16 April 2016

Hutang tertunggak Pulau Pinang kepada Pusat paling rendah, tinggal RM1.5 juta sahaja

KETUA Menteri pada sidang media selepas merasmikan suatu majlis di Kafe Sains Pulau Pinang dekat Wisma Yap Chor Ee, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN - Jumlah hutang tertunggak Kerajaan Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan tinggal RM1.5 juta sahaja, direkodkan paling rendah berbanding negeri-negeri lain. 

Malah Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata hutang terkumpul Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan pula kini tinggal RM69.36 juta sahaja,  turun mendadak berbanding RM625.44 juta semasa Kerajaan Negeri berpindah tangan daripada pemimpin Umno BN pada tahun 2008.

“Kita boleh lihat daripada jumlah hutang kesemua 13 buah negeri kepada Kerajaan Persekutuan sebanyak RM16.8 bilion, Pulau Pinang mencatatkan hutang paling kurang (RM69.36 juta) diikuti dengan Johor sebanyak RM249 juta, tapi jumlah ini adalah jauh berbeza berbanding Pulau Pinang. 

“Kita hanya hutang 0.41 peratus sahaja daripada keseluruhan hutang semua Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan.

“Kejayaan ini adalah kerana Kerajaan Negeri tak makan wang. Bukan saja dari aspek mempunyai lebihan dan keuntungan setiap tahun, tetapi lebih ketara dari  aspek penurunan hutang sebaik menjadi kerajaan,” ujarnya kepada pemberita di sini, semalam. 

Direkodkan dalam tempoh 2008 hingga 2015, Pahang mencatatkan jumlah hutang tertinggi iaitu sebanyak RM2,922.98, diikuti Sabah (RM2,608.46), Sarawak (RM2,531.25), Kedah (RM2,283.30) dan Kelantan (RM1,342.41). 

Justeru, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap ADUN Air Putih mempertikai wibawa kemampuan Kerajaan Pusat yang kini di bawah tadbir urus Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang dilihat seakan gagal mengurangkan jumlah hutang terkumpul negara.

“Ini berlainan dengan Kerajaan Persekutuan, hampir 20 tahun sudah ada defisit belanjawan dan kerugian. Malah hutang (Persekutuan) turut naik mendadak. 

“Jika kita (Kerajaan Negeri Pulau Pinang) dari tahun 2008 hingga sekarang berjaya turunkan 90 peratus hutang (baki tinggal RM69.36 juta) hutang dia (Persekutuan) naik lebih daripada 100 peratus,” ujar Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan.

Kementerian Kewangan (MOF) dalam Laporan Ekonomi 2015/2016 mendedahkan hutang Kerajaan Persekutuan yang merujuk jumlah terkumpul semua pinjaman Kerajaan Persekutuan sehingga akhir Jun 2015 berjumlah RM627.5 bilion, iaitu menyamai 54 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus