Skip to main content

Guan Eng rakam penghargaan atlet P.Pinang di Sukan SEA 2017 sumbang 43 pingat

KETUA Menteri.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng petang tadi merakamkan penghargaan kepada barisan atlet Pulau Pinang yang berjaya menyumbang 22 pingat emas, perak (14) dan gangsa (7) kepada skuad kebangsaan Malaysia dalam temasya Sukan SEA Ke-29 2017 di Kuala Lumpur.

"Atlet Pulau Pinang yang menyertai skuad kebangsaan seramai 55 orang, dan menyumbang 43 pingat kepada Malaysia.

"Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) tentunya berasa bangga dengan pencapaian semua atlet, khususnya dari Pulau Pinang.

"Syabas kepada semua atlet yang telahpun mengharumkan nama Malaysia, khususnya ketika kita akan menyambut Ulang Tahun Ke-60 Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini," jelasnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik pada sidang media di Komtar di sini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yewo dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Malam tadi, Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan dalam sukan Asia Tenggara kali ini dengan mengutip 111 pingat emas, perak (75) dan gangsa (85).