15 February 2016

Taja 105 tiket filem Ola Bola, Dr Afif tarik anak muda hayati muhibah kaum

DR. Afif Bahardin merakamkan gambar kenang-kenangan bersama anak muda, sebelum berlangsung tayangan filem Ola Bola di pawagam GSC dekat Sunway Carnival Mall, Seberang Jaya baru-baru ini.

SEBERANG JAYA - Tak sampai dua jam diiklankan di media sosial, habis 105 tiket filem Ola Bola yang ditaja oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya, Afif Bahardin.

Dr. Afif memberitahu, semangat muhibah pada zaman kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan Malaysia dahulu hingga berjaya memasuki Sukan Olimpik Moscow 1980 diharap mampu menghakis sentimen perkauman di kalangan generasi anak muda hari ini. 

"Pendekatan ini mungkin akan diteruskan lagi dimasa akan datang, memandangkan sambutan yang diterima adalah amat menggalakkan.

“Ini kerana, tidak sampai dua jam diiklankan di media sosial pendaftaran untuk tiket percuma telah penuh,” respons Dr. Afif kepada pemberita, sebelum tayangan filem tersebut di Sunway Carnival Mall di sini baru-baru ini. 

Ola Bola merupakan sebuah filem bertemakan sukan arahan Chiu Keng Guan dan dibintangi oleh JC Chee, Luqman Hafidz, Saran Kumar Manokaran, Marianne Tan, Katrina Ho, Bront Palarae, Taufiq Hanafi dan Frankie Lee. 

Filem ini merupakan filem tempatan dengan kutipan tertinggi bagi tahun 2016, direkodkan kira-kira RM12 juta.

Anak Malaysia di luar negara pun perlu biasiswa JPA, tegas Guan Eng

KETUA Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan ENg menasihatkan para pelajar supaya mengubah nasib masa depan keluarga dengan memburu kecemerlangan akademik di sekolah sekarang.

AIR PUTIH - Pengubahsuaian Bajet 2016 Kerajaan Pusat sepatutnya tidak mengurangkan jumlah biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) untuk anak Malaysia yang cemerlang, termasuk dari Pulau Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, sepatutnya biasiswa JPA perlu dinikmati oleh mereka yang melanjutkan pengajian diluar negara juga.

"Kerajaan Pulau Pinang hanya berikan biasiswa kepada pelajar cemerlang di universiti tempatan sahaja, tetapi kini Kerajaan Pusat pun seakan sudah sama taraf dengan Kerajaan Negeri apabila memberi biasiswakepada pelajar universiti tempatan sahaja.

"Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) nak lihat semua pelajar tanpa kira kaum, agama, fahaman atau kita (sebagai) orang Pulau pinang sama-sama menikmati semua kesenangan (bantuan pendidikan)," jelas Guan Eng yang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih di sini baru-baru ini.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata demikian pada Majlis Bantuan Pelajar Miskin Sekolah-Sekolah Rendah Dan Menengah Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Putih itu.

Hadir sama, beberapa Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Joseph Ng Soon Siang, Chris Lee Chun Kit dan Syerleena Abd. Rashid, serta Pengerusi Pertubuhan Amal Seri Sinar, Datuk Dr. Edon Ching Ten Song.

Pada majlis sumbangan itu, seramai 300 pelajar miskin dari tiga buah sekolah serta melalui lima Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan (JKKK) KADUN Air Putih menerima insentif berupa RM100 wang tunai, daripada sumbangan Pertubuhan Amal Seri Sinar.

Guan Eng dalam pada itu berkata, insentif tersebut adalah sebahagian daripada RM50,000 yang diperuntukan oleh pertubuhan amal berkaitan dalam usaha membantu pelajar-pelajar miskin di Air Putih.

Sebelum itu, Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dalam ucapannya turut mempersoal pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengurangkan jumlah biasiswa JPA.

“Jika tahun lalu sebanyak 11,400 pelajar cemerlang dapat menikmati tajaan JPA bagi melanjutkan pelajaran, tetapi kini (2016) dikurangkan dan dikecilkan kepada hanya 8,964 orang pelajar sahaja.

“Hasil daripada pembaziran dan pengurusan tidak berhemah yang dilaksanakan Pusat telah menjadikan anak-anak kita sebagai mangsa," jelas Zairil yang juga Pengarah Eksekutif agensi negeri Penang Institute (PI).

Difahamkan, pengubalan model biasiswa JPA baru-baru ini antara lain pemberian biasiswa untuk 8,000 pelajar peringkat ijazah pertama dalam negara sahaja, berbanding 10,000 mahasiswa sebelum ini.

Selain itu, Program Biasiswa Nasional dikurangkan daripada 50 kepada 20 pelajar terbaik Lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) untuk melanjutkan pengajian di universiti terkemuka di seluruh dunia.

Program Khas Kejuruteraan ke Jepun, Koream, Jerman dan Perancis kini untuk 200 orang sahaja, berbanding 300 penerima dahulu.

Manakala, Program Lepasan Busary bagi pengajian Ijazah Pertama Universiti Awam dan Universiti Swasta dalam negara dikecilkan dari 1,000 orang kepada 744 pelajar sahaja.

Pemandu teksi terima insentif Kerajaan Pulau Pinang hampir RM4 juta sejak 2013, tetapi kehadiran Über 'dingin'

KETUA Menteri (berbaju batik oren) diiringi para pemimpin Kerajaan Negeri lain menyerahkan cek replika sumbangan insentif berjumlah RM473,400, sambil merakamkan gambar kenang-kenangan bersama-sama pemandu teksi dari bahagian Pulau di Dewan Sri Pinang di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kos operasi kenderaan teksi yang semakin meningkat pada era ekonomi mencabar belakangan ini dikatakan mendorong pada kelahiran begitu banyak perkhidmatan kereta sewa jenis Über di Pulau Pinang.

Mengulas mengenai perkara itu, Pengerusi Gabungan Persatuan Pemandu Teksi dan Kereta Sewa Pulau Pinang (Gabungan), Abd. Malik Darus, 61, memberitahu pihaknya sendiri masih mengambil sikap 'tunggu dan lihat' berhubung tindakan selanjutnya daripada agensi persekutuan, Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPAD).

Bagaimanapun, beliau melahirkan rasa penghargaan kepada Kerajaan Negeri kerana buat kali keenam menyampaikan insentif RM300 kepada 2,135 pemandu teksi bajet, teksi lapangan, teksi eksklusif, teksi mewah, limousin dan kereta sewa berdaftar baru-baru ini.

“Apa yang saya fahamkan pihak Uber, iaitu sebuah syarikat yang beroperasi tanpa permit seperti teksi dikira haram, tetapi seakan dibenarkan oleh pihak SPAD, kita (pemandu teksi) pun tidak faham.

“Di Pulau Pinang pun, ada (Uber), dan kita tunggu apa perkembangan seterusnya,” tegas Abdul Malik semasa berucap pada Majlis Pemberian Sumbangan Insentif Perkhidmatan Kepada Pemandu Teksi Peringkat Pulau di Dewan Sri Pinang.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang berucap selepas itu memberitahu, Kerajaan Negeri akan terus menyampaikan insentif RM600 dalam dua kali pemberian pada tiap-tiap tahun sungguhpun ekonomi negara kian mencabar.

“Tiada negeri lain di Malaysia yang menyediakan bayaran insentif kepada mana-mana pemandu teksi di negeri mereka, hanya di Pulau Pinang sahaja yang ada (insentif daripada Kerajaan Negeri).

“Sejak insentif ini diberikan mulai tahun 2013 (sebagaimana dijanjikan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13), sebanyak RM3,985,800 telah diperuntukan oleh Kerajaan Negeri untuk 13,286 pemandu teksi,” jelas Guan Eng sebelum menyerahkan sumbangan tunai kepada 1,578 penerima dari bahagian Pulau.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon, Prof. P. Ramasamy (Timbalan Ketua Menteri II), Chow Kon Yeow (Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir) dan Danny Law Heng Kiang (Exco Pembangunan Pelancongan).

Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam turut berharap

Difahamkan, seramai 557 pemandu lain dari bahagian Seberang Perai turut menerima sumbangan serupa pada majlis berasingan di Auditorium Kompleks Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) dekat Seberang Jaya, sehari kemudian.

Sementara itu, para pemandu teksi yang ditemui kemudian memberikan pelbagai reaksi kehadiran Über di atas jalan raya.

Sesetengah menganggap Über menjejaskan pendapatan mereka yang setia membawa teksi berdaftar, dan ada sesetengah lain berpendapat sebaliknya.

"Über ditempah atas talian seperti MyTeksi juga, tetapi ada kos (pemandu teksi) untuk permit, sewa teksi dan selenggara...maka, dorongan memandu Über mungkin kerana tidak semua kos itu ditanggung oleh pemandu.

"Tawar-menawar tambang Über lebih toleransi, telus dan interaktif dengan menggunakan aplikasi telefon, sedangkan teksi masih diikat dengan kadar tambang yang regid dan kadangkala pelanggan 'terkena' apabila tidak menggunakan meter," respons seorang pemandu teksi, yang enggan identitinya diketahui umum.

Walaupun masih membawa teksi, seorang lagi penerima insentif pemandu teksi memberitahu beliau bersama-sama anaknya mulai menawarkan perkhidmatan Über atas talian bebas atas alasan 'mencari duit tambahan' pada era ekonomi kian mencabar, kini.

"Kemajuan bukan sesuatu yang boleh dibendung, kalau kita setia dengan sistem teksi cara lama.

"Aplikasi MyTeksi contoh terbaik untuk meningkatkan mutu pelanggan, tetapi sistem Über lebih advance.

"Zaman meleset ini, perubahan pemikiran perlu ada untuk tambah pendapatan dan kurangkan kos sara hidup.

"Setia membawa teksi berdaftar pun tak salah, mula membawa kereta sewa Über pun tidak lah salah kerana mereka pun mencari rezeki halal dengan menawarkan perkhidmatan atas talian bebas," jelas penerima.

Seorang lagi penerima insentif RM300 memberitahu, dengan syarikat teksi, mereka perlu membayar antara RM50 ke RM65 setiap hari hanya untuk permit, bergantung kepada syarikatnya, tidak kiralah jika mereka sakit dan tidak bekerja pada hari itu.

Selain itu, sukar bagi pemandu teksi untuk mendapatkan permit individu, menyebabkan mereka bergantung sepenuhnya kepada syarikat teksi untuk meneruskan pekerjaan, kata beberapa pemandu teksi lain sambil mengaku mula membawa Über.

Lebih menarik dan kritis adalah pendapat seorang pegawai Kerajaan, yang turut membawa teksi berdaftar secara sambilan demi menampung kos sara hidup yang kian melambung naik, di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Saya yakin kroni Barisan Nasional yang menguasai syarikat teksi berkelompok akan gulung tikar tidak lama lagi jika mereka yang setia memandu teksi masih dinafikan hak memiliki lesen teksi persendirian.

"Ini zaman internet, bukan boleh bendung semua orang kerana pemandu teksi pun banyak celik internet," respons beliau.

Mereka, masing-masing bagaimanapun melahirkan rasa hormat dengan kebimbangan yang diucapkan oleh Abd. Malik, serta memuji pentadbiran Kerajaan Negeri kerana terus menganggap perkhidmatan teksi turut menyumbang pada pembangunan industri pelancongan di Pulau Pinang.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus