19 April 2016

Rashid Hasnon harap projek taja kaki palsu Lions Club dapat tajaan orang ramai

MOHD. Rashid Hasnon (tiga dari kiri) cuba menyarungkan kaki palsu contoh kepada Choo Kye Hern (berbaju kotak) sambil ditemani oleh kedua ibu bapa kanak-kanak berkenaan, selepas sidang media dekat Komtar di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN - Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon berharap orang ramai menyumbang dana sebanyak mungkin melalui Lions Club of Penang Light (Lions Club), demi menjayakan kerja-kerja kebajikan kepada golongan terpilih untuk kerja-kerja kebajikan kepada golongan terpilih di negeri ini.

Beliau berkata demikian ketika menyerahkan sumbangan bantuan Lions Club berupa kaki palsu kepada Choo Kye Hern, 10, dekat Komtar di sini baru-baru ini.

Ayah kanak-kanak berkenaan, Choo Chuan Jin, 46, memberitahu bahagian kaki kanan anaknya terpaksa dipotong kerana mengidap sakit Neurofibromas Jenis 1, iaitu sejenis gangguan genetik sejak bayi.

Pun begitu, Chuan Jin berkata, sumbangan kaki palsu ini seakan mengurangkan penderitaan hidup anaknya sejak empat bulan lalu.

“Ini adalah keputusan yang paling sukar untuk kami buat. 

“Meskipun susah untuk kami menerima kenyataan, tapi ini adalah keputusan terbaik untuk Kye Hern ekoran pembedahan yang dilakukan pada tahun 2014 tidak menunjukkan kesan positif.

"Selepas tempoh setahun pembedahan, kakinya membengkok semula, justeru itu, Disember lalu atas nasihat pakar, kaki kanannya terpaksa dipotong sehingga ke paras lutut,” ujar Chuan Jin kepada pemberita.

Difahamkan, sumbangan kaki palsu itu adalah sebahagian daripada program Lions Prosthetic Limbs Project, di bawah kendalian Pengerusi Program, Leslie Hong. 

Menurut Gabenor Daerah Lions Club, John Loh, sumbangan kaki palsu jenis prostetik tersebut dianggarkan bernilai RM15,000, termasuk kos penyelenggaraan selama dua tahun. 

Hubungi Lions Club atas talian 04–228 1091 untuk mendapatkan info lanjut atau menyalurkan sumbang dana kebajikan untuk golongan terpilih di negeri ini.

Dr. Afif perjelas kejayaaan ekonomi negeri kepada rombongan Semenyeh, Selangor

DR. Afif Bahardin (duduk, kiri), Hamidi A. Rahman (duduk, kanan) serta peserta rombongan dari Semenyih, Selangor merakamkan gambar kenang-kenangan semasa melawat Komtar di sini baru-baru ini.

GEORGE TOWN - Rombongan 50 pengunjung dari Selangor diketuai Pegawai Penyelaras KADUN (PPK) Semenyih, Hamidi A. Hasan bertandang ke Pejabat Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin di sini baru-baru ini.

Dr. Afif berkata kesempatan itu dimanfaatkan dengan menjelaskan mengenai rekod kejayaan Kerajaan Negeri hari ini dalam memajukan ekonomi Pulau Pinang serta program-program kebajikan yang disediakan untuk rakyat.

“Ini adalah lawatan biasa dan saya menerangkan beberapa perkara mengenai Kerajaan Negeri seperti program-program kebajikan yang dibuat sejak tahun 2008 hingga kini,” jelas Dr. Afif kepada pemberita di Bilik Mesyuarat Unit Pembangunan Ekonomi Negeri Pulau Pinang (UPEN), Komtar.

Dr. Afif memberitahu, rombongan pada 21 Mac turut dibawa menjelajah Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Seberang Jaya, serta Parlimen Permatang Pauh yang kini diwakili oleh Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail.

Pada majlis itu, Dr. Afif menerima cenderahari daripada Hamidi, sebelum acara merakamkan gambar kenang-kenangan serta majlis jamuan.

Dalam kenyataan balas, Hamidi mempelawa Afif mengatur rombongan serupa ke Semenyih demi mengeratkan lagi silaturahim kedua-dua belah pihak.

Pelaburan ke Pulau Pinang pada tahun 2014 adalah ketiga tertinggi di belakang negeri Johor, dan Sarawak, dengan Selangor di kedudukan keempat terbaik.

Laporan Lembaga Kemajuan Perindustrian Malaysia (MIDA) dipetik mendedahkan, keseluruhan pelaburan di Pulau Pinang berjumlah RM8.2 bilion (RM8,162,372,366), iaitu RM3,048,778,075 daripada pelabur domestik dan baki RM5,113,594,291 daripada pelabur asing. 

Jumlah keseluruhan pelaburan ke Pulau Pinang bagi tahun 2013 pula berjumlah RM3.9 bilion (RM3,912,256,265), iaitu RM2,117,861,775 daripada pelaburan domestik dan baki RM1,794,394,490 daripada pelaburan asing.

Berasaskan rekod dwi tahunan itu, sekaligus menunjukkan pelaburan ke Pulau Pinang bagi tahun 2014 meningkat kira-kira 109 peratus berbanding tahun 2013.

Itu tidak termasuk pengumuman baru-baru ini berhubung jumlah tunggakan Kerajaan Pulau Pinang kepada Kerajaan Persekutuan adalah paling rendah berbanding negeri-negeri lain, iaitu sebanyak RM1.5 juta sahaja.

Manakala, jumlah hutang terkumpul Kerajaan Pulau Pinang kepada Pusat sehingga tahun 2015 turut berada pada kedudukan paling rendah, iaitu sebanyak RM69.36 juta berbanding RM625.44 juta ketika tampuk pemerintah berpindah tangan daripada pemimpin Umno Barisan Nasional pada tahun 2008.

Jual produk kreatif dari rumah di Handmade Market, nasihat Chong Eng

PARA pelajar teruja melihat keychain dan uncang duit yang dipamerkan di Handmade Market di Komtar baru-baru ini. 

GEORGE TOWN – Empat kali dalam setahun Pusat Latihan Kraftangan Apple (Apple) dengan kerjasama Persatuan Seni Jahitan Kreatif (PSJK) membuka gerai pameran di pasar raya terpilih di negeri ini, untuk menerima serta memasarkan produk kraftangan yang dihasilkan dari rumah.

Justeru, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berharap kesempatan itu direbut oleh surirumah, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) untuk menghasilkan produk kretif demi menjana pendapatan masing-masing.

"Wanita, khususnya surirumah, ibu tunggal serta OKU sendiri seharusnya berdikari menjana pendapatan sendiri.

“Wanita perlu lebih kreatif, bukan sahaja dalam menghasilkan produk kraftangan, tetapi ia termasuk cara memasarkan produk mereka, dengan tidak seharusnya bergantung kepada cara konventional sahaja," jelas Chong Eng yang juga ADUN Padang Lalang di depan kira-kira 150 peserta pada Majlis Pelancaran Handmade Market Peringkat Negeri Pulau Pinang, di sini baru-baru ini. 

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim serta Pengasas Epal, Fully Chye turut menyertai majlis tersebut.

CHONG Eng (kanan) cuba memakaikan scarf jahitan tangan kepada Lim Siew Khim ketika mengadakan lawatan ke salah sebuah booth pameran di baru-baru ini.
ANTARA hasil seni jahitan kreatif kraftangan beg yang dihasilkan dari rumah, yang didapati di gerai pameran Majlis Pelancaran Handmade Market Peringkat Negeri Pulau Pinang dekat Auditorium A Komtar di sini baru-baru ini.
Chong turut memuji inisiatif Epal dan PSJK atas insiatif menganjurkan Handmade Market tiga bulan sekali.

“Di sana (Handmade Market), peserta boleh menjual produk mereka. 

"Dalam tempoh tiga bulan itulah peserta boleh menguruskan tempahan dan menghasilkan produk HMM di rumah sahaja tanpa perlu mengabaikan tanggungjawab mereka sebagai suri rumah,” jelas Chong Eng yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC).

Beg, keychain, pakaian bayi, cadar bercorakan seni tampal dan 'bantal berkarektor' antara produk seni jahitan kreatif yang dihasilkan serta boleh didapati di pasar kraftangan tersebut.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus