20 December 2017

Pakatan perlu muktamadkan Guan Eng calon Menteri Kewangan

PENULIS di Pahlawan Walk, Melaka Bandaraya Warisan Dunia UNESCO, jalan-jalan sambil membeli baju T di sini, untuk anak-anak buah di Pulau Pinang.


Oleh: Zainulfaqar Yaacob

#DEKPOS | Diskusi Ekonomi Politik Sosial 


Wacana Politik Isu “Siapa Perdana Menteri Pakatan Harapan” bukan lah isu baru yang diledakkan oleh parti-parti lawan.


Tapi, pemimpin Pakatan Harapan, terutamanya daripada Parti Tindakan Demokratik (DAP) senantiasa berada pada posisi defensif apabila isu ini meledak dalam massa.


Patut, pakatan oposisi menimba lebih banyak pengalaman kerana selalu sangat diserang menggunakan ‘peluru politik’ yang sama.


Barisan Nasional, khususnya UMNO sedar pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘de facto’.


Hanya Anwar berupaya menyatukan kepelbagaian parti-parti pembangkang, termasuk Pan Malaysian Islamic Party, tetapi Anwar sekarang berada ‘di dalam’.


Kerana Pakatan Harapan semacam sudah ada calon perdana menteri interim, sebab itulah UMNO terus meledakkan ‘peluru politik’ yang sama.


Tersebar lah dakyah, khususnya di kalangan Melayu, kononnya Lim Kit Siang atau Lim Guan Eng akan menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan memenangi PRU14 nanti.


Baru-baru ini pun, Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai pun senada dengan propagandis UMNO, menyebarkan dakyah bahawa kedua-dua pemimpin DAP berkenaan menuntut jawatan perdana menteri.


Hatta, Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang, dalam reaksi spontan kepada pemberita di Komtar pada tengah hari tadi, seakan mengeluarkan kenyataan defensif.


Guan Eng, Setiausaha Agung DAP kebangsaan berkata  48 jam diberikan kepada Tiong Lai untuk memohon maaf atau berdepan dengan risiko saman fitnah.


Bercakap mengenai disiplin propaganda, sebenarnya corak permainan semacam bermain bola sepak juga.


Di padang bola, kalau permainan dalam posisi bertahan (defensif) sahaja, paling hebat pun hanya boleh mengikat perlawanan dengan seri 0-0 sahaja.


Sekali-sekala, pemain perlu bermain dalam posisi menyerang (ofensif), baru lah berpeluang membolos gawang lawan dan berjaya memburu kemenangan.


Seperti pemain bola sepak, patut propagandis DAP serta Pakatan Harapan wajar berada dalam posisi ofensif.


Kerana, “pertahan terbaik adalah menyerang”!


Persoalannya, corak serangan macam mana? 


Saya cadangkan Pakatan Harapan memuktamadkan pencalonan Guan Eng sebagai Menteri Kewangan, berdasarkan rekod tadbir urus kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang begitu cemerlang.


Kerana, MIDA melaporkan RM9.91 bilion pelaburan terkumpul ke Pulau Pinang dalam tempoh bulan Januari hingga September tahun ini (Q3 2017) di kedudukan nombor dua paling tinggi, di belakang Sarawak yang berjumlah RM10.52 bilion.


Laporan statistik agensi persekutuan itu turut mendedahkan RM8.03 bilion pelaburan asing langsung (FDI) ke Pulau Pinang dalam tempoh Q3 2017 juga di kedudukan paling tinggi berbanding semua negeri lain, termasuk Sarawak.


Ertinya, Guan Eng merupakan calon paling layak untuk mengisi kerusi Menteri Kewangan jika Pakatan Harapan memenangi PRU nanti.


Tidak kisah lah pencalonan ini datang daripada DAP sendiri atau parti-parti lain, kalau sudah dimuktamadkan serta “disimpul mati” oleh semua pemimpin Pakatan Harapan, sekaligus akan menghancurkan dakyah parti lawan ke atas pengundi-pengundi Melayu.


Tidak timbul lagi isu Guan Eng tuntut kerusi perdana menteri kerana Pakatan Harapan telah muktamadkan bahawa beliau calon Menteri Kewangan.


Kit Siang pun sama, propagandis serta Ahli Strategis Pakatan Harapan perlu muktamadkan posisi ahli politik veteran DAP itu - Menteri di Jabatan Perdana Menteri? Menteri Pemgangkutan? 


Atau, menteri apa? - asalkan pengundi Melayu terbanyak faham dengan jelas dan yakin bahawa Kit Siang bukan calon Perdana Menteri Pakatan Harapan.


Corak propaganda dalam posisi menyerang sebegini wajar, sekurang-kurangnya membantu DAP untuk tidak terus jadi ‘kambing hitam’ atau ‘lembaga hantu’.


Muktamadkan Guan Eng sebagai calon Menteri Kewangan Pakatan Harapan, menghapuskan ketakutan pengundi Melayu terbanyak, untuk tidak lagi mengundi rejim kleptokrasi di PRU14 nanti.


Setuju?

No comments:

Post a Comment

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus