02 March 2016

160,989 warga emas layak tuntut RM100 mulai 5 Mac, umum Boon Poh

PHEE Boon Poh menunjukkan senarai penerima sumbangan warga emas RM100, pada sidang media di Komtar, tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEOEGE TOWN - Seramai 160,989 warga emas yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri layak menuntut RM100 tunai dengan membawa vaucer berwajib ke 29 cawangan Maybank terpilih pada 5 dan 6 Mac ini, mulai jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh memberitahu, warga emas yang bertaraf orang kurang upaya (OKU) berdafar pula disyorkan menuntut sumbangan berwajib selepas jam 1.00 petang untuk mendapat layanan istimewa berwajib.

"Vaucer-vaucer telah dihantar sebelum 1 Mac lagi.

"Andai kata keluarga mereka (warga emas bertaraf OKU) membawa mereka dalam kereta, mereka boleh duduk dalam kereta, kami (wakil Kerajaan Negeri) di bank boleh ambil duit (RM100) dan beri kepada mereka," jelas Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu kepada pemberita di Komtar, tengah hari tadi.

Bagi wakil penerima, katanya, wajib mendapatkan 'Surat Pelepasan Tanggungjawab' daripada Pejabat ADUN, Ahli Parlimen atau Pejabat Pegawai Penyelaras Kadun (PPK) Pakatan Harapan, sebelum menuntut RM100 tunai di bank.

Tambah beliau, tuntutan tunai dengan menggunakan vaucer sah dalam tempoh 7 hingga 18 Mac sahaja, pada waktu operasi bank.

Selepas tahun 2008, pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng antara lain mengumumkan pemberian tunai RM100 tiap-tiap tahun kepada warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas, sebagai menghargai sumbangan mereka.

Exco berang rakyat ditipu pegawai perumahan palsu

JAGDEEP Singh Deo (dua dari kiri), Phee Boon Poh (dua dari kanan), Teh Lai Heng (paling kiri) dan LIm Zheng Young (paling kanan) dan empat mangsa kes penipuan membabitkan pegawai Bahagian Perumahan palsu merakamkan gambar, selepas sidang media di sini tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Tujuh pembeli rumah kos sederhana rendah pagi ini tampil memberitahu bahawa mereka ditipu oleh tiga individu yang mengaku sebagai Pegawai dari Pejabat Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

Mengulas mengenai hal itu, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata Kerajaan Negeri tidak pernah mengenakan apa-apa bayaran awalan sebagai jalan pintas untuk meluluskan permohonan rumah mampu milik semua kategori di The Rise Park dekat Jalan SP Chelliah, Datuk Keramat.

"Jangan bayar kepada sesiapa yang mengaku sebagai Pegawai Perumahan walau sesen pun, jika dijanjikan rumah.

"Nama Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri seakan dicabuli, saya memang tidak boleh terima.

"Saya berharap mereka yang ditipu segera membuat laporan polis dan aduan kepada Kerajaan Negeri sebagai rekod," tegas Jagdeep yang juga ADUN Datuk Keramat kepada pemberita di Komtar, di sini.

Tegasnya lagi, hanya Jawatankuasa Pembersihan dan Peningkatan Mutu Pemilihan Perumahan (SPEC) memutuskan sama ada satu-satu permohonan perumahan diterima atau sebaliknya, selepas mesyuaratnya sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan.

Jagdeep turut merakamkan penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Komtar, Teh Lai Heng kerana merujuk empat mangsa berkenaan pada pejabat exco.

Difahamkan, mangsa hanya mahu dikenali sebagai "Lim" ditipu RM10,000, "Chuah" ditipu RM12,500 serta "Loh" dan "Chow" masing-masing ditipu RM9,300.

MOHD. Fauzi Mohd. Yusof (kiri) menjelaskan ciri-ciri palsu pada surat tawaran unit rumah yang diterima oleh mangsa-mangsa terbabit, pada sidang media bersama-sama Jagdeep Singh Deo (kanan) di sini tengah hari tadi.
Sebelum itu, Pegawai Bahagian Perumahan Kerajaan Negeri, Mohd. Fauzi Mohd. Yusof turut mendedahkan ciri-ciri palsu pada surat-surat tawaran unit rumah yang diterima oleh mangsa terbabit.

ADUN Sungai Puyu merangkap Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh dan Lim Zheng Young (Pengarah Urusan Zubicon Sdn. Bhd. yang memajukan projek perumahan terbabit) turut menyertai sidang media tersebut.

Jagdeep, sehari kemudian merakamkan penghargaan kepada pihak polis kerana berjaya menangkap salah seorang suspek kes penipuan tersebut.

“Apa jua bayaran perlu ada resit rasmi bercetak sama ada dari kaunter di tingkat 3 Komtar, atau mana-mana pejabat kerajaan berkaitan dan bukan di pusat membeli belah seperti (kes penipuan) yang terjadi baru-baru ini,” jelas Jagdeep pada sidang media berasingan.

Jagdeep berkata beliau sendiri turut menulis surat rasmi kepada Ketua Polis Negeri yang baharu, Dato ' Gafar Abdul Rajab supaya siasatan berwajib diteruskan sehingga kesemua suspek kes penipuan tersebut berjaya ditangkap.

Fiqh Awlawiyat: Utamakan hak manusia berbanding hak Allah S.W.T?

ZAINULFAQAR Yaacob (paling kiri) bersama-sama rakan-rakan lain pada sidang media di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, George Town baru-baru ini.


Fiqh Keutamaan (فقة الأولويات) :
HAK ALLAH & HAK-HAK MANUSIA


Antara hak Allah S.W.T (حق الله) dan hak-hak hamba (حقوق العباد), yang mana satu sepatutnya diutamakan oleh manusia?

Hujjatul Islam Imam Ghazali berpendapat bahawa hak Allah mendahului hak hamba-Nya, antaranya bermuarakan dalil:

قُلْ إِنْ كَانَ آبَاؤُكُمْ وَأَبْنَاؤُكُمْ وَإِخْوَانُكُمْ وَأَزْوَاجُكُمْ وَعَشِيرَتُكُمْ وَأَمْوَالٌ اقْتَرَفْتُمُوهَا وَتِجَارَةٌ تَخْشَوْنَ كَسَادَهَا وَمَسَاكِنُ تَرْضَوْنَهَا أَحَبَّ إِلَيْكُمْ مِنَ اللَّهِ وَرَسُولِهِ وَجِهَادٍ فِي سَبِيلِهِ فَتَرَبَّصُوا حَتَّىٰ يَأْتِيَ اللَّهُ بِأَمْرِهِ ۗ وَاللَّهُ لَا يَهْدِي الْقَوْمَ الْفَاسِقِينَ

"Katakanlah: Jika bapa-bapa , anak-anak , saudara-saudara, isteri-isteri, kaum keluargamu, harta kekayaan yang kamu usahakan, perniagaan yang kamu khawatiri kerugiannya, dan tempat tinggal yang kamu sukai, adalah lebih kamu cintai dari Allah dan RasulNya dan dari berjihad di jalan nya, Maka tunggulah sampai Allah mendatangkan keputusan-Nya dan Allah tidak memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasik.

[Surah At Taubah: 24]

Sesungguhnya ini adalah pendapat segelintir ulama, yang bersalahan dengan majoriti pendapat ulama (مخالفة الجمهور).

Sangat menarik ulasan Sheikh Abdullah Ben Bayyah dalam karyanya علاقة مقاصد الشريعة بأصول الفقة (Hubungan Maqasid Syariah dengan Usul Fiqh).

Dalam kitab itu, Ben Bayyah ada membuat rumusan mengenai hal ini, daripada pendapat Al-Baqalani (الباقلاني) (ulama daripada Mazhab Shafie)

واصل العبادات راجعة إلى حق الله واصل العادات راجعة إلى حقوق العباد

Maksud:
Sesungguhnya asal ibadah-ibadah kembali kepada hak Allah dan asal adat-adat kembali kepada hak-hak hamba (manusia)

[Rujuk Ben Bayyah, halaman 54]

Sebagai contoh, asal melaksanakan solat fardu umpamanya dilaksanakan secara lengkap atau (تمم), daripada segi bilangan rakaatnya, dalam waktunya mengikut tertibnya.

Namun, boleh dipendekkan (قصر) bilangan rakaat daripada empat kepada dua atas sebab musafir.

Atau, dihimpun (جمع) solat fardu Zuhur dan Asar serta Solat fardu Maghrib dan Isyak sama ada di awal waktu (جمع تقديم) atau dikemudiankan (جمع تأخير).

Atau, solat fardu itu dilakukan secara duduk, berbaring hatta dengan gerakan hati jika tiada kemampuan untuk berdiri.

Dibenarkan jamak solat atas sebab musafir adalah gambaran pada mengutamakan hak hamba berbanding hak Allah S.W.T..

Ini kerana, bermusafir itu adalah urusan manusiawi yang tiada tuntutan wajib secara syarie.

Begitu jugalah menghimpunkan solat, yang sebenarnya merupakan suatu sunnah Rasulullah S.A.W., sama ada dalam sulit (مشقة) atau sebaliknya yang membawa gambaran bahawa hak-hak manusia itu lebih diutamakan daripada hak-hak Allah S.W.T.

Syariat melaksanakan solat semampu mungkin menunjukkan dalam ibadah pun sangat mengutamakan hak manusia berbanding hak Allah, maka perkara-perkara yang bersifat asal (عزيمة) dilonggarkan (رخصة).

Ini dalam isu ibadat, yang semestinya bermuarakan pada dalil qatie daripada Al-Quran dan As-Sunnah.

Seperti dalam isu politik, sama ada bermuarakan pada dalil atau lebih banyak bersifat ijtihadiah, sangat ganjil sekiranya masih ada agamawan secara melampau memaksa pelaksanaan hukum Hudud di Malaysia ini dalam keadaan tiada mandat sosial (مصداقية الإجتماعية) daripada kalangan Ahli Parlimen yang menyokongnya.

Sepatutnya masing-masing melaksanakan maksud syarak semampu mungkin, seperti mewujudkan kebebasan bersuara, keadilan sosial, meningkatkan kualiti hidup, menyemarakkan institusi integriti serta semak & imbang (hisbah) dll semampu mungkin.

Firman Allah S.W.T:

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا
Maksud:
"Allah tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya..."

[Surat Al-Baqarah 286]

Mantan Ketua Hakim Syarie Pulau Pinang, YAA Dato' Yusof Musa pernah diberi ganjaran serta Anugerah Integriti daripada Kerajaan Negeri susulan berjaya mendedahkan skandal penyelewengan membabitkan hampir RM500,000 di Jabatan Kehakiman Syarie Negeri; kerana pentadbiran Ketua Menteri Lim Gua Eng melaksanakan hisbah dan polisi integriti Cekap, Akauntabel dan Telus (CAT).

Kerajaan Pulau Pinang juga mengamalkan tender terbuka, seperti dalam penjualan tanah Bayan Mutiara, Bayan Bay serta pemilihan kontraktor bagi projek tiga lebuh raya & Terowong Bawah Dasar Laut dan Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang.

Jika ada institusi hisbah, skandal pembalakan dalam Kerajaan Negeri Kelantan dan Selangor pun boleh ditangani. Begitu juga dalam kontroversi projek mengecat gerbang dan penukaran Kubah Masjid di Selangor yang mencecah jutaan ringgit.

Sesungguhnya melaksanakan integriti serta hisbah dll berbanding 'cakap-cakap kosong untuk melaksanakan Hudud kononnya dengan sokongan rejim Umno BN, samalah maksud dengan mengutamakan hak manusia berbanding hak-hak Allah.

Telah disimpulkan pendapat daripada kalangan ulama fiqh dan ahli-ahli yang menekuni maksud Maqasid Al-Syariah (مقاصد الشريعة):

ما لا يدرك كله لا يترك جله

Maksud:
Perkara yang tidak dapat diraih semuanya, janganlah ditinggalkan segalanya.

Telah berkata Sheikh Dr. Yusuf Al-Qardhawi semasa diminta mengulas keutamaan rakyat Mesir selepas menumbangkan rejim Hosni Mubarak tidak lama dahulu:

أفضل تحقيق الحرية على تطبيق الشريعة

Maksud:
Utamakan (usaha-usaha) mencapai kebebasan (rakyat) di atas (usaha-usaha) melaksana syariat (Islam)

الحرية قبل تطبيق الشريعة

Maksud:
Kebebasan sebelum pelaksanaan syariat.

Sesungguhnya Islam agama mudah.

Allah S.W.T. sendiri memberi keutamaan pada kemampuan para hambanya dalam melaksanakan maksud syariah (مقاصد الشريعة), dari perkara berkaitan ibadah sehinggalah urusan keduniaan manusia (politik).

Tiap-tiap hamba-Nya mempunyai kemampuan yang berbeza-beza, maka perbezaan kemampuan masing-masing ini lebih diutamakan dalam membuktikan kasih dan taat kepada Allah S.W.T..

Firman Allah S.W.T :

لَا يُكَلِّفُ اللَّهُ نَفْسًا إِلَّا وُسْعَهَا

Wallahu 'alam.


ZAINULFAQAR YAACOB
Blogger / Fotojurnalis

George Town Bandaraya Warisan Dunia UNESCO
Rabu | 3 Mac 2016 | 7.45 pagi

____________
* Teks Usrah AMANAH Kawasan Parlimen Batu Kawan.


Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus