11 February 2016

Thaipusam 'tenteram' di Pulau Pinang, Guan Eng rakam penghargaan kepada polis

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Perayaan Thaipusam berhampiran Kuil Arulmigu Balathadayuthapani dekat Bukit Bendera lebih sehari baru-baru ini berlangsung dalam keadaan aman, sungguhpun ura-ura menerima ancaman pengganas sebelum itu.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) kerana berjaya mewujudkan ketenteraman awam serta mengawal trafik sepanjang musim perayaan di sini.

"Semasa Thaipusam diadakan, ada ura-ura yang menyatakan bahawa kumpulan ektremis ISIS (Negara Islam Iraq dan Syiria) akan buat kacau.

"Sungguhpun ia (ancaman teroris) tidak disebarkan dalam suray khabar, tetapi ini ada ura-ura, tetapi semua terkawal dengan kawalan dan pemantauan yang ketat daripada pihak polis.

"Saya bagi pihak Kerajaan Negeri ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Polis Negeri, Datuk Abdul Rahim Hanapi dan Timbalan Ketua Polis Negeri (Datuk A. Thaiveegan) kerana telah memastikan ia (perayaan Thaipusam) berjalan dengan lancar," jelas Guan Eng kepada pemberita di sini pagi tadi.

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam turut menyerahkan sumbangan RM200,000 kepada Pengerusi kuil berkenaan, R. Subramaniam.

Timbalan Ketua Menteri II merangkap Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang, Prof. P. Ramasamy turut sertai sidang media tersebut di sini, tengah hari tadi.

Perayaan Thaipusam di Pulau Pinang baru-baru ini menerima kira-kira 1.3 juta pengunjung, termasuk pelancong luar negeri dan antarabangsa.

BERITA LANJUT MENYUSUL KEMUDIAN.

Bulan lalu amuk di pejabat JPJ, pagi ini mati dengan enam das tembakan


GEORGE TOWN - Bulan lalu video lelaki yang mengamuk di Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) gara-gara nombor plat kenderaannya diklon jadi viral, manakala awal pagi ini lelaki berkenaan mati akibat enam das tembakan, lapor Otai Bersih di Facebook.

'Amin Beyond Carwash' yang juga seorang tauke restoran nasi kandar maut ditembak dari jarak dekat di Jalan Datuk Keramat, di sini, awal pagi tadi.

Dalam kejadian pada jam 3.30 pagi itu, Syed Amin Zainul Abidin, 46, yang memandu kereta Mercedes Benz dipercayai berhenti di depan sebuah kedai motosikal sebelum dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Pulau Pinang, Datuk Zakaria Ahmad, berkata seorang daripada suspek melepaskan tujuh das tembakan ke arah mangsa yang berada di tempat duduk pemandu.

Beliau berkata, empat das tembakan mengenai badan peniaga berkenaan dan satu das lagi mengenai bahagian kepala, menyebabkan mangsa meninggal dunia di lokasi.

Suspek juga, katanya, turut melepaskan satu das tembakan ke arah dua anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA), yang sedang bertugas mengawal premis perniagaan berdekatan, namun tersasar.

"Siasatan lanjut mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih dilakukan bagi mengenal pasti motif serangan," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian sebentar tadi.

Tutup penyertaan Anugerah Sekolah Hijau 31 Julai

MAIMUNAH (tengah) ditemani Luciano Oliveira (kanan) dan Teh Pang Eng (kiri), semasa melakukan gimik pelancaran Anugerah Sekolah Hijau 2016 di SMK Berapit baru-baru ini.

BERAPIT – Generasi masa depan diharap akan lebih cakna dengan isu-isu alam sekitar, melalui Anugerah Sekolah Hijau yang dianjurkan oleh Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) saban tahun.

Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif memberitahu, penganjuran anugerah kali ketujuh ini menerima tajaan sebanyak RM32,000 daripada Continental Automotive Components (Malaysia) Sdn. Bhd. (Continental).

“Program seumpama ini dapat mendidik generasi pelapis mencintai dan menghargai alam sekitar seperti yang termaktub dalam Pelan Tindakan Local Action 21 (LA 21) MPSP.

“Prinsip LA 21 adalah untuk melahirkan sebuah masyarakat yang sihat serta peka terhadap isu-isu alam sekitar untuk diseimbangkan dengan perkembangan ekonomi dan pembangunan sosial,” jelas beliau ketika merasmikan Program Anugerah Sekolah Hijau 2016 di Sekolah Menengah Kebangsaan Berapit baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Urusan Continental, Luciano Oliveira, Pengetua SMK Berapit, Teh Pang Eng serta guru-guru sekolah yang terlibat dengan program ini.

Maimunah turut merakamkan penghargaan kepada Continental selaku penganjur bersama dan penaja utama, sejak Anugerah Sokolah Hijau mula dijalankan pada tahun 2010.

Menurut Maimunah, anugerah tersebut antara lain demi merealisasikan amalan 4R, iaitu Rethink, Reduce, Reuse dan Recycle dalam kalangan generasi masa depan.

Atas tujuan itu, katanya lagi, MPSP akan memberi anugerah tersebut kepada sekolah yang layak, sebagai pengiktirafan pada usaha mengurangkan sisa buangan, penjimatan sumber. serta pemeliharaan dan pemuliharaan alam sekitar.

Menjawab soalan pemberita, Maimunah memberitahu, anugerah ini mendapat sambutan yang baik daripada sekolah-sekolah di Seberang Perai, sejak ia mula dijalankan.

“Saban tahun jumlah penyertaan sekolah sentiasa meningkat...dan saya harap untuk tahun ini, akan ada lebih banyak penyertaan baru,” katanya.

Tambah beliau, setiap sekolah yang menyertai anugerah ini akan dinilai berdasarkan lima kriteria, iaitu perancangan dan pengurusan, amalan sisa sifar, kebersihan dan penghijauan, program inovasi dan kreativiti serta penglibatan komuniti.

Tarikh tutup penyertaan adalah pada 31 Julai 2016 dan sebarang pertanyaan boleh hubungi talian 012-4779330 (Chew Eng Seng)/04-3819890 (Kim Tan) atau e-melkan ke eschew@mpsp.gov.my / kim.tan@continental-corporation.com.

Replika kelip-kelip promosi pelancongan Nibong Tebal, kata Guan Eng

STRUKTUR replika kelip-kelip (depan) dan sruktur replika kapal (belakang) yang siap dinaiktaraf di Bulatan Jalan Sungai Daun, Nibong Tebal.

NIBONG TEBAL – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap replika kelik-kelip yang siap dinaik taraf di Bulatan Sungai Daun akan menjadi mercu tanda bandar Nibong Tebal serta mampu menggamit pelancong serta peminat binatang kategori serangga itu ke negeri ini.

“Tambahan pula kedudukannya yang amat strategik di mana bulatan ini merupakan laluan utama kenderaan ke bandar Nibong Tebal dari Butterworth dan Kuala Lumpur.

“Kerja-kerja menaiktaraf ini seiring dengan dasar Kerajaan Negeri pada hari ini untuk meningkatkan promosi pelancongan di negeri ini selari dengan Tahun Melawat Pulau Pinang,” katanya pada Majlis Perasmian Projek CSR Bulatan Kelip-kelip dan Mercu Tanda Kapal Nibong Tebal di sini baru-baru ini.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada pemaju perumahan, Epic Valley Holdings Sdn. Bhd. kerana menyumbang sebanyak RM80,000 atas nama program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) untuk projek penarafan itu.

Difahamkan, projek penarafan tersebut adalah usahasama pihak korporat dengan sokongan Ahli Dewan Undanga Negeri (ADUN) Jawi, Soon Lip Chee dan Jabatan Kerja Raya (JKR) Negeri Pulau Pinang.

Sebelum itu, Maimunah memberitahu, sumbangan RM80,000 itu adalah terdiri oleh pembiayaan kos penyelenggaraan untuk mengindahkan semula kawasan lapang berkeluasan 4,745 meter persegi, yang berada di dalam rizab jalan selenggaraan JKR.

“Syarikat Epic Valley juga telah bersetuju untuk menyelenggara projek ini untuk tempoh tiga tahun...langkah ini amat dialu-alukan kerana sebelum ini mercu tanda yang dibina menjadi usang kerana tiada pihak yang mengambil tanggungjawab untuk menyelenggara struktur tersebut.

“Di sini saya juga ingin menyeru agar syarikat-syarikat korporat yang lain dapat mengikut jejak langkah Epic Valley dan tampil untuk menaja 32 buah lokasi yang telah dikenalpasti di bawah program CSR,” ujar Maimunah.

Selain Lip Chee, hadir sama antaranya Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalu Lintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow, Dato' Mansor Othman (Ahli Parlimen Nibong Tebal), Ir. Rozali Mohamud (Setiausaha Perbandaran MPSP) dan Tan Sri Dato' Paduka Prof. Dr. F'ng Ah Seng (Pengarah Urusan Epic Valley Holdings Sdn. Bhd.).

Difahamkan, struktur replika kelip-kelip yang dibina di sini adalah berdasarkan wujudnya eko sistem unggas itu di sekitar Tanjung Berembang, Seberang Perai Selatan.

Hock Seng lancar 'Kempen Selamat Tahun Baru Cina, Selamat Di Jalan Raya'

SEORANG kakitangan JKJR menunjukkan topi keledar mengikut piawaian ditetapkan (kiri) dan topi keledar yang tidak menepati piawaian yang dirampas dari penunggang motosikal di sini baru-baru ini.

PERAI – 30 unit topi keledar menepati piawaian serta 30 topi keledar kanak-kanak diedar kepada penunggang motosikal, sempena menyambut perayaan Tahun Baru Cina Peringkat di sini baru-baru ini.

Mewakili Kerajaan Negeri, Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Lim Hock Seng berharap inisiatif tersebut dapat menyemarakkan kesedaran di kalangan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati pada musim perayaan.

“Walaupun jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya semakin menurun saban tahun, namun angka kemalangan itu sendiri semakin tinggi.

“Perasmian kempen ini dijalankan untuk mnyedarkan semua pengguna jalan raya, terutamanya mereka yang pulang ke kampung (pada) musim perayaan ini, agar berwaspada dan sentiasa memandu dengan berhemah ketika berada di jalan raya,” ujar Hock Seng kepada pemberita baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Jermal berkenaan berkata demikian, selepas selesai mengedarkan helmet sempena Kempen Selamat Tahun Baru Cina, Selamat Di Jalan Raya Peringkat Negeri Pulau Pinang, di susur keluar jambatan pertama menghala ke Butterworth di sini.

Bercakap pada sidang media sama, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri Pulau Pinang, Mohd. Shoki Hamzah mendedahkan, statistik dari tahun 2012 sehingga tahun 2015 menunjukkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya menurun setiap tahun, iaitu 400 jumlah pada 2012 kematian berbanding 321 jumlah kematian (2015).

“Jumlah penurunan ini membuktikan kempen yang kita anjurkan sebelum ini berjaya dan mencapai matlamat.

“Walaupun begitu, kita akan tingkatkan lagi usaha dan kesedaran di kalangan pengguna jalan raya agar negeri ini dapat mencapai kematian sifar kelak,” katanya.

Pada majlis perasmian kempen itu, sebanyak 500 goodies bag, 50 unit ves keselamatan, 500 unit stiker pantulan cahaya dan 100 botol minyak pelincir tajaan Petronas Lubricant Marketing Malaysia turut diedarkan kepada pengguna jalan raya.

Selain itu, Hock Seng turut memberi 10 unit hamper perayaan kepada pengguna jalan raya bertuah, yang dipilih secara rawak.

Pinjaman mikro kredit PTSR di Pulau Pinang kini RM9.48 juta, 83.4 peratus Melayu

MOHD. Rashid Hasnon (lima dari kanan hadapan) bergambar kenangan bersama-sama 30 peminjam PTSR lain di Kompleks PDC baru-baru ini.

PANTAI JEREJAK – Sehingga kini Kerajaan Negeri melalui Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) telah mengeluarkan pinjaman mikro kredit sebanyak RM9.48 juta kepada 2,179 orang.

Menurut Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Melayu merupakan penerima pinjaman mikrokredit terbanyak, iaitu sebanyak 83.4 peratus.

"Kerajaan Negeri bersama PDC telah memberikan pinjaman kepada 2,179 orang usahawan seluruh negeri bersamaan 83.4 peratus Melayu, 8.4 peratus Cina dan 8.2 peratus India.

“Namun kita terkilan apabila masih terdapat 18 peratus peminjam masih gagal melunaskan bayaran balik. Jumlah ini keseluruhan bernila RM1.57 juta,” ujar Mohd. Rashid kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Jerejak berkenaan berkata demikian pada Majlis Penyampaian PTSR di Kompleks Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengurus Besar PDC, Datuk Rosli Jaafar dan Phan Gaik Cher (Ketua Pegawai Kewangan PDC).

MOHAMMAD Hafiz Afandi
Semasa ditemui kemudian, Muhammad Hafiz Afandi yang juga penerima pinjaman kali yang kedua mengaku bahawa PTSR banyak membantu beliau mengembangkan modal perniagaan kuih-muih.

Kata beliau lagi, kaedah pembayaran balik secara mingguan dengan pihak Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sendiri datang mengutip wang di premis perniagaan, diakui memudahkan urusannya.

“Ini merupakan kali kedua saya melakukan pijaman ini setelah merasakan pinjaman ini begitu mudah dan membantu, dengan syarat kita harus mendisiplinkan diri untuk membuat bayaran balik.

“Pinjaman kali kedua ini akan digunakan untuk membeli sebuah mesin membuat karipap dan membeli peti ais sejuk beku untuk kegunaan perniagaan saya,” ujar Muhammad Hafiz.

Difahamkan, kali pertama Muhammad Hafiz menerima pinjaman mikro kredit itu pada dua tahun lalu.

PTSR merupakan usahasama Kerajaan Negeri, PDC dan Universiti Sains Malaysia (USM) pada tahun 2009 dalam membantu usahawan kecil di negeri ini.

Pada Disember 2010, PDC telah mengambil alih PTSR sepenuhnya daripada pihak USM yang menguruskan pinjaman sebelum itu.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus