24 December 2015

Rai Maulidur Rasul, contohi kehidupan Rasulullah S.A.W, nasihat Exco Agama Pulau Pinang

SUASANA perarakan aman sempena sambutan Maulidur Rasul 2015 Peringkat Negeri Pulau Pinang, dari tapak parkir SP Arena menuju ke perkarangan Masjid Jamek Seberang Jaya di sini pada pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Negeri Pulau Pinang yang diraikan saban tahun diharap dapat menyemarakkan lagi penghayatan umat Islam terhadap sunnah kehidupan Nabi Muhammad S.A.W..

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim berkata demikian semasa berucap pada Majlis Himpunan Ummah baru-baru ini.

"Perayaan-perayaan yang dijalankan mestilah tidak hanya berteraskan kebudayaan.

"(Melalui) perayaan-perayaan ini, Insya-Allah, kita (Kerajaan Negeri) mengharapkan agar umat Islam dapat mencontohi Sunnah Nabi Muhammad S.A.W. dalam kehidupan seharian kita," jelas Abdul Malik di Masjid Jamek Seberang Jaya di sini.

Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung memberitahu, umat Islam hari ini sewajarnya bangkit dalam konteks pemikiran, kebudayaan dan keintelektualan, demi memajukan ekonomi masing-masing di Pulau Pinang.

Yang di-Pertuan Negeri, Tuan Yang Terutama (T.Y.T) Tun Datuk Seri Utama Dr. Abdul Rahman Abbas diiringi isteri, Toh Puan Datuk Seri Utama Hajah Majimor Shariff menyempurnakan majlis perasmian Sambutan Maulidur Rasul tersebut.

Tun Abdul Rahman dalam ucapannya turut memuji Kerajaan Negeri kerana konsistan mengangkat maksud "Al-Islam Rahamatun Lil 'Alamin" berdasarkan inti ayat 107 daripada Surah Al-Anbiya', sebagai tema sambutan pada kali ini.

ADUN Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Dato' Maktar Shapee (ADUN Sungai Bakap merangkap Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang), Dato' Seri Farizan Darus (Setiausaha Kerajaan Negeri), Sohibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor (Mufti Negeri) dan Dato' Sazali Hussein (Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang, JHEAIPP) antara pemimpin negeri yang hadir pada majlis tersebut.

TUN Abdul Rahman Abbas (dua dari kiri) menyampaikan Anugerah Qudwatur Rasul Ketegori Inovasi kepada penerima, Soib Taib (lima dari kiri), sambil disaksikan oleh Abdul Malik Abul Kassim (paling kiri), Dr. Afif Bahardin (paling kanan) dan Farizan Darus (tiga dari kiri) di sini, pagi tadi.

Pada majlis sama, Penasihat Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Sheikh Hussain Yee Abdullah, 65, dipilih sebagai sebagai Tokoh Maulidur Rasul Pulau Pinang sempena sambutan Hari Keputeraan Nabi Muhammad SAW di peringkat negeri di sini hari ini.

Peguam muda Muneer Mohamed Farid dipilih sebagai penerima Anugerah Qudwatur Rasul Kategori Belia, manakala, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abd Rahman dipilih untuk Kategori Kemasyarakatan.

Bagi Kategori Pendidikan, anugerah itu diraih guru daripada Sekolah Menengah Agama Nurul Islam, Mardziah Zakaria, manakala, bagi Kategori Inovasi dianugerahkan kepada Pensyarah dan Ketua Penyelidik Pusat Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr. Soib Taib.

Sebelum itu, lebih 20 kontinjen menjayakan acara perarakan dari perkarangan parkir SP Arena ke Masjid Jamek Seberang Jaya.

Mereka, Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK), Jabatan Kewangan Negeri, gabungan Jabatan Kehakiman Syariah Negeri dan Jabatan Mufti Negeri, Jabatan Perancang Bandar & Desa (JPBD), Pejabat Tanah & Galian Negeri, Pejabat-pejabat Tanah dan Daerah Jabatan Pengairan & Saliran (JPS), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Jabatan Veterinar Negeri, Jabatan Pertanian Negeri, Jabatan Botani Negeri, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

Turut serta, Perbadanan Perpustakaan Pulau Pinang, Ibupejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang, Kastam, Bomba, Imegresen, Kompleks Penjara Seberang Perai, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, RELA, Hospital Pulau Pinang, Lembaga Hasil Dalam Negeri, Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), Tenaga Nasional Berhad (TNB), Persatuan Seni Silat Cekak Malaysia, Persatuan Silat Pusaka Gayong Cawangan Seberang Perai dan Sungai Ara.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus