23 February 2016

Lembaga Wakaf Hindu kendali perarakan Thaipusam mulai 2017, kata Ramasamy


Oleh: S. HEMAWATHI (pelatih)

GEORGE TOWN - Mulai tahun 2017, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang sendiri akan mengendalikan malam perarakan sempena perayaan Thaipusam sekitar Kuil Arulmigu Sri Balathandayuthabani dekat Kebun Bunga.

Pengerusinya, Prof. P. Ramasamy memberitahu, ketetapan itu adalah hasil keputusan Mesyuarat Kerajaan Negeri baru-baru ini.

Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri II Kerajaan Negeri membuat keputusan tersebut berdasarkan hasrat komuniti India setempat di negeri ini.

"keputusan ini tidak mempunyai agenda tersendiri terhadap kominiti Chettiyar dan Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang berharap mereka dapat memberi kerjasama lalu menerima keputusan ini seadanya," jelas Ramasamy kepada pemberita di sini, tengah hari tadi.

Difahamkan, perarakan tradisi itu sebelum ini dikendalikan oleh komuniti Chettiyar,  di bawah gerakan Kuil Nattukkottai Chettiar.

Dalam perkembangan lain, Ramasamy memberitahu Kuil Arulmigu Sri Balathandayuthabani berjaya mendapat sumbangan awam sebanyak RM188,814.70 dan emas sebanyak 137.85 gram sepanjang minggu musim Thaipusam, pada tahun ini.

Justeru, katanya lagi, Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang berhasrat memanfaatkan sumbangan awam  tersebut untuk tujuan pendidikan dan kebajikan, khusus untuk komuniti India.

Dua Ahli Lembaga bagi Lembaga Wakaf Hindu lain, A. Thanasekaran (Ahli Dewan Undangan Negeri Bagan Dalam), R.S.N. Rayer (ADUN Seri Delima) serta Ketua Pegawai Eksekutif lembaga berkenaan, M. Ramachandran turut sertai sidang media itu.

MAINPP hasrat remajakan premisnya di George Town jadi produk 'pelancongan muslim'

DERETAN rumah kedai sekitar kawasan tanah wakaf di Lebuh Acheh merupakan antara premis komersial yang dilawati rombongan MAINPP di sini, tengah hari tadi.

GEORGE TOWN – Premis milikan Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) di sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO yang mempunyai nilai warisan akan diremajakan sehingga menjadi kawasan 'pelancongan muslim'. 

Yang di-Pertuanya, Dato' Mohd. Salleh Man berkata demikian, selepas mengetuai rombongan MAINPP melawat beberapa kawasan di Kampung Kolam, Lebuh Acheh, Jalan Kapitan Keling dan Lebuh Buckingham.

MOHD. Salleh Man.
"Sekarang ini, kita (MAINPP) sedang berusaha memberi tambah nilai kepada premis-premis di bawah milikan MAINPP.

“Di sebalik lokasi lot-lot kedai milikan MAINPP yang strategik, iaitu, di kawasan UNESCO, jadi kita perlu bagi perhatian yang wajar agar ianya tidak lesu,” ujar beliau kepada pemberita.

Mohd. Salleh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Pasir berkata demikian, selepas mengetuai lawatan MAINPP ke beberapa kawasan premis komersial berwajib di sini.

Mufti Negeri Pulau Pinang, Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor, Dato' Abdul Halim Hussain (Timbalan Yang di-Pertua MAINPP), Mohd. Tuah Ismail (Ahli Majlis MAINPP) dan Fakhruddin Abdul Rahman (Ketua Bahagian Wakaf MAINPP) turut serta lawatan kerja tersebut.

Mengulas isu sama, Abdul Halim memberitahu, hasrat MAINPP untuk meremajakan premis-premis milik badan berkanun di bawah Kerajaan Negeri ini, sekaligus menyumbang pada industri pelancongan Pulau Pinang.

ABDUL Halim Hussain.
“Kalau boleh, kita mahu pihak yang menjalankan perniagaan di premis MAINPP lebih berdaya saing, ceria dan mampu menjana sebagai pusat pelancongan berasaskan 'Muslim Tourism'.

“Jadi, apabila orang luar, khususnya dari Arab misalnya, yang datang ke Pulau Pinang, selain dari pelancongan konvensional yang biasa, dia juga boleh jumpa tarikan baru yang berasaskan Islam di negeri ini,” jelas Abdul Halim yang juga bekas Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

Justeru, katanya lagi, MAINPP akan berunding dengan pihak berkepentingan seperti waris-waris pemilik serta agensi negeri Perbadanan Bandar Warisan George Town (GTWHI) dan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), untuk proses pemuliharaan semula bangunan-bangunan berwajib yang mempunyai nilai warisan, agama dan etnik.

“Kalau kita lihat sebahagian bangunan di tapak Masjid Melayu Lebuh Acheh, ianya agak usang dan sukar dibangunkan kerana terikat dengan beberapa perkara.

"Jadi, pihak MAINPP berperanan berunding dengan pihak berkepentingan agar ianya tidak terabai begitu sahaja,” katanya.

Difahamkan, MAINPP direkodkan mempunyai 430 premis di seluruh Pulau Pinnang.

Daripada jumlah itu, Fakhruddin memaklumkan, lebih 200 unit premis direkodkan berada sekitar George Town.

RM220 juta bina kampus baharu KDU, Guan Eng anggar GDP RM2.2 bilion

KETUA Menteri (depan, tengah) diberi penjelasan mengenai gambaran pembangunan kampus baharu Kolej Universiti KDU Pulau Pinang, turut serta P. Kasturiraani (tiga dari kiri) di sini pada tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TAMBUN - Fasa satu pembinaan kampus baharu Kolej Universiti KDU Pulau Pinang di Batu Kawan yang bernilai RM220 juta dijangka siap paling lewat pada awal tahun 2019.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu, pelaburan bidang pendidikan ke Pulau Pinang tersebut dianggarkan menjana Nilai Pembangunan Kasar (GDV) sebanyak RM2.2 bilion kelak.

"43 ekar tanah untuk projek pemajuan universiti ini dianggarkan menjana GDV sebanyak RM2.2 bilion.

"Kampus ini akan menjadi universiti metropolis yang pertama di Pulau Pinang, yang akan berkembang pesat di kawasan Batu Kawan," jelas Guan Eng pada Majlis Pecah Tanah Projek Pemajuan Kampus Baharu Kolej Universiti KDU Pulau Pinang di sini, tengah hari tadi.

Ahli Parlimen Batu Kawan, P. Kasthuriraani dan dan Pengurus Besar Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), Dato' Rosli Jaafar dan Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), Dato' Maimunah Mohd. Sharif turut sertai majlis tersebut.

Hadir sama, Pengerusi merangkap Pengarah Eksekutif Paramount Corporation Berhad, Dato’ Teo Chiang Quan, Jeffrey Chew (Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Paramount Corporation Berhad), Datin Teh Geok Lian (Ketua Pegawai Eksekutif Paramount Pendidikan) dan Dr. Chong Beng Keok (Naib Canselor Kolej Universiti KDU Pulau Pinang).

Menurut Guan Eng, pemajuan kampus baru berkenaan sekaligus mempercepat rancangan Kerajaan Negeri melalui PDC untuk menjadikan kawasan sekitar Bandar Cassia dekat Batu Kawan sebagai bandar setelit pintar masa depan di negeri ini.

Tambah Guan Eng, di sini juga akan dilengkapkan dengan beberapa presaranan pembangunan lain, seperti hospital, geduang IKEA pertama di luar Lembah Klang, padang golf, sekolah, perumahan awam dan taman tema rekresi.

Susulan itu, Guan Eng yang juga Exco Hal Ehwal Tanah & Pembangunan Tanah, Penerangan, Kebudayaan & Kesenian, Warisan dan Hal Ehwal Bukan Islam turut merakamkan penghargaan kepada Paramount Corporation Berhad dan pentadbiran Kolej Universiti KDU Pulau Pinang kerana memilih Pulau Pinang sebagai destinasi pelaburan pendidikan.

Pada sidang media selepas itu, Geok Lian memberitahu bahawa kampus baru itu mampu menampung kapasiti maksimum seramai 5,000 mahasiswa.

KDU University College Penang merupakan anggota Paramount Pendidikan, yang bertanggungjawab menawarkan pendidikan berkualiti daripada peringkat sekolah rendah, sekolah menengah aliran tempatan dan antarabangsa.

Perbadanan itu turut menawarkan pelbagai program eksekutif dan pembangunan profesional peringkat ijazah dan lepasan ijazah.

Kampus baru di Batu Kawan ini akan dibina ketika Pendidikan Paramount meraikan ulang tahun ke-30 pada 2013, dengan mempunyai kira-kira 80,000 pelajar sejak penubuhannya.

Paramount Pendidikan adalah cabang pendidikan Paramount Corporation Berhad, sebuah syarikat awam yang disenaraikan di pasaran utama Bursa Malaysia Securities Berhad, terlibat dalam pelbagai perniagaan penting, merangkumi pembangunan hartanah.

Berjalan 30 April, sasar kutip sumbangan RM1.5 juta

BANGUNAN Dome di Komtar kini giat dinaiktaraf bagi merealisasikan Pusat Sains Tech Dome Penang yang dijangka siap Jun 2016.

GEORGE TOWN - Baki RM1.5 juta lagi diperlukan untuk membiayai kos pemajuan Pusat Sains Tech Dome dekat Komtar, yang keseluruhannya dianggarkan bernilai RM28.5 juta.

Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berharap, penganjuran Tech Dome Glow Walk In The Park pada 30 April mampu mengumpulkan dana tersebut, melalui kutipan yuran penyertaan dan sumbangan awam.

“Setakat ini, sebanyak RM27 juta telah berjaya dikumpulkan hasil sumbangan pihak swasta dan awam termasuk pihak Kerajaan Negeri...kini, kita hanya memerlukan lagi RM1.5 juta sahaja," jelas Chong Eng kepada pemberita di sini pada pagi tadi.

Pengarah Penang Tech Centre Bhd. Datuk Wong Siew Hai, Dr. Y. L. Khong (Ketua Pegawai Eksekutif Penang Tecg Centre Bhd.) dan A. Govindasamy (wakil Persatuan Olahraga Amatur Pulau Pinang, PAAA).

Chong Eng menjelaskan penganjur mensasarkan 5,000 penyertaan minimum, dengan tiap-tiap orang dikenakan RM35 yuran.

"Yuran penyertaan dikira sebagai derma," jelas Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang.

Katanya lagi, mereka yang membuat sumbangan awam melebihi RM100 layak untuk diberi kemeja-t dri-fit, dengan nama penderma dipamerkan pada dinding terpilih kompleks pendidikan tersebut apabila siap pada bulan Jun depan.

Dfahamkan, majlis pelepasa di Taman Bandaraya (Taman Belia) dekat Kebun Bungah pada jam 8.00 malam.

Aktiviti mewarna muka merupakan antara acara sampingan yang diadakan seawal jam 6.00 petang hari tersebut.

Tarikh akhir untuk pernyertaan individu pada 8 April, manakala, penyertaan berkumpulan pada 31 Mac.

Chong Eng memberitahu, kaunter penyertaan akan ditutup lebih awal sekiranya penyertaan genap 5,000 orang.

Info lanjut, menghubungi 04-2626663 atau emelkan ke glo-walk@techdomepenang.org.

Pusat Sains Tech Dome merupakan kompleks pameran sains yang diilhamkan oleh Kerajaan Negeri, demi menyemarakkan minat negerasi masa depan pada bidang tersebut.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus