04 June 2016

Ulat Tiket dan dogma "Kalau Melayu tak tolong Melayu, siapa lagi nak tolong Melayu"

PENULIS dan "Abang Murad" merakamkan gambar kenang-kenangan di Terminal Sementara Penang Sentral di sini tengah hari tadi.
ALHAMDULiLLAH, bas ekspres MARA Liner bertolak dari Butterworth ke TBS tepat pada waktu 12.00 tengah hari ini, seperti dijadualkan.

Apabila badan dimamah usia, kecerdasan tidak lagi seperti di Universiti Malaya dahulu.

'On job training' kian sulit, dan mujur pengalaman ada sebagai bekal.

Maka, kalau bas dijadualkan bertolak jam 12.00 tengah hari, selalu saya sampai paling lewat di terminal bas hampir setengah jam lebih awal.

Seperti tengah hari ini, saya berpeluang mengecaj telefon pintar, sambil mencerap keadaan sekekiling yang saya lihat dan dengar di Terminal Sementara Penang Sentral.

'Ulat Tiket'
Di terminal ini, ada empat syarikat bas ekspres 'sebenar' ke Kuala Lumpur, iaitu MARA Liner, Transnational, Konsortium dan Cepat Ekspress.

Kalau ke Timur Semenanjung Malaysia, Mutiara adalah satu-satunya bas ekspres 'sebenar'.

Selain yang disebut, sebenarnya adalah 'bas lompat', iaitu berhenti lebih satu hentian sebelum ke destinasi akhir.

Tidak kiralah sama ada berserakan dengan pas kerja dan sebagainya, semua itu 'bas lompat'.

Hampir semua 'ulat tiket' adalah Melayu. Tauke pula, ada Melayu dan banyaknya Cina.

Ulat tiket tiada gaji minimum. Gaji mereka berdasarkan komisen jual tiket dengan ambil untung atas angin.

Di sini, ada 'Ulat Tiket' bekerja sampai lebih 14 tahun. Beliau dah tua, tetapi tiada caruman SOKSO dan KWSP.

Hari-hari mereka mengejar komisen, tetapi mereka tiada wang caruman untuk hari tua yang sepatutnya dilakukan oleh majikan berwajib.

Kalau 'Ulat Tiket' menjarah keuntungan atas angin dengan menjual tiket kepada pengguna dalam kadaran lebih mahal, mereka tetap rugi kerana tiada kesedaran mengenai hak mereka sebagai pekerja.

Yang paling untung adalah tauke, tidak kira Melayu atau Cina, dan sebab itu mereka lebih suka 'Ulat Tiket' tiada kesedaran ini.

Konsumerisme 
DI kaunter MARA Liner tiada "Ulat Tiket". Maka, RM34.30 tambang untuk perjalanan ke Kuala Lumpur, yang saya bayar tadi termasuk insurans pelindungan.

Kalau pergi beli tiket di kaunter "bas lompat" lain pun, paling murah RM38.

Kalau beli daripada tangan 'Ulat Tiket', mungkin lebih mahal.

RM40 kalau dibeli tiket daripada 'Ulat Tiket' pada hari ini, dan biasa pada hari Ahad mencecah paling rendah RM45 untuk perjalanan sama ke Kuala Lumpur.

Sebenarnya harga tambang RM34.30 yang saya bayar ini adalah kadaran yang sama jika saya membeli di Terminal Bersepadu Selatan (TBS) untuk pulang ke negeri ini.

Sama kadar kerana di TBS pun tiada "Ulat Tiket" dan pengguna lebih untung.

Tinjauan & Cerapan 
Hampir sejam juga saya duduk di kerusi penjual tiket depan Kaunter MARA Liner, terima kasih kepada eksekutif jualan yang saya panggil sebagai "Abang Murad".

Hasil tinjauan di sini, didapati buruh asing daripada kalangan Bangladesh dan Nepal akan terus membeli tiket di kaunter bas ekspres yang sebenar.

Begitu juga warganegara berketuruan Cina, mereka tidak akan membeli tiket walaupun di kaunter 'bas lompat' yang dimiliki oleh Tauke Cina sendiri.

Namun, pengguna Melayu akan beli tiket atas tangan 'Ulat Tiket' berbangsa Melayu juga, dengan kadaran tambang yang lebih mahal.

Dan, kalau saya pertikai  'depan-depan', mungkin kena 'lengkong' dengan segelintir 'Ulat Tiket' ala-ala samseng, tak terurus serta busuk di sini.

(Bukan semua begitu, ada seorang 'Ulat Tiket' punya cun macam Mira Filzah hahaha cukup mengganggu projek observasi serta perasaan saya hahaha)

Kalau tak kena 'lengkong' pun, kedengaran lafaz sakeral seperti, "Kalau Melayu tak tolong Melayu, siapa lagi nak tolong Melayu."

Adakah jual tiket dengan menjarah untung atas angin kepada Melayu itu suatu pertolongan, atau suatu penipuan?

Kalau betul nak tolong Melayu, patut hapuskan 'Ulat Tiket'.

Kalau betul nak bantu Melayu, pemilik 'bas lompat' perlu mulai memberi gaji minimum kepada jurujual tiket serta mencarum KWSP untuk mereka.

Saya tidak berniat untuk menyinggung orang Melayu apabila saya sebut isu berbangkit ini.

Ini kerana, saya nak pengguna dan Melayu yang terbabit dengan sedikit ini sedar mengenai hak mereka masing-masing.

Sesungguhnya, kesedaran tak mengenal kaum atau agama.

Selepas observasi, terdetik juga saya, "adanlah pengguna bas ekspres daripada kalangan buruh asing di sini lebih sedar mengenai hak mereka, berbanding warganegara.

"Dah jadi rakyat Malaysia dan lebih lama tinggal di Malaysia, boleh lagi tergopoh-gapah membeli tiket daripada 'Ulat Tiket' dan sanggup ditipu mengenai jadual perjalanan bas sampai berjam-jam.

"Macam mana Melayu boleh percaya dan bayar tambang kepada segelintir 'Ulat Tiket' yang selekeh, watak ala samseng serta bua  badan begitu busuk," tanya saya kepada Abang Murad.

E-Ticketing System
Hujung tahun depan, kompleks Penang Sentral yang sedang dibina oleh MRCB mungkin siap.

Macam-macam cakap di bawah. Ada yang bersetuju dan sebaliknya. 

Saya berharap Pulau Pinang boleh melaksanakan 100 peratus e-ticketing system semacam di TBS.

Sistem e-tiket ini bukan sahaja mampu menghapuskan sindiket 'Ulat Buku' serta akan pro konsumerisme.

Bahkan, ia mampu mengangkat martabat jurujual tiket biar sampai dapat gaji minimum serta ada caruman dilakukan oleh majikan.

Di negara maju, pemilik perkhidmatan pengangkutan awam sudah tidak lagi jual tiket atau tempat duduk, tetapi "menjual masa perjalanan" kepada pengguna.

Ambil contoh pesawat AirAsia, kadaran tiket lebih murah jika ditempah lebih awal atau waktu promosi, demi melatih pengguna supaya merancang perjalanan lebih awal.

Secara implisit, AirAsia sendiri sebenarnya mengaut keuntungan daripada tempahan tiket awalan.

Ertinya, sebelum pesawat terbang AirAsia sudah untung!

Kerajaan Negeri, khususnya Exco Kerja Raya, Pengangkutan dan Utiliti, Sdr. Lim Hock Seng diharap meneroka jalan agar sistem pengangkutan awam darat di negeri ini pun bertaraf antarabangsa. 

Biar Kerajaan Negeri sudah mengaitkan profit untung, sebelum mood-mood pengangkutan awam yang dinyatakan dalam Pelan Induk Pengangkutan (TMP) mula beroperasi.

Dari aspek lain, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) disyor memuatkan pelaksanaan e-ticketing system ini dalam garis panduan berwajib, berdasarkan bidangkuasa Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) negeri (jika boleh).

Sesungguhnya perubahan sosial boleh digerakkan melalui empat pendekatan secara bersepadu, iaitu (1)pendidikan; (2)undang-undang; (3)revolusi dan jalan raya (4)konstruktif.

(Pendekatan konstruktif adalah mewujudkan kerangka perubahan supaya mereka yang berada dalam kerangka itu sekaligus berubah. Contoh, mewujudkan e-ticketing system sekaligus akan mengubah minda pengguna serta menghapuskan gejala 'Ulat Tiket')

Tujuan saya menulis artikel di atas adalah untuk mengubah dogma saya dan para pembaca sahaja, menggunakan pendekatan pendidikan.

Wallahu 'alam.

ZAINULFAQAR YAACOB 
Blogger

Zainulfaqar Yaacob 


6 Jun 2016 | 14:24 | Sungai Perak
R&R Sungai Perak

0194241583
y.zainulfaqar@gmail.com
faqar.blogspot.com

Bahaya kalau beri 'pisau tajam' kepada orang jahat



"Sepi. Membaca. Bubur McD..." Inilah ekspresi saya sambil melayan buku dan bubur di McDonald's Bandar Sunway dekat Seberang Jaya 4.15 pagi Sabtu 4 Jun 2016 di sini.


RESPONS FIQH SAYA:
Barangkali orang baik akan guna pisau tajam untuk potong sayur.

Tapi, orang jahat akan guna pisau tajam yang sama untuk memeras atau menzalimi hatta membunuh jiwa lemah yang lain. 

Jadi, bahaya kalau beri pisau tajam kepada orang jahat.

Begitu juga lah dengan Hudud, keadilan syariat Allah tidak dipertikai pun, semacam kita tak pertikai kegunaan pisau yang tajam untuk tujuan yang baik. 

Tetapi, rejim akan menyalahgunakan hudud sebagaimana mereka menyalahgunakan undang-undang draconian tertentu untuk menzalimi rakyat yang menentang mereka. 

Contoh,  kegunaan SOSMA, Akta Hasutan dll untuk menentang pemberontakan rakyat ke atas penyelewengan kewangan serta kuasa di bawah pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, belakangan ini. 

Justeru, jangan beri peluang kepada rejim zalim Umno untuk memanjangkan kezaliman pada pemimpin mereka dengan memanipulasi polemik Hudud. 

RUU355 bukan Hudud sebagaimana didakyah oleh pemimpin PAS yang cenderung pada kepemimpinan kotor Najib.

Sempena PRK Kuala Kangsar dan Sungai Besar, ayuh rakyat bersama-sama Pakatan Harapan, menolak projek kezaliman yang dimuslihatkan oleh PAS serta Umno Barisan Nasional.

Ingat! Bahaya jika beri 'pisau tajam' kepada orang jahat.

Ingat! Bahaya jika Hudud disalahguna oleh pemimpin hipokrit PAS, Umno BN.

Mari menekuni nasihat daripada sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud:

"Telah menceritakan kepada kami Abul Walid telah menceritakan kepada kami Al Laits daripada Ibn Syihab daripada 'Urwah daripada Aisyah, bahawa Usamah pernah mengajak Nabi S.A.W berdialog untuk memberi keringanan terhadap seorang wanita, maka Nabi bersabda: Sesungguhnya telah binasa umat terdahulu (disebabkan) mereka menegakkan hukuman kepada orang-orang yang lemah, dan meninggalkan hukuman bagi pemimpin bangsawan, Demi Dzat yang jiwaku berada di tangan-Nya, jika Fatimah melakukan hal itu, aku potong tangannya."

حَدَّثَنَا أَبُو الْوَلِيدِ حَدَّثَنَا اللَّيْثُ عَنْ ابْنِ شِهَابٍ عَنْ عُرْوَةَ عَنْ عَائِشَةَ أَنَّ أُسَامَةَ كَلَّمَ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي امْرَأَةٍ فَقَالَ إِنَّمَا هَلَكَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ أَنَّهُمْ كَانُوا يُقِيمُونَ الْحَدَّ عَلَى الْوَضِيعِ وَيَتْرُكُونَ الشَّرِيفَ وَالَّذِي نَفْسِي بِيَدِهِ لَوْ أَنَّ فَاطِمَةَ فَعَلَتْ ذَلِكَ لَقَطَعْتُ يَدَهَا

(رواه البخاري، رقم : 6,289)

Wallahu 'alam.

ZAINULFAQAR YAACOB
Wartawan

BILIK OPERASI MASYARAKAT PASMA
Jalan Daeng Selili, Kuala Kangsar

Jumaat | 3 Jun 2016 | 4.47 petang
#PRKKualaKangsar2016

019 424 1583
y.zainulfaqar@gmail.com
faqar.blogspot.com

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus