22 July 2017

Di sebalik Revolusi Perindustrian 4.0...

PENULIS di Kafe Sains Pulau Pinang (PSC) dekat bangunan warisan Wisma Yeap Chor Ee, George Town pada 20 Julai 2017. PSC ini adalah salah satu projek 'Long Range Planning' Ketua Menteri Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng bersama-sama beberapa firma korporat swasta demi melonjak lagi keunikan Pulau Pinang sebagai Pusat Perkembangan Tekno-Keusahawanan negara kelak.



Oleh: Zainulfaqar Yaacob

@DEKPOS | Diskusi Politik Ekonomi Sosial



Wacana Ekonomi | Kebangkitan kaum tani menentang sistem perhambaan tuan tanah di Britain yang terjadi sejak hujung kurun ke-16 masihi lagi, akhirnya menyumbang dalam peningkatan produktiviti sektor pertanian itu pada beberapa kurun selepas itu.


Jika tiada kebangkitan petani dan buruh di Britain umpamanya, dorongan menghasilkan kejenteraan mesin secara langsung untuk meningkatkan produktiviti sektor pertanian itu sendiri mungkin tidak berlaku.


Jika difahami hakikat ini, kita akan faham Revolusi Perindustrian terdahulu pada akhir kurun ke-18 dan awal kurun ke-19 di Eropah itu bukan terjadi secara tiba-tiba. 


Kebangkitan buruh tani membawa perkembangan dalam sektor pertanian, kemudiannya barulah membawa pada berkembang dalam sektor pembuatan dan industri pengangkutan.


Ertinya, jentera pengangkutan dan jentera pertanian tidak wujud secara semula jadi, melainkan terlebih dahulu wujud peningkatan produktiviti negara, perkembangan saiz ekonomi dan industrilisasi sektor pertanian secara besar-besaran.


Revolusi Perindustrian 4.0


Sekarang ramai yang bercakap mengenai Revolusi Perindustrian 4.0 yang berkisar mengenai Analisis Data Besar & Data Terbuka (BDA), Pengkomputeran Awam (Cloud Computing) dan Internet Untuk Segala-Galanya (IOT).


Di Pulau Pinang pun, banyak ahli politik negara bercakap hal yang sama.


Di kalangan kita, mungkin ada yang percaya bahawa Revolusi Perindustrian 4.0 ini berkembang kerana dorongan daripada sektor swasta sendiri, bukan inisiatif permodalan besar-besaran daripada Kerajaan Bernegara sendiri.


Lanjutan itu, berkembanglah dakyah berantai kononnya sebuah kerajaan sendiri perlu menyediakan lebih banyak kursus lanjutan ala-ala Azizan Othman semata-mata, bukan membesarkan saiz ekonomi untuk menggalakkan perkembangan Revolusi Perindustrian 4.0 ketika ini.


Akhirnya tersebar lah satu lagi dakyah berantai yang lain, iaitu biar sektor swasta yang mewarnai Revolusi Perindustrian 4.0 ini.


Seakan tiada dalam pemikiran kita bahawa peri penting sebuah Kerajaan Bernegara melaksanakan industrilisasi (baca: permodalan secara besar-besaran) dalam semua sektor, termasuk pertanian dan pengilangan.


Sepatutnya Kerajaan sama ada di peringkat persekutuan atau negeri atau tempatan (PBT) melabur modal secara besar-besaran terlebih dahulu, demi membesarkan saiz ekonomi dan saiz industri negara.


Perkembangan saiz ekonomi ini perlu diusahakan supaya sejajar dengan peningkatan populasi penduduk dan lambakan graduan universiti.


Jangan pemimpin oposisi pun semacam logik Kerajaan Persekutuan era UMNO BN, percaya bahawa semua sesebuah Kerajaan Bernegara perlu melepaskan pada sektor swasta untuk mewarnai Revolusi Perindustrian 4.0 ini. Unik!


Dasar Industriliasi Di Amerika Syarikat


Dakyah mereka ini lagi, Steve Jobs, Bill Gates dan Mark Zukerberg adalah kelompok swasta yang menyumbang pada perkembangan BDA, Cloud Computing dan IOT yang wujud pada hari ini, bukan pelaburan secara langsung oleh Kerajaan Bernegara terlebih dahulu.


Menelusuri sejarah, komputer dan internet itu sendiri sebenarnya mula digunapakai dalam sektor ketenteraan di Amerika Syarikat, untuk memudahkan proses ketenteraan negara dan dunia.


Ketika itu, Bill Gates dan Steve Jobs melaksanakan kajian dan pembangunan (R&D) kerana ada permodalan besar-besaran oleh sebuah Kerajaan Bernegara untuk membina infrastruktur ketenteraan negara; bukan lah sebab dorongan utama daripada sektor swasta.


Permodalan besar-besaran oleh Kerajaan Amerika Syarikat ketika itu benar-benar demi kepentingan negara (baca: sektor ketenteraan) dan belum ada lagi logik pulangan pelaburan (ROI) sebagaimana menjadi timbang-tara dunia korporat Microsoft, Apple dan Facebook seperti hari ini.


Kerajaan Amerika Syarikat sendiri yang melabur secara besar-besaran untuk memajukan bidang ketenteraan negara, ketika itu.


Akhirnya, membawa dunia perkomputeran dan internet kian berkembang, maka institusi perbankan pula yang melabur secara besar-besaran untuk memudahkan operasi serta mengurangkan kos dalam sektor perbankan.


Dasar automasi yang semakin berkembang lagi, barulah dinikmati oleh kita pada hari ini - iaitu dunia internet dan pengkomputeran.


Gambarannya di sini, jika tiada dasar industrilisasi dengan sebuah Kerajaan Bernegara melaksanakan permodalan secara besar-besaran terlebih dahulu, revolusi perindustrian seperti hari ini tidak akan berkembang dengan sendiri.


Industrilisasi Malaysia 


Seperti di British, sejarah industrilisasi serta revolusi perindustrian Malaysia berlaku dalam sektor pertanian terlebih dahulu, sebelum sektor perindustrian dll.


Revolusi Perindustrian umumnya bukanlah bermaksud perubahan besar-besaran dalam sektor industri. Itu dakyah salah! 


Kerana bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak melaksanakan pemodalan secara besar-besaran melalui program rancangan tanah persekutuan FELDA, saiz ekonomi dan sektor perladangan negara berkembang di tanah air. 


Teknologi kejenteraan pertanian berkembang kerana wujud keperluan dalam sektor perladangan jentera.


Jika tiada industrilisasi FELDA ini, tidak mungkin akan wujud perkembangan dalam sektor kejenteraan itu sendiri.


Begitu juga apabila Kerajaan Bernegara melaksanakan pemodalan besar-besaran (baca: industrilisasi) melalui Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) membina Lebuh raya Utara - Selatan dan dan PROTON, akhirnya membawa pada perkembangan saiz ekonomi dan industri automotif negara.


Kerajaan Bernegara sendiri, khususnya pada era Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi perdana menteri mesti melaburkan dana untuk mengembangkan saiz ekonomi dan sektor pengangkutan terlebih dahulu, baru ia berkembang. 


Sektor korporat tak pernah pun melabur untuk membina lebuh raya atau jalan raya, supaya kenderaan jenama sektor korporat mereka boleh dijual di tanah air ini, sejak dahulu hingga kini.


Industrilisasi 'Mechatronics'?


Sekarang ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak gigih membina projek infrastruktur pengangkutan awam, terbaru MRT Kajang dengan pembiayaan hutang korporat. 


Tidak mustahil selepas inisiatif pelaburan secara besar-besaran (dasar industrilisasi) ini akan mengembangkan sektor mechatronics, seperti di China sejak tiga dekad lalu.


Mechatronics (baca: mekanikal + elektronik) adalah revolusi perindustrian dan bidang terbaru sedunia dan  China sendiri.


Sejak tiga dekad lalu, Kerajaan Bernegara China membesarkan saiz industriliasi pengangkututan (baca: keretapi laju berkapasiti tinggi) supaya mampu menampung pertambahan populasi penduduk serta pelaung kerjaya untuk buruh mahir di sana.


Saranan


Apabila saiz ekonomi negara berkembang dan peluang kerjaya mahir kian bertambah, barulah Kerajaan Bernegara menyusun kursus insentif kerjaya berwajib.


Contoh, bagaimana bekas-bekas jurutera Proton yang baru dibuang kerja boleh disusun semula melalui kursus kemahiran berwajib, supaya jurutera-jurutera ini layak memenuhi keperluan buruh mahir dalam projek fasa ke-3 MRT kelak.


Kalau peluang kerjaya tak berkembang, saiz ekonomi tak membesar, mengapa perlu kursus-kursus kerjaya yang pelbagai? 


Untuk menipu buruh atau untuk menutup kelemahan ahli politik yang gagal membesarkan saiz ekonoki dan peluang kerjaya rakyat?


Gambarannya, Revolusi Perindustrian Ke-4 sebenarnya langkah pemodalan besar-besaran oleh sebuah Kerajaan Bernegara untuk membesarkan saiz ekonomi dan perindustrian negara, bukan sekadar anjur kursus motivasi ala Azizan Othman atau kelas MLM.


Di sini lah perlunya blok pembangkang menyediakan solusi ekonomi - apakah dasar industrilisasi negara yang wajar untuk membesarkan saiz ekonomi negara, dan menyediakan peluang kerjaya dengan upah buruh mahir yang lebih lumayan?


Sekali lagi ini ditegaskan di sini, politik kepartian tanpa dasar ekonomi manusiawi yang progresif adalah sia-sia buat rakyat terbanyak.


Tukar rejim politik dan tangkap dalang skandal kewangan 1MDB semata-mata tidak akan meningkatkan produktiviti negara serta membesarkan saiz ekonomi dan pendapatan rakyat sebenarnya.


Setuju?

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus