03 April 2017

Pulau Pinang rekod terbaru imej bulan paling ketara dirakamkan dari bumi Malaysia



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng memberitahu imej bulan yang berjaya dirakamkan menggunakan teleskop PIXO di Tech Dome Pulau Pinang adalah rekod reselusi paling tajam di tanah air ini.

"Buat kali pertama kita berjaya tangkap imej bulan menggunakan teleskop yang paling besar di wilayah Utara (Semenanjung Malaysia), yang disahihkan sebagai paling tajam di Malaysia," jelas Guan Eng kepada pemberita di Komtar pada 27 Mac lalu.

"Maka, saya berasa amat bangga dan ini (dirakamkan) di Tech Dome Pulau Pinang dekat Komtar, yang ditubuhkan oleh Kerajaan Negeri bersama-sama pihak swasta untuk menjadikan sains dan teknologi sebagai bidang yang begitu diminati oleh muda-mudi, khususnya pelajar-pelajar," jelas Guan Eng kepada pemberita di sini pada 27 Mac lalu.



Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo; Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng turut sertai sidang media tersebut di Komtar.

Hadir sama, Pengarah Tech Dome Pulau Pinang (PTD), Datuk K. K. Lim, Ketua Pegawai Eksekutif PDT, Dr. Khong Yoon Long; Presiden Persatuan Astronomi Pulau Pinang (ASP) Dr. Chong Hon Yew serta jurugrambar astronomi, Lim Choon Kiat.

Guan Eng memuji bakat serta pengalaman Choon Kiat dalam menjelaskan kaedah satu-satu imej bulan yang ditangkap serta dinilai sebagai rekod resolusi paling tajam di negara ini.

LIM Choon Kiat

Sementara itu, Choon Kiat memberitahu gambar bulan yang ditangkap adalah 20,000 dengan 10,000 piksel, mampu dicetak secara jelas dengan 529 sentimenter (sm) panjang dan 264 sm lebar.

Katany lagi, saiz foto terbesar ketika ini yang boleh dirakam adalah 100 gigabait.

Choon Kiat memberitahu beliau akan menyerahkan hasil pasukannya itu kepada Malaysia Book of Records, untuk direkodkan sebagai imej bulan paling ketara yang diambil dari tanah air ini.

Difahamkan, imej bulan beresolusi paling tajam di Malaysia itu diambil menggunakan 16" Officina Stellare teleskop dengan panjang fokus 3,200mm dilengkapi dengan kanta 2x Barlow kepada 6,400mm.


Kamera QHY5-290M, khusus untuk objek sistem solar.

Renang Antarabangsa Rentas Selat Pulau Pinang, sekali lagi imbau kenangan 1988

SEAWAL jam 5.30 pagi, peserta lengkap berpakaian sut renang menutup seluruh badan merakamkan gambar-kenangan di pantai Persiaran Gurney sebelum merentasi Selat Pulau Pinang ke Pantai Bersih di sini baru-baru ini. | Foto: FB Peng Hong Yeoh.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Tan Rupert dan Jose Luis Larossa Chorro muncul sebagai dua pemenang teratas dalam cabaran edisi ketiga Renang Antarabangsa Rentas Selat Pulau Pinang 2017 pada 25 Mac lalu, dari pantai Persiaran Gurney ke persisiran Pantai Bersih dekat Butterworth.

Ketika ditemui, Exco Belia dan Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Chong Eng berkata acara itu sebenarnya telahpun diadakan pada tahun 1988, dan cuba dihidupkan semula oleh Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini.

"Acara ini pernah diadakan pada tahun 1988 di sini, dan kita harap Penang International Cross Channel Swim ini akan menambahkan satu lagi acara tahunan dalam kelender pelancongan sukan negeri di peringkat antarabangsa.

"Kali ini, saya dapati hampir semua memakai pakaian renang menutup seluruh badan untuk elak tersentuh obor-obor seperti tahun lepas, dan ini ciri-ciri keselamatan yang bagus untuk acara peringkat antarabangsa," jelas Chong Eng kepada pemberita di sini baru-baru ini.

CHONG Eng (dua dari kiri) dan Maimunah Mohd. Sharif (tiga dari kiri) merakamkan gambar kenang-kenangan dengan Tan Rupert (paling kiri) dan Jose Luis Larossa Chorro (paling kanan) di lokasi penamat edisi ketiga Renang Rentas Selat Pulau Pinang Peringkat Antarabangsa 2017 di Pantai Bersih di sini baru-baru ini.

Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Dato' Maimunah Mohd. Sharif dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang (MSNPP) Dato' Frederick Tan Teck An antara pemimpin negeri yang hadir meraikan acara tahunan tersebut.

Chong Eng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Lalang turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Renang Amatur Pulau Pinang (PASA), MSNPP, MPSP serta beberapa pertubuhan lain yang saling bekerjasama menjayakan acara tersebut.

Manakala Maimunah pula memberitahu penganjuran acara tahunan tersebut sekaligus menyumbang pada usaha meremajakan lagi kawasan pelancongan Pantai Bersih, sebagaimana dirancang secara bersama antara MPSP dan Syarikat Think City Berhad (ThinkCity) di bawah Projek Butterworth Baharu.

Tradisi melepaskan ikan keli Afrika bunuh ekosistem Sungai Perai

DR. Afif Bahardin (kiri) diberi penjelasan oleh Noraisyah Abu Bakar mengenai bahaya 34 spesis ikan baka asing termasuk "Keli Afrika" mampu membunuh habitat tempatan lain jika dilepaskan ke Sungai Perai, ketika program lawatan di sini baru-baru ini.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BAGAN JERMAL - Upacara ritual yang laksanakan di sebuah kuil di Taman Sentral dekat Mak Mandin sejak tahun 2002 dengan melepaskan ikan keli baka asing dari Afrika dalam jumlah banyak ke Sungai Perai boleh mengakibatkan ekosistem habitat tempatan di sana kian terjejas.

Justeru, Exco Pertanian & Industri Asas Tani dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata, pemeriksaan berwajib yang dilaksanakan oleh Jabatan Perikanan Negeri mendapati Sungai Perai kini didominasi habitat ikan keli asing tersebut, hatta membahayakan ekosistem di sungai berkenaan.

Justeru, beliau menasihatkan kumpulan yang melaksanakan upacara ritual terbabit supaya melepaskan ikan baka tempatan sahaja pada masa hadapan.

"Ikan keli asing ini adalah karnivor, apabila dilepaskan terlalu banyak akan menjadi haiwan pemangsa dalam rantaian makanan serta akan memakan hidupan laut lain, seperti ikan-ikan kecil dan udang tempatan.

"Kita tidak pernah menghalang mereka daripada melaksanakan nazar melalui upacara ritual sebegini atas kepercayaan mereka bahawa ia boleh memanjangkan umur mereka.

Tetapi, gantikanlan ikan keli Afrika ini dengan melepaskan spesis tempatan seperti ikan lampam (ikan duri) atau udang (baka tempatan) yang dibenarkan ke Sungai," respons Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya ketika melawat kawasan Rumah Ibadah Bukan Islam (RIBI) tersebut di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Pengarah Jabatan Perikanan Negeri, Noraisyah Abu Bakar.

Dr. Afif memberitahu Jabatan Perikanan Negeri akan memacak papan tanda informasi mengenai larangan melepaskan 34 spesis ikan baka asing yang mampu menjejaskan ekosisitem sungai, di sini.

"Kita harap dapat kerjasama daripada semua pihak, dan orang awam di sini, demi memulihara ekosistem habitat sungai kita," jelas Dr. Afif.

Dalam perkembangan lain, Dr. Afif memberitahu Jabatan Perikanan Negeri sepanjang tahun lepas sahaja direkodkan membelanjakan sejumlah RM130,000 dengan melepaskan ikan dan spesis hidupan laut lain, termasuk 152,000 anak udang galah demi memulihkan ekosistem air di negeri ini.


Mohd. Rashid harap RM239,000 pinjaman mikrokredit PTSR bantu 34 peniaga kecil Teluk Bahang

MOHD. Rashid Hasnon (berbaju putih) menyantuni pengunjung pada Majlis Kenduri Rakyat di Parlimen Balik Pulau baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

TELUK BAHANG - Timbalan Ketua Menteri I Dato' Mohd. Rashid Hasnon berharap kesemua 34 individu yang menerima RM239,000 dana pinjaman mikrokredit di bawah skim Projek Titian Saksama Rakyat (PTSR) dalam mengembangkan modal perniagaan desa masing-masing di kawasan Parlimen Balik Pulau.

"Pinjaman mikrokredit ini adalah bantuan Kerajaan Negeri sebagai tambahan modal kepada mereka yang telah pun melaksanakan aktiviti perniagaan.

"Tapi, kalau nak basmi kemiskinan, perlu ada koperasi yang anggotanya terlibat secara langsung dalam aktiviti mengeluarkan produk di Balik Pulau ini, bukan sekadar menanam modal untuk mendapatkan hasil tahunan sahaja," jelas Mohd Rashid yang juga Exco Pembangunan Industri, Perdagangan Antarabangsa, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Perhubungan Masyarakat ketika mengetuai Program Exco Turun Padang Ke Teluk Bahang di sini baru-baru ini.

Turut serta, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim; Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Dato' Abdul Malik Abul Kassim; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Abdul Hamid dan Mohd. Tuah Ismail (PPK Pulau Betong).

Pada majlis sama, Mohd. Rashid turut menyampaikan sumbangan RM200 Skim Anak Emas kepada 30 waris penerima.

Selain itu, Dr. Afif turut menyampaikan 49 Kit Pertanian kepada usahawan muda tempayan terpilih.

Gotong-royong bersebelahan gelanggang futsal Teluk Bahang, lawatan ke dua rumah bina baharu, bengkel buat sabun, Kenduri Mesra Rakyat, Karnival Mahabbah dan Konsert Amal Kumpulan Khalifah antara acara utama yang menarik sepanjang dua hari berlangsungnya program tersebut.

Exco optimis kepelbagaian budaya di P.Pinang menjayakan kempen "Islam Rahmat Ke Seluruh Alam"




Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

TELUK BAHANG - Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Agama Islam, Dato' Abdul Malik Abul Kassim optimis agenda mempromosi Islam Rahmat ke Seluruh Alam lebih mudah memandangkan kebudayaan rakyat yang berbilang kaum begitu majmuk di Pulau Pinang.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Karnival Mahabbah 2017, iaitu salah satu acara Program Jelajah Exco Ke Teluk Bahang baru-baru ini.

"Walaupun Islam itu muncul di Makkah, tetapi tahap perkembangannya yang ketara selepas penghijrahan Rasulullah S.A.W. ke Yatrib atau Madinah.

"Faham asabiah jahiliah Arab di Makkah begitu tebal, tapi di Madinah budayanya begitu pelbagai dan ada toleransi antara kaum dengan Rasulullah S.A.W.

"Justeru, saya begitu optimis bahawa kempen Islam Rahmatun Lil 'Alamin ini bukan sahaja mampu menjernihkan salah faham semua pihak pada Islam, malah mampu menghakis sentimen perkauman yang ditiupkan oleh pihak pembangkang," jelas Abdul Malik yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Maung.

Timbalan Ketua Menteri I Dato' Mohd. Rashid Hasnon yang juga ADUN Pantai Jerejak dan isteri merupakan tetamu utama karnival tersebut.

Hadir sama, Timbalan Yang di-Pertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP) Dato' Abdul Halim Hussain; Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Teluk Bahang, Halil Sabri Abdul Hamid dan PPK Pulau Betong, Mohd. Tuah Ismail.

Serentak dengan penganjur karnival tersebut, turut dilangsungkan forum dakwah "Islam Dan Melayu" yang menampilkan 'Pencetus Ummah' Mohamad Amirul Amin Maula Lokman Hakim atau 'PU Amin' selalu moderator.

Forum itu membariskan tiga panelis terkenal, iaitu Timbalan Presiden Persatuan Saudara Baru Darul Fitrah, "Sifu Naser"; Pengasas Persatuan Mubaligh Negeri Sembilan, Zamri Venoth Abdullah; dan Pengasas Sekolah Pemikiran Asy-Syatibi, Ustaz Wan Ji Wan Hussin Al-Bakistani.


Mohd. Faidrol anggap APC “rezeki anak”, Haji Baharim kongsi perasaan sebelum bersara


MOHD. Faidrol Mohd. Radzi (dua dari kiri) serta para penerima APC lain merakamkan gambar kenang-kenangan dengan Maimunah Mohd. Sharif di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

Mohd. Faidrol Mohd. Radzi, 34 tahun mula berkhidmat dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) sejak 2010.

Paling mencabar, Pengarah Pelesenan tersebut memberitahu adalah ketika menangani penjajaan tanpa lesen yang sah di Taman Pelangi beberapa tahun lalu.

“Alhamdulillah...secara langsung saya tidak pernah menerima ugutan,” ujarnya Mohd. Faidrol ketika ditemui dalam Masjlis Penghargaan Pesara MPSP 2017 & Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2016 di Dewan Milenium Kepala Batas pada 21 Mac lalu.

Dalam majlis tahunan tersebut, Mohd. Faidrol merupakan antara 221 penerima APC.

“Saya mula bertugas di MPSP pada bulan Mac 2010 dan ini kali pertama saya mendapat APC,” jelas Mohd. Faidrol ketika ditemui di sini.

Atas pengiktirafan yang diterima, Mohd. Faidrol merakamkan penghargaan kepada Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow; Yang di-Pertua MPSP, Dato' Maimunah Mohd. Sharif; serta Setiausaha Majlis, Sr. Rozali Mohamud.

Mohd. Faidrol memberitahu beliau bertuah kerana mempunyai pasukan kerja yang begitu dedikasi.

“Jabatan Perlesenan penting di sisi MPSP kerana kami menyumbang hasil bukan cukai daripada sumber bayaran pelesenan.

“Isu penjaja tanpa lesen salah satu cabaran di jabatan tetapi kami senantiasa berusaha untuk mengurangkan birokrasi dengan pelanggan.

“Memang saya sendiri sedang mencari jalan untuk mengurangkan lagi birokrasi dengan pelanggan.

"Harapan saya suatu hari nanti semua lesen boleh terus dicetak dari rumah, sebagaimana perkhidmatan MyEG yang boleh memperbaharuan lesen secara online.

“Masih dalam perancangan lagi...apabila kita mempermudahkan pelanggan mendapatkan lesen, kita (MPSP) kena kuatkan sistem pemantauan kita supaya semua data premis berlesen dan tidak berlesen di hujung jari,” jelas beliau.

Mohd. Faidrol menganggap APC yang diterimanya itu adalah 'hadiah' buat isteri dan tiga anaknya.

“Bagi saya, yang penting buat kerja sehabis baik, naik taraf pengetahuan dan pengalaman serta jangan berkira andai bekerja lebih masa, jika ada rezeki anak dan isteri, Allah akan simpan untuk kita,” jelas beliau sambil melahirkan rasa syukur.

HAJI Baharim (kiri) menerima hadiah persaraan daripada Maimunah Mohd. Sharif (tengah) sambil disaksikan Rozali Mohamud di sini baru-baru ini.

Mahu dikenali sebagai “Haji Baharim”, 56 tahun, memberitahu beliau akan bersara pada 27 Julai depan.

Dalam nada yang sebak bercampur gembira, beliau berkata beliau bergitu gembira menjadi sebahagian “keluarga besar” MPSP.

“Saya mula bekerja dari bawah, sebagai kerani pada 16 November 1981, 1991 menjadi pembantu tadbir di (Jabatan) Khidmat Pengurusan.

“Oktober 2008, saya dilantik menjadi Kerani Kanan di Jabatan Kejuruteraan dan menjadi Ketua Kerani Kanan di Jabatan Perbendaharaan bermula bulan November 2011,” jelas Haji Baharim.

Haji Baharim turut berkongsi pengalaman manis menyediakan sistem carian fail secara offline dengan menggunakan sistem label fail.

“Bayangkan satu-satu jabatan itu berapa banyak fail jika MPSP ini adalah PBT (pihak berkuasa tempatan) paling besar di Malaysia.

“Sebagai kerani yang menguruskan fail secara offline, kalau tiada sistem susunan fail secara sistematik memang susah nak dicari.

“Atas pengalaman bekerja daripada bawah, saya dan kawan-kawan berjaya mendapatkan suatu kaedah mencari fail, dengan menggunakan sistem marking tape berwarna...contoh Kuning untuk (Daerah Seberang Perai) Utara dan Hijau untuk (Daerah Seberang Perai) Selatan.

“Sistem ini disediakan pada tahun 1989 dan saya bangga kerana sampai sekarang sumbangan saya dan kawan-kawan masih digunakan di MPSP,” jelas Haji Baharim.

Hari-hari terakhir Haji Baharim sebagai penjawat awam di MPSP, beliau melahirkan rasa yakin tahap pengurusan pentadbiran dan mutu pelanggan akan bertambah baik dengan kehadiran bakat baharu yang muda-mudi menyertai PBT berkenaan kelak.

Exco umum RM490,000 projek cegah banjir di Solok Merican ke Jalan Pahang



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

KOMTAR
- Kejadian banjir kilat di sekitar Solok Merican ke Jalan Pahang baru-baru ini disebabkan sistem perparitan sedia ada tidak mampu menampung limpahan air dari lembangan Sungai Pinang.

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) meluluskan RM490,000 untuk projek pembesaran longkang sedia ada; meningkat aras ketinggian sebahagian jalan; serta menyediakan laluan pejalan kaki di sini.

"Ini adalah antara projek jangka pendek yang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri...kerja-kerja pelaksanaan projek dijangka pada bulan Jun ini.

"Diharapkan, projek ini dapat mengurangkan risiko banjir kilat selepas siap pada bulan Disember 2017 nanti," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota kepada pemberita, ketika melawat lokasi kejadian banjir kilat di sini pada tengah hari tadi.

Turut serta, ADUN Komtar, Teh Lai Heng dan Setiausaha Bandaraya MBPP, Ar. Yew Tung Seang.

Dalam perkembangan lain, Kon Yeow memberitahu terdapat 11 projek mengurangkan risiko banjir dilaksanakan di negeri ini, dengan kos RM51,990,652.20 daripada sumber caruman perparitan.

Itu, katanya lagi, tidak termasuk sembilan projek lain di negeri ini dalam tempoh tahun 2017 hingga 2019, yang menelan belanja RM150 juta.

"Sehinggalah projek-projek yang sedia ada dirancang ini siap, barulah dapat dilihat kesannya," jelas Kon Yeow yang juga Pengerusi Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang.

"Serah tanah kubur Hindu di Ara Kuda dahulu, baru pelan projek lulus"



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PEMATANG BERANGAN
- Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) diarah menyerahkan sebidang tanah perkuburan komuniti India dekat Ara Kuda kepada Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang terlebih dahulu sebelum permohonan pelan kebenaran merancang berwajib diluluskan oleh Kerajaan Negeri.

Timbalan Ketua Menteri II Prof. P. Ramasamy berkata demikian ketika Majlis Pemimpin Bertemu Penduduk Ladang Mayfield di sini, pada lewat petang semalam.

"Anak syarikat PERDA ada memohon pelan kebenaran merancang, tetapi sebelum diluluskan tanah ini mesti tidak ada setinggan dan tidak ada apa-apa halangan.

"Apabila kita mendapati di atas tanah ini ada kubur Hindu, saya sudah meminta PERDA melalui anak syarikatnya mesti terlebih dahulu menyerahkan tanah kubur Hindu ini sebelum pelan kebenaran merancang diluluskan," ujar Ramasamy yang juga Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang.

Ramasamy berkata pihaknya turut meminta Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo yang juga Pengerusi Jawatankuasa Rumah Ibadat Bukan Islam (RIBI) memberi perhatian pada isu berbangkit tersebut.

Selain itu, Ramasamy memberitahu Kerajaan Negeri hari ini melalui Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang saban tahun meluluskan sejumlah RM700,000 hingga RM800,000 peruntukan sebagai biasiswa untuk pelajar cemerlang melanjutkan pengajian ke Universiti Awam.

Justeru, beliau meminta pemimpin komuniti setempat membawa pelajar-pelajar cemerlang ke pejabatnya di tingkat 52 Komtar atau ke Pejabat Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang untuk urusan memohon biasiswa pendidikan berwajib.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus