18 December 2017

Pelaburan terkumpul sehingga Sept. 2017 ke P.Pinang di kedudukan kedua tertinggi negara - Guan Eng

LIM Guan Eng.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - RM9.91 bilion pelaburan terkumpul Pulau Pinang dalam tempoh bulan Januari hingga September tahun ini di kedudukan nombor dua paling tinggi, di belakang Sarawak yang berjumlah RM10.52 bilion.

Memetik laporan statistik terbaru Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, angka RM9.91 bilion itu adalah lebih sekali ganda berbanding RM4.3 bilion peleburan terkumpul yang direkodkan sepanjang tempuh 12 bulan pada tahun 2016.

"Terima kasih kepada MIDA atas usaha yang mereka lakukan dan juga kepada rakyat Pulau Pinang yang turut sama-sama menyumbang ke arah (perkembangan) pelaburan tahun ini.

"(Dan) selain modal insan yang bermahiran tinggi, penyediaan infrastruktur yang efisien dan tadbir urus yang baik turut menjadi penyumbang terhadap percambahan pelaburan di negeri ini," jelasnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) kebangsaan di Komtar pada tengah hari tadi.

Pun begitu, Guan Eng memberitahu RM8.03 bilion pelaburan asing langsung (FDI) ke Pulau Pinang di kedudukan paling tinggi berbanding semua negeri lain, termasuk Sarawak.

Laporan statistik MIDA mendedahkan, pelaburan terkumpul ke Sarawak berjumlah RM10,518,444,919; diikuti Pulau Pinang (RM9,913,766,407), Johor (RM3,718,610,173), Melaka (RM3,211,212,620), Selangor (RM3,049,396,790), Kedah (RM1,289,945,993), Negeri Sembilan (RM896,908,928), Perak (RM871,733,763), Sabah (RM641,063,401), Perlis (RM525,000,000), Pahang (RM191,395,184), Terengganu (RM73,123,716), Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (RM57,540,408) dan terakhir Kelantan (RM4,200,000). Tiada rekod untuk Wilayah Persekutuan Labuan.

Menurut sumber sama, Guan Eng memberitahu 90 projek daripada keseluruhan 464 projek yang telahpun diluluskan adalah di Pulau Pinang, dengan RM1,882,310,557 jumlah terkumpul pelaburan domestik ke negeri ini selain FDI berjumlah RM8,031,455,850.

“Pulau Pinang mendahului dengan jumlah pelaburan asing berjumlah RM8.03 bilion berbanding Sarawak (RM351,489,945). 

“Manakala, pelaburan domestik Sarawak mencatatkan jumlah RM10.2 bilion dan Pulau Pinang (RM1.9 bilion)," jelas Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih.

27 Jun lalu, Guan Eng mengumumkan laporan statistik MIDA mengenai RM1.346 bilion pelaburan terkumpul ke Pulau Pinang dalam tempoh bulan Januari hinggga Mac 2017 (Q1 2017) adalah di kedudukan ketiga paling tinggi, di belakang Sabah (RM1.697 bilion) dan Sarawak (RM1.655 bilion).

No comments:

Post a Comment