Skip to main content

42% Bursa Malaysia dikuasai GLC, apa faedahnya untuk rakyat terbanyak?

PENULIS tengah ‘mengangkang’ sambil menulis secara kecil-keadilan mengenai politik ekonomi di lobi DUN Pulau Pinang pada 13 November 2017 jam 9.10 malam. Terima kasih kepada sahabat, Cik Looi Sue-Cern (wartawan The Malaysia Insight) kerana sudi mengambil gambar ‘wow’ penulis. 


Oleh: Zainulfaqar Yaacob

DEKPOS | Diskusi Ekonomi Politik Sosial 


Wacana Ekonomi | Pegangan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dalam Bursa Malaysia semakin meningkat sejak Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi perdana menteri.


Sinar Harian Online pada 7 Januari 2012 melaporkan, Kerajaan Persekutuan melalui GLC ketika itu, secara purata memiliki 4O% daripada 100 saham utama dalam indeks KLCI Bursa Saham Malaysia.


Daripada angka 40% itu, Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memiliki 13%, Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) (12%), Khazanah (9%) dan Permodalan Nasional Bhd (7%).


Free Malaysia Today pada 25 Julai 2017 melaporkan GLC menguasai kira-kira 68,000 syarikat dan 42% dalam Bursa Malaysia.


Gambarannya di sini, ekonomi Malaysia secara umum kian dikuasai kembali oleh Kerajaan Persekutuan melalui GLCs, sungguhpun sebelum itu ketika Tun Dr. Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri telah melaksanakan pelbagai dasar penswastaan hatta banyak projek pengangkutan awam diserahkan kepada kroni tertentu.


Faedah


Tentulah semua kita bertanya, apakah faedah apabila pegangan GLC ini kian meningkat dalam Bursa Malaysia?


Mari kita lihat dasar pembangunan pengangkutan awam negara, dahulu dan sekarang.


Contoh, RM143 juta untuk projek KL Monorel diluluskan Jemaah Menteri pada Jun 1989. 


Mulai 2003, operasi KL Monorel diuruskan oleh syarikat kroni swasta, dengan kos operasi mencecah RM1.183 bilion.


Akhirnya, syarikat operasi swasta bankrap, lalu diambil alih oleh GLC Prasarana pada tahun 2007 dengan kos RM882 juta.


Dasar penswastaan ketika itu seakan menguntungkan syarikat kroni, kemudian bankrap, lalu diambil alih oleh Kerajaan Persekutuan melalui terbitan bon korporat oleh GLC sendiri.


Bayangkan jika Kerajaan Pusat tidak mengambil alih (baca: bail-out), langkah awal yang diambil oleh syarikat kroni swasta itu antaranya adalah membuang sebilangan pekerja untuk mengurangkan kos operasi dan beban kewangan korporat.


Dan, mungkin juga kos penyelenggaraan juga turut dikurangkan, hatta mendedahkan risiko kemalangan kepada pengguna KL-Monorel tersebut.


Apabila Prasarana mengambil alih KL - Monorel, tentulah sedikit banyaknya menyumbang pada peningkatan penguasaan GLC dalam Bursa Malaysia, seperti disebut di atas.


Kalau ditanya, apakah faedahnya untuk rakyat? 


Jawapannya adalah tahap keselamatan pengguna KL Monorel lebih bagus, dan buruh warganegara yang terlibat dalam operasi syarikat pengangkutan awam itu tidak disingkir kerja.



Kroni Rugi, Rakyat Untung?


Beberapa ahli politik oposisi serta economis mesra pembangkang seakan dingin dengan projek MRT (sekarang fasa III) yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan hari ini.


Walhal, projek pengangkutan awam ini tidak menambah jumlah hutang terkumpul persekutuan, kerana melalui Kementerian Kewangan diperbadankan (MoF Inc.) firma milik penuhnya Dana Infra Limited Co. menerbitkan Bon Jaminan Kerajaan, manakala syarikat subsidiari Pusat bernama Prasarana sendiri membina projek MRT tersebut.


Selepas siap, projek ini tidak akan menjadi milik mana-mana kroni, tidak berdepan risiko syarikat operasi swasta bankrap, hatta tidak perlu diambil alih Kerajaan Pusat, seperti kes KL Monorel.


Apabila siap semua fasa MRT ini, tentulah kepentingan GLC Khazanah umpamanya dalam Bursa Saham akan terus meningkat. 


Dan, peningkatan kepentingan GLC dalam Bursa Malaysia memberi gambaran bahawa dasar penswastaan seperti era Dr Mahathir kian merugikan mana-mana kroni.


Apabila kroni atau segelintir puak rugi melalui dasar pembangunan progresif sepeti yang dilaksanakan oleh Kerajaan Persekutuan kini, ertinya ia akan menguntungkan rakyat terbanyak.


Rakyat terbanyak yang untung ini bukan sahaja seluruh rakyat Malaysia yang menggunakan MRT, malah jurutera, jurubina, perunding profesional, operator perkhidmatan, juruteknik, buruh binaan dll yang terlibat dalam projek pemajuan pun turut untung. 


Itu, tidak termasuk lagi sub-kontraktor swasta yang turut terlibat dalam pemajuan MRT tersebut.


Daripada satu segi lain, semua kaum pekerja ini bekerja dengan Prasarana dan Dana Infra. 


Dan, kedua-dua GLC itu boleh dikatakan sebagai ‘jalur Melayu (malay belt) kerana orang Melayu lah paling rakai bekerja dalam Prasarana dan DanaInfra ini.


Apabila ada segelintir ekonomis Pakatan Harapan dilihat dingin serta mungkin menentang projek MRT, tidakkah oposisi seolah-olah menentang profesional Melayu?


Patut pembangkang mencermati semua segi politik, termasuk risiko tindakannya yang boleh menjarakkan sokongan daripada Melayu Profesional.


Kalau benarlah pengguna, buruh serta profesional Melayu sebulat kata untuk menjarakkan sokongan kepada Pakatan Harapan, sudah tentu itu menguntungkan UMNO dan rejim kleptokrasi Najib.






Saranan


Sepatutnya Pakatan Harapan mengasak Pusat supaya membina MRT, ECRL, Monorel, BRT, ETS di Pulau Pinang juga.


Jika Kerajaan Pusat melalui beberapa GLCnya menerbitkan Bon Korporat dan membina sendiri Pelan Induk Pengangkutan (TMP) bernilai kira-kira RM47 bilion, ertinya rakyat Malaysia di Pulau Pinang.


Penerbitan Bon Korporat melalui GLC, ertinya tidak akan menambahkan hutang terkumpul persekutuan, tapi akan menambah aset milik Kerajaan.


Lebih ramai buruh profesional dan graduan menganggur akan mendapat kerjaya dengan upah buruh yang lebih baik kerana majikan mereka adalah GLC dan Kerajaan sendiri.


Rakyat, tidak kira parti wajar mengasak Kerajaan Pusat dan pihak pembangkang untuk menyokong langkah pemodalan besar-besaran (industrialization capitalsm) ini.


Ini ‘Manifesto Merah’ kita, yang akan menguntungkan rakyat dan buruh terbanyak, bukannya segelintir puak kroni - ‘For The Many, Not The Few’!


Setuju?