20 January 2016

12 penguatkuasa MBPP terima ancaman semasa bertugas dibela

PENGUATKUASA MBPP saling berinteraksi dengan pengarahnya Shalehuddin Hahsim (bertali leher), selepas sidang media di sini, tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - 12 pengautkuasa Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) yang menghadapi ancaman semasa menjalankan tugas masing-masing dalam dua kejadian baru-baru ini, akan terus dibela serta dipertahankan oleh Kerajaan Negeri.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian, sambil menyampaikan peruntukannya sebanyak RM200 kepada tiap-tiap mereka yang terbabit sebagai insentif.

"Kerajaan Negeri akan mempertahankan dan membela mana-mana pegawai atau anggota Kerajaan Negeri, baik MBPP atau MPSP (Majlis Perbandaran Seberang Perai), sekiranya mereka menjalankan tugas mengikut SOP (Tatacara Pengendalian Piawaian) dan undang-undang," jelas Guan Eng di sini tengah hari tadi.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) dan Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut sertai sidang media itu.

Hadir sama, Datuk Bandar MBPP, Dato' Patahiyah Ismail serta dua Ahli Majlis lain, Ahmad Azrizal Tahir dan Joseph Ng Soon Siang.

Dalam kejadian di Padang Kota, seorang peniaga tanpa lesen bertindak mengacu suatu alatan tajam kepada pengautkuasa yang menjalankan tugas di sini.

Penguatkuasa terbabit, Mohd. Azizan Md. Desa, Ahmad Shahar Sal Hamid, Daud Ahmad, Anuar Faizal Che Amil, Hizwan Hanafi, S. Kartikgeyan, Mohamad Azri Mohamood, Mohd. Khaironizam Ramli dan Suvitri Mohd. Kusin.

Manakala, tiga penguatkuasa lain, Muhamad Hilmi Mohd. Ismail, Muhamad Aiman Jamaluddin dan Muhamad Kamil Md. Zahari pun berdepan ancaman daripada seorang pemandu teksi yang enggan mengalihkan kenderaannya daripada mengganggu trafik jalan, dalam suatu kejadian lain di Persiaran Gurney.

Sementara itu, dua penguatkuasa terbabit yang ditemui kemudian turut berkongsi pengalaman semasa berdepan dengan ancaman di tempat kejadian.

"Kita pun nak jaga keselamatan kita, dan peniaga terbabit pun mungkin dalam situasi marah, maka berlakulah pergelutan, termasuk mengacu senjata tajam.

"Apabila kita berjaya mengawal situasi itu, alatan perniagaan tanpa lesen tersebut disita, dan kita buat aduan polis mengenai peniaga terbabit," jelas penguatkuasa MBPP terbabit yang enggan identitinya diketahui umum.

Seorang lagi penguatkuasa memberitahu bahawa mereka masing-masing didedah dengan teknik mempertahan diri peringkat asas semasa menjalankan tugas sahaja.

"Latihan mempertahan diri dalam proses untuk dibuat lebih kerap, itupun berdasarkan undang-undang sama ada boleh atau tidak," respons beliau.

Manakala, Ahli Majlis MBPP, Ahmad Azrizal bin Tahir pula menjelaskan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan sejak beberapa tahun lalu berusaha memohon penubuhan pasukan polis bantuan, namun, masih belum diluluskan.

"Sejak dua tahun lalu, diminta, tetapi tak dapat (kelulusan).

"Majlis Perbandaran Seberang Perai dapat (kebenaran menubuhkan pasukan polis bantuan), PBAPP (Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang) dapat, tetapi MBPP masih belum dapat (kelulusan permohonan) lagi," respons beliau.

Kerajaan Pulau Pinang serah tanah 5,000 kaki persegi di Batu Maung untuk bina kuil

KETUA Menteri (dua dari kiri) menyaksikan Abdul Malik Abul Kassim (tiga dari kiri)menyerahkan surat kelulusan berwajib kepada P. Ramasamy (paling kiri), sambil diiringi oleh wakil Lembaga Wkaf Hindu Pulau Pinang di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kerajaan Negeri meluluskan sebidang tanah berkeluasan 5,000 kaki persegi di Batu Maung untuk memajukan sebuah kuil baharu.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang akan berurusan dengan persatuan yang memohon tanah tersebut sebelum ini.

"Kelulusan tanah ini adalah atas usaha Dato' Abdul Malik sebagai ADUN Batu Maung," jelas Guan Eng yang juga Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam di sini, tengah hari tadi.

Sementara itu, Abdul Malik memberitahu, sebelum projek perumahan mewah Southbay dimajukan, terdapat sebuah kuil di sana.

Tambah Abdul Malik, pihaknya diminta memanjangkan hasrat sebuah persatuan komuniti penganut Hindu.

"Menghadapi tekanan pembangunan di kawasan itu, tuan tanah yang sedia ada ini membangunkan tanah itu (Southbay) dan pihak jawatankuasa telah memohon sekeping tanah daripada saya selaku ADUN," jelas Abdul Malik.

Pada sidang media sama, Timbalan Ketua Menteri II merangkap Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, Prof. P. Ramasamy merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri atas pemberian tanah tapak kuil baharu itu.

DAP tak sokong TPPA, Guan Eng kesal dengan tindakan PSM

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng melahirkan rasa kesal apabila pendirian parti masa depan itu untuk tidak menyokong Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA), masih menerima serangan daripada Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Nasihatnya, PSM yang berada dalam "blok parti pembangkang" sepatutnya tidak mengambil langkah menyerang DAP, sebagaimana dilakukan oleh Parti Islam Se-Malaysia (PAS) dan NGO Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) belakangan ini.

"Sekali lagi saya ingin menegaskan di sini bahawa DAP telah membuat keputusan untuk tidak menyokong TPPA...saya kesal dengan Arul dan PSM.

"Takkan kerana PERKASA dan PAS saling bekerjasama menyerang DAP, maka, mereka (PSM) pun nak jadi pak turut dengan menyerang DAP," respons Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang di Komtar di sini, tengah hari tadi.

Guan Eng bagaimanapun enggan melayan gesaan Pengerusi Umno Pulau Pinang meragkap Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Pulau Pinang (MTPNG), Datuk Seri Zainal Abidin Osman yang turut menuntut Kerajaan Negeri supaya menyatakan pendirian mengenai perjanjian TPPA tersebut.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung PSM, S. Arutchelvan dilaporkan menggesa DAP serta Kerajaan Pulau Pinang supaya menyatakan pendirian yang jelas berhubung TPPA, yang sedang diusahakan oleh Kerajaan Umno BN Pusat.

Zainal Abidin pula pada Isnin lalu dilaporkan turut membuat gesaan berasingan, susulan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mustapa Mohamed, sebagai wakil kerajaan persekutuan baru-baru ini telah ke Pulau Pinang untuk menjelaskan bahawa TPPA akan memberikan faedah yang lebih kepada rakyat Malaysia berbanding cabaran.  

Pulau Pinang bincang isu trafik sempena dua perayaan, bukan teroris IS, respons Guan Eng

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Mesyuarat membabitkan polis di Komtar yang menempatkan pejabat pentadbiran Kerajaan Pulau Pinang semalam langsung tidak membincangkan mengenai anasir keganasan Negara Islam (IS) di negeri ini.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, itu hanya mesyuarat rutin bulanan Majlis Keselamatan Negeri.

"KPN (Ketua Polis Negeri, Dato' Wira Abdul Rahim Hanafi) telahpun memberi jaminan bahawa keadaan keselamatan di Pulau Pinang adalah terkawal.

"Tumpuan mesyuarat adalah isu (pengurusan) trafik sempena sambutan Tahun Baru Cina (8 dan 9 Februari) serta Thaipusam (24 Januari)," jelas Guan Eng kepada pemberita di sini, tengah hari tadi.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II) dan Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna) turut sertai sidang media itu.

Isu teroris kembali menjadi perhatian khalayak di tanah air ini, susulan serangan bom berani mati di Jakarta, Indonesia pada 14 Januari lalu.

Sepatutnya TMP 'tanggungjawab' Pusat, kata ADUN Batu Maung

WAKIL PDP, Azmi Mohamad memberi penerangan lanjut mengenai gambaran sebenar rancangan tambakan laut di Batu Maung, pada majlis interaksi dua hala dengan JKKK setempat di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAYAN LEPAS - Penarafan jalan serta pemajuan rumah mampu milik sebenarnya di bawah tanggungjawab Kerajaan Pusat jika berdasarkan Senarai Persekutuan dalam Perlembagaan, tetapi Kerajaan Negeri hari ini terpaksa melaksanakan Pelan Induk Pengangkutan (TMP) demi menangani masalah kesesakan trafik pada masa depan di Pulau Pinang.

ABDUL Malik Abul Kassim
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung, Dato' Abdul Malik Abul Kassim berkata demikain pada Majlis Penerangan Awam Mengenai TMP Kepada Jawatankuasa Kemajuan & Keselamatan Komuniti (JKKK) berwajib baru-baru ini.

"Pemajuan perumahan dan pembinaan sistem jalan raya sebenarnya adalah tanggungjawab Kerajaan Pusat, dan pada tahun 2008, 2009 dan 2010, kita (Kerajaan Negeri) telah berusaha untuk memasukkan projek-projek ini dalam Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10) dan RMK-11.

"Kita (Kerajaan Negeri) telah berkali-kali meminta Kerajaan Pusat membina dan melebarkan jalan raya serta mewujudkan sistem bas aliran cepat (BRT) dan sebagainya, tetapi, malangnya Kerajaan Pusat tidak memberikan keutamaan kepada Pulau Pinang," jelas Abdul Malik yang juga Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di Kompleks Tabung Haji di sini.

Penerangan lanjut mengenai TMP yang bernilai kira-kira RM27 bilion itu disampaikan oleh Azmi Mohamad, iaitu wakil komunikasi korporat bagi Konsortium SRS, iaitu rakan pelaksana projek (PDP) yang dilantik oleh Kerajaan Negeri pada 23 Oktober tahun lalu.

"Ia adalah sebuah pulau, bukan tebus guna yang rapat dengan pantai sedia ada.

"Jarak antara pantai dan pulau (kawasan yang ditebus guna) antara 200 (meter) hingga 300 meter.

"Maksudnya, penduduk yang terlibat dan jeti atau kawasan tambatan sampan itu tidak akan terlibat dan diganggu oleh cadangan projek tebus guna ini.

"Kalau dengan (tebus guna di) 'Pulau A' dan 'Pulau B' (serta 'Pulau C') ini, cukup untuk kita biaya TMP ini," jelas beliau lagi.

Beliau memberitahu akan ada enam laluan masuk ke kedua-dua kawasan tambakan itu.

DUA kawasan yang diwarnakan kuning itu adalah lokasi sebenar tapak cadangan tebus guna laut, jelas Azmi Mohamad. 

Pada sidang media selepas itu, Abdul Malik memberitahu usaha mengadakan rundingan awam, termasuk dengan JKKK serta nelayan-nelayan yang terbabit akan dilaksanakan, sungguhpun ura-ura akan dipulau oleh segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

9 Disember lalu, Abdul Malik mengadakan rundingan awam dengan kira-kira 120 nelayan di sekitar Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Batu Maung.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus mengadakan rundingan awam dengan nelayan-nelayan pantai, termasuk dari Permatang Damar Laut, sehinggalah PDP mendapat kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Terperinci Impak Alam (DEIA) serta kelulusan berwajib yang lain daripada agensi Persekutuan, bagi memulakan kerja-kerja penambakan di kawasan tersebut.

TMP merupakan projek pemajuan sistem trafik bersepadu yang meliputi pembinaan beberapa batang lebuh raya, termasuk dari Pulau ke Seberang Perai.

Pelan itu turut terdiri oleh pemajuan satu jajaran transit aliran ringan (LRT) serta dua monorail di bahagian Pulau, serta satu LRT lain merentasi laut ke tanah besar Seberang Perai.

Selain itu, satu lagi jajaran monoral lain serta BRT turut akan diwujudkan di Seberang Perai.

Manakala, hasil tambakan laut tersebut untuk membiayai kos pemajuan TMP akan memastikan Kerajaan Negeri dan rakyat memilik kepentingan serta aset pengangkutan awam tersebut, bukannya pihak swasta.

MPSP harap 'tipping fee' 2016 kian kurang, kata Maimunah

PARA penerima Anugerah Komuniti Mampan 2015 memegang cek replika serta sijil pengiktirafan yang diberikan oleh MPSP di sini, semalam.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SEBERANG JAYA - Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) berharap amalan pengasingan sisa di punca yang akan dikuatkuasakan mulai 1 Jun depan kian mengurangkan lagi tipping fee atau caj yang dikenakan atas kuantiti tertentu sisa yang diterima di tapak pelupusan sampah Pulau Burung, pada tahun ini.

Yang di-Pertuanya, Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, sisa pepejal yang dikumpulkan di tapak pelupusan sampah tersebut pada tahun lepas sahaja seberat 440,460 sisa pepajal, dengan RM8.89 juta tipping fee dikeluarkan oleh MPSP.

"Ini baru kos tipping fee sahaja, belum masuk lagi kos minyak, kos penyelenggaraan kenderaan dan gaji kepada pekerja-pekerja awam yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan.

"Penjimatan sumber boleh berlipat kali ganda lagi sekiranya kita (warga Seberang Perai) mampu mengurangkan lagi pengasingan sisa di punca," jelas Maimunah pada Majlis Penyampaian Hadiah Anugerah Komuniti Mampan 2015 di Kompleks Ibupejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini, semalam.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow merasmikan program tersebut.

Menurut Maimunah lagi, jika amalan pengasingan sisa di punca berjaya sekaligus mampu memanjangkan jangka hayat pusat pelupusan sampah tersebut.

"Tahun pertama pelancaran (Anugerah Komuniti Mampan) pada 2013, disertai 10 pertubuhan komuniti sahaja, tetapi, 14 penyertaan pada tahun 2014 dan 18 penyertaan pada tahun 2015," jelas Maimunah.

Selain program Anugerah Komuniti Mampan, Maimunah memberitahu lebih 20 jenis program kitar semula dilaksanakan oleh MPSP sepanjang tahun lalu.

Antaranya, Anugerah Sokolah Hijau, Anugerah Kitar Semula Sekolah Tadika, Anugerah Sekolah Bestari, Majlis Penyerahan Pasuka Bunga Kepada Sekolah-Sekolah, bengkel kompos, Kempen Makan Sampai Habis, kebun kejiranan, aktiviti mengumpulkan kotak minuman, menghasilkan sabun daripada minyak masak terpakai dan sebagainya.

Kon Yeow dalam ucapannya pula merakamkan tahniah atas kejayaan MPSP melancarkan program kitar semula pada kadar 39 peratus, dikatakan rekod tertinggi berbanding Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di tanah air ini.

"Saya berasa peranan komuniti adalah amat penting bagi membantu kita (Kerajaan Negeri dan PBT) memastikan Pulau Pinang terus dilihat bersih, hijau selamat dan sihat.

"Tahniah kepada MPSP atas pencapaian ini," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Perbadanan Pengurusan Taman Pandan dipilih sebagai Johan Anugerah Komuniti Mampan 2015, dengan membawa pulang sijil pengiktirafan serta insentif RM3,000.

Kawasan Rukun Tetangga Taman Keenways di tempat kedua anugerah itu serta menerima insentif RM2,500, dan Persatuan Pemilik & Penghuni Taman Tambut Indah di tempat ketiga dengan menerima insentif RM2,000.

Koperasi Lestari Alam Sekitar Seberang Perai Berhad pula dipilih menerima anugerah inovasi khas serta turut menerima insentif RM700, pada majlis penyampaian anugerah tersebut.

Anugerah Komuniti Mampan dianjurkan tiap-tiap tahun demi memberi pengiktirafan kepada inisiatif-inisiatif yang dijalankan oleh pertubuhan komuniti dalam menjaga kualiti alam sekitar di ketiga-tiga daerah di Seberang Perai.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus