20 December 2016

Daftar masuk Universiti Awam di Sarawak, Sabah layak dapat RM1,200 mulai tahun depan, umum Guan Eng

KETUA Menteri (tengah) menyampaikan RM1,000 Bantuan Daftar Masuk Universiti kepada seorang mahasiswa, sambil disaksikan oleh barisan Exco Kerajaan Negeri lain di Dewan Milenium Kepala Batas di sini pada lewat petang tadi.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD 

BERTAM - Mulai tahun hadapan, mahasiswa yang melanjutkan pengajian ke Universiti Awam di Sabah dan Sarawak sahaja akan diberi RM1,200 Bantuan Daftar Masuk Universiti Awam. 

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata pertambahan RM200 itu bagi menampung kos penerbangan mahasiswa peringkat sarjana muda dan diploma, sebagaimana disyor oleh kebanyakan ibu bapa baru-baru ini. 

"RM1,200 ini bukan diberikan pada kali ini, tapi untuk tahun hadapan, anak-anak yang melanjutkan pengajian ke peringkat universiti di Sabah dan Sarawak layak untuk menuntut daripada kita (Kerajaan Negeri) sejumlah RM1,200.

"Manakala, mereka yang mendaftar masuk ke Universiti Awam dan beberapa universiti terpilih lain di Semenanjung Malaysia layak mendapat bantuan sedia ada sebanyak RM1,000, seperti kali ini," jelas Guan Eng pada Majlis Penyampaian Bantuan Daftar Masuk Universiti Peringkat Seberang Perai di Dewan Milenium Kepala Batas di sini lewat petang tadi.

Turut berucap, Timbalan Ketua Menteri II, Prof. P. Ramasamy dan Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin.

Hadir sama, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh, Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengakutan dan Utiliti), Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bagan Dalam, A. Thanasekharan, Dato' Mohd. Salleh Man (ADUN Permatang Pasir) dan Soon Lip Chee (ADUN Jawi).

Dalam perkembangan lain, Guan Eng berkata Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini sedar bahawa mahasiswa juga seperti rakyat, turut mengalami kos sara hidup yang tinggi serta menaikkan yuran pengajian di sesetengah Universiti Awam.

Katanya, kenaikan kos sara hidup mahasiswa adalah susulan pada kenaikan harga komoditi, bahan bakar serta langkah Kerajaan Pusat sejak 1 April 2015 melaksanakan Cukai Barangan & Perkhidmatan (GST).

Pada malam ini, seramai 498 mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda dan 238 penuntut diploma dari Daerah Seberang Perai Utara (SPU) menerima bantuan berwajib sejumlah RM736,000.

Bagi Daerah Seberang Perai Tengah (SPU), seramai 602 mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda dan 215 penuntut diploma menerima bantuan berwajib sejumlah RM817,000.

Manakala, 289 mahasiswa peringkat ijazah sarjana muda dan 79 penuntut diploma lain dari Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) menerima bantuan sama berjumlah RM368,000.

"Dalam tempoh lapan tahun (2008 hingga 2015), Kerajaan Negeri mencatatkan 'untung' (lebihan kewangan) sebanyak RM574 juta, berbanding RM373 juta (surplus) yang dicatatkan oleh Kerajaan Negeri terdahulu (era Barisan Nasional)  dalam tempoh 50 tahun (1957 hingga 2007).

"Hasil 'untung' ini,  Kerajaan Negeri dalam tempoh lima tahun ini telah menyumbang kira-kira RM8,860,000 di Seberang Perai belakangan ini,  iaitu RM3,457,000 untuk pelajar universiti dari SPU, RM3,766,000 di SPT dan RM1,637,000 di SPS.

LEONG Khai Wen 

Sementara itu, penerima, LEONG KHAI WEN, 20, yang ditemui kemudian berkata RM1,000 Bantuan Daftar Masuk Universiti itu akan digunakan untuk membeli buku rujukan untuk sesi semester pengajian akan datang.

"Sebagai anak Pulau Pinang, saya bangga kerana dihargai oleh Kerajaan Negeri hari ini. 

"Lazimnya yuran pengajian dipotong (secara langsung) daripada PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional), maka bantuan RM1,000 daripada Kerajaan Negeri akan disimpan, untuk membeli buku rujukan yang diperlukan nanti," ujar beliau, mahasiswa tahun 1 Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP).

Mahasiswa tahun 1 Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), SITI NASIHAH ROSLI, 19, pula berkata RM1,000 itu akan digunakan untuk menampung kos sara hidup di kampus kelak, jika terdesak.

"Mesti rasa bertuah kerana Ketua Menteri sendiri menyampai bantuan RM1,000 ini, sangat bangga sebagai anak Pulau Pinang.

"Yuran pengajian lebih RM600 setiap semester, tapi saya fikir RM1,000 mungkin saya belanja untuk kecemasan ketika semua barang keperluan sekarang secara umumnya agak mahal," jelas Siti Nasihah.

P. Thiviyashni (dua dari kiri) bersama-sama N. Poopathi (paling kanan) dan A. Nawanitham tiga dari kiri) berpeluang merakamkan gambar kenang-kenangan dengan Ketua Menteri selepas selesai Majlis Penyampaian Bantuan Daftar Masuk Universiti Peringkat Seberang Perai di Dewan Milenium Kepala Batas di sini lewat petang tadi.

Nada sama turut diluahkan oleh penerima,  P. THIVIYASHNI, 20, mahasiswa jurusan Pengajian Asia Tenggara di Universiti Malaya dekat Kuala Lumpur.

"Saya begitu gembira, pertama sebagai anak jati Pulau Pinang yang dihargai oleh Kerajaan Negeri, dan kedua, saya bersama-sama ibu bapa saya berpeluang merakamkan gambar dengan Y.A.B. Lim Guan Eng.

"Saya masih tiada rancangan khusus untuk membelanja RM1,000 bantuan ini, tetapi kos sara hidup yang tinggi di Kuala Lumpur, sudah pasti saya akan berbelanja wang pemberian ini pada sesi pengajian akan datang," seloroh Thiviyashni diiringi ibu, A. Nawanitham, 49, dan bapa, N. Poopathi, 49.

Guan Eng difitnah tolak RM220 juta untung, Chang Yeow terima Notis Tuntutan Guaman

  
KETUA Menteri pada Majlis Rumah Terbuka Hari Krismas anjuran PDC di Bayan Lepas petang tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

BAYAN LEPAS - Pengerusi GERAKAN Pulau Pinang Teng Chang Yeow diberi notis tuntutan guaman gara-gara mengfitnah Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng, kononnya menolak keuntungan RM220 juta dalam suatu rundingan berkaitan pembangunan masa depan Pulau Jerejak, sebelum ini.

"Pihak saya telah pun memberi notis tuntutan guaman kepada Teng (Chang Yeow).

"Kalau dia (Chang Yeow) tidak mampu mengemukakan bukti kepada media seperti yang saya tuntut, bolehkah dia mengemukakan bukti di mahkamah," jelas Guan Eng pada Majlis Rumah Terbuka anjuran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) di Kompleks PDC Bayan Lepas di sini.

Hadir sama, Timbalan Ketua Menteri I Dato' Mohd. Rashid Hasnon yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN Pantai Jerejak), Dato' Abdul Malik Abul Kassim (Exco Hal Ehwal Agama Islam, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna), Lim Hock Seng (Exco Kerja Raya, Pengakutan dan Utiliti) serta Dato' Rosli Jaafar (Pengurus Besar PDC).

KETUA Menteri menyerahkan cek replika RM2,000 kepada "Miss Josephine", wakil Persatuan Kebajikan Shawwah Butterworth pada Majlis Rumah Terbuka Hari Krismas PDC di sini, petang tadi.

KETUA Menteri menyerahkan sejumlah wang tunai kepada Tan Goek Hua, 58, serta anaknya Kh'ng Hui Ying, 14, iaitu ahli keluarga kepada mendiang Kh'ng Hoe Keong, pemandu teksi yang ditembak mati dalam satu kejadian di negeri ini baru-baru ini.

Dalam salinan Notis Tuntutan Guaman Guan Eng merujuk pada kenyataan Chang Yeow pada 16 November lepas, yang disiarkan dalam portal berita The Star Online.

Laporan atas talian itu antara lain menggambarkan PDC akan mendapat keuntungan sebanyak RM220 juta melalui penjualan 49 peratus kepentingan Tropical Island Resort Sdn. Bhd. (TIRSB), jika membatalkan rundingan dengan Q Island Development, iaitu syarikat subsidiari Ideal Properties.

Lagipun, agensi persekutuan UDA Holdings Berhad yang menguasai 51 peratus kepentingan dalam TIRSB pada 8 November lepas dilaporkan mengaku akan menjalankan projek usahasama dengan Q Island Development di Pulau Jerejak kelak.

Guan Eng memberitahu, penjualan 49 kepentingan PDC dalam TIRSB kepada Idea Properties dengan nilai harga RM156 juta membawa pulangan hasil keuntungan sejumlah RM140.6 juta buat agensi kerajaan negeri berkenaan.

Patut Azmin syor PKR, BERSATU bergabung...

TUN Dr. Mahathir Mohamad diapit oleh Azmin Ali dan Tan Sri Muhyiddin Yasin (Presiden BERSATU) dalam sidang media mengenai Deklarasi Rakyat di Kuala Lumpur, Mac lalu.


Oleh: Zainulfaqar Yaacob

Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akhirnya tampil mencadangkan perbincangan lanjut mengenai idea PKR bergabung dengan AMANAH.

Selama ini, ramai ingat syor penggabungan itu adalah idea Timbalan Ketua AMK Dr. Afif Bahardin secara peribadi.

Memetik laporan Malaysiakini, Azmin menegaskan setiap pihak diharap tidak mewarisi "cara pemikiran lama" kerana ia bukanlah "reformasi" yang diharapkan.
"Tujuan kita bergabung itu kerana kedua-dua parti mempunyai kekuatan. PRM merupakan parti yang lama, yang telah diuji. PKR parti yang baru dan muda. Kalau kita gabungkan itu akan jadi suatu kekuatan baru," dalih Timbalan Presiden Parti KeADILan Rakyat (PKR) merangkap Menteri Besar Selangor itu.
Di sini, tak perlulah disebut lagi - apkah nasib Parti Rakyat Malaysia (PRM) selepas bergabung dengan KeADILan, sehingga lahirlah PKR.


Kalau boleh diperpanjang di sini, terfikir juga - mengapa Azmin tidak mengesyor PKR bergabung dengan Pan Malaysia Islamic Party?

Penggabungan itu adalah pakej politik yang lebih baik untuk menguatkan PKR, khususnya pasukan Azmin dalam konteks Selangor pada PRU14 nanti.

Mungkin memang itulah yang bersarang dalam fikiran Azmin, PKR boleh tewas di Selangor jika Pan Malaysian Islamic Party tidak berada dalam blok Pakatan Harapan.

Di Permatang Pauh semalam, seorang pemimpin PKR ada memberitahu bahawa Naib Presiden parti Sdr. Rafizi Ramli yang mengasaskan INVOKE sendiri dihalang masuk berpidato di Parlimen berkenaan.

Layanan dingin itu kerana Rafizi antara pemimpin parti yang menentang idea memgheret PKR terus bekerjasama dengan Pan Malaysian Islamic Party di Selangor.

"Mungkin Azmin, Dr. Afif dan Sdr. TIan Chua sendiri secara peribadi tak percaya pada PAS (Pan Malaysian Islamic Party).

"Sebab itu, mereka mencadangkan PKR bergabung dengan AMANAH," dalih beliau sambil mengaku dirinya bukan dalam blok 'kartel' parti.

Kalau begitu, syor Azmin itu bukan kerana AMANAH kuat dan mampu menguatkan lagi PKR.

Seorang Komrad Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) ada minum dengan saya tengah hari ini di Komtar.

Dan, menarik juga naratif politiknya ketika mengulas mengenai ijtihad politik Azmin.

"Yang mencadangkan 'Kajang Move' dahulu Pak Khalid Jaafar, tapi hujung krisis dalaman PKR mengangkat Azmin menjadi Menteri Besar hingga kini.

"Jangan terkejut jika hujung krisis dalaman parti kini (baca: syor PKR dan AMANAH) akan membawa parti masa depan itu bergabung dengan BERSATU, kerana tiap-tiap serampang politik Azmin ada dua mata," jelas 'Orang Kuat' parti tersebut di Komtar.

Sukar juga memberi ulasan lanjut. Pertama, SAMM yang diasaskan oleh Sdr. CheguBard mempunyai sentimental politik yang tajam dengan 'pasukan Azmin'.

Kedua, kerana saya sendiri masih anggap Azmin adalah 'aset berharga' PKR, sebagaimana Ketua Menteri Pulau Pinang Sdr. Lim Guan Eng di sisi DAP.

Tapi, kalau itu berbenak dalam hati Azmin pun, anggaplah cadangan PKR bergabung dengan BERSATU ini lebih pada menguatkan perjuangan parti secara dalaman.

Kalau Azmin berhasrat menguatkan parti, maka, bergabung dengan BERSATU lebih kuat daripada syor asal beliau yang mahu PKR bergabung dengan BERSATU. 

Akar umbi PKR boleh menerimanya kerana Azmin sebelum ini pun beberapa kali menegaskan bahawa dirinya langsung tiada sentimen peribadi untuk bekerjasama dengan BERSATU yang ditunjangi bapa angkatnya, Tun Dr. Mahathir Mohamad.

Penggabungan PKR dan BERSATU nanti bukan membawa pengetian legasi Dr. Mahathir akan mengetepikan legasi Sdr. Anwar Ibrahim dalam arus perjuangan yang asal KeADILan dulu.

Penggabungan PKR dan BERSATU ini untuk merampas mandat rakyat daripada pemimpin kleptokrasi Datuk Seri Najib Tun Razak pada pilihan raya umum nanti.

Kalau semua ini ada dalam pertimbangan para mujtahid politik PKR, Pan Malaysian Islamic Party, BERSATU dan AMANAH sendiri, eloknya cadangan Azmin agar idea mega penggabungan parti-parti itu dipertimbangkan oleh semua.

Setuju?

RM3 juta untuk bangunkan desa, termasuk bantu ekonomi Melayu – Dr. Afif

DR. Afif Bahardin (dua dari kiri) menyampaikan kunci replika Projek Bina Rumah Baru Perumahan Rakyat kepada Rabihah Abdul Manap dalam majlis Jelajah Desa 2016 Peringkat KADUN Timur Laut di sini baru-baru ini.

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD

SERI DELIMA - Sebanyak RM3 juta diperuntukan dalam Bajet 2017 Kerajaan Pulau Pinang di bawah Projek Ekonomi Khas, dengan memberi fokus pada projek pembinaan rumah baru, baiki rumah dan projek bantuan peralatan untuk masyarakat terpilih.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Perumahan, Dr. Afif Bahardin berkata demikian ketika program Jelajah Desa 2016 di Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Penaga, Bertam serta di Daerah Timul Laut baru-baru ini.

"Projek Ekonomi Khas ini memang untuk semua kaum yang layak, tidak benar sekiranya disebut Kerajaan Negeri hari ini tak bantu orang Melayu dari segi berniaga atau meningkatkan taraf hidup mereka.

"Contoh, Projek Bina Rumah Baru Perumahan Rakyat bernilai RM40,000 untuk penerima, Rabihah Abdul Manap dekat Jalan Persiaran Sungai Gelugor Dua di sini merupakan salah satu inisiatif Kerajaan Negeri di bawah Projek Ekonomi Khas ini," jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya pada program Jelajah Desa 2016 di sini baru-baru ini.

Selain itu, katanya sejumlah RM200,000 yang diperuntukan dalam belanjawan 2017 akan dibelanjakan untuk menganjurkan program-program pembangunan modal insan.

"RM200,000 ini demi melahirkan warga yang bermotivasi dan berdaya saing, dan harapan kita (Kerajaan Negeri) bahawa mereka yang menyertai program modal insan akan menjadi warga yang optima untuk bersama-sama membangunkan ekonomi negeri Pulau Pinang," jelas Dr. Afif lagi.

DR. Afif Bahardin (kiri) menyerahkan cek replika RM500 kepada wakil Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) Tanjong Tokong, untuk pembangunan aktiviti ekonomi desa setempat di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Dr. Afif berkata, Kerajaan Negeri menyedari terdapat begitu banyak 'kampung warisan Melayu' dan akan menyalurkan bantuan berwajib kepada mereka yang layak.

Di Daerah Timur Laut, Dr. Afif menyampaikan bantuan peralatan bernilai RM2,968 berupa gerai, meja, pemanas kopi dan 12 unit plastik kepada penerima, Lizarosnita Zakariah.

Md. Amin Babjan dan isteri, Zarina Shaari turut menerima mesin pengadun krip puff bernilai RM2,980, yang mempu menyediakan sehingga 300 krim puff sehari untuk dipasarkan di KADUN Air Itam serta kawasan sekitar daerah ini.

Selepas itu, jelajah desa Dr. Afif seterusnya ke Masjid Tuan Guru dekat Tanjung Tokong.

Di sini, Dr. Afif menyertai kenduri rakyat serta menyampaikan bantuan kelengkapan persekolahan kepada 50 pelajar terpilih.

DR. Afif Bahardin (belakang, tengah) bersama-sama pemimpin komuniti setempat merakamkan gambar dengan para penerima wang bantuan seragam sekolah di sini baru-baru ini.

Dalam perkembangan berasingan, Dr. Afif turut menyerahkan replika kunci Projek Bina Rumah Baru bernilai RM40,000 kepada seorang ibu tunggal, Jamilah Zainol, 45, di Kampung Pasir Gebu.

Dr. Afif turut menyampaikan 10 ekar tanah pendudukan sementara (TOL) kepada Othman Mohd. Isa di Kampung Tepi Laut Pasir Gebu untuk peladangan nipah dan perusahaan air nira.

Pada kesempatan sama, beliau turut melawat Khatijah Zainon, 39 di Taman Penaga Permai, iaitu penerima mesin ketuhar bernilai RM2,100 pada tahun lalu.

Menurut Khatijah, bantuan di bawah Projek Ekonomi Khas ini membolehkan beliau menghasilkan 300 biji kuih seperti karipap, cucur badak, popia dan sebagainya dalam sehari sahaja.

"Seperti di Daerah Timur Laut, Kerajaan Negeri di Permatang Pak Elong dekat Penaga juga bina baru rumah rakyat untuk Encik Saad, berusia 85 tahun dan tinggal dengan isteri sahaja dengan pendapatan bulanan RM350 hasil sawah.

"Selepas ini, Jelajah Desa 2016 seterusnya ke Surau Al-Mutaqin dekat Bandar Putra Bertam kerana di sana ada seramai 12 penerima Bantuan Peralatan Fasa D bagi Daerah SPU (Seberang Perai Utara) juga, berupa mesin jahit, pembakar, pengisar, peti sejuk, periuk, dapur, kerusi dan meja, kanopi dan sebagainya untuk kegunaan perniagaan, demi meningkatkan pendapatan komuniti desa," jelas Dr. Afif lagi.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus