20 March 2016

Guan Eng cabar Shabudin ulangi fitnah di luar Parlimen, untuk langkah perundangan

KETUA Menteri 'dalam penantian' tetamunya, Datuk Shabudin Yahya di Pejabat Ketua Menteri dekat Komtar, tetapi tidak muncul-muncul di sini pagi tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN - Seperti dijangka, Ahli Parlimen Tasik Gelugor, Shabudin  Yahya tidak muncul di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang untuk bersemuka satu sama satu dengan Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di sini pagi ini. 

Susulan itu, Guan Eng mencabar Shabudin mengulangi fitnah dalam Dewan Rakyat mengenai pembelian rumah semurah RM2.8 juta, di luar Parlimen.

"Saya ingin meminta beliau mengulangi tuduhan rasuah yang beliau buat terhadap saya secara peribadi di dalam Parlimen, di luar, supaya saya boleh mengambil tindakan saman malu kepada beliau," jelas Guan Guan pada sidang media di Komtar tepat jam 11.00 pagi tadi.

Difahamkan, rumah itu dibina pada awal 1980-an, dan dibeli oleh Guan Eng pada 28 Julai 2015.

Untuk membeli rumah itu, Guan Eng berkata, beliau membuat pinjaman bank sebanyak RM2.1 juta serta baki wang tunai RM700,000 daripada sumber elaun pendapatan sebagai Ketua Menteri dan wakil rakyat.

"Penjualan tanah Kerajaan Negeri dijalankan secara tender terbuka dan pembeli dipilih berdasarkan tawaran harga yang paling tinggi.

"Penjual rumah kepada saya tidak terlibat dengan syarikat yang memenangi tender tanah Kerajaan Negeri, bukan lah pemegang saham atau ahli lembaga pengarah.

"Penjual rumah juga bukanlah pemaju perumahan," tegas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan.

Terdahulu, Shabudin di dalam Dewan Rakyat antara lain menuduh rumah yang dibeli oleh Guan Eng  murah, demi membolehkan syarikat yang ada hubungan dengan si penjual rumah memperolehi tanah Kerajaan Negeri di Taman Manggis dengan harga yang murah.

18 Mac lalu, Guan Eng mempelawa Shabudin bersemuka satu sama satu pada Ahad, 20 Mac 2016 jam 11.00 pagi, untuk saling mengemukakan bukti, di depan wartawan.

Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Wong Hon Wai turut menulis surat jemputan berwajib kepada Shabudin.

Manakala, Pegawai Ketua Menteri yang baharu, Mejar (B) Zaidi Ahmad turut membuat serahan tangan surat jemputan tersebut kepada Shabudin, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Guan Eng memberitahu, siasatan SPRM mengenai sewaan rumah RM5,000 sebulan sejak tahun 2009 sehingga kini masih belum diketahui.

Beliau bagaimanapun meminta sekali lagi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan baru berhubung isu berbangkit ini.

"Sehingga sekarang saya tidak ada pengetahuan langsung tentang siasatan penyewaan rumah saya pada tahun 2009, yang telah berlaku sekian lama.

"(Bagaimanapun,) saya juga akan meminta siasatan baru ke atas pembelian rumah saya dapat disegerakan dengan harapan siasatan dijalankan dengan adil, bebas dan profesional (without fear and favour) tanpa dipengaruhi oleh desakan parti pemerintah BN," tegasnya lagi.

Selepas sidang media, Guan Eng mempelawa semua wartawan ke rumah beliau di Jalan Pinhorn dekat Greenland.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus