31 March 2016

PDC agensi Kerajaan P. Pinang pertama amal Dasar Pemberi Maklumat, kata Guan Eng

(Dari kanan) KETUA Menteri, Mohd. Rashid Hasnon, M. Samarajoo, P. Ramasamy, Rosli Jaafar, Anis Yusal Yusoff (dua dari kiri) dan Lim Hock Seng pada Majlis Pelancaran Whistleblower Policy Sempena Hari Intergriti PDC di sini baru-baru ini.

BAYAN BARU – Pemberi maklumat mengenai pelanggaran tatakelakuan seperti amalan rasuah umpamanya dalam Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) akan dilindungi, melalui pelaksanaan Dasar Pemberi Maklumat.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, PDC adalah agensi Kerajaan Negeri yang pertama melaksanakan dasar integriti tersebut.

Beberapa langkah integriti telahpun dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri sebagai inisiatif dalam menjadikan Pulau Pinang sebuah negeri yang bersih.

Antara yang telah kita lakukan ialah menginstitusikan pengisytiharan harta secara terbuka oleh Ketua Menteri dan barisan Exco; melaksanakan tender terbuka yang kompetetif; tidak membenarkan ahli keluarga untuk melibatkan diri dalam kontrak kerajaan; melarang ADUN dan ahli pentadbiran daripada meluluskan permohonan tanah Kerajaan Negeri dan tidak menerima 'donation' ('sumbangan'),” ujar Guan Eng di Kompleks PDC di sini baru-baru ini.

Guan Eng berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelancaran Whistleblower Policy Sempena Hari Intergriti PDC.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng, Pengurus Besar PDC, Dato' Rosli Jaafar, Presiden merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Institut Integriti Malaysia (IIM), Dr. Anis Yusal Yusoff dan Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Negeri Pulau Pinang, Datuk M. Samarajoo turut sertai majlis itu.

PEGAWAI SPRM (kiri) menerangkan kandungan buku yang dikeluarkan oleh agensi persekutuan itu, kepada seorang kakitangan PDC, pada Majlis Pelancaran Dasar Pemberi Maklumat (Whistleblower Policy) Sempena Hari Integriti PDC di sini baru-baru ini.
Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng memberitahu bahawa amalan integriti melalui prinsip CAT atau Cekap, Akauntabel dan Telus sejak tahun 2008 telah membawa manfaat ekonomi kepada Kerajaan Negeri dan rakyat.

Katanya, Kerajaan Negeri dalam tempoh lapan tahun antara 2008 hingga 2015 mencatatkan pelaburan sebanyak RM55 bilion, dengan peningkatan 90 peratus berbanding RM29 bilion jumlah pelaburan dalam tempoh lapan tahun sebelum itu, daripada 2000 hingga 2007.

Lanjutan itu, katanya lagi, Kerajaan Negeri berjaya mendapat beberapa pengiktirafan antarabangsa serta pulangan berupa 'deviden integriti', melalui sektor pelaburan, pelancongan serta Penyumberan Luaran Proses Perniagaan (BPO).

Pulau pinang juga diklasifikasikan antara 31 teratas bagi lokasi BPO di masa hadapan oleh KPMG 'Meneroka Frontiers Global'.

Sektor pelancongan turut menunjukkan peningkatan kemasukan pelancong apabila PIA (Lapangan Terbang Pulau Pinang) mencapai kapasiti penuh sebanyak 6.3 juta pada 2015 dengan jangkaan tahun ini (2016) akan meningkat kepada 6.5 juta penumpang, iaitu melebihi lima tahun lebih awal daripada sasaran pada tahun 2020," ujar Guan Eng.

Mengulas lanjut, Guan Eng memberitahu bahawa portal antarabangsa CNN Money menyenaraikan George Town sebagai bandar paling sesuai didiami di Malaysia dan keenam terbaik di peringkat dunia untuk persaraan.

Manakala, majalah pelancongan terkemuka Conde Nast Traveller pula menyenaraikan George Town di kedudukan kedua daripada 10 negara terbaik dunia untuk persaraan.

George Town turut disenaraikan di kedudukan keempat daripada 10 bandar terbaik dunia untuk pelancongan, lapor portal atas talian Lonely Planet.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus