25 March 2016

'Lebuh raya' Paya Terubong dijangka siap 2019, kata ADUN DAP

YEOH Soon Hin (kanan) saling berbincang dengan Zainuddin Mohd. Shariff berkenaan status perkembangan projek pembinaan sebahagian jalan berkembar Jalan Paya Terubong di sini baru-baru ini.

PAYA TERUBONG - Fasa satu projek pembinaan sebahagian jalan berkembar di sini bermula pada 14 Januari lalu dan dijangka siap pada tahun 2019.

Mengulas lanjut, ADUN Paya Terubong, Yeoh Soon Hin berharap projek penarafan yang menghubungkan Jalan Paya Terubong dengan Jalan Tun Sardon mampu menangani cabaran trafik sesak, khususnya pada waktu puncak nanti.

Katanya, projek yang disyorkan sendiri oleh Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng itu menelan belanja berjumlah RM275.6 juta, termasuk Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST).

"Pembinaan jalan alternatif sepanjang 5km ini bakal melancarkan laluan susur keluar (Bukit Jambul- Jalan Tun Sardon) sekaligus melibatkan laluan jejambat sepanjang 800 meter.

"Kita jangka berlaku pertambahan trafik sebaik sahaja jalan berkembar Paya Terubong mula beroperasi berikutan projek pembangunan dan perumahan yang diterajui oleh Geo Valley dan PLB di kawasan terbabit," katanya selepas menghadiri mesyuarat bersama-sama pemaju projek itu, Yuta Maju Sdn. Bhd..

GAMBAR pelan Projek Pembinaan Sebahagian Jalan Berkembar Jalan Paya Terubong, yang dimajukan dalam tempoh kira-kira 36 bulan.
Hadir sama, ADUN Air Itam, Wong Hon Wai yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri, Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh serta dua Jurutera Lalulintas & Pengangkutan Awam MBPP, Zainuddin  Mohd. Shariff  dan Ir Koo Seng Fatt.

Menurut Soon Hin, pemajuan jalan berkembar itu akan menjadi jalan pintas ke Lebuhraya Thean dan Theik Jalan Tun Sardon), dengan kurangan 30 minit waktu perjalanan, berbanding laluan trafik sedia ada.

"Projek ini bakal memberi impak positif terhadap pembangunan infrastruktur serta keadaan aliran trafik secara keseluruhannya," katanya lagi.

Dalam perkembangan berkaitan, Soon Hin memberitahu, pemajuan projek itu sekaligus akan mewujudkan suatu laluan basikal terancang di sepanjang jalan raya baharu tersebut.

Berita tikus sebesar ayam melampau, respons Ahli Majlis MBPP

ONG Ah Teong menunjukkan gambar operasi meracun tikus di pasar-pasar awam sekitar bahagian pulau, pada sidang media di sini baru-baru ini.

PADANG KOTA – Berita mengenai tikus sebesar arnab dan ayam, yang disiarkan dalam sebuah akhbar berbahasa Cina pada 6 Mac lalu seakan tidak benar dan wajar diangap sebagai laporan melampau, respons seorang Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) baru-baru ini.

Mengulas lanjut,  Ong Ah Teong memberitahu beliau sendiri ada menghubungi penulis berita terbabit, namun individu berkenaan gagal mengemukakan bukti berwajib. 

"Saya ingin menasihatkan, jika hendak menulis artikel 'berbunga-bunga' sekalipun, tidak perlu sampai melanggar etika (kewartawanan)," respons Ah Teong kepada pemberita di sini. 

Hadir sama, tiga Ahli Majlis MBPP lain,  Ahmad Azrizal Tahir, Ng Soon Siang dan Ahmad Razaaim Azimi.

Ujarnya lagi, MBPP sememangnya melakukan pemeriksaan berkala di tempat-tempat tumpuan umum, terutamanya lokasi yang terletak di bawah selenggaraan pihak majlis seperti kompleks makanan, pasar dan lain-lain. 

"Bagi saya, dalam isu tikus, mana-mana tempat di dalam dunia walaupun di negara maju seperti United Kingdom, Jepun dan Singapura juga menghadapi masalah tersebut dan kita perlu langkah pengawalan yang sempurna,” tegas beliau lagi.

Menurut Ah Teong, seramai 14 anggota MBPP bertanggungjawab dalam menangani isu tikus, dengan melakukan pemeriksaan sekerap dua atau tiga operasi tiap-tiap bulan.

“Selain itu, sejak tahun 2013, MBPP juga mewajibkan semua kedai makan, restoran, hotel dan kedai kopi perlu melantik syarikat kawalan serangga dan haiwan perosak bagi memastikan premis mereka terkawal dari masalah tersebut. Itu juga salah satu syarat untuk memperbaharui lesen perniagaan,” katanya lagi.

Ahmad Azrizal pula memberitahu, kini MBPP menggunakan racun tikus, yang dilihat lebih berkesan berbanding kaedah terdahulu dengan menggunakan perangkap.

“Biasanya kita akan letakkan racun bersama umpan seperti roti di kawasan sempit dan gelap jadi ianya tidak menjadi isu sama ada haiwan lain seperti kucing dan anjing akan tersalah makan.

"Tambahan pula, roti bukanlah makanan yang digemari anjing dan kucing,” jelas Ahmad Azrizal.

Katanya, komuniti sendiri perlu menjaga kebersihan persekitaran, dengan mengelakkan amalan membuang sisa makan sesuka hati.

“Sisa makanan selalunya menjadi punca utama dan apabila MBPP menguatkuasakan pengasingan sisa (di punca), ianya diharap lebih membantu dalam mengurangkan isu tikus di bahagian pulau,” katanya.

MBPP sepanjang tahun 2009 hingga Februari 2016 direkodkan berjaya menangkap sebanyak 112,608 ekor tikus.

Ahli Majlis DAP gesa JKR naik taraf jalan dekat Masjid Teropong Tg. Bunga

(Dari kiri) SAMAD Fadzil, Roslan Abu Bakar dan Chris Lee Chun Kit, menunjukkan simpang di hadapan Masjid Tanjung Bunga, yang sering menjadi lokasi kemalangan, sejurus sidang media di sini baru-baru ini.

TANJUNG BUNGA - Jabatan Kerja Raya (JKR) digesa segera memasang lampu isyarat serta mewujudkan lintasan pejalan kaki di persimpangan hadapan Masjid Terapung Tanjung Bunga di sini.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Chris Lee Chun Kit berkata, trafik antara Jalan Batu Feringghi ke Persiaran Tanjung Bunga  sememangnya kerap berlaku kemalangan dan ada di antaranya membawa pada maut.

"Ini melibatkan nyawa manusia dan ianya tidak boleh dikompromi. 

"Pada awal Mac, seorang remaja (pelajar sekolah) terbabit kemalangan di sini dan patah tangan," ujar beliau pada sidang media di sini baru-baruini. 

Hadir sama, Pengerusi Kariah Masjid Tanjung Bunga, Roslan Abu Bakar dan Timbalannya, Samad Fadzil.

Sementara itu, Samad memberitahu aspek keselamatan di sini wajar dititikberatkan memandangkan masjid ini sering kali dikunjungi pelancong tempatan dan luar negara.

"Pada bulan Disember 2015 pun sudah ada kemalangan maut di sini. 

"Sebagai sebuah masjid pelancongan, kita perlu utamakan keselamatan pengunjung," katanya lagi.

Menurut beliau, permohonan berwajib sebenarnya  dikemukakan kepada pihak JKR sejak tahun 2010 lagi.

Namun, katanya lagi, pihaknya dimaklumkan bahawa JKR tiada peruntukan untuk kedua-duanya projek penarafan yang dicadangkan itu.

Rayer harap Pusat Ulangkaji dorong belajar berkumpulan, budaya membaca

R.S.N. RAYER (berdiri tengah, belakang) bersama-sama dua pemimpin komuniti setempat lain saling berinteraksi dengan pelajar-pelajar, selepas Majlis Perasmian Pusat Ulangkaji dekan Taman Tun Sardon di sini baru-baru ini.

SERI DELIMA - Pusat Ulangkaji yang baru dibuka di sini beroperasi mulai jam 8.00 malam hingga 10.00 malam pada hari bekerja, serta 10.00 pagi hingga 12.00 tengah malam pada Sabtu dan Ahad.

Semasa merasmikan pusat itu, ADUN Seri Delima, R.S.N. Rayer berharap inisiatif tersebut akan mendorong pelajar setempat untuk mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan.

Katanya lagi, budaya membaca serta kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan sekaligus mampu mengubah nasib keluarga ke arah yang lebih baik, kelak.

Selepas majlis perasmian pusat itu, Rayer turut meramahi murid-murid serta memberi suntikan semangat kepada mereka supaya gigih memburu kecemerlangan dalam peperiksaan di sekolah.

WARIS pelajar-pelajar setempat turut menyertai Majlis Perasmian Pusat Ulangkaji yang disempurnakan oleh R.S.N. Rayer di sini baru-baru ini.

1,200 sertai kayuhan malam 'Earth Hour' 2016

MOHD. Rashid Hasnon (dua dari kanan) melakukan acara pelepasan peserta sempena Program Earth Hour 2016 baru-baru ini.

PANTAI JEREJAK – Seramai 1,200 orang menyertai acara kayuhan malam sempena Program Earth Hour 2016, sejurus acara memadamkan lampu secara serentak tepat detik 8.30 malam pada 19 Mac lepas.

Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berharap kempen yang dianjurkan saban tahun itu terus menyemarak kesedaran komuniti mengenai pripenting menjimatkan tenaga serta memulihara alam.

"Tahniah, kehadiran anda bukan sahaja sebagai tanda sokongan tetapi agen membantu meningkatkan kesedaran umum berhubung isu-isu alam sekitar. 

“Ini adalah usaha (kempen Earth Hour) berterusan, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat agar prihatin dengan isu-isu alam sekitar, khususnya isu pemanasan global,” ujarnya pada majlis perasmian tersebut. 

Mohd. Rashid yang juga ADUN Pantai Jerejak turut merakamkan penghargaan kepada sebuah pasar raya terkemuka di sini kerana menganjurkan kempen tahunan pada kali ini. 

Sempena kempen kali ini, turut dianjurkan acara pertunjukan pentas, berzumba dan cabutan bertuah di sini.

Ahli Parlimen Bayan Baru, Sim Tze Tzin, ADUN Sungai Pinang, Lim Swee Khim, Pengarah Bangunan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Ar. Yew Tung Seang dan Pengerusi Persatuan BOF (Bike on Friday), Datuk Dr. Lim Seh Guan turut sertai kempen nilai tersebut.

MOHD. Rashid Hasnon (berbaju putih) bersama kira-kira 40 anak muda melakukan kayuhan 'Prelude To Earth Hour' baru-baru ini. 
Terdahulu, Mohd. Rashid dan kira-kira 40 peserta lain menjayakan program kayuhan ria sebagai Prelude To Earth Hour dari Pantai Jerejak ke perkarangan pantai Queensbay di sini.

Program itu dianjurkan secara tahunan di KADUN Pantai Jerejak, sejak empat tahun lepas.

TMP: Orang awam, 60 peratus nelayan beri reaksi positif, respons Kon Yeow


GEORGE TOWN - Siri-siri taklimat awam mengenai Pelan Induk Pengangkutan (TMP) Pulau Pinang serta projek tambakan laut di bahagian Selatan Pulau sebelum ini mendapat reaksi positif.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow bagaimanapun berkata, hanya 60 peratus nelayan yang ditemui memberi reaksi positif mengenai rancangan menangani kesesakan trafik di negeri ini. 

"Dengan adanya kajian PTP ini, proses pelaksanaan akan mempertimbangan semua kesulitan dan cadangan rakyat Pulau Pinang yang membawa keberkesanan secara holistik terhadap pengangkutan dan pengurusan lalu lintas serta membawa lembaran baru untuk maju ke tahap hadapan,” kata Kon Yeow yang juga ADUN Padang Kota di Komtar, pagi tadi.

Ketua Penolong Setiausaha Bahagian Kerajaan Tempatan Pulau Pinang, K. Vishantini dan Azmi Mohamad (wakil komunikasi PDP) turut sertai sidang media itu.

Kon Yeow sekali lagi menjelaskan hasil tambakan laut bukan sahaja untuk membiayai kos pemajuan TMP, bahkan untuk memastikan semua kepentingan serta aset pengangkutan awam tersebut dimiliki oleh Kerajaan Negeri dan rakyat.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melantik Konsortium SRS sebagai rakan pelaksana projek (PDP) tersebut.

Selepas mendapat 'lampu hijau' daripada Kerajaan Negeri pada 21 Oktober tahun lalu, PDP mula berusaha mendapat semua kelulusan berwajib daripada agensi negeri dan agensi persekutuan, termasuk Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Selain mengadakan rundingan-rundingan awam, PDP turut berusaha mendapatkan kelulusan Penilaian Impak Sosial (SIA) dan Kajian Terperinci Impak Alam (DEIA) terlebih dahulu, sebelum memulakan kerja-kerja pelaksanaan TMP ini.

Difahamkan, TMP terdiri oleh skim pengangkutan awam atas landasan (railway scheme) seperti jajaran transit aliran ringan (LRT), monorail dan sistem bas rapid transit (BRT), meliputi bahagian Pulau dan Seberang Perai.

Satu lagi skim adalah mengenai pemajuan beberapa jajaran lebuh raya secara bersepadu (highway scheme), termasuk dari bahagian Pulau merentasi laut ke Seberang Perai.

Projek pemajuan LRT dari Komtar ke Bayan Lepas, menghampiri Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang  (LTAPP) di sana merupakan antara projek utama dalam TMP yang akan dilaksanakan kelak.

Ketua Menteri, Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam satu kenyataan sebelum ini memberitahu, TMP yang menelan belanja kira-kira RM27 bilion akan dilaksanakan mulai tahun depan sehingga 2030, serta diharap menangani masa kesesakan yang dialami rakyat sehingga tahun 2050.

Pulau Pinang arah semua masjid, surau tunai solat sunat mohon hujan

ABDUL Malik Abul Kassim.

GEORGE TOWN, 24 Mac (Bernama) -- Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) mengarahkan semua masjid dan surau di negeri ini menunaikan solat sunat Istisqa' bagi memohon hujan berikutan fenomena El Nino sejak beberapa bulan lalu. 

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama dan Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna negeri Datuk Abdul Malik Abul Kasim berkata setiap masjid turut disaran membaca khutbah khas dan kaifiat (panduan) berhubung perkara itu yang disediakan Jabatan Mufti Pulau Pinang.

Beliau berkata Masjid Daerah Barat Daya akan memulakan solat sunat Istisqa' bermula pukul 8.30 pagi Isnin ini yang dijangka dihadiri kira-kira 2,000 orang jemaah. 

"Saya menyeru para ahli khariah Pulau Pinang menunaikan solat Istisqa' ini secara berterusan mengikut kesesuaian masa dan tempat yang ditentukan oleh pihak jawatankuasa masjid khariah masing-masing," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Abdul Malik berkata kerajaan negeri juga merancang untuk mengadakan solat sunat Istisqa peringkat negeri yang tarikhnya akan ditentukan kelak

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus