10 March 2016

Himpunan lebih besar 27 Mac, Presiden PasMa ramal satu lagi parti baharu tubuh

PHAHROLRAZI Mohd.  Zawawi (depan, kiri) memberi taklimat khas sebelum sesi dialog terbuka dengan para perwakilan peringkat negeri di Sekretariat PasMa Parlimen Sungai Petani di sini, malam tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

SUNGAI PETANI - Suatu pertemuan tertutup yang lebih besar akan diadakan di Pusat Konvensyen Shah Alam (SACC) pada 27 Mac ini, selepas sidang media 'Selamat Malaysia' membabitkan ahli-ahli politik termasuk Tun Dr. Mahathir Mohamad baru-baru ini. 

Presiden Pertubuhan Ummah Sejahtera Malaysia (PasMa), Dato' Ir. Phahrolrazi Mohd. Zawawi meramalkan sebuah lagi parti politik baharu akan ditubuhkan daripada jalur dalaman Umno kelak.

"Himpunan secara tertutup ini lebih besar kira-kita 1,000 orang, mesti membabitkan tokoh perseorangan serta aktivis-aktivis  NGO.

"Tokoh seperti Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir mesti ada platform politik, dan tidak dapat tidak sebuah lagi parti politik baharu mesti ditubuhkan dan mesti menganggotai Pakatan Harapan.

"Kalau (penuhuhan parti politik baharu) ini berlaku, ia akan menggandakan kekuatan blok pembangkang (yang terdiri oleh) PKR, DAP dan AMANAH dalam menghadapi Barisan Nasional pada PRU14 nanti.

"Selepas teroka kerja awal menubuhkan AMANAH, kita (PasMa) akan ada lagi peranan untuk ambil bahagian yang patut, sampai wujud sistem dua parti untuk mengalahkan Barisan Nasional dan bukan untuk memastikan Datuk Seri Najib Razak dan timbalannya sahaja letak jawatan," kata Phahrolrazi pada Sidang Taklimat Politik Semasa PasMa di sini, malam tadi.

Katanya, PasMa akan menghantar 20 perwakilan pada persidangan tertutup 27 Mac nanti.

Pulau Pinang tuan rumah NEX2016, Guan Eng harap idea baharu makmur ekonomi serantau

KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian pada Persidangan Kepemimpinan NEX2016 di Hotel Olive Tree dekat Pantai Jerejak, pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK - Selepas penganjuran di Singapura dua tahun lalu, Pulau Pinang yang disenarai dalam kedudukan dunia untuk pelbagai perkara popular belakangan ini dipilih menjadi tuan rumah Persidangan Kepemimpinan NEX2016.

LIM Guan Eng
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng semasa menyampaikan ucapan perasmian berharap, persidangan yang menghimpunkan para pemikir daripada pelbagai bidang itu menghasilkan idea-idea baharu untuk membantu Kerajaan Negeri mengharungi iklim ekonomi negara yang kian mencabar, kini.

"Revolusi perindustrian pertama mengenai kejenteraan, revolusi kedua mengenai kuasa elektrik dan produktiviti, revolusi ketiga mengenai internet dan komputer, dan sekarang adalah revolusi perindustrian keempat iaitu semua perkara (globalisasi) saling berhubung secara bersepadu.

"Bagi saya, kami (Kerajaan Negeri) mempunyai bakat dan juga kemampuan daripada segi ekonomi, tetapi memerlukan lebih ramai rakan kongsi untuk memacu pembangunan Pulau Pinang pada masa depan," jelasnya di depan 380 tetamu persidangan di Hotel Olive Tree di sini pagi ini.

JERRY Chan Fook Sing
Turut berucap, Pengerusi Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Pulau Pinang, Dato' Jerry Chan Fook Sing.

Hadir sama, Exco Pembangunan Pelancongan Negeri Pulau Pinang, Danny Law Heng Kiang dan Azhana Mohamed Saleh (Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia, MIDA) dan Tan Sri Dato' Dr. Sak Cheng Lum (Ahli Lembaga Amanah bagi Yayasan ECM Libra).

Menurut Guan Eng, usaha sama Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dengan Temasek serta Economic Development Innovations Singapore Pte. Ltd. (EDIS) dalam pemajuan projek perdana Penyumberan Luaran Proses Perniagaan (BPO) di Bayan Lepas dengan RM1.3 bilion nilai pembangunan kasar (DGV) adalah salah satu contoh inisiatif Kerajaan Negeri dalam membina jaringan rakan kongsi baharu untuk mengembangkan potensi pelaburan dan ekonomi Pulau Pinang.

Tiga hari persidangan mulai 10 Mac membariskan beberapa panelis tersohor, antaranya Lim Siong Guan (Presiden Kumpulan Perbadanan Pelaburan Kerajaan Singapura, GIC), John Ng (Cheif Passionary Officer Meta Colsulting), Micheal Tan (Presdien Eagles Communications), Seah Jiak Choo (bekas pengurus besar merangkap menteri pendidikan Singapura) dan Kim Tan (Pengerusi SpringHill Management Ltd.).

Penulis dan jurucakap antarabangsa, Paul McGee, Lawrence Leong (Penolong Pengarah Eksekutif Lembaga Pelancongan Singapura), Lucas Chow (bekas Ketua Pegawai Eksekutif Far East Orchard, MediaCorp dan Singtel Mobile), Prof. Neo Boon Siong (ahli akademik Nanyang Technological University, Singapore), Dato' Seri Kalimullah Masheerul Hassan (bekas wartawan dan penasihat beberapa badan korporat antarabangsa) dan Montree Sornpaisarn, CFA (Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Kim Eng Securities Thailand Plc.) turut dijemput sebagai pembentang pada persidangan antarabangsa itu.

Dua tahun lalu, Guan Eng merupakan salah seorang panelis jemputan ke persidangan serupa di Singapura, antara lain membincangkan mengenai cabaran kepemimpinan dalam mendepani ekonomi di rantau Asia Tenggara.

Pulau Pinang tersenarai dalam kedudukan dunia untuk beberapa perkara popular, terbaru mengenai hartanah di negeri ini dikatakan paling menarik minat pelabur berbanding negeri-negeri lain, lapor firma perunding global Night Frank Malaysia.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus