04 April 2017

Exco jangka projek kurangkan risiko banjir kilat Bandar Bayan Baru RM21.1 juta bermula Sept.



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

PANTAI JEREJAK - Kos pembinaan rumah pam skru, pintu air monsun serta kerja-kerja penarafan sistem saliran di kawasan hotspot banjir di Bandar Bayan Baru menelan belanja kira-kira RM21.1 juta.

Mengulas lanjut, Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu, kerja-kerja di lapangan projek tersebut dijangka paling awal pada bulan September ini.

"Juru perunding merekabentuk suatu sistem dengan peruntukan yang ada untuk cuba menangani dan mengurangkan impak banjir di kawasan bandar Bayan Baru ini.

"Kerja-kerja ditapak akan bermula pada bulan September nanti," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota di sini, pada petang tadi.

Timbalan Ketua Menteri I Dato' Mohd. Rashid Hasnon yang juga ADUN Pantai Jerejak turut sertai sidang media tersebut.

Bercakap pada sidang media sama, Pengarah Jabatan Pengairan Negeri, Ir. Sabri Abdul Mulok memberitahu banjir kilat yang berlaku pada 1 April lalu antara lain berpunca oleh limpahan air di Sungai Relau A, Sungai Relau B dan Sungai Relau tidak dapat dinyah keluar ke Sungai Keluang.

"Kaedah penyelesaian adalah kita kena kawal paras air Sungai Relau supaya boleh diturunkan apabila berlakunya hujan lebat dan air pasang (dari Sungai Keluang)," jelas Sabri.

BERITA LANJUT MENYUSUL KEMUDIAN.



Tiada fatwa JK batalkan selepas pewartaan, Mufti P.Pinang respons tuduhan PAS.



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Mana-mana fatwa yang telahpun diwartakan tidak pernah dibatalkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri Pulau Pinang hari ini.

Mufti Pulau Pinang, Sohibus Samahah Dato' Dr. Wan Salim Wan Mohd Nood berkata demikian sebagai respons pada kenyataan hasrat pemuda Parti Islam Se-Malaysia (PAS) yang mahu mengambil tindakan perundangan jika Kerajaan Negeri campur tangan urusan fatwa.

Berikut adalah kenyataan rasmi Wan Salih bertarikh 3 April 2017, yang tular di media sosial WhatsApp sehingga kini:


Selaku Mufti Kerajaan Negeri Pulau Pinang suka saya nyatakan bahawa tiada fatwa yg telah diputuskan oleh mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri untuk diwartakan yg dibatalkan pewartaannya. Kesemuanya dalam proses untuk diwartakan bila didapati ketikanya yg sesuai.


Terpulanglah kpd Pemuda PAS jika ingin mengambil tindakan undang-undang sekiranya mereka berpendapat pihak Kerajaan Negeri campur tangan dalam urusan fawa. Bagi saya ini hanya merupakan persepsi dan interpretasi. Isu-isu begini tak perlu dibesar-besarkan sebab ia boleh diselesaikan secara perbincangan terus antara pihak2 yg terbabit. Lagipun hanya sedikit sahaja keputusan fatwa yg masih belum diwartakan dan yg masih dalam proses. Diharap semua pihak dapat bersabar supaya segala-galanya berjalan mengikut prosedur yang ditetapkan.


DATO' DR WAN SALIM WAN MOHD NOOR

MUFTI PULAU PINANG.

83% Melayu dapat bantuan kewangan AES, 15 pelbagai kaum dari Air Itam

WONG Hon Wai.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

MOHD. Ibrahim Naina, berusia 52 tahun hilang pekerjaan kerana penglihatannya tidaklah begitu elok, selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya tidak lama dahulu.

Kerja yang tak menentu Si Isteri lah menyara sekeluarga, termasuk empat anak di Kampung Melayu

Mohd. Ibrahim mengaku sudah lama mengetahui Kerajaan Negeri hari ini menyediakan program Agenda Ekonomi Saksama (AES).

Tetapi, beliau memberitahu keadaanya kini menyebabkan beberapa kali hasrat untuk mendapatkan bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri tertangguh.

"Mujurlah ada pegawai kerajaan yang datang menguruskan hal permohoan saya, dan saya layak menerima bantuan bulanan RM250," jelas Mohd. Ibrahim ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sumbangan AES Peringkat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Air Itam baru-baru ini.

V. Kamala Veni, 58 tahun adalah pesakit kanser. Suaminya uzur, namun, tetap tidak mengambil upah memotong rumput jika diminta.

Pendapatan yang tidak menentu walaupun sedikit pun sebenarnya penting untuk kedua-dua pasangan ini, untuk memelihara tiga cucu yang tinggal bersama-sama mereka di Kampung Pisang, Air Itam.

Selepas memohon AES, Kamala Veni dinilai layak menerima RM430 sebulan.

Dan, berita gembira itu disampaikan sendiri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Itam, Wong Hon Wai.

Fatimah Bee Baba Azahar, 35 tahun, yang ditemui kemudian melahirkan rasa syukur kerana diumumkan layak menerima RM550 sebulah di bawah skim AES ini.

Ibu kepada empat anak ini memberitahu, selama ini beliau bergantung hidup dengan mengambil upah menjaga anak seorang kenalan, di rumahnya dekat Desa Mawar.

"Saya cuma boleh sebut 'Terima Kasih Kerajaan Negeri' sebab bantu keluarga kami," jelas Fatimah Bee dalam nadah sebak bercampur gembira.

WONG Hon Wai (tiga dari kiri) diiringi Saad Khalid (paling kiri) menyerahkan sumbangan tunai AES kepada Mohd. Ibrahim Naina (enam dari kiri), V. Kamala Veni (dua dari kiri) dan Fatimah Bee Baba Azahar (lima dari kiri) dalam majlis ringkas di Pusat Khidmat ADUN Air Itam di sini baru-baru ini.

Melalui AES ini, menurut Hon Wai, Kerajaan Negeri mahu memastikan pendapatan isi rumah keluarga minimum mesti dicukupkan RM790 sebulan, melepasi garis kemiskinan yang diumumkan di negeri ini.

"Sebab itu, ada penerima bantuan AES mendapat bantuan RM250 atau RM430 atau RM550, kerana Kerajaan Negeri melalui skim bantuan ini akan mencukupkan pendapatan isi rumah bulanan keluarga berdaftar RM790 dengan kadar top up minimum adalah RM100.

"Pada kali pertama seperti hari ini saya, penerima akan diberi wang bantuan AES dalam bentuk tunai, dan pada bulan-bulan berikutnya akan disalurkan melalui bank," jelas Hon Wai yang juga Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng.

Pengulu Daerah Timul Laut, Saad Khalid yang menyelia komuniti bagi Air Itam dan KADUN Batu Uban; serta pemimpin Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Komuniti (JKKK) setempat turut sertai majlis ringkas tersebut.

SAAD Khalid (kiri) menjelaskan mengenai kaedah mudah memohon AES, dalam sidang media bersama-sam Wong Hon Wai (kanan) di sini baru-baru ini.

Hon Wai memberitahu sehingga kini seramai 15 keluarga direkodkan menerima bantuan AES dalam jumlah yang pelbagai dengan agihan sejumlah RM4,084,593 dalam tahun 2016 sahaja.

Mengikut rekod semasa Kerajaan Negeri, beliau memberitahu seramai 1,417 orang penerima berdaftar di bawah AES.

Mengikut pecahan daerah, katanya lagi, 159 orang di Timur Laut, 163 di Barat Daya, 690 di Seberang Perai Utara, 219 di Seberang Perai Tengah dan baki 186 lagi di Seberang Perai Selatan.

Terdahulu, Pegawai Penyelaras AES Negeri & Tugas-Tugas Khas Pejabat Ketua Menteri, Ab. Wahab Long pada April tahun lepas mendedahkan 83 peratus daripada keseluruhan 1,037 penerima AES adalah Melayu sejak skim bantuan kewangan itu diperkenalkan pada tahun 2009.

Menurut beliau, data perangkaan ketika itu juga menunjukkan bantuan untuk kaum India diberikan kepada 123 keluarga (9.89 peratus), kaum Cina 82 (6.60 peratus), dan 2 penerima etnik lain (0.16 peratus).

Sehingga Mac 2016, Kerajaan Negeri telah membelanjakan RM17.7 juta untuk program AES.

Jagdeep gesa BNM jelaskan kepada Persatuan Bank-Bank Malaysia isu kadar penolakan pinjaman perumahan setinggi 60%



GEORGE TOWN - Lambakan produktiviti (over production) mungkin akan terjadi di Pulau Pinang kelak, iaitu situasi lambakan rumah mampu milik bukanlah disebabkan unit hartanah yang dibina melebihi permintaan, tapi disebabkan tidak mampu didiami oleh rakyat yang layak.

Justeru, Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo menggesa Bank Negeri Malaysia (BNM) segera memberi penjelasan kepada Persatuan Bank-Bank Malaysia (ABM) mengenai kadar bank menolak permohonan pinjaman perumahan rakyat yang begitu tinggi sehingga kini. 

"Hal ini (kadar penolakan pinjaman perumahan yang tinggi) perlu ditangani memandangkan di Pulau Pinang, kita (Kerajaan Negeri) mempunyai unit-unit rumah mampu milik (RMM) yang berharga antara RM160,000 ke RM220,000 yang tidak dapat dijual meskipun permohonan bagi unit-unit tersebut adalah sangat tinggi.

"Misalnya, di Bandar Cassia, Fasa 1 (terletak di Batu Kawan), Kerajaan Negeri menawarkan 520 unit RMM (di bawah harga RM250,000) dengan 900 permohonan yang layak di bawah tapisan SPEC (Jawatankuasa Pembersihan Proses Perolehan Perumahan), tetapi apabila pemohon membuat permohonan pinjaman, hanya 44 peratus sahaja diluluskan," jelas Jagdeep kepada pemberita di sini, 2 April lalu.

8 Mac lalu, Jagdeep memberitahu Pertubuhan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) mendedahkan bahawa kadar penolakan permohonan pinjaman perumahan mencecah sehingga 60 peratus.

Lagipun katanya, cabaran rakyat untuk memiliki rumah pertama mereka ini turut mendapat kata sepakat daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kerajaan serta pihak pembangkang Pulau Pinang.

"Bukan itu sahaja, pihak pembangkang di Pulau Pinang, Barisan Nasional (BN) juga bersama-sama Kerajaan Negeri mengemukakan usul bersama berhubung isu ini.

"Hal ini menunjukkan bahawa BN juga tahu dan sedar bahawa kadar penolakan permohonan pinjaman perumahan adalah amat tinggi sehingga menyukarkan pembeli rumah pertama membeli rumah.

"Sebab itu, saya tidak faham kenapa ABM melalui kenyataannya pada 17 Mac lalu menyangkal dakwaan REHDA dan menyatakan bahawa kadar kelulusan pinjaman perumahan pada 73.8 peratus bagi tahun 2016.

"Jadi, bagi pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang, saya ingin menggesa BNM beri penjelasan, mana satu situasi yang sebenar, adakah kadar penolakan pinjaman perumahan tinggi atau sebaliknya seperti yang dinyatakan oleh ABM," gesanya yang ADUN Datuk Keramat.

Jagdeep menyatakan berhasrat untuk berjumpa dengan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar bagi membincangkan isu berbangkit ini.

RM20,000 pasang kajang elak air hujan masuk ke dalam Kuil Sri Ramar



DATUK KERAMAT - Pasangan kajang (awning) yang menelan belanja RM20,000 dana dari sumber Tabung Amanah Rumah Ibadat Bukan Islam di sekeliling Kuil Sri Ramar dekat Jalan York di sini diharap dapat mengelak tempias masuk air hujan kelak.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo berkata demikian ketika menyerahkan cek replika sumbangan kepada wakil kuil tersebut, 2 April lalu. 

"(Permohonan dibuat) kerana ketika hujan lebat, air akan mula memasuki bahagian dalam kuil ini dan pemasangan kajang ini akan mengalirkan air ke luar dari memasuki bahagian dalam kuil," ujarnya yang  juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Datuk Keramat.

Menurut Jagdeep, Jawatankuasa Tabung Amanah RIBI sejak ditubuhkan pada 9 September 2015, telah meluluskan 13 permohonan di bahagian pulau dan Seberang Perai (7), masing-masing melibatkan kos RM257,475 dan RM139,918.20.

"Tabung amanah ini ditubuhkan bagi kegunaan rumah-rumah ibadat bukan Islam menyelenggara atau membina rumah ibadat dengan peruntukkan maksima RM20,000 bagi setiap projek yang dilaksanakan.

"(Dan) dana tabung amanah ini dikutip oleh Kerajaan Negeri melalui sumbangan pemaju di bawah kedua-dua pihak berkuasa tempatan (PBT).

"Setakat Mac 2017, sejumlah RM4.98 juta disumbangkan oleh Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan RM1.52 juta, Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP).

"Jadi, bagi pihak Kerajaan Negeri, saya ingin mengalu-alukan mana-mana RIBI yang memerlukan dana penyelenggaraan boleh membuat permohonan memandangkan kita (Kerajaan Negeri) mempunyai dana dan ia perlu disalurkan kepada pemohon yang layak," jelaasnya selaku Pengerusi Tabung Amanah RIBI Negeri Pulau Pinang.

Dalam para itu, Pengerusi Kuil Sri Ramar, Kalyan Kumar berkata, pihaknya amat berbesar hati dan berterima kasih kepada Kerajaan Negeri yang mengambil peduli isu-isu dan keperluan rakyat termasuk RIBI.

Sebarang pertanyaan lanjut, boleh hubungi Urusetia Jawatankuasa Tabung Amanah RIBI Negeri Pulau Pinang di talian 04-650 5543/5544/5427 atau layari laman rasmi di jpbd.penang.gov.my.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus