30 August 2017

Jajaran LRT jauh ambil kira rancangan pembesaran PIA sendiri, respons Kon Yeow

EXCO Pengurusan Lalulintas Negeri Pulau Pinang dalam sidang media di Komtar pada petang tadi menjawab beberapa ulasan pemimpin Gerakan dan MCA mengenai cadangan TMP ini.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN – Jajaran transit aliran ringan (LRT) yang dijarakkan berbanding pelan asal berdekatan Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (PIA) adalah mengambil kira rancangan masa hadapan pembesaran lapangan terbang itu sendiri.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow menjawab kritikan pihak pembangkang Pulau Pinang, dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Komtar tengah hari tadi.

"Bukan kita tidak mahu membina jajaran LRT dekat dengan terminal lapangan terbang, tapi dalam rundingan dengan Pihak Berkuasa Malaysia Airports, mereka pun ada rancangan untuk pembesaran lapangan terbang (di) Bayan Lepas.

"Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan) diminta untuk tidak membuat LRT di jajaran yang asal," jelasnya sambil menunjukkan aspek perubahan rancangan dalam pelan jajaran LRT berwajib.

Tambah Kon Yeow, perubahan pelan jajaran tersebut adalah salah satu komponen projek di bawah Pelan Induk Pengangkutan (TMP), disediakan oleh rakan pelaksana projek (PPP) yang dilantik oleh Kerajaan Negeri sendiri, iaitu Konsortium SRS.

Difahamkan, respons Kon Yeow itu adalah merujuk pada kenyataan Setiausaha MCA Pulau Pinang dalam laporan The Star bertarikh 26 Ogos 2017.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yewo dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Laporan lengkap TMP tunggu kelulusan Pusat sahaja, Kon Yeow respons PM

EXCO Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir Negeri Pulau Pinang mendedahkan maklumat grafik projek-projek penambakan laut yang dilaksanakan di negeri-negeri Semenanjung Malaysia, pada sidang media di Komtar tengah hari tadi.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB

GEORGE TOWN - Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yeow memberitahu bahawa laporan lengkap Pelan Induk Pengangkutan (TMP) telahpun dihantar pada 15 Ogos lepas dan menunggu kelulusan jabatan-jabatan teknikal Kerajaan Persekutuan berwajib sahaja.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan terbaru Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Balik Pulau pada 26 Ogos lepas yang memberi jaminan bahawa projek tebus guna tanah bagi membentuk tiga buah pulau buatan di selatan perairan negeri ini tidak akan diluluskan sekiranya menjejaskan kepentingan penduduk dan alam sekitar.

"Pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang telah memenuhi segala syarat yang dikenakan ke atas kita, oleh semua jabatan teknikal.

"Dalam DEIA (Laporan Penilaian Terperinci Terhadap Alam Sekitar) ini, kita (Kerajaan Negeri) kemukakan laporan akhir pada 15 Ogos (2017) dan apa yang kita perlu lakukan hanya tunggu kelulusan Pusat sahaja," ujarnya dalam sidang media bersama-sama Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng di Komtar petang tadi.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim; dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Menurut Kon Yeow, kerja-kerja penambakan laut di Kedah dalam projek Aman Laut melibatkan 123 ekar; di Perak adalah Projek Bagan Datuk dekat Perak (4,100 ekar) dan Perak Heavy Industrial Park (3,400 ekar); projek Selat PD Tebus Guna dekat Negeri Sembiran (tidak diketahui luas kawasan tebus guna tanah); Melaka Gateaway (1,366 ekar); di Johor adalah projek R&F Tanjung Puteri (78 ekar), Danga Bay Waterfront City (2,000 ekar), fasa 2 PTP (tidak diketahui luas kawasan tebus guna tanah); Forest City (3,425 ekar); Tanjung Piai Maritime Industrial Park (3,845 ekar) dan TLP Tebus Guna (tidak diketahui luas kawasan tebus guna tanah).

"Sebagai contoh, di Kedah, Projek Aman Laut, (kerja-kerja penambakan laut seluas) 123 ekar, tak ada kelulusan DEIA pun, mereka sudah mulakan (kerja), dan Jabatan Alam Sekitar (JAS) pada 15 Mei barulah mengeluarkan Notis Berhenti Kerja pada projek Aman Laut ini. 

"Tapi, Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak akan mungkir janji, selagi tidak ada kelulusan DEIA, kerja-kerja penambakan laut tidak akan dilakukan.

"Kita nak tanya, adakah semua projek-projek penambakan laut ini tiada impak kepada alam sekitar, tiada impak kepada nelayan dan tiada impak kepada komuniti sosial, mestinya ada.

"Tetapi, DEIA yang dikemukakan akan mencadangkan langkah-langkah mitigasi supaya apabila penambakan dijalankan, impak-impak ini dikurangkan pada paras paling minimum...memberi pampasan kepada nelayan yang terlibat dalam permohonan DEIA kepada Kerajaan Persekutuan," jelasnya sambil merayu Kerajaan Pusat agar lebih adil dengan rancangan pembangunan negeri di Pulau Pinang.

Guan Eng rakam penghargaan atlet P.Pinang di Sukan SEA 2017 sumbang 43 pingat

KETUA Menteri.

Oleh: ZAINULFAQAR YAACOB 

GEORGE TOWN – Ketua Menteri, Y.A.B. Tuan Lim Guan Eng petang tadi merakamkan penghargaan kepada barisan atlet Pulau Pinang yang berjaya menyumbang 22 pingat emas, perak (14) dan gangsa (7) kepada skuad kebangsaan Malaysia dalam temasya Sukan SEA Ke-29 2017 di Kuala Lumpur.

"Atlet Pulau Pinang yang menyertai skuad kebangsaan seramai 55 orang, dan menyumbang 43 pingat kepada Malaysia.

"Kita (Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang) tentunya berasa bangga dengan pencapaian semua atlet, khususnya dari Pulau Pinang.

"Syabas kepada semua atlet yang telahpun mengharumkan nama Malaysia, khususnya ketika kita akan menyambut Ulang Tahun Ke-60 Hari Kemerdekaan pada 31 Ogos ini," jelasnya yang juga Setiausaha Agung Parti Tindakan Demokratik pada sidang media di Komtar di sini.

Hadir sama, Exco Belia & Sukan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Komuniti, Chong Eng; Exco Kerajaan Tempatan, Pengurusan Lalulintas dan Tebatan Banjir, Chow Kon Yewo dan Exco Hal Ehwal Agama, Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato' Abdul Malik Abul Kassim dan Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar, Phee Boon Poh.

Malam tadi, Malaysia muncul sebagai juara keseluruhan dalam sukan Asia Tenggara kali ini dengan mengutip 111 pingat emas, perak (75) dan gangsa (85).

Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus