21 April 2017

Guan Eng sokong Orang Asli pertahan hak tanah di hutan Kelantan



Oleh : ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri Pulau Pinang, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng hari ini menzahirkan sokongan penuh terhadap perjuangan Orang Asli mempertahankan tanah tempat tinggal mereka di dalam hutan daripada aktiviti pencerobohan dan pembalakan, seperti di Kelantan.

"Sejak tahun 2006, Pulau Pinang merupakan satu-satunya negeri yang langsung tidak menyentuh dan meneroka Hutan Simpanan Kekal, selari dengan aspirasi untuk menjadikan negeri ini sebagai 'Negeri Hijau dan Sihat'.

"Apa yang berlaku di Kelantan semata-mata untuk membersihkan hutan, untuk tarah hutan, untuk mendapat hasil.

"Kita tidak seharusnya korbankan nasib Orang Asli tanpa memberikan sekurang-kurangnya sebab tempat tinggal mereka mesti diceroboh dengan aktiviti pembalakan," jelasnya pada Majlis Keraian Jamuan Tengah Hari 32 Aktivis Muda Orang Asli di sini tengah hari tadi.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan memberitahu, laporan rasmi Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia mendedahkan penerokaan Hutan Simpanan Kekal terbesar sejak tahun 2006 adalah di Pahang dengan keluasan 161,379 hektar (ha), diikuti Kelantan dengan keluasan 157,919 ha.

Justeru, beliau yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan merayu kepada Kerajaan Kelantan supaya tidak lagi mengabaikan perjuangan Orang Asli mempertahankan hak tanah mereka di Gua Musang, semata-mata demi mendapat hasil pembalakan daripada peneroka swasta.

Dalam perkembangan lain, Guan Eng menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Pakatan Harapan (PH) Pulau Pinang baru-baru ini berdiri bersama-sama 27 keluarga asal Kampung Permatang Tok Subuh dekat Machang Bubok, yang berdepan dengan risiko pengusiran daripada tuan tanah serta pemaju swasta.

Implisitnya, menurut beliau, tuan tanah swasta bersetuju untuk memberikan pampasan setimpal kepada penduduk asal kampung tersebut untuk membina kediaman baharu di atas sebidang tanah lain pemberian Kerajaan Negeri.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong dalam ucapannya sebelum itu memberitahu bahawa program lawatan sambil belajar anak muda Orang Asli dari Kelantan, Pahang, Perak dan Sarawak ke negeri ini adalah sejak 19 Mac lalu.

"Selain berkongsi pengalaman dan perjuangan Orang Asli dengan penduduk Kampung Tok Subuh, anak muda yang terlibat dalam program ini turut dibawa melawat jabatan-jabatan Kerajaan Negeri serta didedahkan mengenai tadbir urus 'bersih' di negeri ini," jelasnya yang juga Pengarah Penang Institute (PI).

Beliau turut merakamkan penghargaan pada aktivis muda daripada Penggerak Komuniti Muda (PEKA) yang diketuai oleh Saudara Adam Adli Abdul Halim, kerana begitu banyak membantu perjalanan lawatan sambil belajar 32 anak muda Orang Asli terbabit.

Dalam pada itu, wakil Orang Asli, Sabariah Juru, 28, ketika berucap turut merakamkan penghargaan atas solidariti sokongan pentadbiran Guan Eng terhadap perjuangan hak tanah Orang Asli, termasuk di Kelantan.

"Kami telah belajar bagaimana Kerajaan (Negeri) Pulau Pinang ini memberi peluang kepada rakyatnya untuk 'memerintah', maksud saya bagaimana rakyat diberi peluang untuk membuat keputusan dalam pemerintahan sebuah Kerajaan.

"Kami Orang Asli, Kerajaan Persekutuan tidak memberi peluang kepada kami untuk membuat keputusan," ujarnya yang juga anggota Impian Malaysia, iaitu sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang gigih menyediakan kemudahan asas seperti bekalan air bersih di kawasan luar bandar, termasuk membabitkan komuniti Orang Asli.

Jadual : Keluasan Hutan Simpanan Kekal (HSK) Yang Dilesenkan Untuk Pengusahasilan Mengikut Status Tanah, 2006-2015 (ha)


Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus