29 March 2017

TYT wakili ZPP terima serahan zakat korporat TH RM2.18 juta



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

DATUK KERAMAT - Lembaga Tabung Haji (TH) petang ini menyerahkan zakat korporat bagi tahun 2016 sejumlah RM2.18 juta (RM2,178,499.84) kepada Zakat Pulau Pinang (ZPP).

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH, Datuk Seri Johan Abdullah yang menyerahkan zakat itu kepada Yang di-Pertua Negeri (TYT), Tun Dr. Abdul Rahman Abas di kediaman rasminya Seri Mutiara di sini.

Turut menyaksikan majlis penyerahan itu, Timbalan Ketua Menteri I, Dato' Mohd. Rashid Hasnon; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim; Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Dato' Mohd. Salleh Man; Mufti Negeri, Sohibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd. Noor; serta Pengurus Besar ZPP, Dato' Azman Abdul Somad.

Bercakap kepada pemberita, Johan memberitahu, pembayaran zakat TH bagi negeri ini mencatatkan peningkatan sebanyak 2.51 peratus berbanding RM2,125,105.49 bagi tahun 2015.

Menurutnya, jumlah keseluruhan pembayaran zakat meliputi semua negeri bagi tahun 2016 adalah sebanyak RM60.3 juta, berbanding RM59.3 juta bagi tahun 2015, dengan angka peningkatan kira-kira 1.69 peratus.

Kerajaan P.Pinang hasrat beri 3 hari cuti kepada ibu bapa bawa anak berusia di bawah 12 tahun ke hospital

CHONG Eng.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Pulau Pinang berhasrat melaksanakan pemberian tiga hari cuti bergaji setahun kepada kedua-dua ibu bapa dalam perkhidmatan awam, yang mahu membawa anak mereka berusia 12 tahun ke bawah untuk mendapatkan rawatan di hospital.


Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata, dasar itu telah pun diluluskan dalam mesyuarat exco Kerajaan Negeri pada pagi ini serta akan dilaksanakan, jika mendapat kelulusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) di bawah Kerajaan Pusat.

"Saya dan anggota Exco Kerajaan telahpun mengarahkan Setiausaha Kerajaan Negeri (Dato' Seri Farizan Darus) untuk membuat permohonan ini kepada Jabatan Perkhidmatan Awam, dan ia hanya boleh dilaksanakan selepas kelulusan diberikan oleh JPA," jelas Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan dalam sidang media di Komtar pada tengah hari tadi.

Turut serta, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tembatan Banjir, Chow Kon Yeow yang juga Pengerusi DAP Negeri; Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng; Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh; dam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee.

Menurut Guan Eng, hasrat itu asalnya adalah cadangan sayap wanita DAP dan diluluskan dalam Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti pada 27 Mac lalu, sebelum diketengahkan dalam Mesyuarat Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang pada pagi tadi.

Dalam sidang media sama, Chong Eng menyifatkan hasrat Kerajaan Negeri sebagai 'hadiah' menjelang sambutan Hari Buruh pada 1 Mei nanti, jika diluluskan JPA kelak.

Kerajaan P.Pinang umum pengecualian cukai 1,364 unit kediaman Gat Lebuh Mecallum



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN – Kerajaan Negeri Pulau Pinang hari ini memutuskan untuk memberi pengecualian cukai pintu bagi tahun 2016 dan 2017 membabitkan 1,364 unit kediaman pangsapuri di Gat Lebuh Mecallum.


Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata mesyuarat Exco Kerajaan Negeri membuat keputusan itu selepas mengambil kira asas permohonan yang dibuat oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Lau Keng Ee serta Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat, sebelum ini.

"(Pangsapuri) di Gat Lebuh Mecallum sebelum ini dikategorikan sebagai rumah pangsa sahaja, jadi MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) pada masa dahulu hingga sekarang tidak memasukkan sebagai KR (rumah kos rendah) atau KSR (kos sederhana rendah).

"Selepas diteliti, didapati rumah-rumah ini boleh dikategorikan sebagai KSR atau KR.

"Semua (1,364 unit kediaman yang dikenalpasti) layak untuk diberikan pengecualian cukai oleh MBPP (Majlis Bandaraya Pulau Pinang) bagi tahun 2016 dan 2017," jelas Kon Yeow yang juga ADUN Pdang Kota dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Komtar pada tengah hari tadi.

Selepas itu, Guan Eng memberitahu Kerajaan Negeri melalui MBPP dalam tempoh setahun dianggarkan akan kekurangan kekurangan kutipan hasil kira-kira RM172,023.85.

Difahamkan, 1,364 unit kediaman yang dikecualikan cukai tersebut adalah 78 unit di Blok 344, Blok 346 (88 unit), Blok 348 (160 unit), Blok 350 (88 unit), Blok 352 (160 unit), Blok 354 (160 unit), Blok 368 (160 unit), Blok 360 (160 unit), Blok 362 (160 unit), U-Shaped Blok 1 (73 unit) dan U-Shaped Blok 2 (77 unit).

Tunggu tindakan lanjut Pusat, Guan Eng respons isu Mahkamah Rayuan batal 'pengharaman' PPS



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN
- Kerajaan Pusat mulai 28 Mac masih mempunyai 30 hari untuk membuat permohonan di Mahkamah Tinggi Persekutuan bagi mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan membatalkan 'pengharaman' Pasukan Peronda Sukarela (PPS) negeri Pulau Pinang.

Justeru, Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng berkata Kerajaan Negeri akan mendapatkan nasihat guaman sebelum mengaktifkan semula operasi PPS, sementara menunggu tindakan selanjutnya daripada Pusat.

"Mereka boleh pergi ke Mahkamah Persekutuan dalam tempoh 30 hari, tetapi keputusan Mahkamah Rayuan adalah jelas 3-0, membuktikan penubuhan PPS oleh Kerajaan Negeri adalah menurut undang-undang.

"Saya fikir kami akan merujuk peguam kami dahulu," respons Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih kepada pemberita di Komtar, petang tadi.

Semalam, Mahkamah Rayuan membatalkan larangan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengisytiharkan PPS sebagai 'pertubuhan haram'.

Panel hakim diketuai oleh Datuk Tengku Maimun Tuan Mat, dan dianggotai oleh Datuk Kamardin Hashim dan Datuk Mary Lim Thiam Suan yang membuat keputusan tersebut.

Mereka sebulat suara mengketepikan keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 22 November tahun lalu, yang mengekalkan larangan KDN.

Mahkamah Rayuan juga memerintahkan semua bahan yang dirampas oleh Kementerian Dalam Negeri itu dikembalikan kepada organisasi berkenaan.

Pada perarakan perarakan hari kebangsaan pada 31 Ogos 2014, polis menangkap 157 anggota PPS dan merampas semua asetnya.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang kemudiannya memfailkan permohonan bagi semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang untuk membatalkan perintah KDN yang mengisytiharkan PPS negeri ini sebagai sebuah pertubuhan haram.

Dalam permohonan itu, Kerajaan Negeri menamakan Menteri Dalam Negeri, Ketua Polis Negara dan Kerajaan Malaysia sebagai responden dan antara lain memohon suatu perintah certiorari untuk membatalkan perintah yang dibuat Menteri Dalam Negeri pada 3 Nov 2014 yang mengisytiharkan PPS sebuah pertubuhan yang menyalahi undang-undang mengikut Seksyen 5(1) Akta Pertubuhan 1966.

Kerajaan negeri itu turut memohon suatu perintah mandamus bagi mengarahkan responden mengembalikan semua jaket, peralatan, lambang, senjata atau sebarang dokumen kepunyaan PPS.

Kerajaan negeri juga memohon suatu deklarasi bahawa PPS telah ditubuhkan secara sah dan betul oleh kerajaan negeri menurut Seksyen 101(v) Akta Kerajaan Tempatan, 1976.

Bagaimanapun, Hakim Mahkamah Tinggi Pulau Pinang Datuk Hadhariah Syed Ismail menolak permohonan itu atas alasan bahawa PPS tidak berdaftar mengikut Seksyen 101 (b) (5) Akta Kerajaan Tempatan yang memerlukan sesebuah pertubuhan itu didaftarkan.

Beliau berkata, seksyen itu hendaklah dibaca bersama Seksyen 2 Akta Pertubuhan 1966 bahawa sesebuah pertubuhan perlu mendaftar di bawahnya.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus