01 June 2017

Cabaran Kerajaan Secara Langsung Pinjam Modal Pelaburan Asing

 


Oleh: Zainulfaqar Yaacob*


Projek PGU atau Peninsular Gas Utilization sepanjang 1,700 kilometer (KM) dimulakan pada 1984 hingga 1993.


Fasa pertama, PGU Tok Arun ke Kerteh. 


Fasa dua PGU ada tiga seksyen. Seksyen 1 dari Jerteh ke Gebeng ke Segamat. Seksyen 2 dari Segamat ke Johor Bharu ke Pasir Gudang. Seksyen ketiga dari Pasir Gudang ke Pedas ke Serdang.


Fasa tiga PGU dari Serdang ke Gurun ke Kangar. Dan, fasa terakhir adalah multi product pipeline dari Serdang ke Port Dickson ke Melaka.


Gurun tak mampu jadi hub perindustrian seperti hari ini jika tiada PGU ke sana.


Tanpa PGU di Gurun, siapa nak buka kilang di kawasan yang bekalan tenaga elektrik 'putus-putus'?


PGU inilah memangkin pada industri pengeluaran negara.


PGU dibangunkan ketika Tun Dr. Mahathir menjadi perdana menteri. 


Pernahkah kita terfikir, daripada negara mana Dr. Mahathir meminjam dana untuk membangunkan projek infrastruktur industri ini? World Bank? International Monetary Fund? China Exim Bank?


Sebenarnya PGU dibangunkan tanpa pinjaman modal pelaburan asing secara langsung membabitkan Kerajaan Persekutuan sendiri.


Syarikat berkaitan kerajaan (GLC) sendiri menubuhkan "anak syarikat RM2" bernama Petronas Gas Berhad umpamanya, untuk melaksanakan projek PGU secara usahasama (join development project - JDP) membabitkan modal yang dibawa masuk langsung daripada GLC Jepun.


JDP ertinya dalam projek PGU ini GLC Jepun ini ada kepentingan (saham) dalam bentuk untung untuk membayar pinjaman korporatnya sendiri, tetapi PGU itu akhirnya menjadi milik penuh negara (melalui Petronas dan 'anak syarikat RM2' Petronas Gas Berhad yang disebut tadi).


Kenapa 'anak syarikat RM2'?


Bayangkan pentadbiran Dr. Mahathir bersetuju Kerajaan Persekutuan Malaysia meminjam dana pelaburan asing dari Jepun untuk melaksanakan PGU ini.


Dan, bayangkan jika PGU ini gagal dilaksanakan atau berlaku malapetaka besar ketika salah satu fasa dilaksanakan, hatta Kerajaan Persekutuan Malaysia didesak menghentikan projek mega berbilion-bilion ringgit ini.


Apakah risikonya? Kerajaan Persekutuan Malaysia masih mempunyai tanggungjawab secara mandatori untuk membayar hutang, riba atas pinjaman serta penalti dll kepada Jepun, kerana malapetaka dalam projek PGU ini bukanlah liabiliti kepada negara asing berkenaan pun.


Jika Malaysia gagal melaksanakan semua birokrasi kewangan tersebut, negara Jepun boleh menuntut imbalan yang lain di mana-mana mahkamah di tanah air ini.


Dan, Mahkamah boleh menetapkan Kerajaan Persekutuan Malaysia menunaikan tuntutan sivil kepada Jepun dalam rupa yang lain, seperti pemberian tanah atau hartanah setimpal dengan nilai  hutang pinjaman modal pelaburan asing yang dibuat sebelum ini.


Jika terjadi sebegini, barulah wajar semua pihak menuduh pentadbiran Dr. Mahathir menjual khazanah negara.


Tapi, hakikatnya pentadbiran Dr. Mahathir mahu projek pembinaan PGU ini secara JDP kerana mengambil kira semua risiko terbesar ini buat tanah air.


Dengan JDP membabitkan Petronas Gas Berhad umpamanya, jika projek PGU gagal atau terbengkalai, sekurang-kurangnya tuntutan sivil Jepun ke atas 'anak syarikat RM2' itu sahaja dan bukanlah membabitkan kepentingan negara secara langsung.


Jika difahami birokrasi kewangan seumpama ini, kita akan faham - mengapa Kerajaan Pusat melalui Kementerian Kewangan akan menubuhkan 'anak syarikat RM2' untuk melaksanakan projek Keretapi Pantai Timur (ECRL)?


Menteri Di Jabatan Perdana (JPM) Datuk Abdul Rahman Dahlan pada 9 November 2016 sendiri mengaku Malaysia Rail Link Sdn. Bhd. (MRL) dimiliki 100 peratus oleh Kementerian Kewangan, walaupun mendapat reaksi berbeza daripada Naib Presiden PKR Rafizi Ramli serta beberapa pemimpin Pakatan Harapan hingga kini.


Jika difahami peri penting 'syarikat RM2' ini, kita tidak akan menubuh Dr. Mahathir menubuhkan Petronas Gas Berhad umpamanya sebab "nak jaga kroni" dll, seperti didendang oleh beberapa pemimpin oposisi terdahulu.


Ijtihad Pulau Pinang


Di Pulau Pinang, pentadbiran Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng sedang bertungkus-lumus untuk merealisasikan Pelan Induk Pengangkutan (Transport Master Plan - TMP).


TMP adalah cadangan pembinaan sistem pengangkutan awam bersepadu seperti transit aliran ringan (LRT), monorel dan sistem bas aliran cepat (BRT) yang keseluruhan dianggarkan menelan belanja hampir RM46 bilion.


Kerajaan Negeri melantik SRS Concortium sebagai rakan pelaksana projek (PDP), dengan cadangan tebus guna tanah atau projek penambakan laut di Selatan Bahagian Pulau untuk membiayai belanja pembinaan serta kos operasi semua projek TMP tersebut.


Pun begitu, hasrat begitu murni pentadbiran Guan Eng untuk membina 'Link Ketiga' dan TMP ini seakan mendapat layanan dingin daripada Kerajaan Persekutuan di Putrajaya.


Susulan itu, Kerajaan Negeri secara langsung mungkin mempertimbang untuk membuat pinjaman modal pelaburan asing, apabila ditawarkan oleh China Exim Bank baru-baru ini.


Guan Eng di Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang pada 25 Mei 2017 lalu membentangkan rang undang-undang (RUU) Enakmen Pinjaman Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Bank Dan Sumber-Sumber Kewangan Lain) 2017.


ADUN Air Putih berkenaan memberitahu Kerajaan Negeri pada 16 Disember 2014 telahpun menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan China Exim Bank, yang membolehkan pada bila-bila masa pinjaman dibuat seperti dipersetujui bersama.


Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP Kebangsaan turut memberitahu bahawa RUU ini sebagaimana disyorkan dalam terimaan surat balas daripada Perdana Menteri Y.A.B. Datuk Seri Najib Tun Razak pada 31 Mei 2016 lalu, dengan memperhalusi ketetapan Perkara 111(2) Perlembagaan Persekutuan.


Firasat Peribadi


Hasrat pentadbiran Guan Eng mahu menangani kesesakan trafik di Pulau Pinang sehingga tahun 2050 sangat murni dan tidak lagi dipertikai oleh mana-mana pemimpin Pakatan Harapan.


Kalau TMP ini tidak boleh direalisasikan melalui kaedah tebus guna tanah laut, Guan Eng mungkin mengharapkan ia berjaya dibiayai melalui pinjaman modal pelaburan asing daripada China Exim Bank.


Kerana itu lah, Enakmen Pinjaman Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Bank Dan Sumber-Sumber Kewangan Lain) 2017 diluluskan di DUN Pulau Pinang. 


Hasrat Guan Eng ternyata murni, tetapi adakah syor Najib itu bertitik-tolak pada hasrat murni yang hakiki juga?


Hairan, bagaimana Najib boleh mensyorkan sebegitu kepada Guan Eng ketika Kerajaan Persekutuan sendiri kini langsung tidak mengamalkan pinjaman modal pelaburan asing - yang begitu tinggi risiko pada kedaulatan negara?


Projek PGU adalah contoh projek JDP terdahulu dan berjaya, dan ECRL adalah rekod projek yang mahu direalisasikan pada hari ini di bawah pentadbiran Najib sendiri.


Sewajarnya Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang mempertimbang semula ijtihad politiknya, dengan menimba pengalaman daripada pentadbiran Dr. Mahathir yang tidak membiarkan Kerajaan Pusat meminjam modal pelaburan asing daripada Jepun untuk melaksanakan projek PGU.


1MDB KE-2?


Daripada aspek lain, belakangan ini ada beberapa pemimpin Pakatan Harapan dan badan bukan kerajaan (NGO) kedengaran melahirkan rasa bimbang, takut ijtihad pentadbiran Guan Eng ini padahnya akan sama seperti skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kira-kira lebih RM44 bilion.


Sebenarnya tidak sama, jika kita memahami bahawa kedudukan 1MDB adalah 'syarikat RM2' yang ditubuhkan di bawah Kementerian Kewangan.


Sebab itu, saman sivil yang diusahakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat serta beberapa pihak antarabangsa lain langsung kepada kepentingan korporat 1MDB; tidaklah sampai tuntutan secara langsung kepada Kerajaan Malaysia atau tanah air.


Jika Dr. Mahathir atau Datuk Seri Anwar Ibrahim dipilih menjadi Perdana Menteri selepas PRU14 nanti, mereka boleh untuk tidak melaksanakan semua tuntutan  sivil yang ditetapkan mahkamah nanti.


Ini kerana, semua tuntutan itu adalah liabiliti 1MDB, dan bukanlah liabiliti negara.


Jadi, mengapa Najib Razak begitu terdesak menguruskan 'kerosakan luar kawalan' 1MDB ini mungkin atas dua faktor?


Pertama, kerana Najib sendiri bimbang namanya akan disebut dan didakwa sama ada di mahkamah Amerika Syarikat atau Dubai dan mana-mana negara yang gigih melaksanakan siasatan skandal penyelewengan terbesar dunia.


Kedua, kerana Najib masih yakin boleh menyelamatkan dan melunaskan semua liabiliti 1MDB ini. 


Contoh, rancangan menjual Tanah Tun Razak Exchange (TRX) bernilai tinggi membabitkan Tabung Haji secara spekulatif untuk menjana 'untung atas angin', lalu, digunakan untuk melunaskan semua liabiliti 1MDB yang dikaitkan dengan peribadi Najib dan Jho Low.


Dengan ertikata lain, konteks ijtihad pentadbiran Guan Eng dan kes 1MDB adalah sangat berbeza serta suatu kebimbangan tanpa asas (waham).


Cadangan Solusi


Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang hari ini boleh untuk menangguhkan hasrat membuat pinjaman modal pelaburan asing daripada China Exim Bank.


Ini kerana, kelulusan enakmen berwajib itu bukanlah menuntut untuk Kerajaan Negeri menggunakan undang-undang tersebut secara mandatori, sekarang.


Elok Kerajaan Negeri melaksanakan JDP dengan China, modelnya serta syarat perjanjian sama seperti dalam projek PGU dahulu.


Demi mengurangkan risiko 'kerosakan luar kawalan' kelak, disyorkan Kerajaan Negeri melalui Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sendiri menubuhkan sebuah 'syarikat RM2' bernama PDC Island Link Bhd.; sama seperti Petronas menubuhkan Petronas Gas Berhad dalam projek PGU.


Seterusnya, Kerajaan Negeri sendiri yang mempunyai  bank tanah dan rizab tunai lebih RM1 bilion meneroka idea menubuhkan Own State Bank kerana bank mempunyai kuasa untuk mengeluarkan kredit lebih daripada rizab intrabanknya.


Kalau gabungan koperasi pada tahun 1971 boleh meneroka idea sampai tertubuhnya Co-opbank Persatuan, takkan sebuah Kerajaan Negeri yang mempunyai kuasa yang lebih besar atas tanah dan di DUN tidak berupaya meneroka idea menubuhkan Own State Bank sendiri? 


Daripada tiada, sekarang telahpun lulus secara sebulat suara di DUN Pulau Pinang - Enakmen Pinjaman Kerajaan Negeri Pulau Pinang (Bank Dan Sumber-Sumber Kewangan Lain) 2017.


Ertinya idea yang lebih progresif seperti mengemukakan RUU untuk menubuhkan Own State Bank di DUN adalah munasabah dan tak mustahil direalisasikan kelak.


Dan, nama pasukan Lim Guan Eng akan terpahat dalam sejarah pembangunan negara jika Penang Own State Bank ini berjaya ditubuhkan, dengan semua komponen TMP direalisasikan secara JDP membabitkan pemaju produktif dari China atau mana-mana negara maju lain.


Saya mohon mencadang.




_________________

  • ZAINULFAQAR YAACOB menulis artikel ini sekadar untuk projek wacana kecil-kecilannya secara peribadi atas nama DEKPOS atau Diskusi Ekonomi Politik Sosial di kampung halamannya dekat Pulau Pinang. Berkicau di twitter @zainulfaqar dan seringkali muncul di instagram @zainulfaqar juga. Beliau akan menconteng di facebook.com/zainulfaqary andai terkenang arwah isteri muda cantik jelita Siti Hajjar Hassan; atau terusik dek anak comel #InsyirahSolehah. Hubungi di talian 0194241583 atau emel y.zainulfaqar@gmail.com. Artikel ini ditulis pada 31 Mei 2017, 7.00 malam di 1st Avenue, George Town.



Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus