02 February 2016

Bukan sahaja zodiak Kambing, Guan Eng harap Pulau Pinang pun paling bertuah sempena Tahun Monyet Api

KETUA Menteri merakamkan gambar dengan pemimpin negeri lain, pada majlis sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Kepala Batas di sini, malam tadi.
Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

BERTAM - Menjelang sambutan Tahun Monyet Api pada 8 Februari ini diharap bukan sahaja membawa tuah terbanyak kepada mereka yang lahir dalam tahun zodiak Kambing, bahkan secara umum untuk Kerajaan Pulau Pinang dan semua rakyat di negeri ini. 

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata demikian pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina Peringkat Parlimen Kepala Batas di perkarangan Jalan 1 Kepala Batas, malam ini.

"Kita hadapi banyak cabaran kerana ekonomi negara dan kehidupan rakyat yang semakin teruk, tetapi, yang paling penting, siapa boleh selamatkan ekonomi negara kelak, rakyat tidak susah lagi sekarang.

"Apabila Kerajaan Pakatan Harapan Negeri Pulau Pinang bersih dan cekap urus ekonomi, rakyat akan senang dan tidak perlu dibebankan dengan pelbagai cukai untuk menyelamatkan kewangan Kerajaan Pusat yang (dikatakan hampir) bankrap.

"Pada malam ini,  saya sangat gembira melihat semua kaum dan (penganut) semua agama di bawah bendera Kerajaan Negeri...diharapkan, apabila semua rakyat bersatu, ekonomi negara boleh diselamatkan," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

LIM Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan turut mempertikai beberapa perkara yang diumumkan dalam pengubahsuaian Bajet 2016 Kerajaan Pusat.
Mengulas mengenai pengubahsuaian Bajet 2016 oleh pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, Guan ENG berkata, sepatutnya kadar levi untuk buruh asing tidak wajar dinaikkan sekali ganda, terutama  semasa ekonomi negara kian teruk kini.

Tambahnya, Kerajaan Persekutuan sepatutnya tidak meneruskan pelaksanaan 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta pemotongan 3 peratus caruman Kumpunan Simpanan Wang Pekerja (KWSP), melalui pengubahsuaian Bajet 2016 tersebut.

Ini kerana katanya, Kerajaan Pusat didakwa mengutip pelbagai cukai untuk menampung ketirisan kewangan negara, hatta membebankan rakyat terbanyak.

Sejurus selesai memberi ucapan, Guan Eng turut menyampaikan hamper kepada sekumpulan warga emas terpilih, serta 'angpau' Tahun Baru Cina kepada kanak-kanak di sini.

Sebelum itu, Penyelaras Khas Parlimen Kepala Batas, Lay Hock Peng merakamkan penghargaan kepada semua anggota Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti serta beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) kerana saling berganding tenaga menganjurkan majlis jamuan malam tersebut.

Turut berucap, Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hin Wai dan Ahli Majlis bagi Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Mohamad Shaipol Ismail. 

Hadir sama beberapa Ahli Majlis MPSP lain serta para Pegawai Penyelaras KADUN (PPK).

Kumpunan Sugar Baby Doll dan Naib Juara Idola Kecil TV9 (2012), "Adik Darling" atau nama sebenarnya Wan Azlyn Mohamad Shah antara artis yang menyampaikan lagu kebudayaan dalam bahasa Tionghua, di depan lebih 500 orang di sini.

ADIK Darling" atau nama sebenarnya Wan Azlyn Mohamad Shah mendendangkan lagu kebudayaan Cina. 



Difahamkan, terdapat 12 zodiak antaranya Tahun Tikus, Lembu, Harimau, Arnab ataupun Naga, masing-masing dianggap lambang pada sifat dan personaliti berbeza mengikut kitaran tahun.

Pun begitu, Tahun Monyet Api yang akan disambut tidak lama lagi, menurut ramalan pakar Feng Syui, mereka yang dilahirkan pada tahun Kambing merupakan zodiak yang paling bertuah.

Belajar akupunktur demi rawat ibu, kata pengasas D'Lynn Terapi Sunnah Kepala Batas

FADZLINA Hassan (tengah) saling bertukar pendapat mengenai proses EKS dengan dua pelanggan setianya di D'Lynn Terapi Sunnah berhampiran Kompleks Dato' Kailan, Kepala Batas baru-baru ini. Info lanjut,  hubungi 0182246369

ZAMAN ekonomi tanah air yang kian mencabar belakangan ini, sedikit banyaknya dikatakan memberi kesan berantai kepada semua pihak, termasuk ahli perniagaan kecil dan sederhana (EKS) di Pulau Pinang.

Lynn atau nama sebenarnya Fadzlina Hassan, 34, pengasas spa kecantikan dan pusat rawatan D'Lynn Terapi Sunnah bagaimanapun mengaku bahawa perniagaan yang diceburinya sejak empat tahun lalu kian berkembang.

"Pada era ekonomi yang serba mencabar seperti sekarang ini, ada empat bidang bisnes yang masih diperlukan, iaitu perkhidmatan, perubatan, pendidikan dan makanan.

"Macam diketahui umum, D'Lynn Terapi Sunnah ini berdiri dalam dua bidang, iaitu perkhidmatan dan secara tak langsung dalam perubatan juga.

"Kreativiti dalam perniagaan memang menjanjikan pulangan yang memuaskan," kata Lynn semasa diwawancara oleh fotojurnalis ZAINULFAQAR YAACOB di D'Lynn Terapi Sunnah dekat Kompleks Dato' Kailan, Kepala Batas baru-baru ini.

Lynn, merupakan ibu tunggal kepada tiga cahaya mata yang masih kecil.

Di spa, beliau dibantu oleh adik kandungnya dan beberapa pekerja sambilan.

"Selalunya pelanggan akan membuat temu janji dahulu, kerana pada hari Jumaat, Sabtu, Ahad dan hari cuti umum memang 'sesak'.

"Kalau datang terus, nasib ada 'kosong', dapatlah mendapat perkhidmatan di sini," jelas beliau.

Menurut Lynn, pelbagai perkhidmatan rawatan alternatif ditawarkan di D'Lynn Terapi Sunnah.

Antaranya, bekam, akupanktur, kiropraktik (perbetul tulang badan), refleksiologi, rawat resdung, urut badan, rawat kecantikan wanita dan sebagainya.

Hikmah ibu strok
Lynn memberitahu, beliau pernah bekerja makan gaji, menjadi agen insurans serta pernah membuka butik kecantikan, sebelum memberi tumpuan sepenuh masa menubuhkan D'Lynn Terapi Sunnah.

"Semasa mak kena lumpuh itu, kami sekeluarga pun terkapai-kapai mencari rawatan...kadang-kadang (bermusafir) jauh dan saya terpaksa berhenti kerja (makan gaji).

"Selepas itu, saya belajar akupunktur untuk rawatan strok, kencing manis dan darah tinggi.

"Apabila dibuat akupunktur tiga kali kepada mak, beliau sudah boleh berjalan, tetapi tidak stabil sebab lumpuh sebelum itu.

"Selepas mak dah sembuh, kenapa tidak saya kongsi (perkhidmatan rawatan) dengan orang yang memerlukan rawatan akupunktur ini," kata Lynn..

Kata Lynn, D'Lynn Terapi Sunnah kini menerima pelanggan lebih 300 orang.

"Tiap-tiap ujian yang Allah anugerahkan, ada hikmahnya.

"Kalau usia D'Lynn Terapi Sunnah ini pun empat tahun, ertinya emak saya pulih dari lumpuh lebih empat tahun lah," jelas Lynn.

Kreadiviti, modal kecil
Percaya tidak percaya, D'Lynn Terapi Sunnah ditubuhkan dengan bekalan modal sekecil RM1,000 sahaja, itupun untuk membeli aksesori rawatan semata-mata.

Selebihnya, menurut Lynn, mereka yang berminat dengan bisnes seperti D'Lynn Terapi Sunnah perlu ketekunan dalam meningkatkan kemahiran serta mutu pelanggan.

"Saya tidak belajar secara keseluruhan, tetapi satu siri ke satu siri yang lain.

"Mula-mula belajar memang untuk rawat lumpuh emak sahaja, jadi saya pilih siri rawatan untuk rawat sakit emak sahaja.

"Macam saya yang tidak mempunyai modal yang banyak, kemahiran akupunktur ini merupakan modal perniagaan paling asas untuk dikembangkan.

"Saya mula bisnes dengan modal serendah RM1,000 sahaja, tetapi Alhamdulillah kita boleh melihat hasilnya seperti yang ada pada hari ini....untuk peralatan sahaja.

"Apabila kita rawat seorang pesakit, dan beliau pulih, beliau pasti akan menjadi pelanggan setia dan akan membawa pelanggan baru yang lain," kata Lynn lagi.

Cabaran
Lynn secara peribadi mengaku beliau masih sebagai 'pendatang baru' sungguhpun telah lebih empat tahun mempunyai bisnes spa kecantikan dan rawatan alternatif.

Justeru, beliau senantiasa membina kepercayaan kepada semua pelanggan yang pernah bertandang ke D'Lynn Terapi Sunnah.

Katanya, membina kepercayaan adalah cabaran yang paling penting untuk dirinya untuk terus berdiri dalam bidang bisnes perkhidmatan.

"Antara cabarannya adalah untuk mendapat kepercayaan daripada pelanggan yang hadir, kalau berjaya, ertinya akan dapat pelanggan setia.

"Sebagai pendatang baru dalam dunia rawatan akupanktur, saya bukan ada nama dalam perniagaan ini.

"Nak membina kepercayaan ini memang mencabar, bukan mudah untuk pelanggan 'menyerah diri' untuk dirawat oleh kita," jelas Lynn lagi.

Kepuasan
"Macam-macam bisnes telah saya buat, tetapi inilah 'tapak' yang memberi pulangan yang baik," seloroh Lynn.

Katanya, permintaan di D'Lynn agak menggalakkan, khususnya dalam mood mobile ke luar Pulau Pinang, dan beliau sendiri sedang melatih beberapa lagi perawat untuk mengembangkan bisnes pada masa depan.

Kini, Lynn memberitahu bahawa beliau puas dengan bisnes yang diceburinya, kerana dapat membantu pihak berwajib yang lain.

"Merawat orang ini suatu kepuasan kepada saya, selama ini saya sendiri tercari-cari, apakah amalan yang boleh memberi kepuasan kepada saya.

"Apabila pelanggan yang dirawat menunjukkan perubahan (kian sembuh), itu paling memberi kepuasan.

"Kesihatan ini menang tidak boleh ditukar ganti dengan wang ringgit, sebab itu, saya sendiri sanggup berikhtiar semampu mungkin untuk rawat mak dahulu," jelas Lynn.

Guan Eng anggap kenyataan AG Switzerland kes skandal AS$4 bilion 'ada asas'

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kecurian AS$4 bilion daripada syarikat milik Kerajaan Malaysia yang didedah oleh Peguam Negara (AG) Switzerland, Micheal Lauber menerusi media baru-baru ini dianggap menarik perhatian rakyat di negara ini, sebagaimana skandal kewangan berkaitan syarikat 1Malaysia Developmen Berhad (1MDB) sebelum ini.

Mengulas mengenai perkara itu, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata pendedahan Micheal Lauber itu seakan 'ada asas' tersendiri.

“Saya rasa ini amat membimbangkan kerana ia datang daripada peguam negara Switzerland, dikenali sebagai negara yang bebas dan berpandukan kepada kedaulatan undang-undang, yang tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tanpa mengira kedudukan, sekiranya berlaku sebarang salah laku atau penyelewengan.

“Sekiranya Peguam Negara (Micheal Lauber) di sana boleh mengeluarkan kenyataan secara umum, ini bermakna memang ada asas tentang siasatan, bahawa ada salah saku dan penyelewengan yang amat serius sekali, sampai melibatkan penyelewengan sebanyak AS$4 bilion, ini bukan (matawang negara) Ringgit.

“Sekarang, rakyat Malaysia lali dengan skandal berbilion...mesti berbilion baru tarik perhatian,” sindir Guan Eng menjawab soalan pemberita di sini, pagi tadi.

Terdahulu, pendakwa raya Switzerland dalam satu kenyataan media berkata, akan meminta bantuan pihak berkuasa Malaysia berhubung siasatan kecurian besar-besaran daripada sebuah firma milik kerajaan yang ketika ini berdepan skandal rasuah.

Penyiasat Switzerland mempercayai kira-kira AS$4 bilion atau RM16.8 bilion dicuri daripada syarikat milik kerajaan Malaysia, dana yang diperuntukkan untuk tujuan ekonomi dan projek pembangunan di negara ini.


Mengulas lanjut mengenai perkara tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi dilaporkan melahirkan rasa kesal dengan langkah integriti Kerajaan Switzerland.

Tegasnya, sepatutnya hasrat itu diluahkan melalui Kerajaan dengan Kerajaan atau “G2G”, bukan melalui media massa.


Ahmad Zahid bagaimanapun berkata, Putrajaya akan menghantar Peguam Negara (Malaysia), Tan Sri Mohamed Apandi Ali bertemu Micheal Lauber, bagi mendapatkan butiran lanjut berkenaan permintaan mereka.

Susulan kenyataan pejabat peguam negara Switzerland itu, Mohamed Apandi sendiri berkata dilaporkan berkata, pihak berkuasa Malaysia termasuk Jabatan Peguam Negara komited bekerjasama dengan semua entiti penguatkuasaan undang-undang luar negara berkaitan, menerusi konvensyen dan perjanjian antarabangsa yang sah, berhubung siasatan mengenai 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya lagi, pejabat AG di Malaysia akan mengambil segala langkah perlu membuat susulan dan bekerjasama dengan rakan sejawatannya di negara berkenaan.

Sementara itu, 1MDB dalam satu kenyataan berasingan memberitahu, syarikat itu tidak dihubungi mana-mana pihak berkuasa undang-undang dari luar negara mengenai sebarang perkara yang mempunyai kaitan dengannya.

Laksana levi atas buruh asing, Guan Eng anggap Pusat 'gila duit'

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, kenaikan kadar levi untuk buruh asing mulai 1 Februari ini dijangka menyusahkan lagi rakyat, khususnya golongan peniaga berwajib.

Beliau berkata demikian semasa mengulas hasrat pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mahu melaksanakan levi tersebut atau sistem cukai khas berupa wang tunai yang akan dibayar kepada Kerajaan Pusat.

"Takkan kerana Kerajaan Pusat 'gila duit' untuk elak bankrap, semua dia nak naik, ada orang tertentu gila talak, ini macam gila naik harga barangan

"Macam mana dengan nasib pekerja-pekerja Malaysia (warganegara) yang ada, kerana ada perniagaan yang mengambil pekerja asing, dan ada ada mengambil pekerja Malaysia.

"Lebih kita risau lagi adalah lebih banyak perniagaan gulung tikar dan tutup kedai," tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan kepada pemberita di sini, pagi 2 Februari 2016.

Mengulas mengenai pengubahsuaian Bajet 2016 Kerajaan Pusat, Guan Eng menegaskan bahawa penyusunan semula kadar levi semasa ekonomi negara "sedang teruk" adalah tidak wajar, kerana lebih membebankan rakyat terbanyak.

“Kalau mereka nak buat (levi atas buruh asing), sepatutnya semasa ekonomi baik, bukan sekarang semasa ekonomi teruk," tegas Guan Eng

Katanya lagi, sepatutnya pengubahsuaian Bajet 2016 menghapuskan kadaran 6 peratus Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) serta tiada pemotongan 3 peratus pada caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

“Tak mahu potong GST 6 peratus, kurangkan pula 3 peratus caruman KWSP, tambahan lagi, kita lihat dia (Kerajaan Pusat) nak sekaligandakan levi pekerja asing.

“Janganlah susuhkan lagi rakyat...mengapa selepas rakyat bertambah susah, kamu tambah susah rakyat lagi," rayu Guan Eng ditujukan kepada pentadbiran Najib.

28 Januari lalu, Najib mengumumkan penyusunan semula sistem kadar levi untuk pekerja asing kepada 2 kategori saja.

Kategori pertama membabitkan sektor pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan, dengan tiap-tiap buruh asing akan dikenakan kadar levi baharu RM2,500.

Manakala, buruh asing dalam sektor ladang dan pertanian di bawah kategori ke-2, dengan kadar RM1,500 bagi setiap pekerja.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilaporkan berkata, Kerajaan Pusat akan mendapat pendapatan tambahan RM2.5 bilion, dari sumber levi untuk buruh asing.

Jelasnya lagi, menurut statistik kerajaan, terdapat kira-kira 2.135 juta pekerja asing yang berdaftar, kini.

Katanya, pekerja bertaraf warganegara dikecualikan daripada levi baharu ini.

Dengan persetujuan pemaju, Guan Eng dedah surat perjanjian konsesi tambak laut 60 ekar

(Dari kiri) LIM Guan Eng, Chow Kon Yeow, Jagdeep Singh Deo dan LIm Hock Seng mencermati jajaran-jajaran TMP pada peta Pulau Pinang, selepas sidang media di sini pada 16 Disember lalu.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, dua surat perjanjian konsesi projek tebus guna laut seluas 60 ekar yang diluluskan oleh Kerajaan Negeri hari ini akan didedah kepada orang awam, sebagai langkah integriti.

KETUA Menteri pada sidang media pagi tadi.
"Kami (Kerajaan Negeri) telah mendapat jawapan daripada dua lagi pemegang konsesi tambakan laut, iaitu Ideal Gim dan Ivory Tropicana, mereka bersetuju (untuk) mendedahkan surat perjanjian mereka," jelas Guan Eng sambil menunjukkan surat perjanjian konsesi berwajib kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Guan Eng bagaimanapun memberitahu, pemegang-pemegang surat perjanjian konsisi tambakan laut yang lain menolak permohonan Kerajaan Negeri untuk mendedahkan dokumen berwajib masing-masing kepada orang awam.

"Selepas mendapat pandangan daripada Penasihat Undang-Undang, maka, Kerajaan Negeri terpaksa akur kepada keputusan mereka, dan tidak mendedahkan surat perjanjian ini, kerana projek tambakan laut konsesi ini telah diputuskan (dimeterai) bukan oleh Kerajaan Negeri sekarang, tetapi oleh kerajaan lama (era Barisan Nasional).

"Kita (Kerajaan Pulau Pinang hari ini) memang tidak boleh buat apa-apa, tetapi, projek tambak laut yang diluluskan sekarang, tentu kita (Kerajaan Negeri) dedahkan," jelas Guan Eng yang juga Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam.

Menurut Guan Eng, Kerajaan Negeri hari ini meluluskan telah projek tebus guna tanah seluas 60 ekar sahaja.

Katanya, 35 ekar tambakan laut di Bayan Mutiara diluluskan kepada Ivory Tropicana, untuk kegunaan pembangunan bercampur.

25 ekar (24.79 ekar) lain di Bayan Bay, katanya lagi, diluluskan kepada Ideal Gim Venture, untuk kegunaan pembangunan bercampur juga.

Difahamkan, 2,100 unit perumahan seluas 11.79 ekar di Bayan Bay, dengan 11 ekar sebagai rizab Kerajaan Negeri dan 2 ekar lagi untuk kegunaan infrastruktur.

Bagi kelulusan itu, Kerajaan Negeri akan menerima satu kompleks sukan moden yang bertaraf antarabangsa untuk kegunaan awam.

Kompleks itu terdiri oleh Velodrome Semi Covered, trek basikal sepanjang 250 meter serta 3 unit gelanggang bola keranjang, gelanggang bola tampar, kolam renang berserta 'diving pool'.

Tidak cukup dengan itu, turut dibina untuk kegunaan awam adalah sebuah padang bola sepak di Persiaran Bayan Indah, petak “A” bersebelahan Lot 15739, Mukim 12, Daerah Barat Daya, Pulau Pinang.

Penjelasan Guan Eng itu sekaligus menjawab dolak-dalih pembangkang Pulau Pinang, yang mencabar Kerajaan Negeri hari ini supaya mendedahkan semua perjanjian konsesi projek tebus guna tanah, termasuk yang diluluskan sebelum tahun 2008.

Guan Eng menegaskan, langkah mendedahkan perjanjian konsesi tanpa persetujuan berwajib mampu mengakibatkan Kerajaan Negeri berdepan dengan risiko saman mencecah angka bilion ringgit.

Sebelum tahun 2008, Kerajaan Pulau Pinang yang masih dikuasai oleh Barisan Nasional meluluskan kira-kira 3,241 ekar projek tebus guna tanah.

Itu, termasuk 940 ekar tanah di Tanjong Tokong yang diluluskan kepada satu pihak pada tahun 1999, dengan harga serendah RM1 untuk sekaki persegi.

Hormati protokal Istana, tegas Guan Eng berhubung krisis MB Kedah

KETUA Menteri pagi tadi menegaskan kepada pemberita di sini supaya tidak membuat spekulasi, serta menghormati protokol Istana yang membabitkan anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Protokol Istana Kedah dalam menjernihkan krisis jawatan Menteri Besar sekarang ini wajar dihormati oleh semua pihak, tegas Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hari ini.

Justeru, beliau yang juga Setiausaha Agung DAP enggan membuat andaian lanjut ketika diminta menjelaskan pendirian parti berhubung isu berbangkit tersebut.

"Marilah bersama-sama kita menghormati Istana Kedah dalam melaksanakan protokolnya.

"Tidak matang untuk mana-mana pihak melakukan spekulasi apabila (Ahli-Ahli Jemaaah Pemangku Sultan Kedah) masih belum membuat sebarang keputusan," tegas Guan Eng kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Pada sidang media lalu, Guan Eng menegaskan bahawa jalan demokrasi terbaik dalam krisis itu adalah dirujuk pada DUN Kedah sendiri.

"Saya mengulangi pendirian parti DAP yang telahpun diumumkan pada minggu lepas, sekiranya kita nak hormati demokrasi, jalan keluar yang paling baik ialah untuk kembali kepada Dewan Undangan Negeri.

"Biar suatu usul tak percaya dibentangkan, dan biar (anggota) Dewan Undangan Negeri yang memutuskan," jelas Guan Eng yang juga ADUN Air Putih merangkap Ahli Parlimen Bagan.

Terdahulu, krisis dalaman Umno membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dengan bekas perdana menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dikatakan antara punca krisis Menteri Besar Kedah.

Memetik sumber akhbar Sinar Harian hari ini, seramai 19 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kedah tetap penderian untuk menolak anak Dr. Mahathir, Datuk Seri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar.

Timbalan Pengerusi Umno Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md. Hanapiah dilaporkan berkata, masing-masing berpendirian sedemikian selepas berjumla secara tertutup dengan Najib, yang juga Presiden Umno merangkap Pengerusi Barisan Nasional.

Memetik sumber portal berita "ProjekMMO" Malay Mail Online pula, 15 ADUN pembangkang turut dipanggil menemui anggota Jemaah Pemangku Sultan Kedah, dipercayai untuk mendapatkan maklum balas berhubung isu berbangkit tersebut.

Perkara itu, disahkan oleh ADUN Pengkalan Kundur, Datuk Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi, bekas pemimpin PAS Kedah yang kini menyertai AMANAH.

Sehingga kini, dilaporkan, Jemaah Pemangku Sultan Kedah masih belum membuat apa-apa pengumuman berhubung nama pengganti Mukhriz, sebagaimana didesak oleh pro Najib.

1,000 peserta dari 23 negara sahut cabaran PgITD di Balik Pulau 17 April

BEN Woon (paling kiri) dan Dr. Lim Seh Guan (dua dari kiri) serta anggota jawatankuasa PgITD lain merakamkan gambar bersama, selepas selesai sidang media bersama-sama Ketua Menteri dan Cong Eng di sini, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Lebih 1,000 peserta berdaftar, termasuk daripada 23 negara akan menyahut cabar serta merebut kejuaraan dalam Penang International Triathlon & Duathlon (PgITD) edisi ke-empat pada 17 April Teluk Bahang, Balik Pulau.

Pengerusi penganjur PgITD, Ben Woon memberitahu peserta kategori Triathlon akan dilepaskan seawal jam 7.00 pagi untuk acara renang sejauh 1.5 kilometer di pantai Teluk Bahang, disusuli dengan kayuhan sejauh 40 kilometer, seterusnya 10 kilometer larian jarak jauh.

"Dalam PgITD ini agak unik kerana peserta akan berenang merentasi laut sejarak 750 kilometer sebanyak dua kali di antara dua pantai," jelas beliau kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng dan Chong Eng (Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat).

Manakala peserta Duathlon pula, menurut Ben Woon, akan dilepaskan serentak dengan peserta triathlon dari Empangan Teluk Bahang untuk 7 kilometer larian jarak jauh dan kayuhan sejauh 40 kilometer sahaja.

"Untuk pusingan kedua, kedua-dua (kategori) triathlon dan duathlon adalah sama...kayuhan sejauh 40 kilometer dari Empangan Teluk Bahang ke Balik Pulau.

"Laluan ini mencabar kerana mereka perlu mendaki bukit Balik Pulau.

"Pusingan ketiga bagi kedua-dua acara juga adalah sama...mereka perlu berlari sejauh 10 kilometer terakhir di bukit dan bagi mereka yang mengambil masa lebih daripada 4 jam, terik matahari akan menambahkan lagi cabaran dalam saingan kali ini," jelasnya lagi.

Pada sidang media sama, Pengerusi G Club Cyclists, Dato' Dr. Lim Seh Guan melahirkan penghargaan kerana acara yang dianjurkan oleh kelabnya sekali lagi mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus