Skip to main content

P.Pinang kembali 'kotor' jika dirampas BN, Guan Eng respons komentar BH




Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng membayangkan Pulau Pinang dengan tadbir urus kewangan secara berintegri sejak tahun 2008 akan kembali 'kotor' jika dirampas oleh Umno serta Barisan Nasional pada pilihan raya akan datang.

Beliau berkata demikian ketika mengulas komentar Dr. Iskandar Hasan Tan Abdullah berjudul 'DAP boleh tumbang di Pulau Pinang, yang disiarkan dalam akhbar Berita Harian, 18 April.

Tegasnya, barisan pemimpin Kerajaan Negeri serta rakyat perlu mengambil perhatian yang serius pada komentar Pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Politi, Universiti Teknologi Mara (UiTM).

"Apabila DAP (Parti Tindakan Demokratik) tumbang, PKR (Parti Keadilan Rakyat) pun akan tumbang, sama juga jika PKR tumbang DAP pun akan tumbang kerana kita saling bekerjasama.

"Bayangkan macam mana jika Barisan Nasional memerintah balik Pulau Pinang...yang sekarang 'bersih' akan jadi 'kotor'," respon Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan kepada menjawab soalan pemberita di Komtar pada tengah hari tadi.

Jika Kerajaan Pakatan Harapan hari ini tumbang, Guan Eng berkata, kemungkinan negeri Pulau Pinang akan menjadi sebuah Wilayah Persekutuan yang baharu sebagaimana dihasratkan oleh Menteri Wilayah Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, sebelum ini.

"Dan kemungkinan besar impian Tengku Adnan akan menjadi realiti, iaitu negeri Pulau Pinang akan menjadi Kerajaan Persekutuan," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.