16 March 2016

P.Pinang hutang terendah, wajar dapat insentif Pusat, syor Guan Eng

KETUA Menteri (kiri) pada sidang media di Komtar, pada tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Kadar hutang Pulau Pinang kepada Kerajaan Pusat direkodkan paling rendah berbanding negeri-negeri lain, iaitu sejumlah RM69.36 juta sahaja.

LIM Guan Eng
Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berharap Kerajaan Negeri mendapat peruntukan dan insentif dalam bentuk projek pembangunan daripada Kerajaan Pusat atas prestasi tersebut.

"Jumlah hutang Pulau Pinang kepada Pusat kira-kira 0.4 peratus.

"Sebagai Kerajaan Negeri paling kurang hutang berbanding negeri-negeri lain, kami (Pulau Pinang) rasa harus dapat bantuan dan galakan atas prestasi yang baik ini," kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan dekat Komtar di sini tengah hari tadi.

Guan Eng berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai Jawapan Lisan Menteri Kewangan kepada Ahli Parlimen Seputih Teresa Kok Suh Sim di Dewan Rakyat pada 15 Mac lalu.

Menurut Jawapan Lisan itu, hutang semua Kerajaan Negeri kepada Kerajaan Persekutuan sehingga 31 Disember 2015 berjumlah RM16,824.61 bilion (RM16,824,607,187.41).

Pahang hutang paling tinggi iaitu sebanyak RM2,922.98 juta, diikuti Sabah (RM2,608.46 juta), Sarawak (RM2,531.25 juta), Kedah (RM2,283.30 juta), Kelantan (RM1,342.41 juta), Selangor (RM1,032.82 juta), Melaka (RM950.97 juta), Negeri Sembilan(RM942.76 juta), Terengganu (RM909.48 juta), Perak (RM608.83 juta), Perlis (RM373.17 juta), Johor (RM249.01 juat) dan Pulau Pinang (RM69.36 juta).

Sebelum tahun 2008, hutang terkumpul Kerajaan Pulang Pinang kira-kira RM700 juta dan kini berkurang sebanyak 90 peratus.

'Mejar Zaidi' dilantik sebagai pegawai Ketua Menteri Pulau Pinang, umum Guan Eng

Mejar (B) Zaidi Ahmad yang mendedahkan mengenai kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya umum lalu dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng hari ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Mejar (B) Zaidi Ahmad yang mendedahkan mengenai kelemahan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dalam pilihan raya umum lalu dilantik sebagai Pegawai Khas kepada Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng hari ini.

Guan Eng memberitahu Zaidi akan membantunya dalam kerja-kerja penerangan, termasuk menjelaskan mengenai Agenda Ekonomi Saksama (AES) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri.

"Beliau tidak sertai DAP, tetapi akan bekerja untuk saya," jelas Guan Eng kepada pemberita di Komtar, tengah hari tadi.

'Mejar Zaidi' merupakan pemandu pesawat pejuang Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pada Februari tahun lalu, beliau disingkirkan gara-gara membuat aduan polis berhubung celupan dakwat SPR pada jari pengundi pos semasa Pilihan Raya Umum Ke-13, Mei 2013, adalah tidak kekal.

'MEJAR Zaidi' (kiri) merakamkan gambar selepas melafazkan Aku Janji sebagai pegawai di depan Lim Guan Eng di sini, tengah hari tadi.
RAJA Syazana Raja Shuib

Selain itu, Guan Eng turut mengumumkan pengambilan seorang lagi bakat cemerlang dalam bidang Civil & Environmental Engineering, lepasan Seoul National University.

Katanya, Raja Syazana Raja Shuib diambil berkhidmat di bahagian kejuruteraan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP).

Usaha PAS, IKATAN tubuh 'blok ketiga' teka-teki, respons Guan Eng

KETUA Menteri Pulau Pinang.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Usaha PAS menubuhkan 'blok ketiga' bersama-sama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) lebih dilihat sebagai teka-teki di sisi rakyat, respons Lim Guan Eng.

"Ia (Blok Ketiga) teka-teki, lebih-lebih lagi apabila mereka dilihat cenderung menyokong Perdana Menteri dan Umno...macam menyokong Datuk Seri Najib (Tun Razak) dikekalkan

"Sehingga rakyat bertanya, adakah undi PAS tidak banyak berbeza dengan undi Umno," kata Ketua Menteri Pulau Pinang itu kepada pemberita di Komtar petang tadi.

Beliau yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan berkata, PAS juga perlu membuktikan bahawa pakatan pembangkang baharu itu lebih komited memerangi rasuah, termasuk berpendirian tegas dalam krisis kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) serta 'sumbangan' RM2.6 bilion ke akaun peribadi Najib.

Ujarnya lagi, PAS serta parti sekutunya juga perlu membuktikan diri masing-masing lebih membela kebajikan rakyat terbanyak.

"Bagaimana mereka boleh buktikan mereka lebih baik daripada BN, jikalau mangsa banjir (di Kelantan) selepas lebih setahun masih duduk dalam khemah," kata Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng sekali lagi membidas Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat, Datuk Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali At-Takiri, yang dilaporkan berkata bahawa wanita patut duduk di rumah sahaja sebagai isteri dan ibu, kerana jika kedua-dua suami dan isteri berkerja, ia menjadi salah satu punca perceraian.

"Mana-mana pakatan alternatif mestilah bersikap inklusif, mesti hormati semua orang khususnya wanita, jangan memandang rendah wanita yang bekerja," jelas Guan Eng, sambil menyerahkan kepada rakyat untuk menilai komitmen 'Blok Ketiga' tersebut.

Dalam 'Blok Ketiga' yang ditubuhkan hari ini, PAS diketuai oleh Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang, manakala, IKATAN diketuai Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir, selaku presiden parti merangkap bekas Menteri Barisan Nasional.

Sejak DAP kuasai P.Pinang, RM28.16 juta untuk asatizah, hufaz & Tok Guru pondok

KETUA Menteri dua dari kiri) diiringi Mohamad Sabu (paling kiri) dan Abdul Malik Kassim (tiga dari kiri) menyerahkan cek replica kepada wakil penerima sumbangan khas kepada Guru Tahfiz, Ustaz Hishamuddin Mohd. pada majlis di Seberang Jaya, Julai tahun lalu. Replika cek bantuan khas kewangan 2015 berjumlah RM596,200 kepada guru agama pelbagai kategori di negeri ini, sebagaimana menjelang musim perayaan Aidilfitri pada tahun-tahun sebelum ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Di sebalik tohmahan pembangkang Pulau Pinang kononnya pentadbiran Ketua Menteri Lim Guan Eng anti Islam dan anti Melayu, Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 menyumbang sebanyak RM28.16 juta kepada pegawai masjid, Guru KAFA, Hufaz serta Guru Agama bagi Pusat Tahfiz Al-Quran, Pondok dan Tadika Islam (TADIS).

Guan Eng berharap Pulau Pinang akan menjadi negeri bertaraf antarabangsa dan negeri berkebajikan yang pertama di tanah air ini.

"Sememangnya terbukti bahawa takbir urus bersih, cekap dan baik Kerajaan Negeri Pakatan Harapan membolehkan rakyat Pulau Pinang menikmati dividen anti rasuah secara bersama," jelas Setiausaha Agung DAP itu kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Menurut beliau, kewangan Pulau Pinang tiap-tiap tahun mencatatkan lebihan.

Maka, beliau mempersoal pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang berdalih bahawa pelaksanaan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST) demi mengelak risiko bankrap.

"Kerajaan Negeri (Pulau Pinang) tidak bankrap, sungguhpun tidak ada GST," tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Difahamkan, surplas pentadbiran Guan Eng dalam tempoh tujuh tahun mulai 2008 hingga 2014 direkodkan RM503 juta berbanding lebihan kewangan sebanyak RM373 juta sepanjang 50 tahun (1957 hingga 2007) di bawah Kerajaan Negeri era Barisan Nasional dahulu.


Pengecut jangan jadi pemimpin, Guan Eng nasihat 'Ahli Majlis' MBPP

Selepas sesi demontrasi, Ketua Menteri turut melakukan prosedur CPR dengan menggunakan alat AED di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Semua Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang dinasihatkan supaya bekerja sepasukan, terutama dalam melaksanakan penguatkuasaan berwajib.

Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberi nasihat itu secara umum, tanpa menyebut nama-mana pihak.

"Kalau takut, ini tidak lain tidak bukan anda pengecut dan tidak harus cuba tonjol sebagai pemimpin.

"Pemimpin dalam MBPP, saya rasa jangan ingat apabila anda jadi pengecut (dengan begitu sahaja kerana) penguatkuasa ada mata dan boleh lihat siapa membela semasa mereka buat (penguatkuasaan) yang betul," tegas Guan Eng.

Beliau yang juga ADUN Air Putih berkata demikian, selepas merasmikan Majlis Pelancaran Alat Automated External Defibrillator (AED) Sempena Program 'Penang Heart-Safe', di perkarangan Bangunan Dewan Bandaraya dekat Padang Kota di sini, pagi tadi.

KETUA Menteri menyampaikan ucapan perasmian pada Majlis Pelancaran AED Sempena Program 'Penang Heart-Safe' di perkarangan hadapan Dewan Bandaraya dekat Padang Kota, pagi tadi.
Sebelum itu, Guan Eng dalam ucapannya mensyorkan kempen belajar prosedur mengembalikan denyutan jantung atau CPR, serta kaedah menggunakan AED perlu dimulakan di peringkat sekolah, supaya lebih cepat menimbulkan kesedaran awam.

Manakala, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan pula memberita, pemasangan AED di sini merupakan majlis pelancaran kelima peringkat negeri.

Tambah beliau, Kerajaan Negeri membelanjakan RM41,340 untuk memasang kesemua 10 alatan AED di lokasi-lokasi terpilih, di negeri ini.

Setiausaha Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Ang Aing Thye serta beberapa Ahli Majlis lain, Dr. Luah Lean Wah (Pengerusi Jawatankuasa Pengelola), Tommy Ooi (Penasihat Lions Club Internation 308 B2, Dr. Ng Siew Hian (Penaung Penang CPR Society), Dr. Goh Eng Leong (Presiden Penang CPR Society), Dato' Dr. Yee Thiam Sun (Pemerintah Negeri St. John Ambulans Malaysia Pulau Pinang), Dato' B.J. Yeang (Pengerusi Persatuan Bulan Sabit Merah Cawangan Pulau Pinang) dan Christopher Barnabas (Pengarah Operasi Asia Pasifik Zoll Medical Corporation) turut menyertai majlis pelancara alat AED di sini.

GIMIK penyerahan alat AED oleh Dr. Luah Lean Wah (paling kiri) kepada Ang Aing Thye (paling kanan), sambil disaksikan Ketua Menteri (tiga dari kiri) dan Dr. Afif Bahardin (dua dari kiri) di sini, pagi tadi.
Terdahulu, Ahli Majlis MBPP, Dr. Lim Mah Hui yang juga anggota Jawatankuasa Pemandu Forum Pulau Pinang (Penang Forum) antara individu dilihat lantang mengkritik kerja-kerja penguatkuasaan trafik di Bahagian Pulau.

Dalam suatu dialog dengan Penang Forum, Guan Eng sendiri pernah menawarkan Mah Hui untuk mengetuai kerja-kerja penguatkuasaan trafik dengan sokongan penuh MBPP, namun ditolak.

Susulan itu, Mah Hui dilaporkan mendakwa MBPP sambil lewa dalam melaksanakan kerja-kerja menunda kenderaan yang parkir secara salah, sehingga mengakibatkan trafik sesak di beberapa lokasi berwajib.

Dalam reaksi balas, Guan Eng menganggap dakwaan Mah Hui itu sebagai suatu pembohongan.

Tegasnya, Mah Hui wajar bertanggungjawab atas dakwaannya itu serta memohon maaf kepada Datuk Bandar MBPP, Dato' Patahiyah Ismail dan Aing Thye.

Mah Hui dalam kenyataan terbaru dilaporkan berkata, beliau sepatutnya tidak didakwa melakukan pembohongan dalam isu berbangkit tersebut.

Mah Hui yang semasa itu masih di Australia memberitahu, beliau akan mengemukakan fakta serta angka berhubung isu berbangkit tersebut, apabila kembali ke tanah air.

Sejak 2009, Kerajaan Pulau Pinang belanja RM176 juta untuk program-program emas rakyat

DR. Afif Bahardin kelihatan membantu seorang warga emas membuat tuntutan tunai di salah sebuah bank cawangan di Seberang Jaya di sini baru-baru ini.

OKU tuntut RM100 sumbangan warga emas selepas 1.00 petang dapat 'layanan istimewa'


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Seramai 160,989 warga emas yang berdaftar dengan Kerajaan Negeri layak menuntut RM100 tunai dengan membawa vaucer berwajib ke 29 cawangan Maybank terpilih pada 5 dan 6 Mac ini, mulai jam 10.00 pagi hingga 3.00 petang.

Seperti dirancang, semua proses tuntutan tunai membabitkan mereka bertaraf OKU diuruskan oleh kakitangan Kerajaan Negeri, wakil bank serta ADUN setempat mulai jam 1.00 petang.

Wakil akhbar Buletin Mutiara terbitan Kerajaan Negeri turut membuat liputan di beberapa bank cawangan terbabit.

ADUN Seberang Jaya merangkap Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin dirakam turun padang membantu urusan warga emas terpilih di salah sebuah bank cawangan di sini.

P. Ramasamy (tengah) turut merakamkan gambar dengan wakil bank, penerima sumbangan serta wakil Kerajaan Negeri selepas majlis tersebut selesai di sini baru-baru ini.
WONG Hon Wai (lima dari kiri) turut merakamkan gambar dengan wakil kerajaan negeri serta penerima sumbangan warga emas tunai RM200 di salah sebuah bank cawangan di KADUN Air Itam baru-baru ini.

Begitu juga dengan ADUN Perai merangkap Timbalan Ketua Menteri II,  Prof. P. Ramasamy serta Wong Hon Wai (ADUN Air Itam merangkap Setiausaha Politik Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng) di beberapa bank cawangan masing-masing.

Terdahulu, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh berkata, 'layanan istimewa' itu supaya mereka yang berkenaan tidak perlu saling berebut dengan penerima-penerima lain, pada kedua-duanya hari tuntutan tunai RM100 tersebut kelak.

"Andai kata keluarga mereka (warga emas bertaraf OKU) membawa mereka dalam kereta, mereka boleh duduk dalam kereta, kami (wakil Kerajaan Negeri) di bank boleh ambil duit (RM100) dan beri kepada mereka," jelas Boon Poh yang juga ADUN Sungai Puyu pada satu sidang media berasingan.

Bagi wakil penerima, katanya lagi, wajib mendapatkan 'Surat Pelepasan Tanggungjawab' daripada Pejabat ADUN, Ahli Parlimen atau Pejabat Pegawai Penyelaras Kadun (PPK) Pakatan Harapan, sebelum menuntut RM100 tunai di bank.

Tambah beliau, tuntutan tunai dengan menggunakan vaucer sah dalam tempoh 7 hingga 18 Mac sahaja, pada waktu operasi bank.

Selepas mengambil alih Kerajaan Negeri pada tahun 2008, Guan Eng antara lain mengumumkan pemberian tunai RM100 tiap-tiap tahun kepada warga emas yang berusia 60 tahun dan ke atas, sebagai menghargai sumbangan mereka.

Itu, tidak termasuk sumbangan tunai pelbagai kadaran yang lain kepada OKU, bayi baru lahir, pelajar tahun 1 & 4 serta tingkatan 1 & 4, wanita suri rumah sepenuh masa, mahasiswa daftar universiti terpilih dan waris warga emas meninggalkan dunia.

Difahamkan, program-program emas yang dianjurkan oleh Kerajaan Negeri sejak tahun 2009 hingga 20 November 2015 menelan belanja RM176 juta (RM176,055,800)

Mengikut pecahan, program Penghargaan Warga Emas & Waris menelan belanja RM112,419,700, Skim Pelajar Emas (RM20,125,500), Mahasiswa Emas (RM13,981,000), Anak Emas (RM11,474,200), Ibu Emas (RM9,007,100), Bantuan Ibu Tunggal & Waris (RM5,408,500) serta Bantuan OKU & Waris (RM3,639,800).

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus