20 April 2017

Exco jemput penternak bincang, tangani isu kacau ganggu lalat

DR. Afif Bahardin (tengah), Dr. Fadilah Abdul Rahim (kiri) dan seorang pegawai MPSP lain pada sidang media di perkarangan sebuah pasar raya di sini, petang tadi. 

Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: DARWINA MOHD. DAUD

BUKIT TAMBUN - Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin sekali lagi turun meninjau sendiri keadaan kacau ganggu lalat di sekitar kawasan Sekolah Antarabangsa Gems dan sebuah pasar raya di sini pada petang tadi.

Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya memberitahu pihaknya mengalu-alukan pemilik ladang-ladang ayam terbabit supaya segera ke pejabatnya, untuk berbincang dan mencari solusi terbaik.

"Kalau nak salahkan penternak, mereka lebih lama di sini, kerana pembangunan baharu di sini rata-rata diluluskan sebelum tahun 2008.

"Setakat ini, difahamkan, pemilik-pemilik ladang ada datang berjumpa dengan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), namun dengan pejabat saya belum lagi.

"Saya harap ianya dapat dilakukan supaya isu lalat ini dapat diatasi," jelas Dr. Afif selepas meninjau kawasan berwajib di sini.

Bercakap pada sidang media sama, Pegawai Jabatan Verteriner MPSP, Dr. Fadilah Abdul Rahim memberitahu terdapat kira-kira lima ladang ternakan ayam di kawasan berhampiran dan empat daripadanya masih aktif.

"Ladang terdekat pula hanya 200 meter dari sini (pasar raya)," respons Dr. Fadilah.

Pada 5 September tahun lepas, Dr. Afif bersama-sama Timbalan Yang di-Pertua Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang, Dato' Maktar Shapee yang juga ADUN Sungai Bakap turun meninjau di sini, selepas mendapat aduan langsung daripada pentadbiran Sekolah Antarabangsa Gems.

Ketika itu, Dr. Afif memberitahu isu kacau ganggu lalat boleh diselesaikan apabila peladangan moden secara tertutup dilaksanakan.

Katanya lagi, rang undang-undang baharu berhubung Enakmen Penternakan Babi 2016 dibentangkan dalam DUN Pulau Pinang pada bulan November 2016 dan akan dikuatkuasakan bermula tahun 2019.

Menurut enakmen tersebut, empat kriteria Modern Pif Farming yang telahpun digariskan, iaitu, sistem penternakan babi secara tertutup; mempunyai kawasan penampan; Zero Discharge; dan Good Animal Husbandry Practices (GAHP).

Dr. Afif memberitahu Kerajaan Negeri akan berbincang dengan semua pihak berkepentingan untuk melaksanakan penternakan ayam secara moden dan tertutup, walaupun ketika ini belum ada lagi enakmen baharu yang khusus untuk peladangan unggas di negeri ini.

Pengairan bergilir-gilir babit petani perlu secara muafakat, respons Dr. Afif



Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI 
Gambar: DARWINA MOHD. DUAD

SUNGAI DUA - Tahap pengairan untuk tujuan pertanian sekarang di Pulau Pinang adalah lebih baik berbanding ketika negeri ini dilanda musim kemarau panjang 'El Nino Super' pada tahun lepas.

Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin bagaimanapun berkata, semua pesawah perlu melaksanakan sistem penggiliran secara muafakat bersama, sungguhpun bekalan air pengairan mencukupi.

"Saya difahamkan pengairan tahun ini baik berikutan sumber air yang mencukupi dan tiada isu kemarau.

"Berkenaan penggiliran saliran, saya rasa ianya mampu diselesaikan secara muafakat di kalangan petani di sini," jelas Dr. Afif yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Jaya kepada pemberita di sini pada pagi tadi.

Sebelum itu, beliau bersama-sama pegawai-pegawai Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta  dan kakitangan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) turun padang sendiri bagi meninjau keadaan pintu-pintu air serta saliran-saliran utama untuk sektor pengairan padi di Alor Merah dekat Kawasan Dewan Undangan Negeri (KADUN) Sungai Dua.

Dalam sesi interaksi dua hala, beberapa pesawah membangkitkan isu bekalan air ke petak sawah mereka tidak mencukupi, dipercayai berpunca oleh sistem pengairan yang tersumbat tersumbat.

Dalam reaksi spontan, Dr. Afif meminta pesawah-pesawah berkenaan supaya saling bekerjasama dengan wakil JPS dan IADA untuk memastikan mengenal pasti punca sebenar masalah berbangkit itu, dan diselesaikan secara muafakat bersama.

Pada pertengahan bulan Disember tahun lepas, Dr. Afif mengumumkan pelaksanaan kajian lapangan JPS Peringkat Persekutuan dan Negeri selama dua tahun sehingga 2018 pada keadaan tahap bekalan mentah air sungai tertentu di Pulau Pinang ini adalah berdasarkan pengalaman mengharungi musim kemarau panjang 'El Nino' pada tahun 2014 dan 2016.

Dr. Afif Bahardin yang juga Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Nasional berkata demikian pada Majlis Kesyukuran Sempena Program Penjadualan Semula Air Untuk Tanaman Padi Bagi Negeri Pulau Pinang 2016.

15,942 penyertaan, pecah rekod larian ria terbesar 'Malaysia Book of Records' lagi

KETUA Menteri menjulang sijil Malaysia Book of Records sejurus acara Larian Saya Sayang Pulau Pinang bagi kawasan Seberang Perai diiktiraf sebagai Fun Run yang paling banyak menerima penyertaan dekat Dewan Haji Ahmad Badawi, Butterworth.


Oleh: WATAWA NATAF ZULKIFLI
Gambar: AHMAD ADIL MUHAMAD

BAGAN DALAM – Penyertaan 15,942 orang dalam acara Larian Saya Sayang Pulau Pinang edisi kedua di Seberang Perai baru-baru ini cukup untuk memahatkan kejayaan dalam Malaysia Book of Records (MBOR) sebagai larian ria paling ramai disertai di tanah air ini.

Sebelum acara pelepasan peserta, Ketua Menteri Y.A.B Tuan Lim Guan Eng dalam ucapannya melahirkan rasa optimis rekod terdahulu mampu dipecahkan oleh 'orang-orang Pulau Pinang'.

Rekod sebelum ini adalah 15,000 orang bagi acara fun run... sebenarnya kita (Kerajaan Negeri) tidak tahu, kita cuma tutup penyertaan pada 31 Mac kerana padang ini sudah penuh, tetapi saya yakin kita mampu pecahkan rekod Malaysia.

Kita pecah rekod Malaysia, kita tunjukkan bahawa Pulau Pinang tetap bersama sebagai negeri kita, kita tetap sayang Pulau Pinang!” ucap beliau dengan penuh bersemangat di hadapan ribuan peserta di padang awam Dewan Haji Ahmad Badawi dekat Butterworth baru-baru ini.

Hadir sama, barisan Exco Kerajaan Negeri, Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Yang di-Pertua Majlis Perbandaran Seberang Perai, Dato' Maimunah Mohd. Sharif, Setiausaha Perbandaran bagi MPSP, Sr. Rozali Mohamud; Ahli-ahli Majlis bagi MPSP dan isteri kepada Ketua Menteri, Betty Chew Gek Cheng.

Guan Eng dalam pada itu turut bersemangat turun berlari bersama rakyat Pulau Pinang dalam acara sejauh enam kilometer mengelilingi Butterworth itu.

Guan Eng serta pemimpin Kerajaan Negeri Pakatan Harapan yang lain kelihatan tanpa segan silu melayan permintaan berswafoto bersama orang ramai di sini.

Terdahulu, edisi pertama Larian Saya Sayang Pulau Pinang peringkat Pulau dilangsungkan pada 13 Mac lepas di tengah-tengah George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

Kerajaan Negeri menganjurkan kedua-dua edisi larian ria tersebut sebagai simbol bantahan bersama pada hasrat Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor yang mahu 'merampas' Pulau Pinang untuk dijadikan Wilayah Persekutuan baharu. - 11 April 2017

Exco Kesihatan puji penganjuran program CPR-AED hampir pecah rekod MBOR 2015



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

DATUK KERAMAT – Sesi latihan kecemasan menyelamat mangsa serangan jantung melalui teknik resusitasi kardiopulmonari (CPR) dan alat Automated External Defibrillator (AED) di Sekolah Tinggi Han Chiang baru-baru ini menerima pra pendaftaran peserta seramai 5,535 orang daripada kalangan guru dan pelajar.

Ketika berucap, Exco Pertanian & Industri Asas Tani, Pembangunan Desa dan Kesihatan, Dr. Afif Bahardin berkata jumlah pra pendaftaran tersebut hampir memecah rekod peserta terbesar dalam sesi CPR seramai 6,806 orang pada tahun 2015, dalam Malaysia Book of Records (MBOR).

"Saya dimaklumkan pra pendaftaran pada hari ini ini seramai 5,535 orang, dan jumlah pra pendaftaran di Sekolah Tinggi Jit Sin yang akan diadakan serupa program ini pada 6 Mei nanti adalah seramai 4,965 orang.

"Tahniah kepada Lion Club of Georgetown Central selaku penganjur dengan kerjasama daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) dan beberapa pihak lagi kerana hampir memecahkan rekod MBOR dua tahun lepas," jelas Dr. Afif Bahardin kepada pemberita di Sekolah Tinggi Han Chiang di sini pada 8 April lepas.

Dr. Afif turut merakamkan penghargaan kepada beberapa penganjur bersama lain, antaranya Hospital Pulau Pinang; Hospital Seberang Jaya; St. John Ambulans Malaysia Negeri; Malaysia Red Crescent Society - Cawangan Pulau Pinang; Persatuan Kebajikan Perubatan Kecemasan Pulau Pinang; serta barisan penaja program bersama itu.

"Kempen ini akan membantu pelajar memperoleh pengetahuan dan kemahiran yang diperlukan untuk melaksanakan CPR (dengan menggunakan alatan) AED demi menyelamat menyelamatkan nyawa mangsa serangan jantung.


"Ia (AED) direka untuk membantu meningkatkan keupayaan pelajar untuk berjaya melaksanakan CPR, sekiranya berlaku kecemasan, sebelum bantuan perubatan dari hospital tiba," jelas Dr. Afif.

P.Pinang hari ini bekal empat kali ganda bilangan unit rumah rakyat berbanding era BN sebelum 2008, kata Jagdeep



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Sehingga kini sejumlah 20,887 unit Rumah Mampu Milik (RMM) Jenis A (kos rendah) dan Jenis B (kos sederhana rendah) dibina di Pulau Pinang, berbanding 5,124 unit sahaja dalam tempoh sama selama tujuh tahun sebelum 2008.

Exco Perancangan Bandar & Desa dan Perumahan, Jagdeep Singh Deo memberitahu, jumlah rumah yang berjaya dibina dalam era Kerajaan Negeri hari ini adalah menyamai empat kali ganda berbanding tempoh sebelumnya ketika era pemerintahan Barisan Nasional dahulu.

"Sejumlah 20,887 unit ini adalah empat kali ganda jumlah 5,124 unit yang telahpun dibina pada tujuh tahun yang sama sebelum kita mengambil alih pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang.

"Ini jelas menunjukkan bahawa Kerajaan Pakatan telahpun menunjukkan satu prestasi pencapaian dari segi pembekalan rumah mampu milik, yang jauh lebih baik daripada Kerajaan Barisan Nasional yang terdahulu," jelas Jagdeep pada siri kedua Ekspo Perumahan Mampu Milik 2017, anjuran Kerajaan Negeri di Pasar raya Prangin dekat Komtar baru-baru ini.

Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik (DAP) Kebangsaan yang menyempurnakan majlis perasmian ekspo tahunan kali kedua itu.

Hadir sama, Exco Kebajikan & Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Puyu; serta ADUN Komtar, Teh Lai Heng.

Menurut Jagdeep, Kerajaan Negeri hari ini telahpun memperkenalkan Garis Panduan Perumahan Mampu Milik 100% dengan kelulusan kepada pihak pemaju swasta membina sejumlah RM18,387 unit rumah, tidak termasuk 20,887 unit Jenis A dan Jenis B.

Tambah beliau, terdapat 14 lagi projek RMM pelbagai jenis yang terdiri oleh 26,255 unit kediaman bakal dibina di kelima-lima daerah di negeri ini.

"Harganya adalah dalam lingkungan RM42,000 sebanyak 787 unit, RM72,500 ada 8,388 unit serta antara harga RM150,000 hingga RM300,000 sejumlah 17,080 unit," jelas beliau yang juga ADUN Datuk Keramat.

Di samping itu, Jagdeep memberitahu bahawa Kerajaan Negeri hari ini senantiasa mencari jalan untuk melaksanakan langkah-langkah penyejukan pasaran hartanah, dan ketika ini kian memperlihatkan hasil.

"Menurut statistik dan data yang dikumpul oleh Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC), Negeri Pulau Pinang mencatatkan penurunan harga purata perumahan tertinggi di seluruh Malaysia, di mana berbanding purata penurunan harga di seluruh negara adalah 0.7 peratus, negeri Pulau Pinang mencatatkan penurunan sebanyak 3.2 peratus, iaitu dengan harga peruta dari RM400,994 sehingga RM388,319," jelas Jagdeep.

Dalam perkembangan berkaitan, Jagdeep yang juga Timbalan Pengerusi DAP Negeri Pulau Pinang sekali lagi menggesa Bank Negara Malaysia (BMN) supaya melonggarkan syarat permohonan pinjaman perumahan bank demi memastikan lebih ramai pembeli RMM kali pertama mampu miliki rumah idaman masing-masing.

Tegasnya, Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan Malaysia (REHDA) sebelum ini mendedahkan kadar penolakan permohonan pinjaman perumahan ketika ini melebihi 60 peratus, sungguhpun Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) dalam satu kenyataan berasingan baru-baru ini antara lain memberitahu kadar kelulusan pinjaman perumahan adalah setinggi 73.8 peratus.

Tegasnya lagi, Kerajaan Negeri dan pihak pembangkang Pulau Pinang dalam isu penolakan permohonan pinjaman perumahan bank ini saling bersetuju untuk menghantar usul bersama kepada Kerajaan Pusat, untuk penyelesaian lanjut.

"Satu dialog telahpun diadakan pada tahun dahulu (2016), dan adalah diharapkan Dialog Meja Bulat kedua ini dapat membincangkan semula isu ini dengan cadangan-cadangan yang bernas daripada semua pihak yang berkepentingan," jelas Jagdeep.

Pada perkembangan lain, Jagdeep memberitahu Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini melahirkan rasa hampa atas prestasi buruk Kerajaan Pusat yang didakwa gagal membekalkan unit kediaman di bawah skim Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) dan Perumahan Penjawat Awam 1Malaysia (PPA1M) untuk warganegara yang mendiami negeri ini.

"Sehingga hari ini, satu unit pun masih belum dibina di negeri Pulau Pinang," tegas Jagdeep.

RM75,555 kos selenggara, cat semula rumah pangsa berusia 63 tahun di Jalan Jelutong

JOSEPH Ng Soon Siang (berbaju coklat) bersama-sama Lim Siew Khim (berbaju putih, tengah) serta Ahli Majlis MBPP lain pada sidang media di sini baru-baru ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

SUNGAI PINANG - Kos penyelenggaraan semula empat blok rumah pangsa tiga tingkat di Jalan Jelutong yang berusia 63 tahun baru-baru ini menelan belanja Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kira-kira RM75,555.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Pinang memberitahu, projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) tersebut membawa manfaat kepada 48 keluarga yang mendiami unit-unit kediaman di sini.

"Ini merupakan salah satu skim perumahan awam yang dibiayai oleh MBPP, memberi keseronokan kepada penduduk-penduduk di sini," jelas Siew Khim yang juga Ketua Wanita Parti Tindakan Demokratik (DAP) Negeri Pulau Pinang kepada pemberita di sini baru-baru ini.

Beberapa Ahli Majlis MBPP, Joseph Ng Soon Siang, Edward Tan, D.R. Kala dan Saiful Azwan Abd Malik turut sertai sidang media di sini.

Bercakap pada sidang media sama, Soon Siang memberitahu projek penyelenggaraan rumah pangsa tersebut sebenarnya siap pada 6 Januari lepas lagi.

Namun, katanya, tempoh liabiliti kecacatan pada projek tersebut menjadi tanggungjawab kontraktor berwajib sehingga 30 Jun ini.

Tambah beliau, penduduk setempat sendiri yang memilih warna cat untuk semua blok di sini, melalui partisipatori Bajet Responsif Gender (GRB).

"Projek mengecat semula dan kerja-kerja naik taraf rumah pangsa Jalan Jelutong ini adalah salah satu skim perumahan awam majlis (MBPP).

"Penduduk hanya membayar RM102 sebulan untuk menyewa unit kediaman berkeluasan 408 kaki persegi.

"Walaupun sewa yang murah, kita (MBPP) tidak mengabaikan kesejahteraan penduduk di sini...dengan kerja-kerja penyelenggaraan dan kerja-kerja menaik taraf telah dijalankan dari semasa ke semasa," jelas Joseph Ng.

Difahamkan, MBPP pada tahun 2014 direkodkan pernah melaksanakan projek pendawaian semula tiap-tiap unit kediaman di sini, demi memulihara keselamatan penghuni setempat.

Mengulas lanjut, penduduk, Rahimah Kaldar Mastan, 63, merakamkan penghargaan atas inisiatif MBPP serta Kerajaan Negeri hari ini.

"Saya suka warna baru dalam blok. Ia kelihatan baik dan baru," katanya, sambil menyatakan komitmen untuk memastikan komuniti setempat memelihara kebersihan kawasan sekeliling di sini.

Selain itu, Rahimah Kaldar turut merakamkan penghargaan kepada pihak Siew Khim kerana membiayai kos membina tanjakan kerusi roda di luar unit beliau.

Katanya, projek inisiatif Siew Khim itu memberi manfaat kepada anaknya, Sirajudin Karim Gani, 34, yang lumpuh selepas kemalangan.

"Dengan jalan (tanjakan kerusi roda), anak saya boleh bergerak lebih baik, terutamanya apabila dia telah pergi ke hospital untuk rawatan dan fisioterapi tiga kali sebulan," katanya.

Dalam perkembangan lain, Siew Khim memberitahu, ada rancangan di pihak berkuasa tempatan (PBT) serta pihaknya untuk menyerahkan sebidang tanah lapang berkeluasan 1,053 kaki persegi kepada persatuan penduduk setempat untuk projek pertanian bandar, kelak.

"Butiran projek itu akan dimuktamadkan dan diumumkan tidak lama lagi," katanya.

Exco umum RM19,000 projek kurangkan risiko banjir di Bukit Tengah



Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

BUKIT TENGAH - Kerja-kerja pembinaan rumah pam di hilir Parit 4 ke Sungai Juru serta beberapa beberapa projek penarafan lain yang menelan belanja RM19,128,721 akan dimulakan pada bulan November ini dan dijangka siap sepenuhnya pada Oktober 2019.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow berkata projek tersebut akan mempercepatkan aliran keluar air daripada kawasan-kawasan tadahan utama ke laut, sekaligus mengurangkan risiko banjir di sekitar Daerah Seberang Perai Tengah (SPT).

"Kerajaan Negeri berharap dengan cadangan penyelesaian yang telah sedang direkabentuk oleh JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran) Pulau Pinang akan dapat mengurangkan risiko serta masalah kekerapan banjir kilat," jelas Kon Yeow kepada pemberita, sebelum meninjau tapak cadangan pembinaan rumah pam tersebut.

Kon Yeow memberitahu pam sedia ada di sini dengan kapasiti 0.5 meter padu per saat adalah tidak berupaya lagi untuk mengepam kapasiti aliran air dari Parit 4 dan Sungai Juru Borrow Pit ke Sungai Juru.

"Parit 4 mempunyai kawasan tadahan yang merangkumi kawasan Taman Desa Damai, Kebun Sireh, Kampung Permatang Batu, Bandar Perda, Taman Jambu, Taman Semarak, Taman Gemilang, Taman Sri Rambai, Taman Belimbing, Taman Limau Manis dan sebahagian kawasan Juru Autocity.

"Manakala, kawasan seperti Kampung Bukit Tengah, Taman Pelangi, Taman Tok Keramat, Juru Autocity dan kawasan Jalan Perusahaan adalah terletak dalam kawasan tadahan Sungai Juru Borrow Pit.

"Dengan pembinaan Rumah Pam baharu dengan kapasiti 12 meter padu persaat selepas ini, serta kerja-kerja mitigasi yang lain, diharapkan dapat mengurangkan lagi risiko banjir kilat di sekitar kawasan ini," jelas Kon Yeow yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Kota.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada ADUN Bukit Tengah, Ong Chin Wen kerana begitu konsistan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri supaya menyegerakan projek tebatan banjir di kawasannya.

Sebelum itu, wakil kejuruteraan JPS daerah memberitahu, di bawah projek sama turut dilaksanakan kerja-kerja penarafan sistem seliran sedia ada sepanjang 5.5 kilometer; penarafan Parit 4 sediada sepanjang 750 meter (m); menaik taraf parit lencongan sedia ada di dua lokasi; serta pengalihan utiliti.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus