23 April 2018

Cerpen: Rumah Ibu Nora



Oleh: Zainulfaqar Yaacob
#DEKPOS | Diskusi Ekonomi Politik Sosial

             NORA akhirnya serba salah. Semacam tak tentu arah. Mahu menyerah, belum tentu dia dilepaskan. Kira-kira mata kasar, ada lima wanita lengkap berseragam. Mata-mata tak tahu lah berapa ramai mengepung di sini, kerana bercampur dengan orang tempatan yang turut mahu menyaksikan aksi jentolak membaham rumah pusaka tinggalan ibu. 

             Dia masih menyorok dan berkubu di dalam rumahnya. Tingkap nako dan pintu depan berkunci atas bawah. Cuma yang tinggal adalah bahagian dinding konkrit antara tingkap nako dan satu-satunya pintu depan itu, berlubang dek ditebuk oleh samseng upahan Jembalang Hartanah. Kata Karthik, seorang aktivis dari Jaringan Rakyat Tertindas atau JERIT, “Jembalang Hartanah tebuk dinding rumah ini kerana mereka tidak ada hak meranapkan rumah orang kampung di sini, walaupun telah dapat perintah mahkamah.”

             Nora yang berkubu di ruang tamu lama-kelamaan nampak macam kucing kehilangan anak. Sekejap dia berdiri dan sekejap duduk di kerusi rotan. Kemudian dia munda dan madir ke dapur, seakan mencari sesuatu, entah berjumlah di situ atau masih bersarang dalam kepalanya. 

              Nora meneguk air, lalu ke depan ruang tamu semula sambil bergantung harap kepada Ilahi dengan menggenggam biji tasbih di tangan kanannya. Erat digenggam biji tasbih itu, sekejap dicium dan sekejap diusap di antara dia belah buah dadanya. Sambil itu, Nora basahkan mulut dengan melafazkan “SubhanaLlah, Walhamdulillah, Allahu Akbar”. Kalimah toyyibah yang mulanya berbisik ke telinga sendiri, lama-kelamaan kian bergema dengar serumah, semacam menggoncang tubuh anak dara berusia lewat 20-an itu.

              Lalu, Nora mengintai keluar melalui lubang yang ditebuk “Jembalang Hartanah” tadi. Sebenarnya dia mahu menenteramkan jiwa. Namun, apa yang dilihatnya semacam menggoncang kuat tubuhnya. Tubuh yang mula takut diberkas lima wanita lengkap berseragam tadi telah bertukar dengan perasaan yang lain. Dia tiba-tiba bersemangat kuat, kuat untuk terus berkubu di rumah pusaka tinggalan ibunya itu. Kuat sungguh semangatnya kerana, dari dinding berlubang itu, menyaksikan sekumpulan aktivis JERIT sedang saling menjadikan tubuh masing-masing sebagai benteng, demi menghalang jentolak “Jembalang Hartanah” daripada melanyak rumah pusaka ibu serta baki 26 lagi rumah di kampung tersebut. 

              Alang-alang menyelup pekasam, biar sampai ke pangkal lengan. Alang-alang mandi, biar basah. “Bukan aku seorang sahaja, ada 26 keluarga pertahan rumah masing-masing. Bak, telur sesangkak, pecah sebiji, pecah semua.” bisik Nora sendiri.

              Dari dinding berlubang itu, Nora terpandang Haji Zol, berdarah di kepala, barangkali mungkin kerana diasak oleh barua “Jembalang Hartanah”. Seragam yang dipakai patut mempertahan hak rakyat, tapi sudah ada yang berdarah di kepala sampai baju T Badan Bertindak Rumah Ganti Rumah Selesa (RAGAS) yang putih bersih sudah kemerah-merahan. 

               Lencun baju Nora bermandi keringat. Genting dan mencabar. Bukan sahaja bekalan air dicatu sejak beberapa hari lepas, bahkan, elektrik juga dipotong. Hangat dan berbara Nora berkubu di ruang tamu, sudah hampir dua jam, sungguhpun mentari masih malu serta belum duduk terpacak di atas kepala. 

               Nora kian letih. Sambil bersandar di kerusi rotan. Tapi, dia nampak tersenyum. Senyumnya semakin lebar sampai ke telinga. Nampak sangat seksi.

               “Apa betul YB cakap ini,” tanya Nora sambil mengemas tudungnya.

                YB muda itu mengangguk. Menurut YB itu, Kerajaan akhirnya mengambil keputusan merampas tanah persendirian itu berdasarkan Enakmen Cegah Usir Peneroka Paksa, 2018.

                Menurut enakmen itu, Kerajaan  melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menegaskan tidak akan melulus sebarang pelan kebenaran merancang yang dimohon oleh tuan tanah atau pemaju swasta, selagi hak serta tuntutan  peneroka bandar yang diusir secara perundangan, masih tidak dipenuhi.

                 Setahu aku, kata Nora, JERIT dan Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan (GPBP) di negeri ini masih deraf rang undang-undang itu. Kampung Permata dan Kampung Tok Asar yang sepatutnya ranap kira-kira setengah sedekad lalu dek angkara ‘Jembalang Hartanah’  pun tertangguh. Kerana, kecaknaan Ketua Menteri membela nasib Melayu. Tapi, bisik Nora sendirian lagi, belum ada enakmen khusus bagi membela peneroka bandar. 

              “Negeri ini ada undang-undang. Pemaju wajib mengemukakan permohonan kebenaran merancang terlebih dahulu, sebelum memohon kebenaran merobohkan struktur binaan di atas tanah persendirian mereka. Syarikat kapitalis itu bukan sahaja gagal berbuat demikian, malah, ketuanpunyaan tanah itu ada unsur penipuan, kalau ikut cakap pegawai daerah. Maka, tanah dirampas dan kita (kerajaan) akan bina Rumah Mampu Sewa Selesa,” jelas YB muda itu lagi. 

               Nora gembira apabila diberitahu bahawa beliau akan dapat ‘Rumah Ganti Rumah’ langsung daripada Kerajaan. Kerajaan minta dia pilih untuk duduk di unit kediaman dengan luas lantai 1,500 kaki persegi dekat Seberang atau di atas tanah kampung sama, selepas siap Projek Perumahan Mampu Sewa Selasa di sini.

              “Maksud YB, saya akan dapat rumah mewah kerajaan dengan sewa bulan serendah RM300 itu,” tanya Nora. Beliau masih ragu-ragu kerana rumah pusaka tinggalan ibunya itu dibina lebih tiga dekad lalu, atas kebenaran Haji Leman Malboro. Setiap tahun, ibu Nora bayar RM60, tanda pengakuan duduk di atas tanah orang. 

               Selepas perginya ibu, Nora sempat membayar RM5 sebulan, kemudian dinaikkan RM15 sebulan kepada Rosly, satu-satunya anak kandung Allahyarhamuhu Haji Leman Malboro. 

               Hampir enam bulan juga, selepas itu, Rosly menghilangkan diri. Macam-macam cakap orang kampung, ada yang kata Rosly atau terkenal dengan panggilan “Lee Man” iaitu Rosly “anak emas” Leman, telah berkahwin dengan seorang bekas Ahli Parlimen dan mengikut isterinya tinggal di Kuala Lumpur. Ada juga yang menyebut Lee Man diberkas mata-mata selepas menjadi keldai dadah di PIA. Tapi, yang paling sahih adalah Lee Man telah menghilangkan diri, dikejar dek lintah darat. Tanah pusaka, tempat ibu Nora serta 26 penduduk asal lain mendirikan tempat tinggal di kampung ini, telah semua digadai kepada seorang Ceti. Sehingga kini, tanah itu sudah berpindah tangan dua kali, terakhir atas penama sebuah ‘syarikat RM2’. Bila-bila masa sahaja rumah pusaka ibu ini boleh ranap dimamah pembangunan liar dek Jembalang Hartanah.

                Tambah YB muda itu lagi, kerajaan hari ini membela nasib peneroka bandar. Katanya, rumah adalah keperluan dan bukan komoditi spekulatif yang dipaksa ke atas rakyat untuk membeli, demi menguntungkan syarikat pemaju kapitalis swasta. “Di negeri ini mana ada lagi rumah swasta. Projek Rumah Mampu Milik yang dibina syarikat swasta pun, mana ada lagi. Semuanya unit kediaman (berkeluasan) 1,500 kaki persegi, 100 peratus dibina oleh agensi kerajaan sendiri. Sejak dua tahun lalu, unit-unit kediaman peribadi yang tidak didiami lebih setahun mula dirampas oleh kerajaan untuk disewakan langsung RM300 sebulan kepada marhaen.”
                 
                  “Kalau kerajaan sendiri umum nak isytihar bina 100 rumah mampu sewa, ingat saham Zainulfaqar Construction & Property Group pun boleh jatuh sebab kapitalis sendiri mesti mahu melabur dengan Bon Jaminan Kerajaan yang diterbitkan oleh Own State Bank,” kata Hayyu, Ketua Propaganda Al-Hizbu Al-Isytirakiy Malazia ketika Kongres Pertama Gabungan Kiri serta Sambutan Setengah Dekad Penubuhan RAGAS di Ibu Negeri tidak lama dahulu.

                 Ya... betul kata Hayyu, “tugas setiap revolusioner adalah terus mengasak perubahan pada sistem sosial sedia ada kepada sistem sosial yang lebih baik.” Ulang Nora sendirian sambil menjualnya tangan kiri bergenggam ke udara.

                  Sedar-sedar beliau terlena seketika. Nora bergegas ke dinding berlubang, dan melihat yang tinggal hanya beberapa aktivis JERIT, masing-masing sedang mengemas diri, plakad, serta menyusun atur semula beberapa pasu bunga di tempat asal selepas ‘bertempur’ dengan pihak berkuasa negeri tadi. Tidak lama selepas itu, Nora menerima whatsaap. “Mungkin esok lebih ramai lagi akan bertempur dengan kita. Jumpa 8.00 pagi esok, Rumah Ganti Rumah!” Hayyu ajak lawan!

END


Agama purba wujud kerana adanya kontrak sosial, apa kaitannya dengan hapus hutang lapuk?

SEJARAH panjang amalan hutang dan batal hutang lapuk ( bad debt ) dalam tamadun purba Mesopotamia & Mesir (tahun 3000 ~ 1000 S.M) dulu. ...

Disqus