22 February 2016

Guan Eng terkejut MB Selangor buat kenyataan terbuka isu ADUN PKR P.Pinang

KETUA Menteri berucap pada Majlis Sambutan Tahun Baru Cina & Chap Goh Meh di Kompleks PDC Bayan Lepas, tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS – Ketua Menteri Pulau Pinang, Tuan Lim Guan Eng melahirkan rasa terkejut dengan kenyataan terbuka Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Mohamed Ali membantah tindakan menamatkan khidmat dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini baru-baru ini.

ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen dan Cheah Kar Peng (ADUN Kebun Bunga) dikatakan berdepan tindakan sedemikian kerana dilihat tidak meyakinkan kepemimpinan Kerajaan Negeri, selepas terbabit satu kes di sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang tahun lalu.

"Biasanya Ketua Menteri dan Menteri Besar tidak campur tangan dengan urusan negeri-negeri lain kerana ada ahli-ahli Exco (Kerajaan Negeri) daripada parti masing-masing untuk menguruskan perkara tersebut.

"Ini kali pertama bahawa beliau ambil 'minat' tentang satu perkara yang bukan dalam negeri beliau (Selangor).

"Saya sangat terkejut kerana beliau (Azmin) membuat kenyataan secara terbuka," jelas Guan Eng kepada pemberita, selepas berucap pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina & Chap Goh Meh anjuran Perbandaran Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di kompleks agensi Kerajaan Negeri itu di sini, tengah hari tadi.

Tegasnya, semua anggota menyuarat secara profesional perlu memegang keputusan yang telahpun diputuskan secara bersama, bukan mengambil tindakan sebaliknya yang didakwa bak 'tikam belakang' serta mampu menggugat kestabilan kepemimpinan Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan) dan Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan).

Guan Eng memberitahu, beliau sendiri tidak mencampuri urusan dalaman PKR semasa isu krisis Menteri Besar Selangor membabitkan Tan Sri Khalid Ibrahim, sebelum ini.

"Selama ini, sebagai Menteri Besar (Selangor) dan Ketua Menteri (Pulau Pinang), kami tidak campur tangan dengan urusan negeri-negeri lain, dan amalan ini kekal sejak tahun 2008.

"Saya masih ingat semasa Tan Sri Khalid Ibrahim, beliau dipecat kerana beliau tidak melaksanakan keputusan yang beliau setuju dengan partinya di Selangor.

"Dan, saya rasa inipun telah dibangkitkan oleh Datuk Seri Azmin bahawa apa yang mesyuarat putuskan dan dipersetujui oleh Tan Sri Khalid Ibrahim semasa itu sebagai Menteri Besar, beliau (Khalid) tidak laksanakannya.

"Itulah sebabnya PKR membuat keputusan untuk menggantikannya dan ini dihormati oleh parti DAP, dan saya percaya Datuk Seri Azmin masih memegang prinsip yang sama," jelas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP.

Beliau turut mengaku masih tidak menerima sebarang surat rasmi daripada pihak Azmin, berhubung tindakan ke atas kelima-lima ADUN PKR Pulau Pinang berkenaan.

"Kenyataa beliau (Azmin) bahawa dua minggu lepas, mereka (PKR) telahpun buat surat (rayuan), saya rasa ini jelas bahawa mereka pun telah dimaklumkan.

"Sungguhpun begitu, saya masih belum menerima apa-apa surat lagi, sekiranya surat itu sampai (diterima), tentulah kita akan memberi perhatian yang serius kerana datang daripada Menteri Besar (Selangor," jelas Guan Eng sambil menganggap Menteri Besar Selangor dan Ketua Menteri Pulau Pinang hari ini adalah 'bersaudara'.

Terdahulu, ADUN pembangkang dari kawasan Teluk Bahang, Sr. Muhamad Farid Saad pada 20 November tahun lalu mengemukakan usul supaya semua projek penambakan tanah di laut bagi pembangunan tertakluk kepada perdebatan umum, maklum balas awam dan Laporan Penilaian Terperinci Terhadap Alam Sekitar (DEIA).

Suatu mesyuarat membabitkan semua Exco Kerajaan Negeri dan ADUN Pakatan Harapan diadakan, sebelum usul itu diterima untuk dibahaskan dalam DUN.

Hasil mesyuarat itu, mereka semua bersetuju sebulat suara untuk menolak usul pembangkang tersebut, atas hujah Guan Eng, iaitu Kerajaan Negeri kemungkinan terpaksa membayar pampasan berbilion ringgit sehingga terdedah pada risiko bankrap, jika projek tambakan laut oleh pemaju terbabit ditangguhkan.

"Walaupun BN meluluskan 3,241 ekar (1311.59 hektar) tanah untuk tebus guna tanah, hanya 744 ekar (301.895 hektar) ditebus guna.

"Menangguhkan yang selebihnya itu, terutama projek tebus guna tanah Tanjung Pinang (pemaju) E & O (Development Sdn Bhd) boleh menyebabkan Pulau Pinang terpaksa membayar pampasan sehingga RM1 bilion.

"Ini boleh menyebabkan Pulau Pinang menjadi bankrap.

"Dengan itu, mengapa perlu kerajaan negeri sekarang dipaksa membayar pampasan untuk tebus guna tanah yang bukan kami yang meluluskannya," tanya Guan Eng yang juga ADUN Air Putih.

Selepas undian 'belah bahagi' dibuat, Speaker DUN Pulau Pinang, Dato' Law Choo Kiang menolak usul itu dengan kiraan 23 anggota dewan menentang, 10 menyokong dan lima berkecuali.

Lima Adun PKR yang berkecuali semasa proses pengundian adalah Chin Wen, Kah Peng, Dr. Norlela Ariffin (Penanti); Lee Khai Loon (Machang Bubuk); dan Dr T.Jayabalan (Batu Uban).

Usul itu, turut disokong ADUN DAP bagi kawasan Tanjung Bungah, Teh Yee Cheu.

Bagaimanapun, Yee Cheu kemudiannya memohon maaf kerana mengundi menyokong usul itu pada sidang media, selepas persidangan Dewan Undangan Negeri.

Walaupun digesa Guan Eng, Chin Wen selaku Ketua Whip PKR Negeri enggan menyatakan sokongan kepada Ketua PKR dalam Kerajaan Negeri, iaitu Mohd. Rashid.

Selain Azmin, Pengerusi Biro Penyelarasan Ahli Parlimen & ADUN PKR, Datuk Johari Abdul dalam kenyataan berasingan menyifatkan tindakan kelima-lima ADUN terbabit hanya pengundian mengikut suara hati (conscience vote) berkaitan isu alam sekitar, bukan partisan.

Baru-baru ini, Azmin sekali lagi dalam kenyataan media memberitahu bahawa beliau akan mempertahan nasib kedua-dua ADUN PKR tersebut.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus