Skip to main content

Siap MRT Kajang belanja duit mana, kenapa hutang Pusat tak bertambah?

PENULIS dalam perjalanan ke Seremban menaikan MRT Sungai Buloh, BRT lalu KTM Komuter pada 14 Julai 2017 kira-kira jam 12.50 tengah hari. Artikel ini adalah hasil wacana kecil-kecilan penulis secara peribadi di bawah projek DEKPOS atau Diskusi Ekonomi Politik Sosial.


Oleh: Zainulfaqar Yaacob

Wacana Ekonomi | Bank Pembangunan Infratruktur akan ditubuhkan jika Parti Buruh UK menang, kata John McDonnell mengasak Owen Smith sebagaimana dipetik dalam laporan berita atas talian TheGuardian pada 16 Julai 2016.

John McDonnell adalah Shadow Chancellor (baca: menteri kewangan bayangan), juga merupakan sekutu terkuat Jeremy Corbyn, iaitu calon perdana menteri bagi Parti Buruh UK.

Dalam Parti Buruh UK sendiri pun, Owen Smith serta penyokongnya sehingga kini percaya bahawa tanpa hasil dalam bentuk wang, sebuah Kerajaan Negara tidak boleh berbelanja lebih.

Namun, Jeremy Corbyn berpendapat sebaliknya. 

Jeremy Corbyn, ahli politik sosial demokrat itu acapkali menyebut bahawa sesebuah Kerajaan boleh menerbitkan Bon Kerajaan untuk membiayai projek infrastruktur negara, seperti rumah mampu sewa,  pelan induk pengangkutan awam dll.

Katanya lagi, Kerajaan melalui anak syarikatnya boleh menerbitkan Bon Jaminan Kerajaan untuk membiayai projek infrastruktur negara; atau penubuhan bank pembangunan milik penuh Kerajaan boleh terus memberikan pinjaman kredit untuk projek awam tersebut.

"Paling penting bukanlah wang, terapi dalam negara ini mempunyai tenaga buruh mahir yang cukup dan bahan mentah (untuk projek pembinaan) pun cukup.

"Mahasiswa di universiti perlu belajar elok-elok kerana projek infrastruktur negara ini memerlukan banyak tanaga buruh, kerana kami akan berbelanja lebih untuk membesarkan saiz ekonomi dan peluang kerjaya.

"(Dengan Kerajaan berbelanja lebih ini) ini, kita akan memulihkan semula industri Britain selepas bertahan-tahun diabaikan...membantu pemulihan ekonomi UK pasca-Brexit," kata Corbyn dalam suatu wawancara berasingan.

Sokongan John McDonnell baru-baru ini sekaligus menyanggah logik segelintir Ahli Parlimen daripada Parti Buruh UK yang memperlekeh Referandum UK yang dikongsi oleh Jeremy Corbyn.

Sebenarnya di tanah air kita pun, rata-rata ahli politik negara percaya bahawa Malaysia akan bankrap jika jumlah hutang tunggakan negara melebihi 55% KDNK.

Kalau hasil negara RM10 bilion, Kerajaan Pusat tidak patut berbelanja sampai RM30 bilion.

Akhirnya, kata segelintir mereka ini, elok projek infrastruktur negara ini diserahkan kepada sektor korporat yang tiada kaitan dengan Kerajaan.

Walhal sektor korporat yang tiada kaitan dengan Kerajaan pun tiada lah modal mencukupi, lalu mereka membuat pinjaman modal daripada bank atau firma kredit berwajib.

Tetapi, sesetengah ahli politik negara tidak berupaya memikirkan - bagaimana Malaysia boleh melaksanakan projek infrastruktur secara besar-besaran seperti yang dicetuskan oleh John McDonnell dan Jeremy Corbyn di UK?

Seperti UK, Kerajaan Malaysia di tanah air ini juga mempunyai kuasa atas Bank Negara Malaysia, birokrasi perundangan dan hartanah.

Tapi, ada Ahli Parlimen Oposisi tertentu pernah menyatakan bahawa blok partinya akan menyekat fasa ketiga MRT, jika pentadbiran Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tumbang dalam PRU14 nanti.

Dalihnya, langkah sebegitu wajar untuk mengekang lambakan hutang tak berbayar yang ditanggung oleh Kerajaan Persekutuan pada hari ini.

Malaysiakini pada 17 November lalu melaporkan Ahli Parlimen oposisi berkenaan mendakwa pentadbiran Najib sendiri secara tidak langsung mengesahkan kos keseluruhan Projek Transit Aliran Massa (MRT) boleh mencecah RM100 bilion.

Pernahkah kita terfikir, mengapa hutang negara tak meningkat RM21 bilion, walhal fasa kedua MRT Kajang ke Sungai Buluh sudah siap?

Fasa kedua projek MRT itu menggunakan dana daripada sumber mana, jika tidak secara langsung dibiayai oleh Kerajaan?

Jawapannya mudah, Kerajaan Negeri melalui Kementerian Kewangan menubuhkan 'syarikat RM2' bernama Dana Infra Limited Co. dan firma milik 100% persekutuan itulah yang menerbitkan Bon Jaminan Kerajaan, untuk satu lagi syarikat subsidiari Pusat bernama Prasarana sendiri membina projek MRT tersebut.

Bon Jaminan Kerajaan inilah yang dibeli oleh agensi swasta dan bank-bank konvensional kerana risiko pelaburan paling selamat dan untung.

Ini adalah hutang korporat, dan ia bukanlah hutang terkumpul Kerajaan Pusat secara langsung.



Ertinya, birokrasi kewangan dengan menerbitkan Bon Kerajaan atau Bon Jaminan Kerajaan termasuk syor penubuhan Bank Pembangunan Infrastruktur yang 100 peratus dimiliki oleh Kerajaan Pusat merupakan salah satu kaedah untuk membesarkan saiz ekonomi negara selari dengan peningkatan populasi rakyat (baca: buruh mahir dan lambakan graduan universiti).

Bayangkan Pakatan Harapan mencadangkan penubuhan Bank Pembangunan Infrastruktur demi membina 100,000 unit rumah mampu sewa, selepas rejim kleptokrasi tumbang.

Agak-agak muafakat politik (baca: tahaluf siyasi) Pakatan Harapan bersifat politik personaliti kerana Tun Dr. Mahathir Mohamad saling bekerjasama dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam isu siapa perdana menteri?

Atau, manifesto yang lebih 'marketable' untuk anak muda terbanyak yang menghadapi masalah sukar mendiami rumah selesa dan peluang kerjaya dengan gaji lumayan?

Bayangkan...