05 January 2016

Tiga lesen premis hiburan palsu, MPSP perketat syarat permohonan, kata Maimunah

MAIMUNAH Mohd. Sharif (dua dari kiri) bersama-sama Rozali Mohamud (tengah) dan tiga pegawai MPSP lain pada sidang media di sini baru-baru ini.  

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Dari 32 pusat hihuran yang diserbu baru-baru ini, tiga buah dikenal pasti beroperasi dengan menggunakan lesen premis perniagaan Majlis Perbandaran Seberang Perai  (MPSP) palsu.

Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, dua operasi bersepadu itu turut membabitkan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK).

"Laporan (polis) dibuat adalah untuk siasatan dan tindakan tegas pihak PDRM, (dan) kertas siasatan telahpun dibuka untuk perkara ini," jelas Maimunah pada sidang media di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini baru-baru ini. 

Hadir sama, Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamed serta serta tiga pegawai Pihak Berkuasa Tempatan  (PBT) lain.

Susulan itu, Maimunah memberitahu, MPSP menubuhkan Task Force Pelesenan dan Penguatkuasaan Hihuran Dan Internet Kafe, dengan wakil PDRM serta AADK dijemput menganggotai badan bertindak tersebut.

Tidak cukup dengan itu, katanya lagi, PBT akan mengetatkan lagi syarat permohonan serta pembaharuan lesen premis perniagaan, demi memastikan kes pemalsuan lesen MPSP tidak berulang.

"Kita (MPSP) mensyaratkan pemohon untuk mengemukakan dokumen atau AP pembelian mesin atau invois sewaan atau pembelian mesin daripada pemegang AP dan dokumen kelulusan AP atau penyewa mesin.

"Kita (MPSP) akan merujuk semula kepada jabatan-jabatan lesen hiburan bagi pembaharuan lesen hiburan. 

"Kita juga akan mengadakan pemantauan dan penguatkuasaan secara berkala, dengan kerjasama agensi penguatkuasaan luar (seperti PDRM dan AADK).

"Kita akan mengadakan bengkel khusus pada tahun 2016 (antara lain) bagi membincangkan aspek menghadkan kelulusan lesen premis hiburan dalam radius tertentu," tegas Maimunah.

17 Disember lalu, premis hiburan Eighteen Game World di Jalan Bukit Taman Indah dekat Simpang Empat diserbu.

Hasil serbuan mendapati terdapat mesin similator dan mesin karnival di premis hiburan yang beroperasi menggunakan lesen palsu MPSP.

Manakala dalam operasi berasingan pada 31 Disember pula, 31 premis hiburan lain diserbu dan hanya dua buah beroperasi secara 'haram'.

Terdapat 30 mesin simulator dan mesin karnival dalam premis hiburan Funtacy Playground Equipment Supply / Woon  Shieh Ling di Taman Permatang Tinggi Indah dekat Bukit Mertajam.

Di Ah Baa Enterprise / Yap Ah Baa dekat Jalan IKS Juru Estate, Bukit Mertajam pula, terdapat operasi 40 mesin simulator dan mesin karnival.

"Sebanyak empat buah mesin simulator dan 25 buah kerusi disita di dua buah premis itu," jelas sumber MPSP.

Tanpa GST pun Pusat mampu surplas seperti Pulau Pinang, kata Guan Eng

KETUA Menteri (tiga dari kiri) menyantuni kelaku seorang mahasiswa (berbaju merah) selepas menerima cek I-Bita, sambil disaksikan oleh Mohd. Rashid Hasnon dan P. Ramasamy di sini baru-baru ini.
KETUA Menteri berucap, di pentas utama turut kelihatan Mohd. Salleh Man (duduk, dua dari kiri) bersama-sama Lim Hock Seng (duduk, paling kiri), Dr. Afif Bahardin (duduk, tiga dari kiri) dan A. Thanasekaran (duduk, paling kanan) di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA – Tanpa perlu bergantung pada hasil Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) pun, belanjawan Kerajaan Pusat sebenarnya masih mampu mencatatkan lebihan kewangan, jika diurus secara bersih dan cermat seperti yang dilakukan dalam Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu pentadbirannya tiap-tiap tahun sejak 2008 mencatatkan surplas, dengan rekod keseluruhannya kira-kira RM453 juta sehingga tahun 2013.

"Apabila kita (rakyat) melihat Kerajaan Pusat tiap-tiap tahun rugi (defisit kewangan), Kerajaan Pulau Pinang boleh untung (lebihan kewangan) kerana bersih, sungguhpun tanpa GST.

"Itulah perbezaannya antara Kerajaan Negeri Pulau Pinang dan Putrajaya, dia (Kerajaan Pusat) ada GST, tapi masih rugi lagi, (manakala) kita (Kerajaan Pulau Pinang) tiada GST, tapi kita masih boleh untung (surplas).

"Jika kita (Pakatan Harapan) ke Putrajaya, kita akan buktikan belanjawan Malaysia boleh untung (surplas) sungguhpun tanpa GST," jelas Guan Eng pada Majlis Penyerahan Cek Bantuan Pelajar Ke IPT Zon Seberang Perai 2015 di perkarangan Tapak Ekspo Seberang Jaya, 12 Disember lalu.

Seramai 1,321 mahasiswa daripada universiti awam dan beberapa kolej terpilih diberi cek I-Bita bernilai RM1,000 seorang, yang jumlah keseluruhannya lebih RM1.3 juta dari sumber dana Kerajaan Negeri.

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin, Lim Hock Seng (ADUN Bagan Jermal merangkap Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti), Dato' Mohd. Salleh Man (ADUN Permatang Pasir merangkap Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang, MAINPP) dan A. Tanasekharan (ADUN Bagan Dalam).

Guan Eng yang juga ADUN Air Putih sekali lagi merayu Kerajaan Negeri melaksanakan 'Zerorise GST' atau GST Berkadaran Sifar seperti yang dicadangkan oleh pihak pembangkang dalam Bajet Alternatif.

Tegasnya, GST ternyata membebankan rakyat terbanyak, dan 'Zerorise GST' adalah kaedah terbaik ke arah memansuhkan cukai itu.

Mengulas mengenai Bajet 2016 Pusat pula, Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, Kerajaan Pusat sepatutnya tidak mengurangkan kira-kira RM1.4 bilion peruntukan Universiti Awam berbanding tahun 2015.

Ini kerana katanya, Kerajaan Pusat dilaporkan mendapat sumber tambahan lebih RM30 bilion hasil GST, sejak sistem cukai itu dilaksanakan dalam tempoh antara 1 April hingga 14 Disember 2015.

Bagi Guan Eng, tadbir urus kewangan Kerajaan Pusat yang dilihat seakan boros, tidak cekap, tiada integriti, mempunyai unsur rasuah serta penyelewengan kuasa akhirnya mengakibatkan belanjawan negara akan terus mengalami defesit, sungguhpun bergantung pada hasil GST.

Sehari selepas itu Guan Eng bersama-sama Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon dan Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) menyampaikan cek I-Bita Peringkat Zon Pulau kepada 538 pelajar dari Daerah Timur Laut dan 233 lain dari Daerah Barat Daya, di Dewan Sri Pinang dekat George Town.

Muhammad Shamsul Nizam Shafie
Salah seorang penerima, Muhammad Shamsul Nizam Shafie, 19, yang ditemui kemudian melahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pemberian insentif tersebut.

Menurut mahasiswa jurusan Sarjana Muda Undang-Undang Syariah dari Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) itu, sepatutnya lebih banyak bantuan pendidikan disalurkan kepada mahasiswa memandangkan kos sara hidup rakyat kian meningkat.

"Ini kali pertama saya dapat sumbangan...sebagai anak ketiga daripada enam adik beradik, bantuan ini sangat diperlukan.

"Dalam keadaan harga barang naik dan kos sara hidup yang meningkat di tempat saya belajar dekat Nilai (Negeri Sembilan), mahasiswa memang memerlukan bantuan pendidikan seumpama ini," jelas beliau, penduduk di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Komtar.

Pelan Induk Pengangkutan P.Pinang perlukan 'suara' Seberang Perai, kata Guan Eng

KOMUNITI setempat pada Majlis Rumah Terbuka Krismas 2015 Peringkat KADUN Perai di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Rancangan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) yang kini dalam proses mendapatkan kelulusan berwajib daripada agensi Pusat, tidak dapat tidak mesti turut mendapatkan maklum balas awam daripada penduduk di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, suara penduduk Pulau Pinang adalah penting di sini Kerajaan Negeri dalam merancangan pelan menangani kesesakan trafik pada masa hadapan itu.

"Jadi 'suara' mereka juga penting dan mereka dialu-alukan untuk menyatakan pandangan berhubung pelaksanaan PIP ini.

"Sekiranya mereka menolak dan tidak bersetuju, maka, PIP tidak akan dilaksanakan," kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita, selepas merasmikan Majlis Rumah Terbuka Krismas di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Perai di sini pada 20 Disember 2015.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai, Prof. P. Ramasamy serta Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani turut berucap pada majlis tersebut.

Difahamkan, Kerajaan Negeri baru-baru ini memberi kelulusan berwajib kepada Konsortium SRS, selepas rakan penyampai projek (PDP) tersebut membentangkan skim pengangkutan awam atas landasan dan skim pemajuan lebuh raya secara bersepadu, yang meliputi bahagian pulau dan bahagian Seberang Perai.

Kelulusan itu membolehkan PDP memulakan rundingan serta mendapatkan kelulusan PIP berwajib susulan daripada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) di bawah Kerajaan Pusat pula.

Skim pengangkutan awam atas landasan (railway scheme) terdiri oleh satu jajaran transit aliran ringan (LRT) serta dua monorail di bahagian Pulau, serta satu LRT lain merentasi laut ke tanah besar Seberang Perai.

Skim tersebut juga terdiri oleh satu lagi jajaran monoral serta mewujudkan sistem bas alihan cepat (BRT) di Seberang Perai.

Satu lagi skim adalah mengenai pemajuan beberapa jajaran lebuh raya secara bersepadu (highway scheme) di bahagian Pulau ke Seberang Perai, demi menangani kesesakan tarfik kenderaan pada waktu puncak.

Manakala, Island Link pula adalah satu lagi projek yang diutamakan oleh Kerajaan Negeri, sama seperti jajaran LRT Komtar-Bayan Lepas.

Berucap baru-baru ini, tambah Guan Eng, cadangan pelaksanaan PIP antara lain termasuk jaringan laluan monorail sejauh 28.4 kilometer dengan kemudahan 22 stesen hentian sepanjang Jalan Raja Uda menuju ke Bukit Mertajam melalui kawasan Alma, Bandar Perda, Taman Supreme, Sunway Carnival Mall dan Penang Sentral.

"Penduduk di kawasan Perai juga akan terlibat memandangkan jaringan laluan tersebut di sebelah selatan Perai iaitu bersebelahan Jambatan Pulau Pinang menuju ke Jalan Perusahaan melalui Taman Supreme sebelum berakhir di Penang Sentral.

"Begitu juga jaringan laluan bagi LRT yang akan menghubungkan Gelugor (berdekatan Jambatan Pulau Pinang) di sebelah bahagian pulau dan Kawasan Perindustrian Perai di Seberang Perai sebelum menuju ke arah utara di Penang Sentral," jelas Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Selain rundingan awam dengan penduduk setempat, katanya lagi, kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) serta Kajian Terperinci Impak Alam (DEIA) mesti diperoleh terlebih dahulu, sebelum memulakan kerja-kerja pelaksanaan Transport Master Plan (TMP) tersebut.

Lebih 200 kanak-kanak diraikan dengan kehadiran istimewa 'Santa Claus' pada Majlis Rumah Terbuka Krismas KADUN Perai tersebut.

Guan Eng harap pelancong sedunia kenang tandas bersih di Pulau Pinang

(Dari kiri) DR. Afif Bahardin, Lim Hock Seng, Maktar Shapee, Ketua Menteri, Chow Kon Yeow dan Maimunah Mohd. Sharif pada acara gimik perasmian sempena Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia 2015 Peringkat Negeri di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Selepas George Town diiktiraf di kedudukan keempat dari 10 bandar terbaik untuk dikunjungi pada tahun 2016 dalam senarai Lonely Planet beberapa bulan lalu, Lim Guan Eng berharap usaha Kerajaan Negeri mewujudkan kondisi tandas bersih di negeri ini akan turut dikenang oleh pelancong Pulau Pinang kelak.

Ketua Menteri dalam ucapannya berkata, beliau sendiri pernah mendapat maklum balas daripada seorang pelancong tempatan yang pernah menggunakan tandas awam Pasar Air Itam, dalam satu program di Johor Bharu baru-baru ini.

"Saya ada bertanya pernah sampai ke Bukit Bendera, dia masih berkata dia masih tidak boleh lupa tentang kebersihan tandas awam di Pasar Awam Air Itam itu.

"Kita (rakyat) perlu ingat sekiranya Pulau Pinang ingin berjaya menjadi sebuah negeri yang bertaraf antarabangsa dan pintar, maka taraf tandas juga mesti bertaraf antarabangsa," jelas Guan Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih semasa merasmikan Majlis Sambutan Hari Tandas Sedunia 2015 Ke-4 di Dewan Bandaran Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sini, 10 Disember lalu.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dr. Afif Bahardin (Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan merangkap ADUN Seberang Jaya), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti merangkap ADUN Bagan Jermal), Dato' Maktar Shapee (Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang merangkap ADUN Sungai Bakap) dan Dato' Maimunah Mohd. Sharif (Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, MPSP) turut hadir pada majlis tersebut.

Sebelum itu, Kon Yeow memberitahu Pulau Pinang mungkin merupakan satu-satunya negeri yang konsistan menyambut sambutan Hari Tandas Sedunia tiap-tiap tahun, sebagaimana disyorkan oleh World Toilet Organization (WTO) pada tanggal 19 November.

"Kita (Kerajaan Negeri) mahu mewujudkan Pulau Pinang Bersih, Hijau, Selamat dan Sihat, dengan 'Tandas Bersih, Rakyat Selesa dan Pulau Pinang Sejahtera' dikekalkan sebagai tema (peringkat) negeri.

"Itulah sebabnya Kerajaan Negeri Pulau Pinang masih meneruskan sambutan Hari Tandas Sedunia serta mengadakan beberapa kategori pertandingan tandas terbersih sehingga sekarang," jelas Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota.

BARISAN johan semua kategori Pertandingan Tandas Bersih 2015 Peringkat Negeri Pulau Pinang turut merakamkan gambar bersama, selepas acara penyampaian hadiah penghargaan di sini baru-baru ini.
Justeru, Guan Eng dan Kon Yeow masing-masing merakamkan penghargaan kepada Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang, Jabatan Pelajaran Negeri Pulau Pinang dan Quality Restroom Association of Malaysia (Q-RAM) Pulau Pinang kerana banyak membantu Kerajaan Negeri dalam menjayakan kempen serta pertandingan tandas bersih peringkat negeri.

Pertandingan kali ini menyaksikan tandas awam Kompleks Makanan Taman Sentosa dipilih sebagai johan kategori Pihak Berkuasa Tempatan, Petron ISM Retail (johan kategori stesen minyak), A Tu Z Wedding House Sdn. Bhd. (johan kategori Kedai Makan), Vino Nino Bistro (johan kategori restoran), Gurney Plaza (johan kategori pasar raya), S.M.K. Convent Bukit Mertajam (johan kategori sekolah menengah), Sekolah Kebangsaan Bertam Perdana (johan kategori sekolah rendah) dan Lembaga Muzium Negeri Pulau Pinang (kategori Jabatan Kerajaan).

Hari Tandas Sedunia kembali diraikan di negeri ini pada tahun 2012.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus