anugerah berdasarkan sumbangan saya melalui pelbagai institusi atau sukarela selama ini di samping perkhidmatan di peringkat universiti, negeri, kebangsaan dan antarabangsa yang bukan bertujuan untuk menerima anugerah tetapi semangat 'Saya Sayang USM' yang ada di dalam diri,” jelas Ellias yang juga mantan Yang di-Pertua MAINPP.

Khadijah Lim binti Abdullah (kiri) diiringi Salmah Mohd. Sobri mempamerkan anugerah yang disampaikan oleh Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.
Khadijah Lim binti Abdullah yang dipilih tokoh “Saudara Kita Cemerlang” pula berkata, anugerah serta penghargaan tersebut akan memberi motivasi kepada pasukannya, Islamic Propagation Society International (IPSI) untuk menggandakan kerja-kerja dakwah non-Muslim di negeri ini.

“Terima kasih kepada Kerajaan Negeri...tidak dilupakan adalah IPSI kerana daripada pertubuhan dakwah itulah yang banyak mengajar saya erti hidup dalam Islam,” jelas Khadijah, diiringi Pegawai JAIPP, Salmah Mohd. Sobri.

ABDUL Alim Araby Mohd. Salleh Al-Kahery (kiri) bersama-sama Mohd. Naqi Md. Ali mempamerkan anugerah yang disampaikan oleh Kerajaan Negeri di sini baru-baru ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kariah Masjid Taman Semilang, Haji Abdul Alim Al-Araby bin Haji Mohd. Salleh Al-Kahery turut melahirkan penghargaan kerana majlisnya dipilih menerima anugerah empat bintang sempena sambutan Ma'al Hijrah 1437H.

“Ini anugerah pertama yang masjid kita terima antaranya atas kerja-kerja kebajikan yang kita telah lakukan di peringkat kariah.

“Pada masa depan ini, kita akan menubuhkan 'Klinik Ummah' di mana kita akan memberi perkhidmatan kesihatan kepada semua bangsa tidak kira anak Melayu, anak Cina atau anak India terutama kepada anak-anak kariah kita secara percuma,” jelas beliau sambil merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri,” jelas Abdul Alim diiringi Setiausaha Kariah, Mohd. Naqi Md. Ali.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus