03 June 2016

Hijrah aset air disetujui Kerajaan P.Pinang kerana Pusat janji biaya RM2 bilion projek SPRWTS, gesa Guan Eng lagi

(Dari kiri) PHEE Boon Poh, Mohd. Rashid Hanson, Ketua Menteri, Jaseni Maidinsa, P. Ramasamy pada Majlis Perasmian Pembukaan Pakej 12 Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di sini, petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

SUNGAI DUA - Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sekali lagi menggesa Kerajaan Pusat segera menunaikan janjinya memajukan Cadangan Skim Bekalan Air Mentah Sungai Perak (SPRWTS), serta membiayai kos projek itu yang dianggarkan sebanyak RM2 bilion.

Tegasnya, Kerajaan Negeri tidak boleh selama-lamanya bergantung pada sumber air mentah tunggal dari terusan Sungai Muda, serta perlu sumber alternatif dari sungai negeri Perak.

"Sungguhpun tidak memihak pada Kerajaan Negeri (Pulau Pinang), tetapi Kerajaan Negeri juga menandatangani Perjanjian Penstrukturan Air Semula supaya Projek (Penarafan) Empangan Air Mengkuang dapat dimulakan dengan lebih cepat.

"Kita (Kerajaan Negeri) tidak mahu hanya bergantung pada Sungai Muda, kita mahu bergantung dengan satu lagi sumber air mentah, iaitu daripada Sungai Perak supaya jaminan bekalan air ini bukan sahaja untuk Pulau Pinang, juga untuk Perak," tegas Guan Eng kepada pemberita di sini petang tadi.

Sebelum itu, Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam merasmikan Majlis Pembukaan Pakej 12 Loji Rawatan Air (LRA) terbesar negara di Sungai Dua.

Bercakap pada sidang media sama, Pengurus Besar Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Dato' Ir. Jaseni Maidinsa sekali lagi menggesa Kerajaan Pusat supaya mengharamkan aktiviti pembalakan di kawasan tadahan air, serta mewartakan kawasan Hutan Simpan Ulu Muda dekat negeri Kedah.

"Kita telah tegaskan isu ini banyak kali, Malaysia telahpun menandatangani 'Rio Protocol' (dan) Kabinet (Kerajaan Persekutuan) telahpun menggazet kawasan tadahan di Kedah, apa telah berlaku sekarang.

"Kita bukan cuba mempolitikkan isu ini, kita bercakap mengenai nasib empat juta rakyat (di Utara Semenanjung Malaysia) tanpa mengira kaum, agama, gender mahupun (sempadan) kenegerian.

"Kalau sungai semula jadi di Eropah, membekalkan air kepada 27 negara, tiada mana-mana pihak bercakap bahawa satu pihak lain perlu membayar sesuatu bayaran.

"Tetapi, mereka ada suatu jawatankuasa bersama yang saling memberi komitmen bahawa kuantiti serta kualiti air (mentah) senantiasa dijamin untuk semua (27 negara Eropah terbabit)," tegas Jaseni.

Selain itu, Jaseni pada Mesyuarat Agung Tahunan Perbadana Bekalan Air Holdings Berhad (PBAHB) baru-baru ini turut menegaskan bahawa Kerajaan Kedah wajar mewartadakan kawasan tadahan Hutan Simpan Ulu Muda terlebih dahulu sebelum menuntut pampasan daripada Putrajaya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai tuntutan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanapiah yang menuntut pampasan berwajib jika mahu aktiviti pembalakan di Ulu Muda dihentikan serta-merta.

Difahamkan, 80 peratus air mentah ke Pulau Pinang sehingga kini bergantung pada sumber Sungai Muda di dalam sempadan negeri ini.

Manakala, Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada tahun 2011 lalu menandatangani surat perjanjian berwajib dengan Suruhanjaya Pengurusan Air Negara (SPAN) supaya Projek Pemindahan Tadahan Hujan Perak-Pulau Pinang (Sungai Perak-Sungai Ijok-Sungai Kerian) segera dibuat.


Ketika itu, Guan Eng menegaskan perjanjian dengan Kerajaan Pusat peting demi memastikan negeri ini tidak akan menghadapi risiko kemungkinan kekurangan air selepas tahun 2020 kelak.

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus