30 June 2017

Bolehkah tangani isu lambakan sampah di Kelantan tanpa berbelanja RM?

SENDIRIAN Penulis berkelana dan bergentayangan di Pasar Seni dekat Kuala Lumpur pada hari ketiga Aidilfiri, 27 Jun 2017.


Oleh: Zainulfaqar Yaacob*


Wacana Ekonomi | Kita tentu masih ingat zaman sekolah dahulu, ada Hari Kantin Sekolah.

Pada hari itu, semua makan dibeli tanpa menggunakan duit Ringgit Malaysia.

Kita semua menggunakan kupon yang dicop dengan cop rasmi sekolah. 

Kegiatan jual beli boleh berlaku kerana penjual dan pembeli saling saling bersetuju untuk menjalankan aktiviti ekonomi menggunakan kupon bercop sekolah itu.

Persetujuan kolektif ini terjadi kerana masing-masing menerima kupon sekolah itu ada jaminan, daripada segi nilai dan segi keselamatan.

Kalau kupon bercop sekolah bernilai seringgit umpamanya, memang dijamin boleh membeli makanan senilai RM1.

Kupon bercop sekolah ini seakan mata wang Ringgit Malaysia, menjadi mekanisme sosial untuk kegiatan ekonomi pada Hari Kantin Sekolah tersebut.

Kupon bercop sekolah itu adalah 'haram' kerana langsung tidak diiktiraf oleh Bank Negara Malaysia (BNM) sebagai mata wang negara, tetapi tetap digunakan seperti Ringgit Malaysia pada hari kantin sekolah tersebut.

BEBERAPA murid Sekolah Menengah Kebangsaaan Datuk Lela Pahlahan mengambil bahagian dalam aktiviti jual beli pada Hari Kantin Sekolah. Gambar sekadar hiasan. | Foto: Blog 


Kupon Parkir 

Selain kupon sekolah, Bank Negara Malaysia juga tidak mengiktiraf kupon parkir yang diperkenalkan di peringkat Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Tapi di Pulau Pinang, khususnya di Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP), kupon parkir ini digunakan tidak terhad pada urusan parkir kenderaan sahaja.

Pelanggan atau pemilik hartanah komersial yang berjaya melangsaikan cukai pintu akan diberi ganjaran dalam sejumlah kupon parkir, selain hadiah lumayan cabutan bertuah yang lain.

Ertinya, kupon parkir kereta MPSP mempunyai kedudukan yang hampir sama dengan Ringgit Malaysia - social mechanism!

CONTOH kupon parkir Majlis Perbandaran Pulau Pinang (kini dikenali sebagai MBPP)

Pengalaman Curitiba, Jaime Lerner

Bandar Curitiba terletak dalam negeri Parana, Brazil kini dikenali sebagai salah sebuah bandar termaju dunia dengan sistem pengangkutan efisyen, persekitaran bersih, serta kos hidup antara terendah. 

Sebelum era 1970-an, Curitiba yang berada berhampiran kawasan tadahan banjir adalah bandar jenayah, kotor dan mempunyai populasi rakyat tanpa kediaman yang tinggi.

JAIME Lerner

Selepas itu, seorang ahli politik Brazil berketurunan Yahudi, Jaime Lerner (lahir 17 Disember 1937), serta pasukan rekabentuk perbandaran beliau cuba mengubah infrastruktur Curitiba dengan kaedah yang unik serta begitu ekonomik.

Jaime Lerner merupakan graduan Sekolah Seni Bina Universiti Persekutuan Parana pada tahun 1964, dan terlibat menubuhkan Institut Perancangan Bandar & Penyelidikan Curitiba (IPPUC), lalu mengambil bahagian menyediakan Pelan Induk Curitiba.

Beliau dipilih menjadi Datuk Bandar sebanyak tiga penggal, iaitu pada tahun 1971-1975, 1979-1984 dan 1989-1992).

Jaime Lerner pernah dipilih menjadi Gabenor Parana pada tahun 1994 dan dipilih semula lada 1998.

Sepanjang tempoh itu, beliau melaksanakan pelbagai program pembaharuan sosial, ekologi, kediaman mampu sewa hatta sistem pengangkutan awam bandar efektif.

JAIME Lerner sedang menunggu di hentian bas, padanlah Datuk Bandar Curitiba berkenaan berjaya mendapat sokongan rakyatnya dalam merealisasikan polisi "moving people, not car". 

Bas Awam

Contohnya, Jaime Lerner ketika menawarkan diri sebagai Datuk Bandar Curitiba pada 1988, 12 hari sebelum Hari Mengundi mengumumkan projek infrastruktur pengangkutan awam - Bus Rapid Transit (BRT) atau "Rede Integrada de Transporte" ke seluruh bandar berkenaan.

Sistem pengangkutan awam itu tidaklah disediakan secara percuma, seperti dinikmati oleh rakyat Malaysia di Pulau Pinang pasca tahun 2008.

Pada tahun 2015, Exco Kerajaan Negeri, Chow Kon Yeow pernah mendedahkan Kerajaan Pulau Pinang membelanjakan RM239,000 tiap-tiap bulan untuk menyediakan 17 buah bas percuma 'Bridge Express Shuttle Transit' (BEST) di antara Seberang Perai dan Bayan Baru; serta lima buah bas 'Central Area Transit' (CAT) sekitar George Town Tapak Warisan Dunia UNESCO.

BRT atau lebih popular disebut "Speedybus" bukan percuma tapi Jaime Lerner memperkenalkan dasar menggunakan Pas Transit.

MENAIKI BRT dianggap 'mempunyai status tersendiri" bagi penduduk Curitiba.

"Wang Fiat Ketiga"?

Untuk rekod, anggaran peruntukan tahunan 2016 bagi Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) untuk tujuan menguruskan sisa pepejal serta kerja-kerja pembersihan awam masing-masing berjumlah RM95.64 juta dan RM98.99 juta.

Di Curitiba, Jaime Lerner seakan tidak membelanjakan wang dalam bentuk mata wang negara, untuk tujuan kerja-kerja pembersihan bandar.

Komuniti yang melaksanakan kerja-kerja pembersihan serta mengumpul barangan kitar semula boleh menebus upah buruh dalam bentuk kupon juga, yang diperlukan untuk kegunaan menaiki "Speedybus".

Kupon bas ini juga mempunyai jaminan nilai dan keselamatan untuk membayar bil utiliti lain dalam kadaran peratus tertentu, termasuk cukai pintu dll.

Walaupun kupon bas ini bukanlah wang fiat kedua negara Brazil, tetapi fungsinya seakan 'mekanisme sosial' dalam aktiviti ekonomi, seperti kegunaan kupon bercop sekolah pada Hari Kantin Sekolah di Malaysia.

Bayangkan Jaime Lerner mengumumkan kerajaan akan membeli semua sampah menggunakan kupon bas?


JARDIM Botanico de Curitiba.
MEMORIAL Ucraniano.
TEATRO Opera de Arame

Kesan berantai yang paling ketara, kawasan tadahan banjir yang begitu kotor dan terbiar di Curitiba berubah menjadi taman rekreasi flora dan fauna yang cantik.

Seluruh bandar pengangkutan awam Curitiba itu turut berubah wajah, begitu bersih serta sihat untuk didiami penduduk.

Selain itu, dasar kegunaan kupon bas ini berjaya menambahkan pendapatan isi rumah, khususnya kaum nelayan yang terlibat dalam kerja-kerja pembersihan bandar, pada luar musim memancing.

Yang paling ketara adalah dasar progresif Jaime Lerner ini telah berjaya mengurangkan bilangan penduduk tanpa kediaman (homeless) dan pengemis berdaftar kerana ia telah memberi peluang pekerjaan alternatif kepada mereka untuk hidup seperti kebanyakan orang lain.

Bayangkan jika idea ekonomi sebegini dibincang secara lumat oleh pemimpin pemuda AMANAH untuk mengurus isu lambakan sampah di Kota Bharu, Kelantan umpamanya.

BNM tentu akan mengambil langkah undang-undang jika "Kerajaan Menunggu" Amanah Kelantan mengumumkan kupon parkir kereta Majlis Bandaraya Kota Baru Bandar Raya Islam (MBKB BRI) sebagai 'wang fiat kedua' negeri.

Tetapi, dengan melaksanakan dasar-dasar progresif seperti Jaime Lerner, secara tidak langsung memang Datuk Bandar MBKB BRI sedang berusaha menangani masalah lambakan sampah di Kota Bharu (umpamanya) dengan tidak berbelanja Ringgit Malaysia. Bayangkan...

Pakatan Harapan mesti meninggalkan politik personaliti - Anwar Ibrahim atau Dr. Mahathir Mohamad patut menjadi perdana menteri?

Ini kerana, "politik kepartian tanpa ideologi ekonomi manusiawi adalah sia-sia untuk rakyat terbanyak di Malaysia."

Setuju?



_________________
  • ZAINULFAQAR YAACOB menulis artikel ini sekadar untuk projek wacana kecil-kecilannya secara peribadi atas nama DEKPOS atau Diskusi Ekonomi Politik Sosial di kampung halamannya dekat Pulau Pinang. Berkicau di twitter @zainulfaqar dan seringkali muncul di instagram @zainulfaqar juga. Beliau akan menconteng di facebook.com/zainulfaqary andai terkenang arwah isteri muda cantik jelita Siti Hajjar Hassan; atau terusik dek anak comel #InsyirahSolehah. Hubungi di talian 0194241583 atau emel y.zainulfaqar@gmail.com. Artikel ini ditulis di Food Hall 1st Avenue, George Town pada 30 Jun 2017, jam 8.01 malam.

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus