06 April 2017

Thangaletchumi terkejut Ahli Parlimennya di Tasek Gelugor syor mangsa mengahwini perogol


R. Thangaletchumi ketika ditemubual secara eksklusif mengenai sebab beliau hadir di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Tasek Gelugor untuk membantah kenyataan kontroversi Shabudin Yahaya, pada lewat petang tadi di sini.

Zainulfaqar Yaacob
Permatang Berangan
6 April 2017 | 7.10 malam


R. THANGALETCHUMI berusia 50 tahun merupakan antara wanita tempatan Parlimen Tasek Gelugor yang menyertai demonstrasi anti Shabudin Yahaya, pada lewat petang tadi.

18 tahun tinggal di Kampung Pokok Machang dalam kawasan parlimen Shabudin, beliau berkata kehadirannya di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Tasek Gelugor di sini adalah sebagai pengundi berdaftar.

Thangaletchumi menegaskan bahawa beliau tidak mewakili mana-mana pertubuhan, termasuk parti politik.

Sebagai wanita, beliau melahirkan rasa bangga kerana hidup berdikari dengan bekerja sendiri.

Atas perasaan itu, baginya, pendapat mangsa rogol boleh dikahwinkan dengan perogol demi mengubati masa sosial sepatutnya tidak keluar daripada pemimpin yang mempunyai daya intelektual tinggi seperti Sabudin.

"Saya pengundi Tasek Gelugor berasa sangat terkejut YB boleh keluarkan suatu kenyataan seperti ini kerana saya menyangka beliau seorang yang berpelajaran tinggi.

"Kalau di negara-negara maju lain, seorang wakil rakyat yang mengeluarkan kenyataan memalukan seperti ini, pasti akan meletak jawatan, saya sangat sedih sebagai penduduk Tasek Gelugor.

"Saya berharap beliau dengan sendirinya melepaskan jawatan, tidak perlu cakap-cakap lagi," kata Thangaletchumi ketika berucap dalam demonstrasi aman tersebut.


SEKUMPULAN Wanita mengangkat kain rentang yang tertera mesej "Pecat Shabudon" di kawasan lapang berhadapan dengan Pejabat Busat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Tasek Gelugor di sini, lewat petang tadi.

Katanya, jika anak lelaki atau menantu lelaki atau abang kandung sendiri yang merogol gadis bawah umur 16 tahun, beliau akan menentang kalau diselesaikan secara 'perkahwinan' semata-mata.

"Perogol mesti didakwa sebagai penjenayah, bukan dibenarkan berkahwin dengan mangsa rogol bawah umur.

"Bayangkan jika anak perempuan saya berusia 16 tahun dirogol, lalu saya meminta bantuan daripada YB (Shabudin), adakah beliau akan kata berkahwin dengan perogol boleh (mengubati) masalah sosial," kata Thangaletchumi.

Ahli Majlis bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) Nur Zarina Zakaria ketika berucap turut mendesak Shabudin supaya melepaskan jawatan Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Tegasnya, langkah itu sebagai tanda Shabudin bertanggungjawab selepas menghina wanita, khususnya gadis bawah umur yang menjadi mangsa perogol.

"Dalam Islam pun, tak disuruh pun mangsa rogol ini dikahwinkan dengan si pelakunya.

"Kenyataan YB Shabudin ini tak ada nilai, bercakap macam orang tak berpelajaran.

"Kalau anak kecil dia sendiri pun menjadi mangsa, jika dia ada fikiran, dia tak sanggup menyerahkan kepada perogol untuk dikahwini," tegas Nur Zarina yang juga Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Negeri Pulau Pinang.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang, Lim Siew Khim berkata beliau akan cuba saling berbincang dengan Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang, Datuk Jahara Hamid atas semangat memartabatkan kaum wanita di negeri ini.

Pun begitu, katanya, Jahara yang juga ADUN Teluk Air Tawar seakan berbelah-bahagi dalam kontroversi Shabudin menghina kaum wanita, kini.

"Setakat ini, kami nampak Teluk Air Tawar seakan sokong kenyataan Shabudin.

"Kami berasa begitu kesal, sebagai wakil rakyat, berjuang demi rakyat, kalau ada ruang berbincang dengan Teluk Air Tawar, kita akan berbincang demi hak wanita dan anak-anak gadis bawah umur kita," jelas Siew Khim yang juga Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang.

Katanya, Wanita DAP Negeri Pulau Pinang mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan Shabudin yang dianggap menghina hak serta kedudukan wanita di tanah air ini.

"Elok dia letak jawatan," laung Siew Khim lalu disambut oleh sekumpulan wanita pelbagai kaum yang menyertai demonstrasi aman di sini.

Wong Hon Wai selaku Setiausaha Politik Kepada Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng ketika berucap menyatakan sokongan pada ketegasan wanita di sini.

Katanya, pemimpin Barisan Nasional Negeri Pulau Pinang khususnya wanita patut menyatakan pendirian mengkritik kenyataan melampau Shabudin menghina kedudukan wanita, bukan sebaliknya.

"Kenyataan Shabudin ini bukan sahaja memalukan Kerajaan Negeri, Ahli Parlimen serta penduduk Pulau Pinang khususnya wanita.

"Kenyataan tak bertanggungjawab Shabudin menghina wanita ini sudah sampai tahap memalukan Malaysia kerana sudah menjadi berita yang begitu kontroversi dan mengejutkan dalam media massa di peringkat antarabangsa," jelas Hon Wai sambil melahirkan rasa hairan kerana Shabudin langsung tidak menunjukkan rasa insaf serta menzahirkan rasa kesal.

Hon Wai yang juga ADUN Air Itam berkata sebenarnya rata-rata kaum lelaki pun tidak setuju dengan pendapat Shabudin, serta bersolidariti dengan kaum wanita di sini.

Ini kerana, katanya lagi, di sisi lelaki pun ada wanita seperti anak gadis atau adik berusia bawah umur yang mesti dibela, jika menjadi mangsa jenayah perogol.

Petang tadi, turut kelihatan Pegawai Penyelaras Kawasan Dewan Undangan Negeri (PPK) Permatang Berangan, Ustaz Fahmi Abu Bakar; serta Zahar Zainul (Pegawai Penerangan Kerajaan Negeri merangkap Setiausaha Parti Amanah Negara Negeri Pulau Pinang) di sini.

Semalam, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan dalam sidang media di Komtar secara lantang mendesak Shabudin melepaskan jawatan sebagai Ahli Parlimen Tasek Gelugor.

Guan Eng yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata beliau terkejut Shabudin di Dewan Rakyat pada 5 April lalu antara lain dilaporkan berkata, walaupun rogol adalah jenayah, undang-undang tidak menghalang mangsa rogol daripada berkahwin dengan individu merogolnya.

"Mungkin dengan sebab perkahwinan itulah mereka dapat melalui satu kehidupan yang lain, yang lebih sihat, yang lebih baik dan seorang isteri yang dirogol tadi, kalau dia dapat berkahwin dia takkan melalui satu jalan kehidupan masa depan yang gelap.

"Sekurang-kurangnya dia ada suami dia, ada orang yang boleh jadi suaminya pada ketika itu. Ini adalah satu remedi kepada masalah sosial yang berlaku," kata Shabudin dipetik daripada portal berita arus perdana Malaysiakini.com.

8 jenis premis perniagaan wajib daftar, jayakan Kempen Tanpa Beg Plastik Percuma, umum Setiausaha MPSP

ROZALI Mohamud (kiri) bersama-sama Yang di-Pertua MPSP Dato' Maimunah Mohd. Shariff (kanan) meraikan suatu kejayaan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) berkenaan yang diiktiraf dalam Malaysia Book of Records, di sini sebelum ini.


Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

SEBERANG JAYA - Lapan kategori premis komersial diwajibkan berdaftar dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) demi menjayakan dasar dan Kempen Tanpa Beg Plastik Percuma di bahagian Seberang Perai ini.

Setiausaha MPSP, Sr. Rozali Mohamud memberitahu lapan premis perniagaan yang dimaksudkan itu adalah iaitu pasar raya besar (hypermarket), pasar raya (supermarket), pasar raya serbaneka (departmental store), kediaman serbaneka (convenient store), restoran makanan segera, kedai serbaneka atau stesen minyak (petrol station convenient store), kedai rangkaian (chain store) dan farmasi.

Berdasarkan rekod MPSP, beliau berkata terdapat 398 premis perniagaan berlesen sepatutnya terlibat dalam amalan dasar ini.

"Ini adalah suatu dasar yang telah ditambah baik daripada dasar yang telah sedia ada...pendaftaran dibuka sejak 1 Mac lalu hingga 20 April ini.

"Pendaftaran percuma, boleh dibuat di mana-mana kaunter berpusat, dengan membawa salinan (sijil daftar syarikat) SSM serta salinan lesen (premis perniagaan) dan akan diberikan sijil penyertaan (kempen)," jelas Rozali kepada pemberita di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini pada pagi tadi.

Tegasnya, mereka yang gagal membuat pendaftaran berwajib akan menghadapi pelbagai birokrasi penguatkuasaan, termasuk langkah terakhir MPSP menarik lesen premis perniagaan.

"Sekiranya mereka gagal membuat pendaftaran selepas tempoh tersebut (20 April 2017), tindakan-tindakan sewajarnya akan diambil...seperti menamatkan lesen.

"Kesemua lapan kategori ini tidak boleh memberi beg plastik secara percuma, tetapi dikenakan caj 20 sen sekiranya diminta oleh pengguna.

"Mereka (pemilik premis perniagaan) yang berdaftar sahaja yang boleh pungut (20 sen), jika tidak daftar tak boleh pungut.

"Walaupun mereka tidak boleh pungut, penguatkuasaan Kempen Tanpa Beg Plastik Percuma berjalan seperti biasa," jelas Rozali.

Tambah Rozali, hasil kutipan bulanan mestilah diserahkan kepada MPSP ada bentuk cek dengan mengisi satu borang berwajib dalam tempoh 15 hari pertama setiap bulan berikutnya.

"Semua hasil ini bukan untuk MPSP, tapi akan diserahkan kepada Kerajaan Negeri," jelas beliau.

Terdahulu, Kerajaan Negeri melalui Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan MPSP buat kali pertama dalam sejarah melancarkan Kempen Hari Tanpa Beg Plastik pada tanggal 6 Julai 2009, secara berperingkat dan menyeluruh.

Susulan  itu, Kerajaan Negeri Pulau Pinang dikenali sebagai pertama di tanah air ini melaksanakan kempen mengurangkan kegunaan beg plastik, demi menjaga alam sekitar.

16,023 akan sertai Larian Ria Saya Sayang Pulau Pinang di Butterworth 9 April



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

SEBERANG JAYA - Setiausaha Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) Ir. Rozali Mohamud memberitahu siri kedua Larian Ria Saya Sayang Pulau Pinang yang akan dilangsungkan di Butterworth pada 9 April ini sudah menerima penyertaan seramai 16,023, dengan yuran RM15 seorang.

Menurut beliau, seramai 205 krew daripada kalangan penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan (PBT), polis trafik, anggota penyelamat kesihatan beruniform, skuad pengayuh sukarela dan marshal akan bertugas pada hari tersebut, demi memastikan acara berjalan lancar seperti siri pertama larian ria di George Town pada 12 Mac lalu.

"(16,023 penyertaan) ini lebih daripada versi (Larian Ria) George Town lebih 10,000 sahaja.

"Ketua Menteri Y.A.B. Ketua Menteri dijangka tiba pada 7.10 pagi, dan akan berucap pada 7.15 pagi, sebelum menyempurnakan acara pelepasan secara berperingkat bermula pada 7.30 pagi," jelas Rozali dalam sidang media di Kompleks Ibu Pejabat MPSP dekat Bandar Perda di sini pada pagi tadi.

Rozali memberitahu perkhidmatan bas pengangkut ulang-alik akan disediakan seawal jam 6.00 pagi dari Terminal Bas Butterworth dan hentian bas berhadapan pasar raya Billion Bandar Sunway ke lokasi permulaan larian ria di perkarangan Dewan Dato' Haji Ahad Badwi.

Katanya, Larian ria sejauh 6 kilometer (KM) bermula dari Lorong Bagan Luar 1 akan melalui Jalan Bagan Luar, Jalan New Ferry, Jalan Sungai Nyoir, Jalan Sungai Siram, Jalan Telaga Air, Jalan Bagan Luar, Jalan Geng Choon Thiam dan berakhir di Jalan Dato' Haji Ahmad Badwi. 

"Jalan akan ditutup bermula 7.00 pagi secara berperingkat.

"Kenderaan daripada Penang Sentral atau jalan-jalan yang lain akan dilencongkan ikut Jalan Bagan Dalam, Jalan Assumption," jelas Rozali lagi.

Selain itu, Rozali menjelaskan semua peserta bolehlah mengambil baju T dan 'wristband' di St. Jo's Aras 1 Gurney Paragon Mall pada 7 April ini mulai jam 3.00 petang hingga 9.00 malam.

Pada 8 Februari, katanya lagi, kaunter pengambilan baju T dan 'wristband' turut dibuka mulai jam 12.00 tengah hari hingga 5.00 petang di Lobi Bangunan Kompleks MPSP di sini.

Pertanyaan lanjut, hubungi Cik Normaira Abdul Rahman (Sekretariat MPSP) atas talian 045497807 / 045497703 atau Active Style selaku pengelola acara menerusi emel anddrew@actifestyle.com. 

Terdahulu, Menteri Wilayah, Tengku Adnan Tengku Mansor ketika berucap dalam majlis Sambutan Hari Wilayah pada 1 Februari lalu dilaporkan menyatakan hasrat menjadikan Pulau Pinang, Pulau Langkawi dan sebahagian negeri Melaka sebagai Wilayah Persekutuan.

Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) mencabar Tengku Adnan yang lebih dikenali sebagai "Ku Nan" dan sesi perdebatan itu elok disiarkan dalam saluran televisyen arus perdana.

Menurut Guan Eng hasrat Tengku Adnan yang juga Setiausaha Agung UMNO adalah bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Difahamkan, Bahagian I, Perkara 1 (2) Perlembagaan Persekutuan menyatakan, "Negeri-Negeri Persekutuan terdiri daripada Johor, Kedah, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Pahang, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor dan Terengganu.

Manakala, Perkara 1(4) Perlembagaan Persekutuan menyebut, "Wilayah bagi Negeri Selangor tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 1973  [Akta A206] dan Wilayah Persekutuan Putrajaya yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan) 2001 [Akta A1095] dan wilayah bagi Negeri Sabah tidaklah termasuk Wilayah Persekutuan labuah yang ditubuhkan di bawah Akta Perlembagaan (Pindaan)(No. 2) 1984 [Akta A585] dan kesemua Wilayah Persekutuan tersebut hendaklah menjadi wilayah-wilayah Persekutuan."

Lanjutan itu, Guan Eng mengajak rakyat menyertai Larian Ria Saya Sayang Pulau Pinang sebagai tanda protes pada hasrat Tengku Adnan tersebut.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus